Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 182 dapat dilangsungkan. Persidangan kali ini merakamkan ucap takziah kepada Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan dan keluarga, atas kembalinya ke Rahmatullah, bonda beliau, Puan Raihal binti Hashim pada 23 Januari yang lalu. Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, semoga apa jua ganjaran dari bacaan tersebut di sampaikan kepada roh Allahyarhamah. Al Fatihah.
3. MAJLIS, mencatat prestasi kutipan zakat dan pendapatan sumber am yang meningkat dalam tahun kewangan 2012; peningkatan 14.6 peratus; perolehan hasil meningkat dari 92.4 juta ringgit pada tahun 2011 kepada 105.9 juta ringgit dalam tahun 2012; terbahagi kepada 99.57 juta ringgit sumber zakat dan 6.4 juta ringgit sumber am. Pecahan perolehan ini menunjukkan 94 peratus perolehan, bersumberkan zakat dan hanya 6 peratus melalui sumber am.
4. Nisbah perolehan pendapatan sedemikian, hendaklah dijadikan satu petanda kepada perlunya pengurusan MAJLIS mengambil langkah-langkah lebih agresif lagi aktif untuk melipatgandakan perolehan melalui sumber am. Ia hendaklah dilihat sebagai cabaran supaya MAJLIS turut memberikan fokus kepada kegiatan-kegiatan pelaburan dan pembangunan.
5. Aset MAJLIS hendaklah diurus dan dibangunkan secara lebih produktif. Mengurus pelaburan dan pembangunan, memerlukan pengetahuan dan pengalaman serta kemahiran dan kaedah yang sangat berlainan dan berbeza dari budaya mentadbir jabatan Kerajaan. Oleh itu MAJLIS perlu menyusun struktur organisasi yang sejajar dengan cabaran dan tanggung jawab berkaitan, serta mengenal pasti sumber manusia yang lebih memahami perkara-perkara berkaitan pelaburan dan hal ehwal pembangunan hartanah, agar aset MAJLIS dapat memberikan pulangan hasil yang lebih tinggi.
6. MAJLIS hendaklah meletakkan sasaran pencapaian tertentu dalam aspek pelaburan dan pembangunan, malah sewajarnya memikirkan untuk menggubal pelan induk pelaburan dan pembangunan bagi tempoh sepuluh tahun. Penubuhan PKEINPk Sdn. Bhd., hendaklah dilihat sebagai instrumen untuk mengaktifkan kegiatan pelaburan dan pembangunan MAJLIS dengan fasa kelajuan yang lebih pesat. PKEINPk Sdn. Bhd hendaklah dilihat sebagai instrumen yang akan mengambil tanggung jawab melaksanakan kegiatan pelaburan dan pembangunan MAJLIS.
7. Muka hadapan akhbar The STAR bertarikh 1 Februari 2013, melapur pada puratanya, setiap hari 15 orang dilaporkan hilang di Malaysia. Bersumberkan rekod rasmi polis, angka laporan kehilangan sepanjang tahun 2011 berjumlah 5,961; sementara 4,804 kes dilaporkan berlaku bagi sepuluh bulan pertama tahun 2012.[1] Polis turut menyatakan bahawa angka yang dirujuk itu, tidak meliputi kes-kes colek yang menuntut wang tebusan. Lebih separuh dari mereka yang dilaporkan hilang masih belum ditemui sehingga hari ini.
8. Kebanyakan mereka dalam lingkungan usia 13 ke 17 tahun; anak gadis Melayu merupakan yang teramai dalam kumpulan usia tersebut, berjumlah 1,124 kes dalam sepuluh bulan pertama 2012. Analisis polis menunjukkan kebanyakan mereka lari meninggalkan rumah disebabkan menghadapi tekanan dari kumpulan sebaya dan menghadapi masalah sosial. Sebahagian dari mereka datang dari keluarga yang bermasalah, ibu bapa yang bercerai atau berpisah lalu memberikan kesan domino.
9. Laporan tersebut hendaklah dijadikan pembuka mata kepada penyakit sosial yang semakin merebak. Di samping faktor tekanan atau pengaruh kumpulan sebaya serta masalah keluarga, analisis lebih lanjut perlu didalami; antaranya, lokasi kediaman, prasarana sosial di kawasan kediaman, kategori pendapatan keluarga, serta tahap penghayatan agama di dalam keluarga. Beta mungkin tidak jauh tersilap, melakukan andaian bahawa kebanyakan kes yang berlaku turut juga dipengaruhi oleh tiga faktor utama; pertama: kemiskinan; kedua: penghayatan agama; ketiga: persekitaran kehidupan.
10. Pertama: Kemiskinan; masalah besar lagi kompleks yang masih berlaku. Jangan terlalu cepat gembira, mendabik kejayaan dengan pencapaian secara angka, di antara mereka yang dikategorikan berada di atas dan di bawah garis kemiskinan. Angka pendapatan isi rumah yang dijadikan rujukan melukis garis kemiskinan amat subjektif; oleh itu perlu dilakukan review yang lebih kerap supaya negara tidak leka dengan wajah pencapaian palsu yang semakin tidak tepat kerana kadar inflasi dan kos hidup meningkat pada tahap yang lebih cepat.
11. Menetapkan gaji minimum atau meningkatkan tangga gaji, kelihatan seimbas pandang dapat menambahkan pendapatan kepada kumpulan sasar tertentu; namun ia tidak berhenti di situ sahaja. Majikan yang pada hari ini terpaksa menanggung kos pengeluaran yang sudah meningkat dari segi kos buruh, akan mengimbangkan kembali kos pengeluaran dengan meletakkan harga yang lebih tinggi kepada produk dan perkhidmatan yang dihasilkan. Ini adalah prinsip ekonomi yang tersangat asas. Tambahan gaji atau imbuhan yang disaingi dengan harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat lebih tinggi, pada akhirnya akan menambahkan beban hidup warga, terutama di kalangan mereka yang tidak berpendapatan secara bergaji. Akhirnya berlaku keadaan yang usul balik ke asal; warga berada dalam situasi bagaikan cuba menangkap kabus yang tidak pernah dapat diperoleh; dan kemiskinan pada hakikatnya masih belum dapat diatasi dalam erti kata sebenar dan bermakna. Masalah sosial terus berlaku, dan negara bangsa terpaksa menanggung dengan harga lebih tinggi. Justeru itu usaha membasmi kemiskinan perlu ditangani melalui formula yang lebih mantap lagi lestari.
12. Kedua: Penghayatan agama: Hari ini pengajian agama Islam diwajibkan kepada setiap pelajar. Kerajaan mengambil tanggung jawab membekalkan puluhan ribu guru agama dari peringkat tadika hingga ke sekolah menengah malah turut terdapat di kolej dan pusat pengajian tinggi. Di setiap daerah telah ada institusi agama secara rasmi, di setiap kariah terdapat masjid, di serata kampung bertaburan surau. Kelas, kuliah dan tazkirah agama dianjurkan. Ramai yang bersaing untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Masjid. Di sebalik segala yang dilaksanakan, mengapa masih berlaku vakum penghayatan agama di kalangan sebahagian ummah, dan mengapa pula vakum itu lebih berlaku di kalangan keluarga miskin. Apakah keberkesanan atau kegagalan dari segi program agama yang dianjurkan; dan sejauh manakah di kalangan Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid, terutama di kalangan mereka yang begitu bersaing dan melobi untuk dilantik memegang jawatan, secara serius merenung masalah sosial ini secara mendalam dan melakukan sesuatu perekayasaan yang berkesan, untuk memakmurkan masjid dengan program yang lebih dapat menarik minat golongan muda dan remaja. Malah menjadi cerita lebih sedih, jika di kalangan mereka yang telah ditauliahkan dengan amanah untuk memakmurkan masjid, turut jarang menghadirkan diri di masjid untuk mempamerkan teladan yang baik kepada kariah.
13. Persekitaran kehidupan: Komponen sosial wajib dijadikan syarat dalam membangunkan projek perumahan bagi kumpulan berpendapatan rendah. Tempat kediaman yang disediakan kepada mereka adalah untuk kediaman manusia dan bukannya untuk burung merpati. Mereka ada keluarga, dan anak-anak dalam pelbagai peringkat usia. Mereka dari kalangan yang tidak mampu untuk menjadi ahli kepada mana-mana kelab rekreasi atau kelab sukan, untuk membolehkan anak-anak mereka ada tempat untuk beriadah dan bersosial. Melaksanakan keadilan bermula dari perkara seasas ini. Ketidakadilan akan menjadi amat ketara, apabila jurang menjadi terlalu jauh antara kemudahan yang terdapat bagi kawasan perumahan untuk kumpulan atasan berbanding kemudahan asas yang disediakan bagi kumpulan berpendapatan rendah. Rakyat berpendapatan rendah tidak meminta disediakan padang golf dalam kawasan perumahan mereka, tetapi mereka sedia gembira dan bersyukur, jika ada gelanggang sepak takraw, futsal, bola keranjang dan bola jaring, tempat anak-anak mereka boleh melakukan aktiviti sosial secara sihat. Slogan berjiwa rakyat hendaklah dinafaskan dengan perasaan lebih membela dan lebih memberikan perhatian kepada golongan miskin dan rakyat bawahan.
14. Beta dan ahli-ahli MAJLIS adalah kalangan hamba ALLAH yang telah dilimpahkan rahmat kesenangan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala. Apakah tanda kesyukuran yang harus dilakukan oleh seorang hamba ALLAH yang telah mendapat limpah rahmat kesenangan dari ILAHI. Pada tafsiran Beta, kesyukuran itu wajib dicerminkan secara menggunakan rahmat anugerahi ILAHI baik dalam bentuk pangkat, jawatan, kuasa atau harta untuk menolong mereka yang hari ini, berada dalam keadaan daif dan uzur, susah dan miskin. Sejarah kehidupan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam penuh dengan cerita dan kisah hidup Baginda yang senantiasa mengutamakan fakir miskin, anak yatim dan orang-orang yang daif. Memberikan perhatian untuk membela nasib golongan miskin dan daif, adalah sunah yang kita sama-sama dapat lakukan mengikut tahap keupayaan masing-masing, dengan melakukan sedikit pengorbanan dari anugerah yang sedang kita nikmati ini. Semoga ketulusan dan keikhlasan kita membantu fakir miskin, anak yatim, orang-orang yang daif itu dijadikan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala sebagai pelindung dan dinding kepada hidup kita dan keluarga kita dari ditimpa bencana dan bahaya dan dari melakukan kemungkaran.
15. Semoga Persidangan Majlis kali ke 182 mendapat petunjuk dan panduan ILAHI.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
- STAR, 1 Februari 2013, 3. ↑