KE ARAH MEMBINA KEGEMILANGAN UMMAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan Nya.[1] Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah di Persidangan Khas Menteri-Menteri Agama Negara-Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS), sempena sambutan ulang tahun kedua puluh penubuhan MABIMS.
3. Apakah peranan agama dalam jiwa dan kehidupan seseorang Muslim? Bancian yang pernah dilakukan dalam tahun 2001 dan di antara tahun 2005 hingga 2007, memperlihatkan bahawa di negara yang penduduknya lebih 90% beragama Islam, kekayaan spiritual dan kekayaan beragama dianggap sesuatu yang amat penting dalam kehidupan mereka.[2] Agama dilihat sebagai penentu identiti, sebagai peta spiritual di dalam hidup yang memberikan panduan dan makna, tujuan dan harapan, serta berperanan sebagai faktor tersangat penting untuk menentukan kemajuan.[3] Agama Islam diyakini dapat mengisi nilai asas memandu insan memenuhi keperluan duniawi dan ukhrawi.
4. Islam yang menjadi pegangan ummah pada hari ini tidak dilahirkan dalam satu kekosongan. Islam telah bermula sejak terciptanya Nabi Allah Adam. Ia bukan agama yang baru diperkenalkan selepas kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam. Risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam adalah penerusan kepada ajaran yang telah dibawa sebelum itu oleh Nabi Allah Ibrahim, Nabi Allah Musa dan Nabi Allah Isa; begitu juga oleh barisan Rasul sebelum Baginda yang nama-nama mereka terkandung di dalam Al-Quran, antaranya Nabi Allah Noh, Nabi Allah Yusuf, Nabi Allah Yunus, Nabi Allah Daud, Nabi Allah Shuib. Sebelum Al-Quran disempurnakan, kitab-kitab Zabur, Taurat dan Injil telah mendahuluinya.
5. Islam dilengkapi melalui risalah yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam yang memakan masa 23 tahun hingga Baginda berjaya mendirikan Kerajaan Islam di Medinah. Islam yang lebih lengkap, sempurna, lagi bertenaga telah memperkenalkan dimensi amalan yang boleh dirumuskan seperti berikut:
Pertama: aturan hubungan manusia dengan Tuhan
Kedua: aturan hubungan manusia sesama manusia
Ketiga: aturan hubungan manusia dengan alam
Keempat: penerangan akan tujuan kehidupan manusia yang boleh dikategorikan sebagai gerakan dakwah
6. Konsep dan pengertian ibadat di dalam Islam amat luas, merangkumi semua lapangan hidup, dari menguruskan bayi yang baru dilahirkan sehinggalah mengebumikan jenazah yang sudah tidak bernyawa lagi. Allah Subhanahu Wata’ala menentukan garis-garis besar dan manusia perlu berikhtiar untuk mendapat pelbagai rezeki yang disediakan sepertimana Allah menyeru manusia beramal untuk menjadi ahli syurga yang telah disediakan. Islam memiliki unsur kekuatan yang hebat; mengembalikan nilai-nilai spiritual kepada dunia yang terpesong akibat terlalu mementingkan kebendaan. Islam memperingati pentingnya dihayati nilai-nilai murni dalam urus tadbir urusan dunia yang menghargai kemanusiaan dan keinsanan. Islam menyeru kepada kemakrufan serta menjauhi kemungkaran (amar makruf nahi mungkar).
7. Hassan Al Bana dalam Usul Ishrin menggariskan Islam ialah sistem yang syumul merangkumi seluruh aspek hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah seperti ia juga adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah.[4]
8. Pada umumnya insan yang menerima Islam sebagai pegangan agamanya, memiliki ikatan dan komitmen yang mendalam kepada Tuhan Maha Pencipta. Wakil-wakil yang menghadiri Persidangan Khas MABIMS yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra ini sebenarnya mewakili 231 juta umat Islam di rantau ini yang memiliki tahap komitmen ketuhanan dan ikatan keagamaan yang mendalam. Bilangan 231 juta umat Islam di rantau ini merupakan dua puluh peratus dari jumlah 1.2 bilion umat Islam di seluruh dunia.
9. Di samping persamaan agama, umat Islam dirantau ini turut memiliki persamaan identiti rumpun bangsa yang dirujuk sebagai Melayu. Namun umat Melayu-Islam dari empat negara ini tidak terlepas dari memiliki elemen-elemen ketidakseragaman. Terdapat kelainan dari segi saiz negara, bilangan dan nisbah penduduk, sumber kekayaan, dialek dan sub-budaya, tahap pencapaian sosial dan tahap pencapaian ekonomi, asas dan ciri berkerajaan. Negara Brunei Darussalam mengamalkan Kerajaan berlandaskan prinsip Melayu Islam Beraja dengan 67% penduduknya beragama Islam; Republik Indonesia negara yang mempunyai bilangan umat Islam teramai di dunia adalah Kerajaan Melayu yang memilih sistem Republik dengan 88% penduduknya beragama Islam, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dengan 60% penduduknya beragama Islam, sementara Singapura adalah sebuah Republik yang umat Islamnya merupakan kumpulan minoriti terdiri dari 16% dari bilangan penduduk.
10. Bilangan 231 juta umat Islam merupakan 84% penduduk dari jumlah 272 juta penduduk di empat negara ini. Seramai 41 juta lagi penduduk di negara-negara ini terdiri dari pelbagai kaum yang mengamalkan pelbagai agama serta menguasai pelbagai tahap pencapaian ekonomi. Kebebasan beragama diamalkan di keempat negara dalam semangat saling menghormati dan memahami sensitiviti agama membolehkan terserlahnya hubungan yang harmoni. Budaya keagamaan masing-masing dibenar untuk dirayakan malah hari-hari kebesaran budaya dan kebesaran agama yang tidak bercanggah dengan aqidah Islam turut disertai bersama oleh umat Islam. Peristiwa-peristiwa hitam yang pernah berlaku seperti `Rusuhan Natrah’ di Singapura pada 12 Disember 1950 dan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur adalah peristiwa yang `exceptional’ akibat dari provokasi keterlaluan yang menyentuh hati dan melukakan perasaan umat Islam. Demikian kerukunan hubungan antara agama yang terdapat di rantau ini yang tidak harus di pandang ringan dan tidak harus dianggap akan kekal demikian selamanya. Rantau ini seharusnya bersyukur kerana dilimpahkan keamanan dan kerukunan, berlakunya penyatuan dalam kepelbagaian.
11. Pertemuan ini, di samping merupakan satu wadah memberi ruang kepada pakar-pakar melangsungkan muzakarah untuk meningkat dan memantapkan akidah dan syariah Islam, turut membincangkan hasrat untuk mengangkat kedaulatan umat Islam di rantau Asia Tenggara dalam aspek-aspek kebudayaan, sosial dan ekonomi. Ini bermakna forum ini memberi ruang perbincangan dan penyertaan bersama golongan ulama dan golongan umara. Bolehlah disimpulkan bahawa forum ini mengakui hakikat bahawa isu-isu berkaitan Islam perlu menghalusi aspek-aspek duniawi dan ukhrawi dan perlu ditangani secara berintegrasi.
12. Islam sebagai Addin atau satu cara hidup yang lengkap dan berkesinambungan, perlu dibincangkan secara berintegrasi tanpa memisahkan elemen duniawi dengan komponen ukhrawi. Perbincangan yang memisahkan elemen duniawi dengan komponen ukhrawi bermakna mengasingkan penyertaan ulama dengan umara, memisahkan kesinambungan alam penghidupan roh ia itu penghidupan – di alam duniawi, penghidupan di alam baqa – penghidupan selepas hari kebangkitan. Pemisahan perbincangan sering berlaku di masa dahulu hingga mewujudkan jurang di kalangan dua aliran pemikiran sesama umat Islam; malah sampai ke peringkat mencetuskan pertentangan apabila masing-masing memiliki sifat ego dan tinggi diri yang tidak bersedia untuk memahami, jauh sekali dari menerima penghujahan dari pihak yang lain dari kumpulannya. Jika suasana demikian terus berlaku, Islam sebenarnya tidak lagi memerlukan musuh luar kerana konflik dalaman ataupun intra-conflict sesama umat Islam sudah cukup berpotensi menimbulkan pelbagai kontradiksi, cukup berpotensi untuk meletihkan umat Islam dan cukup berpotensi untuk melakukan kerosakan. Akibatnya sumber-sumber umat Islam yang sedia terbatas akan menjadi tidak produktif disebabkan perdebatan dan persengketaan yang gagal mencapai pertemuan dan kata sepakat.
13. Ulama dan umara adalah gandingan yang tidak boleh dipisahkan dalam hasrat mahu membangunkan Islam secara seimbang. Ulama dan umara laksana dua sayap yang saling memerlukan. Meskipun mereka melalui dua laluan perjalanan, tetapi pada hakikatnya, terkandung keselarian niat dan keselarian hasrat, menghala matlamat – menuju destinasi yang sama. Sepanjang liku perjalanan, ada kalanya berlaku kelainan pandangan – ada masanya terdapat perbezaan tafsiran, namun kelainan pandangan dan perbezaan tafsiran itu, memungkinkan penghasilan pemikiran yang lebih matang lagi teruji. Gandingan peranan ini berlaku pada setiap sudut kehidupan – berlaku pada setiap liku perjalanan, sama ada disedari ataupun tidak disedari. Ada kalanya dalam lirik suara yang berlainan nada, ada kalanya menghadapi tempo yang berlainan rentak. Namun dalam kelainan nada dan perbezaan tempo, ia berakhir dalam simfoni harmoni mengalunkan irama kebesaran ILAHI.
14. Gandingan ulama dan umara adalah satu kemestian. Tidak harus ada dinding limunan antara keduanya. Sifat saling mempelajari – saling menghormati hendaklah dijadikan asas hubungan. Ulama dan umara adalah gandingan dua institusi – mewakili dua pemikiran – mewakili dua pendekatan, namun pada hakikatnya harus memiliki niat dan matlamat yang seiring dan sejalan. Apabila kedua-duanya saling memahami – saling menghormati, lalu terjalin hubungan kerja yang baik, akan menjadi baiklah alam dan kehidupan alam. Di sebaliknya pula, akan rosaklah kehidupan alam dan kehidupan manusia, akan terbantutlah usaha memaju dan membangunkan ummah, apabila ulama dan umara mula terpisah; bersengkata dan bercanggah.
15. Itulah harga yang terpaksa dibayar oleh ummah apabila berlakunya pertentangan dan percanggahan dan kegagalan mencapai titik pertemuan di antara kedua kumpulan tersebut. Umat Islam tertinggal dalam Era Renaisans, era pembaharuan, era kebangkitan. Umat Islam tercicir dalam Revolusi Industri lalu tersisir dalam tahap kritikal evolusi, sewaktu kemakmuran dan pembangunan dipengaruhi oleh pembangunan industri. Umat Islam tertinggal disebabkan berlakunya tafsiran agama secara sempit.[5] Sebagai contoh, mesin cetak yang diperkenalkan di Eropah dalam abad kelima belas, hanya diterima pada tahun 1728 oleh Empayar Ottoman dan di Mogul India jauh terkemudian kerana terdapatnya pandangan di kalangan ulama bahawa kalimah-kalimah ALLAH di dalam Al-Quran akan terhina jika disentuh oleh kayu dan besi peralatan mesin cetak.[6] Walaupun kuasa elektrik telah menerangi kota-kota dunia, namun masjid-masjid masih menggunakan pelita minyak kerana ulama menjatuhkan hukum haram kepada penggunaan elektrik di dalam masjid.[7] Demikian juga larangan ke atas Tentera Turki dari memakai topi birai (peak cap) dan seluar yang lebih selesa untuk melakukan pergerakan dalam pertempuran.[8] Malah di bumi Malaysia sendiri, di tahun-tahun enam puluhan kedengaran bisik-bisik di kalangan petani Melayu yang mempertikaikan program tanaman padi dua kali setahun kerana dianggap menyeksa bumi, keafdalan menunaikan Rukun Haji dengan menggunakan pesawat udara dan reaksi negatif terhadap televisyen.
16. Sifat anti intelek yang berlaku di kalangan masyarakat Islam berpunca dari kebimbangan terhadap ilmu moden dan ilmu saintifik yang disifatkan boleh menggoncangkan iman dan menggelincirkan akidah.[9] Prejudis terhadap ilmu moden dan ilmu saintifik, sebenarnya berpunca dari sifat bimbang akan kehilangan pengaruh dan kehilangan kuasa di kalangan mereka yang menganggap diri sebagai ulama, yang sekalian lama memiliki autoriti dalam urusan dunia dan urusan agama, termasuk mempengaruhi pemikiran Raja-Raja dan pemerintah negara. Umat Islam di bawa untuk lebih banyak melihat ke dalam dan diasuh lebih mengutamakan penghidupan selepas mati. Pendidikan lebih menumpu kepada kaedah hafalan. Agama dibina atas asas emosi. Menjaga perasaan lebih diutamakan dari fakta dan kebenaran. Majlis-majlis agama kurang mengandungi komponen ilmu, lebih bercorak festival, mengutamakan rupa wajah dari kandungan, mementingkan upacara dari pengajaran. Lalu berlaku hubungan renggang antara ulama dan umara, ada kalanya mereka berada di penghujung benua yang sangat berlainan. Arahan dan pandangan autoriti agama merupakan satu dekri yang tidak boleh dipertikaikan. Muhasabah dan muzakarah, begitu juga perbezaan dan kelainan pendapat tidak diizinkan berlaku. Kesudahannya umat Islam hilang era kegemilangannya.
17. Sejarah kegemilangan Islam diperkaya dengan kisah-kisah penuh romantis. Dalam tempoh satu abad setelah menganut Islam, orang-orang Arab yang sebelum itu dilabel sebagai masyarakat jahiliah, berjaya membina empayar yang besar lagi gagah[10]. Dalam tempoh 100 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, Empayar Islam terhampar dari utara Afrika hingga ke Asia Selatan, merentasi dari Timbuktu hingga ke Mindanao, dari Sepanyol hingga ke China. Islam tersebar ke serata dunia, mengatasi keluasan Empayar Roma ketika Roma berada di puncak kuasa. Peradaban Islam berjaya mengubah gaya hidup hampir separuh penduduk dunia dari segi agama, gaya hidup, bahasa dan tulisan. Bahan-bahan ilmu tentang sains, perubatan dan falsafah yang dihasilkan oleh penganut Kristian dan Yahudi diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, disusuli dengan era yang memperlihatkan inovasi dan kreativiti yang dihasilkan oleh generasi baru, pemikir dan inteligensia Islam. Barisan pemikir dan inteligensia Islam di era kegemilangan Islam telah memberikan sumbangan besar dalam bidang falsafah, perubatan, astronomi, optik, matematik, seni bina dan kesenian.[11] Damsyik, Baghdad, Cordoba dan Samarkand berperanan sebagai Pusat Pengajian dan Pusat Ilmu. Sehingga awal abad kedua puluh, dunia Islam melihat Istanbul sebagai pusat politik, Cairo sebagai pusat intelek dan Mekah sebagai pusat agama.[12]
18. Era kegemilangan berakhir kerana kegagalan umat Islam mengurus kejayaan. Antara punca yang membawa kepada kejatuhan adalah perselisihan terutama dari segi tafsiran terhadap isu-isu agama lalu umat Islam terlepas menyertai era revolusi industri. Kejayaan dan kuasa yang dimiliki disalah guna oleh barisan pemimpin yang mengutamakan diri dan keluarga; barisan pemimpin yang mementingkan kuasa dan cinta kepada kemewahan dunia. Setelah mencipta kejayaan, ajaran Islam yang murni semakin diketepikan. Roh Islam tidak lagi tersemai dan berakar di hati. Islam hanya dijadikan pakaian luaran – dijadikan hiasan. Malah terdapat umat yang menjadikan Islam sebagai topeng – sebagai instrumen untuk mendapat dan mempertahankan kuasa, sebagai alat untuk memperdayakan manusia sejagat.
19. Demikianlah berakhirnya kisah kegemilangan. Hari ini kita menghadapi cabaran untuk membina semula kegemilangan. Dalam hasrat untuk membina kegemilangan, harus diterima hakikat Islam itu adalah pentas penyatuan kepada kepelbagaian. Pada hakikatnya, tidak ada penyeragaman di dalam Islam kerana penyeragaman itu adalah bercanggah dengan lumrah kejadian alam dan manusia ciptaan ILAHI. Dunia ini telah dicipta ILAHI dengan kepelbagaian, ada gunung yang dirumbun hijau – ada bukit yang berbatu pejal, Kutub Utara diselubungi salji – padang pasir kering dan gersang, ada buah beraneka rasa – ada bunga beraneka warna, ada burung berlainan suara – ada ikan berlainan rupa, air sungai berasa tawar – air laut berasa masin. Malah manusia itu sendiri diciptakan berbangsa-bangsa dengan pelbagai paras – pelbagai rupa, mengamalkan pelbagai budaya – menguasai pelbagai bahasa, tersebar di antara benua di serata dunia.
20. Nyatalah kepelbagaian itu adalah sebahagian dari lambang kekayaan ILAHI. Allah tidak mencipta isi alam ini bersifat seragam. Malah kepelbagaian itu adalah satu bukti kebesaran dan keindahan ciptaan ILAHI; kebesaran dan keindahan yang memerlukan kebijaksanaan akal manusia untuk berusaha mencari formula penyatuan berlandaskan Rukun Islam yang lima dan Rukun Iman yang enam. Malah kerana kepelbagaian itulah, ketauhidan terhadap Allah yang Maha Pencipta menjadi elemen penyatuan lebih penting dan lebih kritikal; bagaimana memastikan penyatuan dalam kepelbagaian itu dapat dijelmakan berasaskan kalimah tauhid – kalimah syuhada keesaan ILAHI dan mengakui Kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam sebagai utusan ILAHI, bersembahyang menghadapi Baitullah, lebih afdal dilaksanakan secara berkomuniti dalam bentuk berjemaah, sama-sama mengalami lapar dan dahaga, mengawal keperluan syahwat di siang hari sepanjang Ramadhan, menunaikan zakat sebagai tanggung jawab ekonomi dan tanggung jawab sosial dan memperlihatkan semangat persaudaraan sejagat ketika melakukan ibadah haji.
21. Penyatuan bermula dengan kesediaan untuk menerima hakikat bahawa terdapatnya kepelbagaian yang mengandungi ciri-ciri kelainan; disusuli dengan kesediaan untuk menerima dan memahami kelainan di antara satu sama lain, dan kesediaan untuk tidak menjadikan kelainan itu sebagai punca mencetuskan konflik untuk memaksa penyeragaman. Di atas kelainan itulah perlu dibangunkan semangat penyatuan berpaksikan kalimah ILAHI – bersandarkan semangat bahawa Islam itu adalah persaudaraan.
22. Kepelbagaian itu memberikan kekayaan, menuntut kepada pentingnya amalan fleksibiliti dan toleransi di dalam Islam. Islam itu adalah agama pegangan pelbagai kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa, merentasi alam yang luas di serata dunia. Namun kepelbagaian yang dapat dilihat di dalam Islam tidak terbatas kepada kaum, budaya, bahasa dan kawasan geografi. Kepelbagaian turut berlaku secara ketara dari segi pencapaian ekonomi, dan pencapaian politik. Negara-negara kaya di Teluk Parsi terdiri dari Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan Saudi Arabia berada jauh ke hadapan dari segi kekayaan ekonomi berbanding dengan pencapaian negara-negara seperti Mali dan Yemen.[13] Dari segi politik, Kerajaan-Kerajaan Islam yang memberikan gambaran sebagai Kerajaan berasaskan teologi di Iran, Sudan dan Taliban di Afghanistan sangat berlainan dengan sistem kerajaan yang dikategorikan sebagai sekular di Egypt, Syria, Turkey dan Indonesia.
23. Kepelbagaian pencapaian ekonomi amat dipengaruhi dengan kekayaan sumber alam semula jadi tetapi faktor lebih penting yang mempengaruhi tahap pencapaian ekonomi adalah kecekapan Kerajaan, kebijaksanaan pengurusan, dan kapasiti modal insan. Kepelbagaian corak dan pola politik pula dipengaruhi oleh sistem dan sejarah berkerajaan yang tidak dapat lari dari pengaruh kolonialisme dan kerapatan hubungan dengan kuasa besar dunia. Lalu terdapat jurang antara Islam secara akidah dan pegangan keagamaan dengan Islam yang dicerminkan dalam bentuk kerajaan dan negara, dan Islam yang dinilai dari sudut pencapaian ekonomi dan pembangunan daya intelek modal insan.
24. Ini meletakkan umat Islam berada dalam keadaan yang diapit oleh era romantik keagungan sejarah masa lampau dan pengharapan kepada cahaya kegemilangan di masa hadapan. Ada yang merasa kecewa. Ada yang merasa marah. Ramai yang jelik dan rimas melihat kebanyakan pemimpin tidak mempamerkan sifat serius dan sifat ikhlas, komitmen dan kesungguhan untuk membina kembali kegemilangan Islam dengan segala kekayaan sumber yang ada. Ramai yang memberontak dengan gelagat kuasa besar yang menindas negara dan umat Islam yang tidak tunduk dengan doktrin politik mereka. Umat Islam mengimpikan pencapaian ekonomi yang lebih baik, profesion pekerjaan yang lebih baik, taraf kehidupan yang lebih baik, pentadbiran negara yang lebih baik. Umat Islam mengimpikan pemerintahan adil berlandaskan undang-undang, yang menghormati kesaksamaan gender, keadilan sosial, sistem pendidikan yang dapat membangunkan potensi modal insan, tanah air yang bebas dari peperangan, dan umatnya mendapat pengiktirafan, dihormati dan disenangi di peringkat antarabangsa. Umat Islam menuntut kepada tindak tanduk kuasa besar yang lebih saksama yang mencerminkan sifat kemanusiaan dan keinsanan sejagat serta memberi pembelaan terhadap tindakan penindasan yang dilakukan ke atas umat Islam terutama di Palestin.
25. Di antara menggapai harapan dan menghadapi realiti, tercetus pelbagai reaksi. Malang bagi umat Islam, reaksi negatif lebih mendapat perhatian lensa dan perhatian media yang mencanai persepsi dan pemikiran negatif terhadap Islam. Satu demi satu peristiwa yang berlaku yang melibatkan watak Islam atau berkaitan dengan Islam membentuk imej negatif Islam di pentas media. Watak-watak utama Ayatollah Khomeini dan Revolusi Islam Iran, Saddam Hussein dan peperangan Teluk, Osama bin Laden, Taliban di Afghanistan, setiap satunya diwarnakan dengan imej negatif. Peristiwa menawan Masjid al-Haram pada 20 November 1979, peristiwa 11 September 2001 (9/11) yang meruntuhkan Pusat Dagangan Dunia New York, pengeboman di Madrid, London, Bali dan Jakarta, mengakibatkan umat Islam menanggung kerugian bersih yang perlu dibayar oleh umat Islam sendiri dengan kos yang mahal.
26. Hasrat dan impian umat Islam untuk menyaksikan dunia yang lebih bahagia lagi sejahtera tidak mungkin tercapai melalui tindakan militan – melalui kegiatan terorisma. Kekerasan akan terus menyuburkan keganasan yang perlu dibayar harganya oleh umat dan negara Islam sedunia. Umat Islam ketika ini hendaklah menerima realiti bahawa kekuatan ketenteraan dan persenjataan tidak memihak kepadanya. Oleh itu kaedah militan tidak akan membawa kepada sebarang kejayaan. Di sebaliknya kegiatan demikian akan memberikan alasan kepada tindak balas ketenteraan dan campur tangan kuasa besar di negara Islam.
27. Harapan umat Islam harus dan boleh dipenuhi dengan melaksanakan pendekatan yang rasional lagi konstruktif, dengan memberikan tumpuan kepada empat pendekatan; pertama: pengurusan negara yang cekap, kedua: pendidikan berwawasan, ketiga: kesaksamaan ekonomi dan keempat: dakwah yang berkesan.
28. Negara-negara Islam sendiri sebenarnya sedang menghadapi dinamik yang menuntut kepada amalan politik yang lebih liberal dan demokratik. Survival negara-negara Islam bergantung kepada daya kepimpinan dan daya pengurusan yang dapat mengisi kemerdekaan dengan pembangunan yang seimbang; pemerintahan negara yang dapat menjamin berlakunya pengagihan kekayaan secara saksama, serta keadilan yang dilandaskan kepada undang-undang dan amalan kehakiman yang berintegriti. Tugas dan tanggung jawab negara pula diamanahkan kepada orang-orang yang benar-benar layak, berupaya memenuhi tanggung jawab sebagai satu amanah. Di kalangan yang memegang amanah, perlu terkandung roh Islam yang menjadi pengawal diri untuk tidak sama sekali menyalah gunakan kuasa, jauh dari menyeleweng atau menyimpang, menghindarkan rasuah – mentafsirkan tugas sebagai fardhu kifayah yang akan dinilai di hari kebangkitan dan setiap masa mengutamakan kepentingan rakyat.
29. Ekonomi Islam meletakkan keadilan ekonomi sebagai prinsip asas. Ekonomi Islam melibatkan dua elemen; ia itu pembangunan secara konsep dan program yang aktif lagi konkrit.[14] Istilah Ekonomi Islam mula dipopularkan oleh Sayyid Abu al–A’la Mawdudi yang mula dicetak pada tahun 1947 dalam bentuk risalah berbahasa Urdu dan diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dalam tahun 1975.[15] Walaupun bukan ahli dalam bidang ekonomi, Mawdudi mengambil berat keadaan ketidak adilan ekonomi dari segi milik tanah dan kemiskinan. Buku teks pertama tentang Ekonomi Islam dihasilkan oleh Muhammad Abdul Manan, diulang cetak dua belas kali dalam tempoh sepuluh tahun dan turut diterjemahkan dalam bahasa Arab, Turki dan Benggali;[16] sementara Muhammad Nejatullah Siddiqi dianggap sebagai penulis Ekonomi Islam yang paling berpengaruh di kalangan generasi pertama ahli ekonomi Islam.[17] Siddiqi menghuraikan bagaimana sistem pendidikan yang diwarisi di negara-negara Islam memisahkan pendidikan selular dengan agama lalu menghindarkan peluang kepada umat Islam menguasai pengetahuan ekonomi.[18]
30. Kekayaan sumber minyak yang memberikan satu kekayaan kepada negara Islam telah mengundang minat yang mendalam terhadap pengurusan kewangan alternatif yang halal menurut Islam atas keinsafan bahawa riba tidak dibenarkan di dalam Islam. Perkara menyentuh riba diulangi dua puluh kali di dalam Al-Quran.[19] Tahun Sembilan Belas Tujuh Puluhan membawa dinamik baru terhadap Ekonomi Islam. Kemajuan lebih pesat dipermudahkan di peringkat institusi oleh Organisation of the Islamic Conference (OIC) dan Bank Pembangunan Islam telah ditaja penubuhannya dalam tahun 1973. Konferens Antarabangsa Pertama membincangkan Ekonomi Islam berlangsung di Mekah pada tahun 1976 telah memberikan tanda aras baru kepada disiplin pengajian Ekonomi Islam.[20]
31. Agenda pembangunan ummah perlu dilengkapkan dengan program-program berkesan untuk membangunkan ekonomi ummah yang dapat melimpahkan kemakmuran kepada rakyat jelata. Pembangunan ekonomi yang saksama hingga dapat menghapus kemiskinan, hingga kemiskinan itu hanya tinggal sebagai satu perbendaharaan kata di dalam kamus bahasa perlu terus ditingkatkan. Bagaimana prinsip zakat dapat dijadikan instrumen kewangan yang lebih berkesan untuk membina urusan ekonomi Islam yang lebih bermakna. Perlu ada kesediaan untuk mentafsir zakat dalam bentuk yang lebih global merentasi antara negara. Bahawa tanggung jawab mengatasi kemiskinan merangkumi kesediaan negara kaya yang telah dilimpahkan nikmat dan rezeki oleh ILAHI tampil ke muka mengambil tanggung jawab ekonomi terhadap negara Islam yang miskin.
32. Kemakmuran ekonomi perlu dinikmati secara saksama dengan memastikan keperluan asasi umat Islam dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, perubatan, pendidikan, air dan tenaga dapat dipenuhi. Strategi yang dapat mengimbangkan agihan ekonomi di peringkat global perlu diperkenalkan. Formula ekonomi yang mempermudah berlakunya integrasi ekonomi di antara negara-negara Islam wajib diterokai.
33. Umat Islam perlu menilai secara jujur cabaran yang melanda dunia yang begitu membimbangkan disebabkan sistem ekonomi dan sistem kewangan yang disifatkan telah terbakar hangus. Bagaimana struktur ekonomi dan kewangan memerlukan jurubina yang dapat memulihkan dunia dari debu-debu kemusnahan yang telah berlaku itu. Betapa pentingnya di saat ini untuk ummah bersatu dalam pemikiran, bersatu dalam pendekatan, bersatu dalam tindakan; betapa perlunya ummah berkata sepakat dalam niat dan hasrat membina ummah yang lebih kuat, membangunkan ummah yang lebih berjaya.
34. Pendidikan berperanan penting dalam kehidupan insan dan pembangunan negara. Pendidikan adalah kunci kepada kemajuan seseorang insan dan penentu kepada kemajuan sesebuah negara. Peranan penting pendidikan sejagat sifatnya. Kerana itu Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam sidang pada 10 Disember 1948, ketika membuat Deklarasi tentang Hak Asasi Manusia, dalam artikel 26, secara khusus telah menyentuh soal pendidikan.
35. Artikel 26, Deklarasi Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyatakan bahawa setiap insan mempunyai hak mendapat pendidikan. Pendidikan percuma perlu disediakan sekurang-kurangnya di peringkat rendah dan pendidikan rendah diwajibkan kepada setiap insan. Pendidikan teknikal dan profesional hendaklah disediakan; sementara pendidikan tinggi dipermudahkan secara saksama kepada setiap insan berasaskan merit.
36. Pendidikan perlu direncanakan untuk membantu pembangunan setiap insan ke tahap sepenuhnya hingga dapat memperkukuhkan penghormatan, hak asasi dan kebebasan insan. Pendidikan juga hendaklah dijadikan instrumen untuk meningkatkan persefahaman, toleransi dan perhubungan antara pelbagai negara, pelbagai bangsa dan pelbagai agama. Pendidikan dilihat sebagai instrumen yang dapat meningkatkan usaha mengekalkan perdamaian dunia, sekali gus memenuhi fungsi penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
37. Persidangan Dunia mengenai Pendidikan Muslim yang diadakan buat pertama kalinya di Jeddah dari 31 Mac hingga 8 April 1977 telah menghasilkan Pengisytiharan Mekah. Pengisytiharan Mekah menetapkan bahawa matlamat pendidikan hendaklah merangkumi perkembangan seimbang dalam keseluruhan peribadi insan melalui latihan rohaniah, intelek, rasional, perasaan dan indera; dan wahyu serta akal berperanan sebagai sumber pendidikan.
38. Pengisytiharan Mekah menekankan aspek wahyu dan akal. Aspek kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Penekanan kepada prinsip ketuhanan, nyata bersumber dari semangat yang tersirat dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Salallahu Alai Wassalam, seperti yang terkandung dalam maksud ayat 1 hingga 5 surah al-Alaq;
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”
39. Di samping hasrat mahu membina kekuatan dalaman, program pendidikan perlu dirangka supaya dapat mengangkat martabat manusia hingga dapat memenuhi tanggung jawab fardhu kifayah secara sempurna. Program pendidikan yang gagal menghasilkan produk yang relevan dengan keperluan semasa, bolehlah dianggap sebagai satu pembaziran sumber dan satu amal yang sia-sia.
40. Perubahan besar dari segi struktur guna tenaga adalah satu realiti yang sedang berlaku di dunia selaras dengan perubahan dalam struktur ekonomi. Struktur ekonomi dunia telah melalui pelbagai peringkat peralihan; dari diterajui oleh sektor pertanian beralih ke sektor pembuatan dan perkhidmatan, dan kini menghadapi tuntutan ekonomi berpaksikan pengetahuan. Ekonomi berpaksikan pengetahuan memerlukan sumber manusia yang menguasai ilmu berasaskan sains dan teknologi canggih. Ekonomi berpaksikan pengetahuan memerlukan sumber manusia yang inovatif lagi kreatif, serta cenderung melakukan penyelidikan dan pembangunan. Dengan itu program pendidikan haruslah berupaya menghasilkan sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran, memiliki sifat-sifat inovatif lagi kreatif, dan menjadi barisan tenaga kerja yang produktif, kompetitif dan sesuai dengan keperluan komersial dan keperluan industri.
41. Pendidikan perlu dilihat dari perspektif baru. Kaedah pendidikan menuntut kepada satu keberanian membuat pembaharuan secara radikal. Kaedah pendidikan yang tegar akan hanya menghasilkan produk pendidikan yang jumud – produk yang tidak lagi mendapat tempat dalam pasaran guna tenaga, produk yang akan hanya meningkatkan peratusan penganggur di maya ini.
42. Alhamdulillah sistem pendidikan yang dapat membangunkan modal insan yang lebih menyeluruh, untuk membina ummah yang berupaya membangunkan ekonomi berpaksikan pengetahuan, serta bersifat inovatif dan kreatif, sedang diberikan perhatian oleh keempat-empat negara di rantau ini dalam hasrat mahu membangunkan modal ekonomi dan modal budaya.
43. Di era kegemilangan Islam, umat Islam telah mengambil inisiatif menterjemahkan bahan-bahan sains, perubatan dan falsafah dari sumber Kristian, Yahudi dan Yunani. Hari ini melalui teknologi komunikasi, sumber ilmu telah menjadi lebih mudah diperoleh. Umat Islam hendaklah mengamalkan sikap terbuka terhadap ilmu. Umat Islam tidak harus berasa malu untuk menjemput dan membawa tokoh-tokoh ilmuwan tersohor untuk berkhidmat di pusat-pusat pengajian mereka. Rantau ini tidak boleh sekadar berpuas hati dengan aspek kuantiti tanpa memikirkan kualiti. Rantau ini tumpang berbangga dan harus menjadikan contoh pencapaian universiti di Republik Singapura yang berjaya berada di tangga kelapan belas dalam ranking universiti terbaik berasaskan tinjauan Times Educational Supplement. [21]
44. Pendidikan adalah satu pelaburan yang memberikan dividen yang sangat bermakna. Negara yang maju meletakkan keutamaan paling tinggi membangunkan prasarana pendidikan. Jepun hari ini memiliki 1,200 universiti; 120 darinya berada di sekitar Tokyo berbanding dengan 550 universiti yang terdapat di lima puluh lima negara Islam.[22]
45. Dakwah adalah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain terhadap sesuatu pegangan, kepercayaan dan nilai. Mesej dakwah harus berupaya menembusi setiap keluarga, setiap isi rumah, setiap individu melalui saluran komunikasi moden. Kegiatan dakwah perlu ditingkatkan dengan tafsiran yang lebih luas dan diterjemahkan dalam bentuk program yang strategik untuk membersihkan Islam dari perspektif negatif. Kegiatan dakwah tidak terbatas tanggung jawabnya kepada kumpulan ulama yang berdiri di mimbar masjid dengan tajuk yang berkisar kepada syariah semata-mata. Golongan umara hendaklah memperlengkapkan aktiviti dakwah. Golongan umara berada pada posisi untuk melaksanakan dakwah meliputi pentas yang lebih luas, dengan memperlihatkan sifat-sifat murni Islam dari segi ikhlas, amanah, jujur dan tekun dalam melaksanakan tanggung jawab. Contoh-contoh kejayaan umat Islam melakukan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar, adalah pendekatan dakwah yang lebih dapat meyakinkan. Sifat-sifat keinsanan dalam bentuk toleransi, sedia berkorban, simpati kepada yang lemah termasuk di kalangan bukan Islam, merangkumi urusan mengendalikan alam sekitar dan penghidupan alam sekitar adalah elemen-elemen yang dapat membantu memberikan imej positif tentang Islam.
46. Selanjutnya umat Islam perlu memahami dan bijak menggunakan teknologi moden komunikasi dan memahami peranan penting media dalam mencanaikan pemikiran manusia. Teknologi dan media komunikasi adalah instrumen penting yang dapat membantu kerja-kerja dakwah melalui kandungan yang memaparkan kejayaan dan kecemerlangan umat Islam.
47. Semoga setiap penemuan dan rumusan yang dihasilkan oleh persidangan ini akan dapat membantu merealisasikan hasrat dan harapan umat Islam sejagat. Semoga setiap usaha dan langkah akan mendapat petunjuk dan keberkatan ILAHI.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
******************
- Al-Quran – Saba – 34:1. ↑
- John L. Esposito & Dalia Mogahed, Who Speaks For Islam: What A Billion Muslims Really Think, (New York: Gallup Press, 2007), 5-6. ↑
- Ibid. ↑
- Abdurrahman Haqqi `Lima surah sedia panduan bernegara’, Berita Minggu, 9 Ogos 2009, 32. ↑
- HRH Raja Nazrin Shah, ‘The Ummah: Challenges of the New Realities’, Islam and Civil Society, (Washington DC: WORDE, 2005) 23. ↑
- Nazeer Ahmad, ‘From Saints to Taliban: The Transformation of Madrasah’ Islam and Civil Society, (Washington DC:WORDE, 2005) 43 ↑
- Mahathir bin Mohamed, Encyclopedia of Dr. Mahathir bin Mohamad, Volume 1, Islam and The Muslim Ummah (Kuala Lumpur: Darulfikir, 2004) 191. ↑
- Ibid. ↑
- Oliver Roy, Globalised Islam: The Search For A New Ummah, (London: Hurst & Company, 2004) 31 ↑
- Mahathir bin Mohamad, 126. ↑
- John Esposito & Dalia Mogahed, 24. ↑
- Stephen van Rensselaer Trowbridge & Salim Effendi Abd-ul-Ahad, `The Moslem Press and the War’, The Moslem World Vol V, No.4, 1915, 413. ↑
- John L. Esposito & Dalia Mogahed, Who Speaks for Islam? What A Billion Muslims Really Think, (New York: Gallup Press, 2007) 4. ↑
- John L. Esposito & John O. Voll, Makers of Contemporary Islam (Oxford: University Press, 2001) 39. ↑
- Rodney Wilson, `The Development of Islamic Economics: Theory & Practice’, in Islamic Thought in the Twentieth Century, ed Suha Taji – Farouki and Basheer M.Nafi (London: I.B. Tauris, 2004) 196. ↑
- Ibid – 198 ↑
- Ibid 199. ↑
- Ibid ↑
- Bill Maurer, `Re-formatting the Economy: Islamic Banking & Finance in World Politics’ in Islam in World Politics, ed. Nelly Lahoud & Anthony H.Johns ed; (London & New York: Routledge, 2005) 54. ↑
- Rodney Wilson, 200. ↑
- HRH Raja Nazrin Shah, `The Ummah: Challenges of the New Realities’ Islam and Civil Society (Washington DC: WORDE, 2005) 30. ↑
- Ibid ↑