Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Setiap negara perlu mewujudkan ketumbuhan tentera yang ampuh bagi mempertahankan sempadan fizikal dan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman dan pencerobohan. Angkatan tentera yang berdisiplin dan siaga, mahir dan lengkap, serta berteknologi tinggi diperlukan bagi mendukung amanah untuk mempertahankan kedaulatan negara.
- Tentera tidak dapat dipisahkan dengan peperangan. Peperangan melibatkan pencerobohan yang ekstrem, mengakibatkan kesengsaraan, kemusnahan prasarana dan ekosistem, kebuluran, perpindahan penduduk secara besar-besaran, serta penganiayaan terhadap tahanan perang dan orang awam. Peperangan mengakibatkan berlaku korban perang yang tinggi, samada terbunuh atau cedera, kerana semasa berperang, elemen belas dan elemen keinsanan disisihkan. Setiap komander, bermatlamat mencapai kemenangan mutlak; oleh itu setiap komander akan melakukan apa-apa sahaja untuk meranapkan pihak musuh ke tahap maksimum. Falsafah peperangan sedemikian bukanlah baru; pada abad kesebelas, Putera Parsi, Kai Ka’us Ibn Iskandar menyarankan:
“Once you engage in battle it is inexcusable to display any sloth or hesitation; you must breakfast on your enemy before he dines on you.”[1]
- Emperor Mongolia, Genghis Khan mengarahkan bala tenteranya dengan perintah:
“The greatest happiness is to vanquish your enemies, to chase them before you, to rob them of their wealth, to see those dear to them bathed in tears, to clasp to your bosom their wives and daughters…
It is not sufficient that I succeed – all others must fall”[2]
- Falsafah sedemikian kekal dijadikan pegangan, terserlah melalui petikan ungkapan Mao Tse Tung, seorang pemimpin di negara Komunis China:
“The first law of war is to preserve ourselves and destroy the enemy”[3]
Demikian juga pegangan Major General James Matthis, seorang pemimpin tentera di sebuah negara demokrasi, melalui pesanannya kepada tentera Amerika:
Rules to live in Iraq: Be polite, be professional, but have a plan to kill everybody you meet.”[4]
- Minda peperangan yang diguna-pakai ketika ini, mahu memastikan kemenangan mutlak, menghalalkan kemusnahan dilakukan tanpa batas. Akibatnya lebih ramai manusia terkorban. Pencerobohan dan penaklukan Mongolia (abad ketiga belas) mengorbankan 60 juta nyawa,[5] 40 juta menjadi mangsa Perang Dunia Pertama (1914-1918), lebih 18 juta terbunuh dan 23 juta cedera.[6] Perang Dunia Kedua (1939–1945) meragut bilangan nyawa paling tinggi dalam sejarah peperangan, dianggar antara 60 hingga 85 juta nyawa terkorban.[7] Diantara tahun 1955 hingga 2002, lebih 5.4 juta orang terkorban akibat peperangan di 13 negara.[8]
- Korban peperangan tidak berlaku hanya di medan tempur. Tentera Jerman sebagai contoh, melakukan pembunuhan di luar medan tempur terhadap 1.6 juta daripada 9 juta penduduk Belarus, dalam kawasan daerah Soviet pada tahun 1941; 700,000 mangsa adalah tahanan perang dan 320,000 mangsa adalah orang awam yang kebanyakannya tidak bersenjata.[9] Empat bulan pertama selepas bom atom digugurkan pada 6 dan 9 Ogos 1945, Hiroshima kehilangan antara 90,000 ke 146,000 jiwa dan Nagasaki, kehilangan antara 39,000 ke 80,000 jiwa. Separuh daripada kematian berlaku pada hari bom digugurkan.[10] Lebih ramai jiwa yang hilang selepas itu, akibat kesan sinaran. Demikian kekejaman yang berlaku semasa perang. Nyawa tidak dihargai. Kemenangan dihitung dengan angka kematian yang tinggi di pihak musuh, tanpa menghiraukan samada yang terbunuh tentera ataupun orang awam. Mahatma Ghandi menyifatkan:
”What difference does it make to the dead, the orphans, and the homeless, whether the mad destruction is wrought under the name of totalitarianism or the holy name of liberty or democracy?” [11]
- Jika peperangan melukiskan wajah kelam kekejaman tentera, perubatan ketenteraan menyinarkan cahaya putih kemanusiaan tentera. Brigadier General Jonathan Woodson M.D. dalam tahun 2016 menyatakan:
“If war is the dark side of the human experience where humanity fails, medicine has always provided some hope and light”.
- Peperangan menghamparkan lautan pengalaman untuk pengamal perubatan boleh menjala pengetahuan baru. Sebab-musabab kematian dan bentuk kecederaan yang dialami anggota tentera semasa pertempuran, dan dalam kalangan orang awam akibat daripada peperangan, memaparkan cabaran baru kepada profesion perubatan. Senjata baru yang terus diperkenalkan untuk mengganti pedang dan panah, bersifat lebih memusnahkan, mengakibatkan kecederaan yang lebih mudarat; kecederaan bentuk baharu yang memerlukan kaedah rawatan perubatan yang baharu.
- Relevansi dan peranan ahli-ahli perubatan dalam tentera bukan perkara baharu. Sejarah menunjukkan, komponen kesihatan dan perubatan ketenteraan di medan perang telah diperkenalkan semenjak zaman tentera Roma. Emperor Roma Marcus Aurelius, yang bertakhta pada tahun 121-180 Masihi menganjurkan:
“The secret of all victory lies in the organisation of the non- obvious.”[12]
Tourniquet telah digunakan oleh tentera Roma secara meluas bagi mengurangkan pendarahan anggota yang cedera.[13] Para doktor menasihatkan pentingnya elemen kesihatan, dan pada akhirnya berjaya mempengaruhi komander agar membina penempatan tentera Roma, jauh daripada kawasan berpaya, sebagai langkah menghindarkan wabak penyakit.[14]
- Salahuddin Al-Ayubi, membawa pakar perubatan ke medan perang, malahan menghantarnya untuk merawat Richard the Lion Heart yang sakit semasa pengepungan di Acre pada tahun 1192. Tentera Salahuddin merawat tentera yang demam dengan menggunakan ais salji untuk mengurangkan suhu badan.[15]
- James Lind pada tahun 1747, menemui bahawa jus lemon yang mengandungi Vitamin C, berupaya mengurangkan masalah scurvy yang menyebabkan ramai kelasi kapal maut. Lima puluh tahun selepas penemuan tersebut, jus sitrus, dibekalkan dalam kapal-kapal Armada Laut British semasa Perang Napolean (1803-1815). Pengambilan jus sitrus, terbukti amat berkesan menangani masalah scurvy, dan berperanan sebagai salah satu penyumbang utama memberi kelebihan kepada angkatan laut British ketika berhadapan angkatan laut Perancis.[16] Di sebaliknya, dalam Perang Crimea (1854-1856), tentera British menghadapi kasualti tinggi kerana ditempatkan di kawasan yang penuh penyakit di Bulgaria; mereka tidak dibekalkan dengan makanan yang sempurna, tidak dibekalkan selimut, tidak dibekalkan perubatan yang diperlukan, akibatnya ramai yang diserang scurvy, kolera dan diarea sebelum tembakan peluru pertama sempat dilepaskan. [17]
- Semasa Perang Saudara Amerika (1861-1865), amalan perubatan kuno adalah faktor utama yang melemahkan tentera. Tentera yang cedera, bila dihantar ke pusat rawatan, ibarat dijatuhkan hukuman mati. Para doktor tidak dibekalkan alat dan bahan untuk merawat tentera yang cedera. Kefahaman mengenai jangkitan kuman amat rendah, peralatan pembedahan hanya dicuci dengan air dan luka dibalut dengan cebisan kain kotor. Teknik pembedahan sangat terbatas, dilaksanakan secara kasar; ketiadaan anestesia dan ubat menahan sakit, menyebabkan pesakit menanggung derita.[18] Amalan perbuatan yang primitif dan tidak hygienic, serta peralatan perubatan yang besar dan sukar untuk dipindah-gerakan, mengakibatkan ramai yang terkorban di luar medan tempur. Kasualti, begitu juga penderitaan, sulit ditangani, kerana sikap komander yang tidak mengisahkan keperluan perubatan – keperluan kesihatan, berbanding keutamaan yang diberikan kepada keperluan senjata – keperluan makanan.
- Bilangan korban tentera Prussia semasa Perang Franco-Prussia (1870-1871) dapat diminimumkan, kerana adanya khidmat berkesan para doktor Prussia yang telah dihantar ke Edinburgh untuk mendapat latihan teknik penggunaan antiseptik daripada Joseph Lister, seorang perintis pembedahan antiseptik.[19] Medicalised field dressing, dimajukan semasa Perang Boer di Afrika Selatan (1899-1902). Para doktor dalam Perang Boer menimba banyak pengalaman dan menemui teknik antiseptik berkesan sewaktu merawat kecederaan akibat daripada tembakan senapang berkaliber kecil. Hospital medan diperkenalkan, dan didapati sangat relevan dan amat diperlukan untuk memberi rawatan segera kepada tentera yang cedera.[20]
- Sejarah turut menunjukkan, sehingga abad ke 19, wabak penyakit berjangkit adalah antara pembunuh terbesar berlaku semasa peperangan.[21] Artikel bertajuk, “Florence Nightingale and European Wars: from Crimean to Franco-Prussian War,” mencatatkan tujuh orang tentera menemui ajal disebabkan penyakit, berbanding seorang yang gugur di medan tempur.[22] Keadaan mula berubah dalam peperangan moden selepas abad ke 19. Semasa Perang Dunia Pertama, langkah-langkah mencegah, telah berjaya mengawal penyebaran penyakit berjangkit. Antara langkah yang dilaksanakan ialah memperkenalkan makmal bergerak, antitoxin bagi tetanus, dan vaksin bagi tifoid.[23] Perang Dunia Pertama turut dikenali sebagai peperangan yang membawa kesan positif kepada sains perubatan kerana telah memulakan kemajuan dalam bidang-bidang pembedahan saraf dan psikiatri. Kemajuan dalam rawatan di medan perang seperti ortopedik, kemudiannya digunakan untuk merawat masyarakat awam.[24]
- Pengetahuan baru ditemui dalam Perang Saudara Sepanyol (1936-1939) yang membolehkan darah disimpan dengan selamat dan boleh pula dipindahkan kepada orang lain.[25] Semasa Perang Dunia Kedua, antibiotik sulphonamide dan penicilin yang baru ditemui, telah digunakan secara berkesan untuk merawat luka dan jangkitan penyakit venereal.[26] Kepakaran perubatan baru, antaranya pembedahan plastik, rehabilitasi dan penyakit tropika seperti malaria telah ditemui dan vaksin pencegahan tetanus digunakan secara meluas.[27]
- Perkembangan rawatan trauma banyak dipengaruhi daripada perkembangan dalam bidang berkaitan semasa Perang Korea (1950-1953) dan Perang Vietnam (1959-1975). Antara perkembangan tersebut adalah penggunaan helikopter untuk memindahkan kasualti tentera dengan segera, dan penubuhan unit Mobile Army Surgical Hospital (MASH), yang direka cipta untuk membawa pakar bedah berpengalaman lebih dekat ke barisan hadapan, membolehkan tentera yang cedera mendapat rawatan segera.[28]
- Bidang perubatan ketenteraan adalah satu kepakaran yang berbeza, dan tidak sama dengan bidang kepakaran perubatan awam. Pengalaman perubatan ketenteraan dalam beberapa cabang perubatan seperti ortopedik, pembedahan plastik, pembedahan neurologi, prostetik, dan perubatan rehabilitasi, kemudiannya telah melimpahkan manfaat kepada pihak awam. Kemajuan perubatan ketenteraan telah meningkatkan kadar survival dalam peperangan. Kemajuan dalam medical evacuation, battlefield medicine dan trauma care, telah dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dalam peperangan.
- Kesengsaraan yang dihadapi, serta jumlah kecederaan yang dialami, ketika berlaku peperangan telah menjana pelbagai inovasi dan kaedah baharu dalam bidang perubatan, antaranya menghasilkan jurusan perubatan ketenteraan. Pada hari ini, khidmat kesihatan dan perubatan yang lengkap, berteknologi tinggi serta dikendalikan oleh pakar terlatih, adalah satu kemestian untuk setiap angkatan tentera demi menjamin kekuatan tempur. Kehadiran pasukan perubatan yang dianggotai tenaga pakar, dilengkapi dengan peralatan moden lagi terkini, akan dapat memberikan keselesaan psikologi kepada anggota yang berada di medan tempur.
- Jelas terbukti daripada sejarah, perubatan ketenteraan dapat membantu mengubah haluan peperangan. Komander perang yang memahami kepentingan perubatan ketenteraan dan memastikan pemodenannya, baik dari segi peralatan mahupun tenaga pakar, akan pasti meraih manfaat besar daripadanya. Tentera di kebanyakan negara maju, meletakkan kepentingan yang tinggi kepada perubatan ketenteraan. Belanja yang besar diperuntukkan untuk memaju, memoden dan melatih pasukan perubatan ketenteraan.
- Atas keperluan menyelamatkan mangsa perang yang berlaku pada skala besar, dan bentuk kecederaan yang begitu pelbagai dengan tahap keparahan yang tinggi, peperangan menuntut kepada perlunya dilakukan pelbagai penemuan baru dalam bidang perubatan. Di satu pihak, para pengeluar terus mereka-cipta senjata yang lebih parah daya pemusnahnya, sementara di pihak perubatan ketenteraan perlu mengkaji, menerokai dan menghasilkan formula untuk menyelamatkan nyawa dan merawat tentera dan orang awam yang dicederakan oleh senjata pemusnah baharu.
- Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia 2017 ini, julung-julung kali diadakan sempena sambutan 50 tahun penubuhan Kor Kesihatan Diraja. Pelbagai subjek dipilih untuk dibincangkan. Kandungan Persidangan turut merangkumi isu-isu kesihatan dan perubatan yang sangat relevan diberikan perhatian ketika ini. Data semasa menunjukkan non-communicable diseases atau NCDs, merangkumi diabetes, barah, strok, serangan jantung, penyakit berkaitan pernafasan serta peparu dan kanser semakin menjadi punca kematian. Enam puluh peratus (60%) ke tujuh puluh peratus (70%) kematian di Asia Tenggara ketika ini berpunca daripada NCDs, meningkat 40% daripada data tahun 1990.[29] Di Malaysia, dianggarkan dalam tahun 2015, 73% kematian berpunca daripada NCDs berbanding hanya 40% dalam tahun 1990.[30]
- Faktor perbandaran telah meningkatkan pelbagai risiko, merangkumi, tekanan kerja – tekanan hidup, pelbagai pencemaran, merokok, serta diet yang tidak sihat – tidak seimbang. Diet yang tidak sihat – tidak seimbang, telah meningkatkan bilangan warga Malaysia yang menghidap diabetes dan obesiti.[31] Hanya satu daripada sepuluh isi rumah bandar di Malaysia mengambil sayur dan buah mengikut amaun yang sepatutnya.[32] Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, insiden kematian berpunca daripada diabetes, meningkat 20%.[33] Kadar obesiti dan berat badan berlebihan di Malaysia, melebihi 40%, meningkat lebih dua kali ganda daripada peratus obesiti tahun 1990.[34] Lebih 40% penduduk di Malaysia adalah perokok.[35] Merokok dan pencemaran udara, membebankan peparu, akibatnya, sejak 10 tahun lalu, kanser peparu di Malaysia telah meningkat 30%.[36] Faktor-faktor alam sekitar, beban tugas, kemiskinan dan pencemaran, meningkatkan tekanan (stress) hidup. Bilangan yang mengidap hipertensi (hypertension) dan masalah kesihatan mental semakin bertambah. Pada masa yang sama, jangka hayat yang lebih panjang, akan meningkatkan bilangan yang berpotensi mempunyai pelbagai penyakit kronik dan penyakit tua. Senario yang sedang berlaku, akan mengakibatkan peningkatan perbelanjaan perubatan negara.
- Kor Perubatan Diraja wajib membantu, mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan (preventive) penyakit, dengan merangka program kesihatan yang relevan untuk memandu para anggota dan keluarga anggota mengamalkan budaya hidup sihat – budaya hidup cergas – budaya hidup cerdas. Program kesihatan yang relevan boleh diintegrasikan dalam program-program latihan dan program-program sosial angkatan tentera dan keluarga angkatan tentera. Membantu membangunkan Angkatan Tentera Malaysia yang didukung oleh para anggota yang sihat, cergas lagi cerdas, bebas daripada penyakit-penyakit kronik, adalah satu medan tempur (battleground) yang wajib dimenangi, dan hendaklah dijadikan salah satu matlamat Kor Kesihatan Diraja.
- Semoga Persidangan ini akan mendapat petunjuk dan rahmat ILAHI. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia tahun 2017.
Wabillahi taufiq walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
[1] Ray Hamilton, Military Quotations; Stirring Words of War And Peace, (West Sussex: Summersdale, 2012), 106.
[2] Ray Hamilton, 122.
[3] James Charlton, (ed.), The Military Quotation Book, (New York: Thomas Dunne Books, 2013), 93.
[4] Ibid, 94.
[5] Twitchett, D., and Fairbank, J. The Cambridge History of China: Alien Regimes and Border States (Vol 6), (Cambridge: Cambridge University Press, 1994).
White, M., The Great Big Book of Horrible Things: The Definitive Chronicle of History’s 100 Worst Atrocities. W.W. Norton. Retrieved from https://books.google.com.my/books id+78VQngEACAAJ.
[6] https://en.wikipedia.org/wiki/World War I Casualties; Retrieved July 24, 2017.
[7] O’Brien, J., World War II; Combatants and Casualties (1937-1945). Obee’s History Page.(John Jay College of Criminal Justice. Retrieved 20 April 2007);
Stokes, P. World War II Fatalities, http://secondworldwar.co.uk/index.php/fatalities, Retrieved July 24, 2017.
[8] Obermeyer, Z., Murray, C., & Gakidou, E, Fifty years of Violent War Deaths from Vietnam to Bosnia: Analysis of Data from the World Health Survey Programme. (British Medical Journal, 2008), 336(7659), https://doi.org/10.111136/bmj.a137, 1482-1486
[9] Synder, T., Bloodlands: Europe between Hitler and Stalin, (Basic Books. 2012)
[10] htttps://en.wikipedia.org.>wiki>atomic.
[11] James Charlton, 8.
[12] Ray Hamilton, 15.
[13] Noordin, S., McEwen, J., Kragh Jr, Eisen, A & Masri, B., Surgical Tourniquets in Orthopaedics, JBJS, 91 (12), 2958-2967.
[14] War and Medicine, Retrieved July 24, 2017 from http://www.sciencemuseum.org.uk/broughttolife/themes/war.
[15] The Third Crusade. (n.d.) from http://www.angelfire.com/hi5/interactive_learning/crucades2/Third_Crusade.htm. Retrieved July 24, 2017.
[16] George, A., “How Citrus Fruit Spelled Disaster for One of History’s Greatest Military Leaders”, from http://www.businessinsider.com/how-citrus-fruits-spelled-disaster-for-one-of -historys-greatest-military-leaders-2016-5/?IR=T. Retrieved July 24, 2017.
[17] Lyn Mc Donald, “Florence Nightingale & European Wars: from Crimean War to the France-Prussian War, dalam Journal Bahasa Belanda, Leidschrift Historisch Tijdsrift, 2007.
[18] “American Civil War Facts-Civil War Medicine” (n.d.) Retrieved from http://www.civil.war-facts.com/Interesting-Civil-War-Facts/Civil-War-Medicine-Facts.html.
Dixon, I., “Modern Medicine’s Civil War Legacy.” Retrieved July 24, 2017 form http://www.civilwar.org/learn/articles/civil-war-medicine.
[19] Lyn Mc Donald, “Florence Nightingale & European Wars: from Crimean War to the France-Prussian War, dalam Journal Bahasa Belanda, Leidschrift Historisch Tijdsrift, 2007.
[20] de Villiers, J., (1983) “The Medical Aspect of the Anglo Boer War, 1899-1902: Part 1. From http://samilitaryhistory.org/vol1062jchtml. Retrieved July 24, 2017.
[21] McPherson, J., Battle Cry of Freedom; the Civil War Era, (Oxford University Press, 1988)
[22] Lyn Mc Donald.
[23] Perry, S. (2014), “Medical Lessons from World War 1 Underscore Need to Keep Developing Antimicrobial Drugs, from htttps://www.mintpost.com/second-opinion/2014/11/medical-lessons-world-war-i-underscore-need-keep-developing-antimicrobial-dru. Retrieve July 24, 2017.
[24] Gundle, K., “Reticulations of Orthopedics Surgery: The Process of Specialty Boundary Formation and the Provisions of Fracture Care in the United States.” (LULU Press; 2014).
[25] Hillyer, C. “Blood Banking and Transfusion Medicine: Basic Principles & Practice. (Elsevier: Churchill Livingstone, 2007)
[26] Van Epps, H.L.. Rene Dubos: Unearthing antibiotics, The Journal of Experimental Medicine, 203(2), 259.
[27] Kroger, A., Hamborsky, J., for Diseases Control, C., (U.S.), P., Wolfe, C., (U.S.), P.H.F., (U.S.), R.D., Epidemiology and Prevention of Vaccine-Preventable Diseases, (The Pink Book, Public Health Foundation, 13th edition, 2015)
[28] King, B., & Jatoi, I., “The Mobile Army Surgical Hospital (MASH): A Military and Surgical Legacy. Journal of the National Medical Association, 97(5), 648-656. Retrieved from http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2569328/
[29] World Health Organization (WHO) Global Burden of Disease 1990-2020; Ng.et al. (2011) “The Rise of Chronic Non-communiable Diseases in South East Asia; time for action”, The Lancet. www.data.worldbank.org/indicator/SH.DTH.NCOM.ZS.
[30] Malaysia and WHO Country Cooperation Strategy 2016-2020 (2016)
[31] GBD Profile, Malaysia 2013 www.healthmetricandevaluation.org
[32] NHSM 2015.
[33] www.healthdata.org/malaysia
[34] WHO Malaysia, Ministry of Health National Survey for Health and Morbidity (NSHM) 2015.
[35] WHO (2014)
[36] GBD Malaysia (2013)