Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan rahmat dan izin daripada Nya juga, Beta dapat berangkat ke sesi Wacana Ilmu untuk berinteraksi bersama barisan Pengerusi Lembaga Pengarah serta para Naib Canselor sempena Persidangan Kepimpinan Dan Governan Institusi Pengajian Tinggi Awam.
2. Pada peringkat permulaan ini, Beta memilih menumpukan pandangan kepada empat perkara: pertama: senario semasa; kedua: autonomi universiti; ketiga: kualiti; keempat: bina negara.
Senario Semasa:
3. Universiti senantiasa dianggap sebagai institusi ilmu yang terulung lagi penting. Universiti dilihat sebagai salah satu komponen yang mencerminkan tanda aras kemajuan sesebuah negara. Universiti adalah khazanah modal intelek yang dimiliki oleh warga sesebuah negara bangsa.
4. Era ini menetapkan peranan penting pengetahuan kepada masyarakat dan berperanan semakin ketara mempengaruhi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Pengetahuan mengambil tempat utama, menggantikan sumber-sumber lain untuk menentukan pertumbuhan ekonomi. Pendidikan semakin berperanan mempengaruhi kejayaan, di samping menentukan mobiliti sosial individu. Laporan kaji selidik di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa individu yang percaya bahawa pendidikan tinggi berperanan penting untuk menentukan tahap kejayaan mereka meningkat daripada 31 peratus dalam tahun 2005 kepada 55 peratus dalam tahun 2009.[1]
5. Pendidikan Tinggi turut menjana pertumbuhan ekonomi. Kajian yang dilakukan di United Kingdom mencatatkan universiti memberi sumbangan 60 bilion pound kepada ekonomi United Kingdom dalam tahun 2007-2008.[2] Dalam era digital ini, idea dan aspirasi tidak lagi mengenal sempadan. UNESCO melaporkan berlaku peningkatan 57 peratus bilangan pelajar yang berhijrah belajar ke luar negara dalam tempoh satu dekad terakhir ini.
6. Ekonomi berpaksikan pengetahuan yang bersifat global menuntut Negara dan Universiti melakukan orientasi yang selaras. Kesatuan Eropah telah mengembangkan program pengajian di negara luar. Setiap tahun, program pertukaran pelajar kelolaan Kesatuan Eropah dikenali dengan nama ERASMUS, menghantar ribuan pelajar ke-4,000 institusi pengajian di tiga puluh tiga (33) negara. Negara-negara Teluk melakukan pelaburan besar-besaran menubuhkan kampus cawangan Universiti ternama. Education City di Doha melibatkan enam Universiti terkemuka Amerika Syarikat, dibangunkan di atas kawasan seluas 14 kilometer persegi, dan pelajar-pelajar datang dari lebih 40 negara.
7. Negara China mencatatkan ledakan perkembangan pendidikan tinggi yang sangat dramatik. Di antara tahun 1999 hingga tahun 2005, bilangan graduan yang dihasilkan setiap tahun, meningkat empat kali ganda, mengatasi paras 3 juta graduan. China dilaporkan menghasilkan bilangan Ph.D, saintis dan jurutera yang paling ramai di dunia ketika ini.
8. Perangkaan dalam tahun 2010, memperlihatkan terdapat 162 kampus cawangan Universiti-universiti terkemuka Amerika dan Eropah beroperasi di Asia Barat dan serata Asia. Singapura sebuah negara kota (city state) dilaporkan dalam tahun 2010, berjaya mendapatkan 90,000 pelajar dari luar negara. Malaysia juga, tidak ketinggalan merintis pelbagai usaha menubuhkan kampus cawangan Universiti-universiti terkenal luar negara; usaha yang dirintis terutamanya oleh sektor swasta. Beta disembah maklumkan, ketika ini terdapat 132,000 pelajar asing yang sedang mengikuti pengajian di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.
9. Senario yang Beta sampaikan ini amat relevan untuk dijadikan bahan renungan, bahan mencabar daya fikir dan daya intelek para peserta konvensyen, untuk mengenal pasti bentuk cabaran dan saingan yang sedang dan bakal dihadapi oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam di negara ini; begitu juga untuk memikirkan dasar yang lebih strategik, gerak kerja yang lebih relevan dalam usaha membina imej, jenama dan reputasi institusi masing-masing; betapa perlunya dasar dan gerak kerja yang lebih komprehensif dari sekadar menyusun program yang mungkin terlalu sempit dalam obsesi perlumbaan mahu menentukan posisi ranking universiti masing-masing.
Aspek Kedua: Autonomi Universiti.
10. Universiti adalah gedung ilmu, tempat terkumpulnya khazanah intelek. Khazanah intelek perlu diurus tadbir dengan minda terbuka, inovatif lagi kritikal, mengamalkan budaya yang membolehkan berlakunya kebebasan minda – kebebasan intelek untuk menerokai penemuan baru; memiliki keberanian mengambil risiko dan keberanian untuk terus bereksperimen.
11. Zones of openness, adalah karakter yang wajib ada pada setiap Universiti, diperkenalkan sejak terbentuknya University Bologna (pada tahun 1088) dan Studia Generalia di Paris (pada tahun 1150), yang berjaya menarik minat para pelajar dari Medieval Europe untuk mempelajari disiplin-disiplin undang-undang, perubatan, teologi dan falsafah, disiplin-disiplin pengajian yang merentasi negara dan sempadan.[3]
12. Autonomi adalah karakter asal penubuhan sesebuah Universiti. Universiti memerlukan pengaliran bakat dan idea secara berterusan tanpa menghadapi halangan yang keterlaluan, sehingga menjejaskan kebebasan akademik, selaras dengan semangat resolusi yang dirumuskan dalam Global Colloquium of University Presidents pada tahun 2005, yang bersandarkan the Enlightenment Ideals and the Humboldtian concepts of ‘Lernfrenheit und Lehrfreinheit’ dan Magna Charta Universitatum oleh Rektor-Rektor Universiti di Bologna dalam tahun 1988:
Quote:
“Academic Freedom may be defined as the freedom to conduct research, teach, speak, and publish. Subject to the norms and standards of scholarly inquiry, without interference or penalty, whenever the search for truth and understanding may lead”[4]
13. Polemik yang dihadapi adalah untuk mengimbangkan di antara autonomi Universiti, kebebasan akademik dengan tanggung jawab, terutama usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu serta turut mengambil tanggung jawab untuk menyemaikan nilai-nilai patriotisme terhadap negara bangsa. Setiap kebebasan wajib disertai dengan tanggung jawab. Penentuan sempadan perlu digariskan dengan penuh bijaksana agar universiti tidak berkesudahan dengan imej ‘a glorified high school’. Banyak cerita disampaikan kepada pengetahuan Beta tentang tarik tali yang berlaku di antara kepimpinan di Universiti dengan pihak-pihak di luar Universiti, berlaku baik di dalam negara begitu juga di luar negara. Masing-masing memiliki alasan – masing-masing ada hujahnya.
14. Autonomi adalah subjek yang sensitif. Ia melibatkan elemen penyerahan kuasa dan territory. Namun kita harus bersedia berpegang kepada element of trust. Seorang anak kecil berupaya berjalan dan akhirnya berlari, kerana kita mahu dia boleh berjalan dan berlari; kita percaya dia boleh berjalan dan berlari lalu kita memberikan segala dorongan dan sokongan, dan kita tidak sama sekali menghalang anak tersebut untuk berjalan dan berlari. Jika kita tidak ada kepercayaan, lalu anak kecil itu kita bendung untuk terus dikendong, tidak langsung dibenarkan anak kecil itu memijak tanah, kerana kita bimbang dia akan jatuh, anak kecil itu, tidak akan dapat membina otot untuk membolehkannya berjalan dan berlari; pada akhirnya kita yang bersalah kerana telah membesarkan seorang insan yang terus perlu bergantung kepada tenaga orang lain untuk bergerak.
15. Empayar pada zaman silam berkembang dan berjaya mengembangkan wilayah kerana Maharaja yang bertakhta memiliki element of trust, lalu memberi kepercayaan kepada orang yang memiliki keupayaan untuk melaksanakan tugas bagi pihak Maharaja. Demikian juga pencapaian hebat universiti-universiti ternama dunia, yang harus dijadikan contoh dalam hasrat mahu memperkasakan universiti-universiti tempatan.
Ketiga: aspek kualiti.
16. Amatlah tidak sihat jika pada satu hari nanti, berlaku jurang yang amat ketara antara prestasi pencapaian Universiti Awam dengan Universiti Swasta di negara ini. Ia akan menjejaskan nilai pasaran graduan Universiti Awam. Ia akan mengakibatkan universiti awam tidak lagi menjadi pilihan utama baik dari segi mendapatkan mahasiswa begitu juga tenaga akademik terbaik. Ia akan menjejaskan imej negara dari segi jangka panjang.
17. Universiti awam diserahkan tanggung jawab yang lebih berat. Ia berada di barisan hadapan untuk memenuhi agenda pendidikan negara. Ia turut diperlukan untuk memenuhi agenda politik negara, terutama untuk memenuhi tuntutan politik mengimbangkan pengambilan pelajar berdasarkan kaum. Universiti awam tidak ada pilihan membolehkannya menolak arahan untuk menambah bilangan pengambilan. Pertambahan secara kuantiti tanpa diiringi dengan pertambahan kemudahan secara proportionate, akan mendorong kepada berlakunya pengorbanan kualiti.
18. Suasana ilmu yang kondusif bergantung pada banyak faktor; antaranya ruang dewan kuliah yang selesa, tenaga pengajar berpengalaman, pusat sumber dan peralatan. Menambah hard ware dalam bentuk pembangunan fizikal lebih mudah daripada menambah soft ware dalam bentuk tenaga pengajar yang berpengalaman. Profesor yang unggul tidak dapat dilahirkan secara instant. Tenaga pengajar yang separuh masak tidak berupaya mengembangkan potensi pelajar secara optimum. Di samping itu, pencapaian pelajar turut bergantung pada pelbagai enabler lain, antaranya persekitaran asrama, kemudahan penginapan, bahan pemakanan yang seimbang, kemudahan riadah dan rekreasi serta pelbagai komponen lain. Dalam memenuhi sasaran kuantiti, banyak aspek-aspek ‘enabler’ ini, gagal dipenuhi sepenuhnya, malah telah dikorbankan kepada tahap yang lebih rendah daripada hari semalam.
19. Kos hidup yang tinggi dan bilangan asrama yang terbatas telah menyebabkan ramai mahasiswa terpaksa tinggal dalam persekitaran yang tidak kondusif. Asrama di universiti kini terpaksa menampung bilangan mahasiswa yang lebih ramai, mengakibatkan berlakunya pertambahan densiti pelajar dalam ruang kemudahan yang tidak bertambah; dilaporkan ada di antara mahasiswa yang hidup dalam budaya rumah setinggan. Kemudahan makanan yang dahulunya disediakan di asrama dengan bayaran yang nominal telah tidak disediakan lagi kerana ada universiti yang tidak lagi berupaya menanggung kos untuk memberi subsidi. Dimaklumkan ada mahasiswa yang hanya mampu makan dua kali sehari. Malah ada yang memilih untuk berpuasa pada hari tertentu untuk menjimatkan perbelanjaan. Mahasiswa yang hidup dalam persekitaran kemiskinan, sukar untuk membina jiwa dan minda yang kaya, pastinya menghadapi tekanan lebih berat dan berada dalam posisi ‘disadvantage’ untuk mencapai kelulusan cemerlang, dan casualty yang tinggi secara perbandingan kelihatan menimpa lebih ramai mahasiswa Melayu. Keadaan mudarat ini tidak harus dibiarkan berlarutan; malah kajian impak sosial amat perlu dilakukan dan penemuan kajian ini wajib diangkat untuk pengetahuan dan pertimbangan penggubal dasar.
Keempat: Bina Negara (nation building)
20. Lima hari lagi, negara akan menyambut perayaan ulang tahun kemerdekaan kali kelima puluh tujuh. Kekuatan sesebuah negara amat bergantung pada perpaduan yang terjalin di kalangan warganya. Keadaan semasa menunjukkan tahap perpaduan di kalangan warga pada hari ini tidak sekukuh tahap perpaduan yang terjalin di kalangan warga pada tahun 1957. Hubungan di antara mahasiswa berlainan kaum di kampus universiti tidak memperlihatkan jalinan kemesraan, tersangat permukaan sifatnya. Pendirian ekstrem atas nama agama dan kaum semakin berkembang, merupakan faktor penghalang kepada usaha perpaduan. Mahasiswa adalah elit di kalangan remaja. Jika kalangan elit remaja ini, dengan tahap pencapaian pelajaran mereka, tidak memperlihatkan satu petanda perpaduan yang meyakinkan, agenda bina negara kita sedang berada pada persimpangan yang sangat kritikal.
21. Terbukti telah berlaku satu vacuum dalam agenda bina negara. Antara perkara yang dikatakan menjadi punca adalah sistem aliran persekolahan yang berlainan lalu tidak memberi peluang kepada anak-anak untuk dapat berintegrasi sejak usia kecil. Aliran sekolah berlainan ini adalah satu realiti. Suka atau tidak, untuk hari ini, ia perlu diterima. Realiti juga memperlihatkan aliran sekolah yang berlainan telah berkembang di peringkat pengajian tinggi dengan pertumbuhan universiti-universiti swasta. Langkah untuk merombaknya atau meniadakannya akan melibatkan kos politik yang lebih tinggi. Yang lebih penting adalah untuk mencari formula yang dapat menangani masalah ini dalam senario yang ada. Dalam kelajuan negara menumpukan perhatian untuk mencapai sasaran ekonomi, aspek bina negara bagaikan telah terlepas pandang. Program-program yang diperkenalkan termasuk Khidmat Negara tidak dapat memberikan impak yang dihasratkan. Warga yang telah sampai ke Universiti sudah berusia buluh dan universiti tidak ada serapah ajaib untuk melenturkannya.
22. Dalam pada itu, universiti tidak juga boleh memejamkan mata. Pelbagai opsyen untuk membantu usaha-usaha bina negara perlu diterokai. Hari ini, universiti di negara China memperlihatkan aliran perkembangan yang berbeza dengan amalan kebanyakan universiti di dunia. Disiplin kemanusiaan diberikan penekanan oleh universiti-universiti di Negara China. Elemen-elemen nilai yang menyemaikan unsur-unsur makna dan tujuan semakin ditekankan, ia menegaskan pengukuhan aspek penghayatan ideologi dan budaya, menegaskan pengajaran falsafah, sejarah dan kesusasteraan China termasuk di kalangan institusi yang berpaksikan sains. Negara China berusaha mengimbangkan pendidikan agar tidak hanya tertumpu pada aspek ekonomi hingga mengabaikan aspek-aspek membina kekuatan bangsa. Pendekatan tersebut sedang ditegaskan dalam kaedah pengajaran di Universiti selaras dengan arus kebangkitan Negara China sebagai kuasa besar dunia. Amat nyata, Negara China telah menyemaikan benih-benih pembinaan satu bangsa yang berpaksikan sejarah dan falsafah China bagi setiap warganya; memastikan tradisi terus dipertahankan dalam mengadaptasi modenisasi. Acara pembukaan Olimpik 2008, adalah bukti kejayaan Negara China menganyam tradisi dengan modenisasi.
23. Para bijak pandai universiti perlu membantu negara dalam usaha bina negara. Usaha bina negara tidak bermakna memahat dalam minda setiap warga untuk wajib memihak kepada mana-mana parti politik. Usaha bina negara adalah usaha menyemaikan semangat kesetiaan kepada Raja dan Negara, betapa berlainan dan berbeza pegangan dan asosiasi politik mereka. Demokrasi membenarkan dan menghalalkan wujudnya kepelbagaian kumpulan politik, tetapi kepelbagaian itu jangan sampai ke peringkat yang menyemaikan permusuhan di kalangan warga. Universiti wajar membantu memberikan tafsiran yang saksama lagi objektif akan erti dan makna kesetiaan kepada negara agar terbina semangat kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity).
24. Beta menyifatkan sesi ini sebagai ruang untuk membolehkan Beta mempelajari sebanyak perkara yang mungkin, dalam suasana berterus terang lagi terbuka untuk dapat Beta jadikan panduan dalam memenuhi amanah dan tanggung jawab Beta.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
- Drew Giplin Faust, “The Role of the University in a Changing World”, Harvard University; (Speech 2010); (Speech 2010) ↑
- Ibid. ↑
- Ibid. ↑
- Professor Emeritus Uppsala University Sweden, Ingemund Hagg, “Academic Freedom and Univeristy Autonomy Necessary in the Liberal Open Society”, paper presented at the Think Tank Seminar: Liberal International Congress 2009. ↑