Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak Kali Ke 147

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta para Tabiin dan para ulama.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izin Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak Kali Ke 147.

3. Beta mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli Majlis dan menghargai segala pandangan dan pendapat yang disuarakan untuk secara bersama, dengan penuh kesedaran, keinsafan dan keikhlasan membantu Beta memenuhi tugas dan menyempurnakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

4. Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohamed Hashim bin Kasmon kini telah mengambil tanggung jawab baru sebagai Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Darul Ridzuan. Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat dan bakti beliau semasa bertugas sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan Setiausaha Majlis. Beta mengalu-alukan kehadiran Tuan Haji Zainal Abidin bin Omar yang mengambil alih jawatan dan tanggung jawab berkenaan sejak 22 Julai lalu; dengan harapan di bawah pengawasan dan kelolaan beliau, Jabatan Agama Islam Negeri Perak akan mencatat tahap kejayaan yang lebih cemerlang. Beta turut mengalu-alukan keanggotaan Yang Berhormat Dato’ Jamalluddin Al-Amini bin Haji Ahmad, Pegawai Kewangan Negeri Perak yang baru.

5. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak adalah badan tertinggi di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dalam urusan hal ehwal agama Islam dan Adat Melayu di negeri Perak. Oleh itu, Persidangan Majlis juga adalah forum tertinggi berhubung dengan urusan hal ehwal Agama Islam dan Adat Melayu di negeri ini. Dengan itu amatlah penting untuk keputusan yang dirumuskan di peringkat Majlis dan di dalam Persidangan ini diberikan pengiktirafan dan keutamaan. Perkara-perkara yang disarankan dan dirumuskan perlulah dilaksanakan dengan segera.

6. Antara perkara yang pernah Beta sarankan dalam Persidangan ini adalah kegiatan untuk membantu memperlengkapkan umat Islam dengan pelbagai disiplin ilmu. Beta pernah menyarankan, bahawa secara berperingkat, masjid dan surau hendaklah berusaha membawa penceramah yang dapat menyampaikan kupasan subjek-subjek seperti kesihatan, pemakanan, undang-undang faraid, panduan pelaburan, motivasi dan pelbagai lagi.

7. Beta juga menzahirkan hasrat untuk pelajar-pelajar di sekolah- sekolah agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri mencapai tahap penguasaan bahasa Arab yang memberikan mereka keyakinan untuk berkomunikasi dengan dunia luar. Beta turut memberi pandangan bahawa jika perlu langkah membawa tenaga pengajar dari negara Asia Barat wajar diberikan pertimbangan secara serius.

8. Dalam salah satu Persidangan yang diadakan, Beta telah meminta supaya Majlis menyediakan laporan tahunan, lengkap dengan aktiviti tahunan dan penyata kewangan yang diaudit; dan laporan tersebut hendaklah disiapkan dalam suku tahun pertama setiap tahun.

9. Demikian juga dengan saranan Beta supaya Majlis dengan kerjasama Kolej Islam Perak merangka kursus pendek berhubung dengan kewangan dan penyediaan akaun untuk semua jawatankuasa masjid terutamanya yang memegang jawatan Pengerusi dan Bendahari.

10. Perkara-perkara tersebut telah disuarakan dalam Persidangan Majlis. Urus setia hendaklah menyampaikan semula kepada ahli-ahli Majlis akan tahap kemajuan yang telah dicapai, demi memastikan saranan-saranan tersebut disusuli dalam bentuk tindakan. Majlis perlu dimaklumkan berhubung perkara-perkara yang belum atau tertangguh dari dilaksanakan. Melalui maklum balas yang disampaikan, Majlis dan ahli-ahlinya dapat membantu menilai tahap kejayaan program.

11. Masalah dan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam masih banyak. Dalam kebatasan sumber kewangan dan sumber manusia, adalah penting untuk Majlis mengambil pendekatan strategik dengan mempunyai fokus dalam penggunaan dan pengagihan sumber supaya kegiatan yang dilakukan oleh Majlis benar-benar memberi impak dan meninggalkan kesan.

12. Pada hemat Beta dua perkara perlu diberikan fokus oleh Majlis. Pertama, meningkatkan pungutan zakat. Kedua, menumpukan perhatian lebih serius terhadap program pembangunan sumber manusia. Pungutan zakat di negeri Perak masih berada dalam lingkungan dua puluh ke dua puluh empat juta ringgit (RM20 – RM24juta) setahun. Untuk memenuhi unjuran keperluan semasa sahaja, Majlis memerlukan tidak kurang dari tiga puluh juta ringgit (RM 30juta) setahun. Program dan pendekatan pungutan zakat secara lebih agresif perlulah dilaksanakan, dan dilaksanakan dengan segera. Urusan pembayaran zakat secara cekap dan mudah dengan perkhidmatan mesra perlu dilakukan. Majlis penerangan wajar diadakan hingga menyedarkan setiap umat Islam di negeri Perak yang wajib menunaikan zakat tampil melakukan Rukun Islam keempat ini.

13. Program pendidikan perlu diutamakan dalam usaha membangunkan sumber manusia. Madrasah Idrisiah merupakan sekolah agama dalam bentuk moden, yang melaksanakan kurikulum pendidikan secara sistematik, yang terawal di bina di negara ini. Sekolah Menengah Izzudin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah adalah antara sekolah agama berasrama penuh terawal di negara ini. Pusat matrikulasi sains di bawah kawalan Jabatan Agama, merupakan pusat matrikulasi terawal di negara ini.

14. Walaupun negeri Perak telah merintis program-program pendidikan sedemikian dan dijadikan contoh dari segi pembangunan sekolah-sekolah agama, tetapi pada hari ini, secara perbandingan, negeri Perak tidak lagi berada di tahap teratas. Adalah menjadi hasrat Beta untuk membawa kembali kegemilangan silam. Satu pendekatan lebih dinamik – lebih radikal perlu dilakukan untuk memajukan sekolah-sekolah agama di negeri Perak. Teknologi baru di bidang pendidikan seperti ‘e-learning’ hendaklah difikirkan dalam usaha memajukan sekolah-sekolah agama di negeri Perak melalui perancangan pembangunan dan kewangan yang lebih terarah.

15. Beta mencadangkan, satu kertas tentang status semua sekolah agama di negeri Perak dibentangkan di mesyuarat Majlis akan datang. Ini untuk membolehkan Majlis memahami status semasa sekolah-sekolah tersebut dari segi bilangan pelajar, tenaga pengajar, kemudahan serta peralatan mengajar, kewangan dan pengurusan.

16. Beta sukacita mendapat pandangan dan input ahli-ahli Majlis untuk memajukan lagi pencapaian umat Islam di negeri Perak dari segi pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.

17. Demikianlah perutusan Beta dalam Persidangan Majlis pada kali ini. Beta memohon petunjuk dan bimbingan ILAHI supaya persidangan ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang dapat meningkatkan kesejahteraan ummah.

Wabillahitaufiq Walhidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*************

%d bloggers like this: