Persidangan Ke 183 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPK)

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2. Pada tahun 2011, Beta telah berangkat melawat Uzbekistan, sebuah negara di Asia Tengah. Kota sejarah Samarkand, di Uzbekistan, menceritakan pelbagai kegemilangan di era pemerintahan Dinasti Timurid. Samarkand terkenal sebagai pusat dan laluan perdagangan utama, The Silk Road. Samarkand adalah metropolis yang mencantumkan Timur dan Barat. Di era kegemilangannya, di samping Islam, terdapat pelbagai kumpulan etnik dan amalan pelbagai agama, Nestorian Christian, Buddhism, Zoroastrianism dan Judaism. Asia Barat di era pemerintahan Islam berperanan sebagai pusat perkembangan pelbagai ilmu, merangkumi fizik, matematik, astronomi dan bahasa; lahirnya ilmuwan-ilmuwan terkemuka, antaranya, Al-Bukhari, Ibn Sina, Al Farabi, Al-Khwarizmi, Al-Biruni; Omar Khayyam, penyair terkemuka telah menghasilkan Ruba’iyyat, Ali Qushji terkenal sebagai ahli fizik, ahli bahasa, ahli matematik dan astronomer. Ulugh Begh cucunda kepada Timur Lind (Tamerlane) telah menghasilkan Zij-I Sultani, katalog dan jadual astronomi yang memiliki tahap ketepatan yang tinggi, kekal dijadikan sumber rujukan sehingga ke hari ini; beliau turut mengasaskan penubuhan Universiti Samarkand. Masjid Bibi Khanum memperlihatkan daya seni bina yang hebat.

3. Kegemilangan tersebut berakhir apabila berlakunya konflik dalaman dalam pimpinan, mengakibatkan berlakunya ketidakstabilan politik, di samping kealpaan pimpinan negara ketika itu, gagal melakukan pengubahsuaian selaras dengan perkembangan teknologi pengangkutan laut yang jauh mengatasi tahap efisien laluan darat, lalu menjejaskan kemakmuran ekonomi yang mereka pernah nikmati untuk sekian lamanya.

4. Istanbul kaya dengan khazanah sejarah era keagungan Empayar Ottoman. Kegemilangan Empayar Ottoman didukung antaranya oleh enam prinsip utama:

  1. Agenda negara memperkembangkan Islam.
  2. Sistem Kesultanan mutlak yang dinasihati oleh barisan wazir yang jujur, amanah, kompeten lagi berilmu.
  3. Majlis Pengadilan yang sofistikated.
  4. Pelaksanaan Syariah berlandaskan Al-Quran dan Hadis.
  5. Sistem percukaian yang cekap, spesifik, pragmatik serta fleksibel.
  6. Garis panduan yang jelas antara peranan pemimpin dan yang dipimpin.

5. Di abad ketujuh belas (1699–1792), Empayar Ottoman mula berhadapan pelbagai cabaran, menjadi punca membawanya ke ambang kejatuhan. Empayar Ottoman semakin kehilangan wilayah, angkatan tenteranya bertambah lemah; berlakunya stagnasi ekonomi, sistem mata wang Turki yang disandarkan kepada Perak menghadapi ancaman, tercetusnya inflasi yang tinggi; berlaku juga stagnasi politik berpunca dari kualiti pimpinan yang bertambah lemah kerana terlalu selesa hingga lena dalam kejayaan yang telah dicapai. Pimpinan Empayar secara berterusan gagal melakukan pengubahsuaian, selaras dengan tuntutan realiti pemodenan, khususnya yang sedang berkembang di Benua Eropah dari segi inovasi teknologi baru, reformasi politik dan kebangkitan intelek. Di sebaliknya sebarang usaha untuk melakukan pemodenan dalam Empayar Ottoman, berhadapan dengan tentangan hebat dari para pemimpin, angkatan tentera dan rakyat yang berfikiran konservatif.

6. Pemerhatian di dua lokasi yang pernah mencipta sejarah kegemilangan Islam, memberikan peringatan penting, betapa sesuatu pemerintahan apabila telah mencapai status gemilang, terlupa dan teralpa kepada nilai-nilai asas lagi murni yang pernah diamalkan di peringkat awal, berperanan sebagai instrumen penting melonjakkannya berada di takhta kegemilangan. Senario sebegini adalah antara pemerhatian yang pernah dicatatkan oleh cendekiawan dan sosiologis kurun keempat belas, Abdul Rahman Ibn Khaldun, bahawa apabila masyarakat mendapat kemewahan, perwatakan mereka sering menjadi lemah.

7. Dalam hasrat membina benteng dari ditembusi oleh budaya yang boleh memusnahkan, ummah wajib kembali memperingatkan diri kepada peringatan ILAHI, melalui wahyu-wahyu yang terkandung di dalam Al-Quran, demikian juga pelbagai seruan dan panduan yang terkandung di dalam Sunah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Sifat nasihat menasihati adalah sebahagian dari budaya yang harus diamalkan di kalangan ummah, seperti yang terkandung dalam Surah Al-Ashr yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”.[1]

8. Berpandukan falsafah di sebalik ayat tersebut, Tahir bin Husayn, Jeneral, Gabenor dan ilmuwan pada zaman Kerajaan Abbasiyah, mengutus surat kepada anaknya Abdullah sebaik sahaja Abdullah dilantik oleh Khalifah Ma’mun, ke jawatan Gabenor di Mesir, dengan peringatan berikut:

Petikan:

“ Pertukaran dari rahmah ILAHI kepada kemurkaan Nya, cepat berlaku, apabila orang diberikan kuasa, tidak mengiktiraf rahmat yang Tuhan berikan, dan apabila mereka yang berkedudukan di dalam Kerajaan pula, tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan, lalu menganggap diri mereka itu sebagai manusia terhebat, sedangkan ia adalah hasil dari rahmat dan anugerah Tuhan kepada mereka ” [2]

9. Orang-orang tua terdahulu senantiasa mengingatkan agar yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan; bila sesat di hujung jalan – cepat kembali ke pangkal jalan, ketika melihat awam di langit – lupakan jangan rumput di bumi. Sama-samalah kita memohon rahmat ILAHI agar kita senantiasa diberikan panduan dan petunjuk, dihindarkan dari melakukan perkara yang tidak mendapat keredaan dari Nya, dan dilindungkan kita dari pengaruh bisikan jahat iblis yang senantiasa berusaha menyesatkan setiap anak Adam untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini.

10. Semoga Persidangan Majlis kali ke 183 mendapat petunjuk dan panduan ILAHI.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran, As-Ashr (103:1-3)
  2. Wan Mohd. Nor Wan Daud, “Integriti dan Mas’uliah Dalam Kepimpinan”, dalam Integriti Politik di Malaysia, (Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia, 2007), 42.
%d bloggers like this: