Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta para Tabiin dan para Ulama’.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat, inayat dan izinNya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 148.
- Beta mengalu-alukan keanggotaan Yang Berhormat Dato’ Abdul Hanan bin Alang Endut yang sejak 21 Ogos lalu telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan serta keanggotaan Yang Berhormat Dato’ Engku Nor Faizah binti Engku Atek yang telah melapor diri pada 1 Oktober sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Perak. Beta percaya pengalaman kerja kedua-dua mereka sebelum ini akan dapat menambahkan khazanah kepakaran untuk membantu majlis meningkatkan prestasi perkhidmatan yang lebih cemerlang.
- Beta merakamkan penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato’ Haji Samsul Baharin bin Hassan atas perkhidmatan beliau kepada majlis ketika menjawat jawatan Pegawai Kewangan Negeri dan ketika memangku jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri. Beta mendoakan semoga beliau dapat terus berperanan aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan walaupun telah mencapai usia persaraan. Beta juga merakamkan penghargaan atas perkhidmatan yang telah dihulurkan oleh Yang Berbahagia Datuk Nor Bee binti Ariffin ketika menganggotai majlis terutama usaha beliau membantu memenuhi permintaan Beta untuk dikemaskinikan Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Beta ucapkan tahniah atas kejayaan beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Penggubal Undang-Undang Parlimen.
- Ustaz Radzi Kamarul Hailan muncul sebagai Johan Qari Peringkat Antarabangsa di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke 46 baru-baru ini. Di samping itu di Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Masyarakat Orang Asli, yang berlangsung pada 29 hingga 30 September, Qariah yang mewakili negeri Perak telah menjadi Johan sementara Qari yang mewakili negeri Perak menduduki tempat Naib Johan. Pencapaian-pencapaian tersebut tentulah memberikan satu kegembiraan kepada negeri Perak dan dapat ditafsirkan sebagai indikator kejayaan usaha ke arah melahirkan Qari dan Qariah yang bermutu di negeri ini. Semoga kejayaan mereka dapat memberikan inspirasi kepada golongan pelapis Qari dan Qariah dari negeri ini untuk mencapai tahap pembacaan yang lebih sempurna dan lebih berkualiti.
- Dalam kesyukuran memperoleh kejayaan dari segi pembacaan, jangan pula sampai ke peringkat mengalpakan tanggung jawab ummah yang lebih utama dari sudut menghayati isi dan kandungan al-Quran. Penghayatan terhadap al-Quran tidak harus terbatas dari segi keupayaan ummah membaca al-Quran dengan baik atau dari segi keupayaan menghafal ayat-ayat yang terkandung di dalamnya.
- Sesungguhnya al-Quran mengandungi nilai-nilai berharga dari segi semangat dan roh, dari segi falsafah dan nilai ilmu. Al-Quran adalah kitab yang wajib dijadikan sumber rujukan, bahan kajian dan bahan penyelidikan. Al-Quran adalah sebuah kitab yang komprehensif. Di dalamnya terkandung pelbagai cabang ilmu merangkumi aspek-aspek ketuhanan, keimanan, sejarah, undang-undang, seni, sastera dan bahasa, pelbagai cabang sains tulen dan sains kemasyarakatan.
- Umat Islam tentunya akan bertambah maju jika rahsia ilmu yang terkandung di dalam al-Quran dapat dibongkar sepenuhnya dan dihuraikan ke peringkat yang dapat difahami dan dihayati. Ini menuntut kepada pendekatan pengajaran al-Quran secara yang lebih menyeluruh dan dilakukan kepada umat Islam sejak dari usia muda mereka. Umat Islam, para guru dan ibu bapa terutamanya tidak harus terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian anak-anak di peringkat sekadar boleh membaca al-Quran semata-mata.
9. Pendekatan pengajaran yang membolehkan mereka dapat memahami, mentafsir, menghargai dan menghayati perkara-perkara yang terkandung di dalam al-Quran perlu diterokai. Cabaran lebih besar kepada umat Islam adalah keupayaan untuk mengait atau merangkaikan ayat-ayat yang terkandung di dalam al-Quran dari segi aplikasi dalam bidang-bidang sains, teknologi dan ekonomi.
10. Beta disembah maklum bahawa beberapa pertimbangan dan tindakan telah diambil terhadap titah perutusan Beta di dalam Persidangan MAJLIS Kali ke 147 pada 12 Ogos yang lalu. Beta sekali lagi menegaskan bahawa adalah penting untuk tindakan dilaksanakan secara berkesan terhadap saranan-saranan dan keputusan-keputusan yang telah diputuskan oleh majlis.
11. Mesyuarat majlis pada hari ini akan membincangkan bajet bagi tahun kewangan 2005. Semoga ahli-ahli majlis dapat menyuarakan pandangan dan cadangan yang membolehkan majlis menggunakan sumber kewangan secara optimum melaksanakan program-program yang dinamik serta benar-benar memberikan impak yang bermakna untuk memajukan umat Islam khususnya dari segi pembangunan sumber manusia dan pembangunan ekonomi serta perkembangan ilmu dan pengetahuan.
12. Demikianlah perutusan Beta dalam Persidangan Majlis pada kali ini. Beta memohon petunjuk dan bimbingan ILAHI supaya persidangan ini dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang dapat meningkatkan kesejahteraan ummah.
Wabillahitaufiq Walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
****************