Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kali ke 184 merakamkan penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, atas perkhidmatan beliau sebagai Ketua Eksekutif dan Setiausaha kepada MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK (MAIPk) di antara 29 Mac 2010 sehingga 12 Julai 2013. Persidangan ini juga merakamkan penghargaan kepada Yang Dihormati Senior Deputi Komisioner Polis (SDCP) Dato Pahlawan Mohd. Shukri bin Dahlan, di atas peranan dan perkhidmatan beliau sebagai ahli MAIPk semasa menyandang jawatan Ketua Polis Perak. Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syed Omar telah dinaikkan pangkat dan ditempatkan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) berkuat kuasa 16 Julai 2013, sementara Yang Dihormati Dato’ Pahlawan Mohd. Shukri, ditugaskan mengambil tanggung jawab Ketua Polis Selangor, berkuat kuasa 2 September 2013. Semoga perkhidmatan dan jasa bakti mereka berdua semasa menganggotai MAIPk diterima sebagai amal soleh di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. Semoga mereka berdua akan terus mendapat petunjuk dan lindungan ILAHI serta dilimpahi rahmat kejayaan yang berterusan. Amin Ya Rabul Alamin.
3. Beta mengalu-alukan keanggotaan Yang Dihormati Senior Deputi Komisioner Polis Dato’ Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani yang telah Beta beri perkenan dilantik sebagai anggota MAIPk. Semoga pengalaman dan pengetahuan yang beliau miliki akan dapat memberi manfaat untuk meningkatkan prestasi dan peranan MAIPk.
4. Islam adalah agama yang syumul – agama yang holistik. Islam tidak hanya menggariskan urusan hubungan ibadah di antara makhluk dengan Penciptanya, dengan keperluan memenuhi tuntutan fardu ain, malah turut menggariskan atur urusan kehidupan di antara makhluk sesama makhluk, dengan keperluan untuk menyempurnakan pelbagai tanggung jawab fardu kifayah. Islam adalah agama yang menyeluruh – agama yang mencakupi semua bidang kehidupan. Terkandung di dalam Al-Quran perkara-perkara berkaitan pokok agama, norma, hukum, hikmat dan pimpinan untuk menjamin kebahagiaan hidup insan baik di dunia begitu juga persiapan dan amal untuk bekalan di akhirat. Ia menilai dan menghukum setiap perkara yang dilakukan oleh manusia seperti yang dibayangkan dalam ayat 38 Surah Al-An’ Aam yang bermaksud:
“…Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam Al-Kitab, kemudian kepada Tuhan merekalah mereka dihimpunkan”.
(6:38)
5. Islam telah memperkenalkan pelbagai hukum – pelbagai peraturan hidup untuk menjamin berlakunya keadilan dan kesaksamaan, untuk mencegah dari berlakunya sebarang kezaliman dan penindasan. Pelaksanaan hukum secara tegas yang dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan, adalah bagi memastikan terjaminnya kerukunan hidup alam dan kesejahteraan hidup insan. Di samping menghukum ke atas dosa yang telah dilakukan oleh manusia, prinsip melaksanakan hukuman secara tegas yang diperkenalkan di dalam Islam, bertujuan untuk menjadi pengajaran, peringatan, amaran, contoh dan teladan.
6. Islam amat mementingkan faktor keselamatan dan kesejahteraan ummah. Ucapan Assalamualaikum Warahmatullah yang dianjur untuk dilafazkan sesama ummah, adalah doa yang membawa maksud:
“Selamat sejahtera ke atas kamu dan rahmat ALLAH serta keberkatan ke atasnya”.
Malah, doa memohon selamat sejahtera turut dilafazkan ke kanan dan ke kiri sebaik selesai mengerjakan solat.
7. Kesedaran manusia terhadap pentingnya keselamatan adalah naluri semula jadi. Keadaan keselamatan mempengaruhi kerukunan alam dan kesejahteraan hidup insan. Seseorang insan tidak dapat melalui hidup harian yang sejahtera dalam persekitaran hidup yang tidak selamat. Undang-undang dan peraturan diperkenalkan di dalam sesebuah negara dan di bawah sesuatu pemerintahan, bertujuan untuk memastikan keselamatan insan, membolehkan mereka bekerja untuk mencari nafkah tanpa gangguan, tidak merasa bimbang atas keselamatan nyawa, keselamatan ahli keluarga dan keselamatan harta benda, baik ketika berada di dalam atau di luar rumah; membolehkan isteri, anak dan anggota keluarga bergerak selamat ketika melakukan perjalanan baik ke tempat kerja, ke sekolah atau untuk melakukan pelbagai urusan harian.
8. Di semua negara, kerajaan bertanggung jawab menubuhkan institusi yang diamanahkan untuk menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam. Di negara kita, Pasukan Polis Diraja Malaysia diamanahkan dengan tanggung jawab penting keselamatan dan ketenteraman awam. Sesungguhnya, tugas Polis Diraja Malaysia adalah satu tugas penting negara, tugas untuk memenuhi satu tanggung jawab fardu kifayah.
9. Berdasarkan laporan akhbar, kejadian jenayah berat terutamanya jenayah bunuh semakin menjadi-jadi berlaku di negara ini. Jenayah bunuh bukan sahaja dilaporkan semakin sering berlaku, malah dilakukan secara ganas – secara kejam – secara mengerikan, hingga ke peringkat berlakunya kes pembunuhan di hadapan ibu tua, di hadapan anak kecil, di dalam rumah ibadat. Perbuatan sekejam, seganas dan sengeri tersebut, seolah-olah memperlihatkan sifat angkuh pihak tertentu mahu mencabar undang-undang negara serta perlakuan provokasi mencabar penguat kuasa undang-undang.
10. Jenayah akan berleluasa jika penjenayah beranggapan pihak berkuasa kurang tegas menguatkuasakan undang-undang. Jenayah semakin berani dilakukan jika penjenayah beranggapan bahawa mereka begitu mudah terlepas dari tangkapan, mudah bebas dari dakwaan dan jika disabitkan, sekadar dijatuhkan hukuman yang ringan.
11. Terkandung dalam lirik sebuah lagu popular pada tahun enam puluhan berbunyi, “dunialah sekarang – sudahlah terbalik, pemudi berbaju belang – pemuda berbaju batik”. Lirik lagu tersebut ada unsur-unsur nasihat dan peringatan. Penulis lirik tersebut, mengingatkan bahawa nilai yang songsang boleh merosakkan kehidupan alam. Betapa nilai songsang, kini kelihatan berlaku, apabila penjenayah dijulang sebagai wira sementara penjaga keamanan dianggap melakukan kezaliman. Nilai sedemikian adalah songsang dan perlu ditolak secara tegas. Nilai sedemikian, jika diterima akan memberi galakan kepada lebih ramai pihak untuk lebih berani melakukan jenayah, bersifat riak mencabar autoriti, bertindak ganas, terus melakukan jenayah membunuh menurut hawa nafsu. Negara ini bukan tempat yang boleh membenarkan berlakunya budaya “cowboy” yang memberi lesen kepada mana-mana pihak sesenang hati menembak dan membunuh.
12. Usaha membanteras jenayah hendaklah dijayakan secara kolektif. Penjenayah adalah penjenayah; penjenayah harus dilihat dari lensa sedemikian, tanpa dikait paut dengan faktor kaum, tanpa dikait paut dengan motif politik kepartian. Tugas Polis wajib dibantu. Moral anggota Polis menegakkan keamanan, berkorban nyawa dan keselamatan diri, wajib dipertahankan dan diberikan sokongan padu oleh setiap warga yang mahukan keamanan. Tugas membanteras jenayah adalah tugas fardu kifayah. Ia wajib disokong – diambil tanggung jawab secara bersama oleh setiap ummah, demi memastikan keselamatan nyawa, harta benda dan anak isteri. Para penjenayah jangan sama sekali dilindungi, jauh sekali dari diiktiraf sebagai wira.
13. Merancang, membantu atau memberi upah untuk melakukan pembunuhan adalah ditegah di dalam Islam. Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam menempelak mereka yang membantu serta mendorong berlakunya pembunuhan.[1] Sabda Baginda:
“Jika seluruh penduduk bumi bersekongkol untuk menumpahkan darah seorang mukmin, nescaya ALLAH akan campakkan mereka ke dalam neraka”
(Riwayat Tarmizi)
14. Usaha membanteras jenayah memerlukan kesungguhan usaha dan penumpuan sumber. Jawatankuasa Masjid dan Surau sewajarnya mempamerkan contoh teladan, mengambil langkah membantu meringankan tugas-tugas Polis. Kesedaran untuk membanteras jenayah perlu ditingkatkan. Anggota Polis wajar dijemput menyampaikan taklimat dan penerangan keselamatan dalam sesi-sesi tazkirah yang dianjurkan di masjid dan di surau. Kesedaran ummah terhadap langkah-langkah preventif mencegah jenayah perlu ditingkatkan melalui kandungan khutbah di mimbar Jumaat. Jawatankuasa Masjid, Jawatankuasa Surau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung hendaklah tampil ke hadapan membantu polis dalam tugas-tugas kawalan serta menyampaikan maklumat keselamatan dan perlakuan jenayah kepada pihak polis dari masa ke masa. Dalam kawasan-kawasan yang dianggap kritikal, program pengawalan oleh pihak awam (civilian policing) mungkin perlu difikirkan dan diperkenalkan, agar tugas polis dapat diringankan.
15. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberikan perlindungan terhadap agama Islam, negara, ummah, kaum keluarga dan harta benda kita dari sebarang ancaman. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk kepada Beta serta ahli-ahli Majlis dapat merumus dan menghasilkan keputusan yang bermanfaat dalam Persidangan ini.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
- Zamanuddin Jusoh, “Pembunuhan tiada alas an pada Hari Pengadilan,” Berita Harian, 1 September 2013, 35. ↑