Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak Kali Ke 145

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu Alai Wassalam, ahli keluarga, para Sahabat Baginda, para Tabiin dan para ulama.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke Hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izinNya, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak Kali Ke 145 pada hari ini.

3. Beta mengalu-alukan kehadiran Ahli-Ahli Majlis dan menghargai segala pandangan dan pendapat yang disuarakan untuk secara bersama dengan penuh kesedaran, keinsafan dan keikhlasan membantu Beta memenuhi tugas dan menyempurnakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

4. Pilihan raya Umum Kali Ke 11 bagi memilih kerajaan untuk tempoh lima tahun berikutnya, telah berlangsung secara teratur dan aman pada 21 Mac yang lalu. Rakyat telah membuat pilihan dan parti politik yang memperoleh sokongan majoriti telah membentuk kerajaan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Semoga kerajaan yang telah mendapat sokongan rakyat meneruskan tanggungjawab memenuhi aspirasi rakyat. Beta merakamkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Di Raja Mohamad Tajol Rosli yang telah mendapat sokongan rakyat serta perakuan pimpinan parti lalu diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik sebagai Menteri Besar untuk menerajui Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

5. Ajal maut adalah ketentuan daripada ILAHI yang wajib diterima realitinya oleh setiap insan dengan penuh keinsafan dan keimanan. Begitulah ketentuan ILAHI terhadap salah seorang Ahli Majlis, Yang Berbahagia Dato’ Haji Ismail bin Abdul Rauf yang telah kembali ke Rahmatullah pada jam 10.00 pagi, hari Selasa 17 Februari 2004, di Hospital Besar Ipoh, pada usia 69 tahun.

6. Allahyarham telah menjadi Ahli Majlis sejak tahun 2000 mewakili Pertubuhan Kebajikan dan pernah menjadi Pengerusi PERKIM Negeri Perak. Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan. Beta merakamkan takziah penuh hiba kepada keluarga Allahyarham. Semoga segala jasa bakti Allahyarham diterima sebagai amal soleh. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham. Bersamalah kita mendoakan semoga balu dan kaum keluarga Allahyarham menerima ketentuan ILAHI ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Marilah sama-sama kita bacakan suratul Fatihah, semoga bacaan tersebut diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan ganjaran pahala dariNya disampaikan kepada roh Allahyarham. Al – Fatihah.

7. Beta merakamkan penghargaan kepada Dato’ Dr. Isahak Bin Yeop Mohd Shar, bekas Setiausaha Kerajaan Perak atas perkhidmatan beliau semasa menganggotai majlis ini. Sama-samalah didoakan kejayaan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab baru sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

8. Kepada Yang Berhormat Dato’ Dr. Abdul Malek bin Md. Hanafiah yang bersama menganggotai Majlis ketika menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak, Beta merakamkan penghargaan atas perkhidmatan beliau sebagai anggota Majlis dan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pendidikan Negeri Perak.

9. Penghargaan turut dirakamkan atas perkhidmatan Yang Berbahagia Dato’ Amiruddin bin Che Embi, bekas Ketua Polis Perak yang telah bersara dari perkhidmatan kerajaan. Beta mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Asari bin Hj. Mokhtar, Ketua Polis Perak sebagai Ahli Majlis yang baru.

10. Kita telah pun melangkah ke tahun 1425 Hijrah. Tahun yang baru turut memperlihatkan pelbagai pembaharuan yang berlaku secara pesat – secara pantas. Persoalannya, adakah umat Islam telah keseluruhannya membulatkan azam untuk sama-sama berhijrah dengan membetulkan kesilapan dan kepincangan yang berlaku dalam diri, dalam keluarga, dalam masyarakat, dalam negara malah di serata dunia. Umat Islam perlu membina kekuatan untuk berhadapan dengan perubahan dan pembaharuan. Kekuatan tersebut hendaklah bersandarkan kepada penguasaan ilmu dan penguasaan pengetahuan, selaras dengan seruan yang dibawa oleh agama yang berlandaskan kepada Al-Quran, kitab yang menjadi kunci dan ibu kepada ilmu dan pengetahuan.

11. Penguasaan ilmu dan penguasaan pengetahuan memerlukan iltizam, kesungguhan, disiplin dan ketekunan membawa minda – membawa ummah berani melangkah maju ke hadapan untuk mendapat falah (kejayaan) dan hasanah (kebaikan) di dunia dan di akhirat. Kebaikan dan kejayaan ini bukan semata-mata untuk diri, tetapi juga untuk keluarga, masyarakat, negara dan umat Islam sejagat. Semoga dengan semangat hijrah ini kita akan menjadi insan yang hari ini lebih baik dari hari semalam, dan hari esok lebih baik dari hari ini.

12. Dalam menghayati sambutan tahun baru Islam ini, Kerajaan Negeri telahpun berjaya melaksanakan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri pada malam 21 Februari bersamaan 30 Zulhijah di Padang Tengku Hussin, Manjoi. Beta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis sambutan tersebut. Beta lebih menghargai jika sambutan tersebut dapat menyemaikan satu semangat baru yang terus hidup lalu dijelmakan melalui program bertindak yang benar-benar dapat memperlihatkan tahap kemajuan umat Islam yang lebih tinggi.

13. Beta telah disembah maklum bahawa pada 25 hingga 28 Februari telah berlangsung di negeri Perak ini Persidangan Ketua Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia. Isu-isu penyelarasan dan keseragaman merupakan agenda utama didalam mendapat kesepakatan bersama. Alhamdulillah, Beta disembah maklumkan bahawa beberapa isu dapat diseragamkan seperti Penggunaan Logo Halal dan Yuran Bayaran serta Pemakaian Prosidur Kewangan seperti Amalan Terbaik Kewangan Majlis.

14. Bagi memantapkan sahsiah dan kualiti kerja kakitangan baru Majlis, Beta disembah maklumkan bahawa Program Orientasi telahpun diadakan dari 2 hingga 4 Februari 2004 di Institut Tadbiran Islam (INTIM) Jalan Dairy, Ipoh. Adalah menjadi harapan Beta supaya setiap kakitangan dapat memenuhi tugas dan tanggungjawab secara tekun – secara jujur, secara mesra – secara amanah. Mereka hendaklah sama sekali menjauhkan diri dari menyalah gunakan jawatan dan menyalah gunakan kuasa. Mereka hendaklah bertekad menjadi penjawat awam contoh, penjawat awam yang mengutamakan kepentingan awam dari kepentingan diri dan menjadikan perkhidmatan satu amal yang memenuhi tugas fardhu kifayah semata-mata atas nama Allah Subhanahu Wata’ala. Mereka hendaklah berazam menjadikan Jabatan Agama Islam sebagai Jabatan contoh dengan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap lagi pantas, mengamalkan pengurusan yang telus, berbelanja secara berhemah, mesra lagi prihatin kepada keperluan rakyat.

15. Demikianlah perutusan Beta dalam Persidangan Majlis pada kali ini. Beta memohon petunjuk dan bimbingan ILAHI supaya persidangan ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang dapat meningkatkan kesejahteraan ummah.

Wabilahitaufiq Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*****************

%d bloggers like this: