Persidangan Ke-181 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, dengan rahmat dan izin dari ILAHI, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu kali ke 181 dapat dilangsungkan.

3. Pengurusan kewangan yang sistematik, berhemah dan berintegriti adalah antara faktor penentu dan pemangkin kepada kejayaan sesebuah organisasi, pertubuhan, begitu juga kerajaan. Setiap entiti ini berupaya berdiri kukuh andainya segala usaha yang dilaksanakan terhasil melalui perancangan sistematik dan penuh ketelusan. Kaedah mendapatkan sumber kewangan secara halal – secara bersih serta cara membelanjakan dengan penuh hemah merupakan suatu tuntutan dan tanggungjawab. Kealpaan dan kesilapan percaturan dalam menguruskan kewangan pastinya akan mendatangkan banyak masalah, berakhir dengan pelbagai kerumitan. Oleh kerana sumber kewangan terhad sedangkan tuntutan perbelanjaan pelbagai, mekanisme bagi mengenal pasti keutamaan perbelanjaan yang berupaya memberi impak tinggi mestilah diformulasikan supaya pembaziran dapat dielakkan.

4. Pengwujudan Perancangan Strategik bagi sesebuah organisasi kerajaan mahu pun bukan kerajaan adalah bagi mengenalpasti hala tuju yang mesti dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan agar selari dengan dasar dan keupayaan kewangan. Bagi mendapatkan impak yang tinggi daripada bajet yang disediakan, kerajaan hari ini telah memperkenalkan Outcome Based Budgeting (OBB) bagi menggantikan pendekatan Modified Budgeting System (MBS) mulai tahun 2013; satu sistem bajet yang menjurus kepada hasil atau outcome berbanding sistem bajet terdahulu yang difokuskan kepada perbelanjaan dibuat semaksimum mungkin. OBB juga telah direka bentuk supaya dapat menghapuskan fungsi-fungsi dan program-program bertindih dengan memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Sejajar dengan perkembangan tersebut, MAIPk turut mengguna pakai kaedah ini bagi mendapatkan satu natijah dan keberhasilan berimpak tinggi. Pendekatan holistik ini perlu dirancang dengan program yang mempunyai sinergi dan dapat memberi manfaat yang optimum kepada rakyat.

5. Disamping bergantung dengan sumber pendapatan sedia ada, penerokaan sumber baru dalam meningkatkan pendapatan tahunan Majlis telah dirintis dan akan terus ditingkatkan. Kepelbagaian sumber pendapatan ini akan menjamin Majlis berada dalam status kewangan yang stabil. Semua ini mestilah dirancang secara bijak dan bersungguh dengan mengambil kira pandangan dan cadangan yang diberikan oleh semua pihak. Jika perancangan ini memerlukan kepada pindaan perundangan, pihak Majlis mestilah mengambil langkah melakukannya.

  1. Bajet yang dicadangkan juga hendaklah memberi penekanan kepada aspek pelaburan dan pembangunan aset. MAIPk hendaklah mara merintis langkah untuk meningkatkan pegangan ekuiti dan mengorak langkah strategik mengoptimumkan pulangan kepada aset-aset milik MAIPk. MAIPk perlu bergerak aktif melakukan pelaburan dan aktiviti-aktiviti pembangunan aset.
  2. Umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Umat Islam banyak bercakap tentang ibadah korban dan ramai yang melakukannya. Allah Subhanahu Wataala mengingatkan manusia melalui firmanNya yang bermaksud “Kerana itu dirikanlah solat dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana Tuhanmu”[1] [Surah Al-Kawthar 108:2). Allah menyeru manusia melakukan korban dengan seikhlas mungkin dan dengan jiwa yang redha. Laksanakanlah ibadah korban dengan ikhlas untuk mendapat keredhaan ILAHI dan elakkan amalan korban dari tergelincir menjadi sambutan untuk bermegah, untuk dipuji atau untuk mengharapkan penghormatan dari orang ramai. Ibadah korban adalah untuk mendapatkan keredhaan ILAHI, disempurnakan secara ikhlas dengan niat yang khusus bersyukur atas nikmat limpah ILAHI melanjutkan usia kita setahun lagi.
  1. Pengorbanan jika dilihat daripada perspektif Islam mempunyai pengertian yang sangat luas. Ia bukan sekadar merujuk kepada ibadah penyembelihan ternakan secara fizikal tetapi ianya mempunyai manefestasi yang lebih dalam. Pengorbanan itu akan dapat dilakukan bilamana seseorang itu berupaya menjalingabungkan kekuatan fizikal, emosional, spiritual dan mental. Dalam era yang semakin materialistik sifatnya, aktiviti-aktiviti kebajikan ada kalanya lebih bersifat luaran – bersifat zahiriah dilakukan untuk mendapat pengiktirafan duniawi hingga memungkinkan berkembangnya sifat riak. Ada pula melakukan aktiviti berwajah kebajikan secara tersurat tetapi secara tersirat berniat dijadikan umpan dimata kail untuk mendapatkan sesuatu keuntungan: malah aktiviti kebajikan ada kalanya dijadikan topeng untuk melindungi perbuatan rasuah. Berhati-hatilah aktiviti kebajikan bersifat kosmetik dan dengan niat yang serong supaya dikalangan mereka yang memiliki kuasa tidak dilihat sama-sama bersubahat membenarkan perbuatan rasuah.
  1. Kepada umat Islam yang sedang berada di tanah suci, Beta mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji. Mudah-mudahan mereka mendapat haji yang mabrur dan dilimpahi kerahmatan Allah sepanjang menunaikan ibadah haji.
  2. Diucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha. Semoga Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan petunjuk kepada Beta serta ahli-ahli Majlis dapat merumus dan menghasilkan keputusan-keputusan yang bermanfaat dalam Persidangan kali ini.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Tafsir Fi Zilalil Quran: Dibawah Bayangan Al-Quran terjemahan Yusor Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.ms 558
%d bloggers like this: