Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji milik Allah Subhanahu Wataala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Persidangan hari ini akan membincangkan Bajet Majlis bagi tahun kewangan 2014. Majlis akan melaksanakan Bajet 2014 berteraskan empat teras strategik:
Pertama: Pengukuhan tadbir urus bagi meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan;
Kedua: Pengukuhan pengurusan zakat yang efektif dan efisyen selaras dengan hukum syarak;
Ketiga: Pengukuhan pengurusan, pembangunan dan pelaburan harta; dan
Keempat: Pengukuhan pengurusan dan pembangunan institusi masjid.
3. Berlandaskan empat teras tersebut, 13 Bidang Keberhasilan Utama (Key Result Area – KRA) telah dirangka, manakala 17 Outcome dikenalpasti. Bagi mencapai outcome tersebut, 36 program telah disediakan, mengandungi 168 aktiviti.
4. Bajet 2014 menganggarkan hasil 135.9 juta ringgit; diperoleh melalui 120 juta kutipan zakat, 10 juta ringgit sumber am Baitulmal, dan 5.9 juta ringgit wang terkumpul. Ini bermakna 88 peratus hasil adalah bersumberkan zakat dan hanya 7.4 peratus hasil diperoleh dari sumber Baitulmal. Keadaan ini memerlukan pengurusan merintis usaha lebih berkesan untuk meningkatkan hasil dari sumber-sumber selain daripada zakat. Untuk itu, kegiatan lebih aktif perlu dilaksanakan terutama meningkatkan aktiviti pelaburan untuk membangun dan memajukan hartanah milik MAIPk supaya menjadi lebih produktif. Dari segi perbelanjaan 125.9 juta akan dibelanjakan untuk tujuan pengurusan dan pembangunan asnaf zakat sementara 10 juta ringgit bagi tujuan perbelanjaan sumber am Baitul-Mal.
5. Bajet yang dapat mengimbangkan hasil dengan perbelanjaan adalah bajet yang ideal, memastikan organisasi tidak perlu menanggung defisit. Bajet yang mempunyai defisit mendorong organisasi melakukan pinjaman dan terpaksa menanggung bebanan hutang. Hutang dimungkinkan sekiranya pinjaman dilakukan untuk tujuan produktif yang pada akhirnya memberikan pulangan bersih positif atau yang berpotensi memberikan manfaat jangka panjang.
6. Falsafah di sebalik bajet seimbang bukan sahaja relevan kepada organisasi, malah ia mempunyai aplikasi langsung kepada kehidupan setiap individu dan setiap keluarga. Sumber rezeki dan sumber kekayaan ada batasannya. Ia tidak melimpah ruah, bagai pipis datang melayang – bagai bulat datang menggolek. Kerana itu, Islam amat menegaskan supaya insan berbelanja secara bertanggung jawab lagi berhemah dengan mengamalkan sikap berjimat cermat serta menegah budaya boros dan amalan pembaziran. Di peringkat individu dan keluarga, sikap berbelanja melebihi pendapatan akan mendorong kepada perbuatan-perbuatan tidak sihat, berhutang, menipu, menyalah guna kuasa dan rasuah. Ramai pula yang berakhir sebagai muflis.
7. Data Pejabat Insolvensi, menunjukkan di antara tahun 2007 sehingga 2013, seramai 116,488 orang telah diisytiharkan muflis. Dari jumlah tersebut, 39,967 orang berada dalam lingkungan usia 35 hingga 44 tahun, 23,967 orang berada dalam usia 25 hingga 34 tahun, dan 1,322 orang yang belum pun mencecah usia 25 tahun turut diisytiharkan muflis. Data pada tahun 2012, memperlihatkan 48.41 peratus yang diisytiharkan muflis berketurunan Melayu, merupakan peratus terbesar, diikuti dengan 33.15 peratus keturunan Cina dan 14.12 peratus berketurunan India. Bilangan yang diisytiharkan muflis melihatkan trend yang terus meningkat dari 13,885 dalam tahun 2008 kepada 19,575 dalam tahun 2012. Data turut menunjukkan bahawa dari jumlah 86,944 orang yang diisytiharkan muflis di antara tahun 2008 sehingga 2012, tiga puluh peratus dari mereka adalah wanita, dengan trend yang terus meningkat tahun demi tahun, dari bilangan 4,434 orang dalam tahun 2008 bertambah kepada 5,962 orang dalam tahun 2012; memperlihatkan kini, wanita telah semakin memikul beban tanggung jawab kewangan yang semakin berat. Trend yang sedang berlaku memperlihatkan berlaku keadaan yang semakin tidak sihat.
8. Bajet adalah instrumen disiplin menentukan parameter perbelanjaan yang wajib disandarkan kepada pendapatan. Kekurangan disiplin dalam berbelanja mencerminkan berlakunya kelemahan spiritual, terperangkap dalam godaan nafsu. Pendidikan mengenai bajet perlu diperkenalkan dan diamalkan di peringkat individu dan keluarga. Oleh itu, pengetahuan dan pemahaman mengenai bajet dan relevansinya dalam kehidupan individu dan keluarga sewajarnya diperkenalkan dalam kuliah-kuliah dan kelas-kelas agama yang dianjurkan di surau, masjid dan jabatan-jabatan kerajaan.
9. Semoga Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan petunjuk kepada Beta serta Ahli-Ahli Majlis dapat merumus dan menghasilkan keputusan yang bermanfaat dalam Persidangan ini.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh