Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin dari ILAHI, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu kali ke 180 dapat dilangsungkan petang ini.
3. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Berbahagia, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Dato Dr. Afifi al-Akiti yang dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM), serta Yang Dihormati Toh Seri Bijaya Dato’ Shaharudin bin Haji Nazari, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd. Yusop bin Haji Husin, Yang Berbahagia Dato’ Haji Muhammad Rivai Batubara dan Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Malek bin Awang Kechil yang dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP), juga Yang Dihormati DCP Dato’ Pahlawan Mohd. Shukri bin Dahlan yang dikurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) sempena perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan kali kelapan puluh empat, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
4. Hari ini adalah hari kelapan belas umat Islam di negara ini melakukan ibadat puasa. Setiap hari umat Islam yang berpuasa tidak makan dan minum untuk tempoh empat belas jam. Tempoh mengalami lapar dan dahaga tersebut adalah satu pengalaman menguji ketahanan fizikal dan ketahanan mental manusia. Ia adalah dugaan kecil berbanding tanggungan besar yang dihadapi setiap hari oleh hampir satu bilion penduduk miskin di serata dunia, menderita kerana ketiadaan atau kekurangan makanan. Setiap malam mereka tidur dalam kelaparan.
5. Keperluan memenuhi permintaan bahan makanan, adalah masalah yang semakin mengancam penduduk dunia. Ia adalah satu masalah besar yang sedang melanda dunia hingga dikaitkan sebagai salah satu masalah keselamatan yang dirujuk sebagai Food Security. Meskipun pelbagai usaha terus dirintis sejak setengah abad lalu untuk menambah pengeluaran bahan makanan, namun pada hari ini, hampir satu bilion penduduk dunia masih terperangkap dalam belenggu kebuluran.
6. Dunia hari ini mempunyai tujuh bilion penduduk dan setiap tahun penduduk dunia terus bertambah seramai tujuh puluh tujuh juta orang. Menjelang tahun 2050, penduduk dunia dijangka akan mencapai angka 9 bilion. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meramalkan China, India dan Nigeria merupakan tiga negara dengan penduduk teramai di dunia. Pertumbuhan penduduk yang terus berlaku menuntut kepada keupayaan dunia untuk meningkatkan penghasilan bahan makanan pada kadar tujuh puluh peratus dalam tahun 2050; satu jumlah pengeluaran yang besar, menyamai jumlah pengeluaran yang telah dihasilkan dalam masa 8,000 tahun, dan kini perlu dihasilkan dalam tempoh 40 tahun.[1] Keperluan tersebut semakin rumit untuk dicapai dalam keadaan planet bumi semakin diancam pelbagai pencemaran, sumber air semakin terbatas dan perubahan cuaca semakin memberi kesan negatif kepada produktiviti pertanian.
7. Di samping cabaran memenuhi matlamat meningkatkan pengeluaran bahan makanan, cabaran lebih besar yang dihadapi adalah isu pembahagian dan agihan. Kelemahan melaksanakan pembahagian dan agihan menjadi punca kepada berlakunya ketidakseimbangan yang mengakibatkan hampir satu bilion manusia menghadapi penderitaan kekurangan makanan sedangkan sebahagian besar manusia yang dilimpahi nikmat kemewahan melakukan pelbagai bentuk pembaziran. Dua ratus lima puluh (250) juta penduduk di India dilaporkan tidak mempunyai makanan yang cukup dan dua puluh satu peratus penduduk negara tersebut berada dalam kategori kurang pemakanan (undernourished), sedangkan India dilaporkan mempunyai simpanan stok bijirin kedua terbesar di dunia selepas China dan mengeksport bijirin ke Saudi Arabia malah hingga ke Australia.[2] Keadaan bertambah buruk apabila berlaku salah pengurusan dan perlakuan rasuah dalam program-program pembahagian dan bantuan makanan yang dianjurkan oleh pelbagai badan dunia dan antarabangsa. Dilaporkan juga meskipun 13.5 bilion US Dollar di belanjakan untuk program agihan makanan, hanya 41.4 peratus dari matlamat agihan yang benar-benar sampai ke pintu-pintu rumah orang-orang yang sangat memerlukan[3].
8. Senario-senario yang berlaku di serata dunia ini hendaklah meningkatkan rasa insaf kita untuk lebih menghayati nikmat kerana telah dikurniakan makanan yang cukup malah berlebihan dari keperluan diri. Meskipun kita diwajibkan berpuasa di siang hari, tetapi di bulan Ramadhan ini, kemewahan makanan terhidang dalam beraneka rupa dan beraneka rasa. Di samping restoran dan warung sedia ada, Pasar-pasar Ramadhan tumbuh bagai cendawan di serata tempat. Di samping menu dan juadah berharga mahal yang sedia ada, hotel-hotel ternama turut menganjurkan juadah berbuka puasa berharga tinggi dengan hidangan yang melimpah ruah, laksana berlakunya pesta menjamu selera yang ada kalanya diselang seli dengan hiburan.
9. Suasana Ramadhan akan disusuli tidak lama lagi dengan sambutan Aidilfitri. Malaysia mungkin merupakan satu-satunya negara di dunia yang umat Islam mengadakan sambutan dan jamuan Aidilfitri sepanjang Syawal. Rumah Terbuka berlangsung sepanjang Syawal dianjurkan oleh bukan sahaja individu tetapi oleh pelbagai pejabat kerajaan dan institusi swasta.
10. Tanpa garis panduan yang betul, dikhuatirkan roh Ramadhan dan semangat Syawal mungkin sedikit demi sedikit semakin tergelincir dari roh dan semangat murni lagi suci yang dilandaskan oleh Islam yang menegah amalan boros, menegah perbuatan membazir dan menegah budaya bermegah-megah. Islam menganjurkan kesederhanaan dalam segala perkara. Islam menganjurkan amal makruf tidak dilakukan secara bermusim tetapi dilakukan secara lestari dan berkesinambungan. Islam menegaskan aspek pengagihan rezeki secara adil lagi saksama yang wajib dilaksanakan sepanjang masa. Orang miskin dan anak yatim tidak memadai dihidangkan makanan mewah di hotel ternama sehari dalam setahun, tetapi mereka memerlukan jaminan makanan secara konsisten setiap hari sepanjang masa.
11. Roh Ramadhan hendaklah dihayati sepenuhnya. Menahan nafsu lapar dan dahaga hendaklah diperlengkap dengan kekuatan melawan nafsu membazir. Ramadhan hendaklah dijadikan pencetus kepada rasa keinsafan yang mendalam akan erti kemiskinan, akan derita kebuluran, akan kesyukuran terhadap anugerah kesenangan dan nikmat kemewahan agar turut dilimpahkan kesenangan dan kemewahan tersebut kepada fakir miskin, anak-anak yatim, orang-orang tua dan orang-orang kurang upaya. Ramadhan adalah detik untuk menginsafkan insan agar lebih memahami erti kesusahan dan meningkat kesedaran untuk lebih beringat kepada insan-insan yang saban hari mengharungi pahit jerih ketiadaan makanan sepanjang perjalanan hidup mereka. Untuk itu, hayatilah kesucian Roh Ramadhan dengan mengelakkan diri dari melakukan pembaziran, hentikan sifat boros dan gugurkan riak bermewah-mewah dan bermegah-megah ketika menyambut Syawal; semoga hidup bertambah berkat dan Allah Subhanahu Wata’ala terus melimpahkan rahmat.
12. Beta mengucapkan selamat menyempurnakan ibadah puasa, semoga Allah Subhanahu Wata’ala memanjangkan usia kita untuk dapat sama-sama menyambut Aidilfitri dalam suasana riang lagi harmonis bersama keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga. Berhati-hati dalam perjalanan di musim perayaan supaya tidak ditimpa bala bencana.
13. Semoga kita sama-sama dilimpahkan taufik dan hidayah dari Allah Subhanahu Wata’ala.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.