Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.
Aidiladha disambut dengan melaksanakan Takbir Muqayyad selepas Solat Subuh pada 9 Zulhijjah, takbir yang sunat dilakukan berterusan oleh orang yang tidak menunaikan rukun haji, setiap kali selepas solat sehingga waktu Asar pada 13 Zulhijjah, dan menyempurnakan solat sunat Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah, selanjutnya melakukan ibadah korban pada hari-hari Tasyrik dari 10 sehingga 13 Zulhijjah.
2. Aidiladha merupakan hari umat Islam memperingati kecekalan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan keredaan putera Baginda, Nabi Ismail Alaihissalam memenuhi perintah ALLAH Subhanahu Wata’ala; antara contoh pengorbanan paling hebat dalam sejarah manusia, antara contoh tahap ketakwaan paling tinggi dalam diri insan, dizahirkan dengan kesanggupan seorang ayah menyembelih leher anak kesayangan, dan kerelaan seorang anak menyerahkan nyawa demi membantu seorang ayah dapat mematuhi perintah ILAHI.
3. Ibadah korban ialah salah satu ibadah sunat muakkadah, iaitu sunat yang sangat dituntut, ibadah yang mendekatkan diri insan kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala, ibadah yang menghidupkan syariat Nabi Ibrahim Alaihissalam yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam; sabda Baginda bermaksud:
“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai ALLAH pada Hari Raya Aidiladha kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)… ”[1]
4. Setiap insan ketika melalui perjalanan hidup, perlu menempuhi pelbagai liku ujian, yang ada kalanya memerlukan pengorbanan. Walau seberat mana pengorbanan yang perlu dilakukan, seseorang insan yang kukuh imannya, akan mentafsirkan bahawa setiap yang berlaku, memiliki hikmah.
5. Disebabkan perlunya diperkenalkan langkah-langkah pencegahan untuk menangani wabak Covid-19, umat Islam di serata dunia, yang berhasrat mengerjakan Rukun Islam kelima pada tahun ini, memamah kepahitan dan dihambat rasa pilu berikutan ketetapan kerajaan Saudi Arabia, mengenakan had jumlah sepuluh ribu orang jemaah haji, yang hanya dibenarkan dalam kalangan orang-orang yang telah berada di negara tersebut.
6. Wabak Covid-19 telah meletakkan dunia berada dalam suasana kemudaratan. Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:
“Tidak boleh memberi mudarat dan tidak boleh membalas kemudaratan, dengan kemudaratan”[2]
Memelihara nyawa amat dititik beratkan oleh para pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan dengan tugas pemerintahan. Ketika dunia sedang menghadapi ancaman wabak Covid-19, pendirian kerajaan Malaysia adalah selari dengan ketetapan kerajaan Saudi Arabia, berpegang kepada prinsip maqasid syariah, ia itu tujuan syariat yang mengutamakan prinsip kemaslahatan ummah. Maqasid syariah amat menekankan keselamatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
7. Anggaplah ketidakcapaian hasrat untuk melakukan ibadah haji pada tahun ini sebagai satu ujian ILAHI yang memerlukan pengorbanan. Setiap yang berlaku, ditentukan oleh ILAHI. Hanya ALLAH Subhanahu Wata’ala yang Maha Mengetahui rahsia yang terselindung dan hikmah yang tersembunyi di sebalik penangguhan melakukan ibadah haji pada tahun ini. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala menggantikan pengorbanan ini dengan ganjaran yang lebih baik. Kepada ALLAH kita berdoa agar mempertemukan kita sebaik penyelesaian bagi menghadapi wabak Covid-19 yang begitu mengancam kehidupan alam ketika ini.
8. Dengan penentuan ILAHI jua, Aidiladha pada tahun ini dirayakan pada tarikh yang telah ditetapkan oleh negara sebagai Hari Pahlawan, hari untuk menghargai dan memperingati jasa dan pengorbanan para anggota Pasukan Pertahanan dan Pasukan Keselamatan, terutama mereka yang terkorban ketika melaksanakan tugas. Para anggota pertahanan dan anggota keselamatan memikul tanggungjawab yang amat berat untuk mengawal negara daripada serangan musuh, di samping memastikan negara berada dalam aman sentosa. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:
“Menjaga sempadan negara sehari semalam adalah lebih baik dari berpuasa dan solat malam sebulan penuh. Bila penjaga tersebut meninggal dunia (dalam tugasnya) ia akan terus diberikan pahala atas amalan yang biasa dilakukannya sebagaimana ia terus dikurniakan rezeki dan kenyamanan dari segala pengganggu (azab kubur) ”[3]
9. Negara Malaysia berjaya dipertahankan sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat dan penduduk negara ini dapat menjalani penghidupan dalam suasana aman dan damai, kerana keberkesanan para anggota tentera dan polis melaksanakan tugas. Dalam menjunjung amanah mempertahankan kedaulatan kemerdekaan negara dan dalam memenuhi tanggungjawab memulihara keamanan negara, ramai anggota tentera dan polis yang telah berkorban, ramai yang kehilangan nyawa, ramai pula yang cedera. Ketika kita sedang menghadapi juadah Aidiladha, ketika ramai kita beriang ria bersama keluarga dan jiran tetangga, ramai pula anggota tentera dan polis yang sedang bertugas baik di darat, air dan udara dan tidak kurang yang sedang menghadapi pelbagai ancaman.
10. Anggota pasukan keselamatan ialah wira-wira negara; terbukti daripada semangat kepahlawanan yang diserlahkan oleh Leftenan Adnan bin Saidi, bersama 42 orang askar Rejimen Melayu, berjuang hingga ke titisan darah terakhir, ketika bertempur dengan tentera Jepun di Bukit Candu pada 14 Februari 1942; demikian juga kecekalan semangat juang yang diserlahkan oleh Sarjan Jamil Mohd. Shah bersama 25 orang anggota, mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan pengganas komunis pada 23 Februari 1950. Peristiwa di Bukit Candu dan peristiwa di Bukit Kepong, ialah dua peristiwa penting yang membuktikan tahap pengorbanan, keberanian, kecekalan dan kegigihan anggota tentera dan polis di negara ini memenuhi amanah dengan semangat sedia berputih tulang daripada berputih mata.
11. Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia berjaya menyemaikan semangat kesetiaan kepada Raja – kesetiaan kepada negara tanpa berbelah bahagi dalam minda dan dalam jiwa anggota mereka. Seyogia disedari dan wajib diakui, bahawa kedaulatan negara ini telah dipertahankan oleh pasukan tentera dan polis, yang anggotanya terdiri daripada warga pelbagai kaum – pelbagai agama. Ketua Polis Negara Abdul Rahman Hashim yang dibunuh secara kejam dalam perjalanan ke tempat kerja pada 7 Jun 1974, berketurunan Melayu – beragama Islam; Ketua Polis Perak, Khoo Chong Kong, juga dibunuh secara kejam dalam perjalanan dari tempat kerja pada 13 November 1975, berketurunan Cina – beragama Kristian; sementara anak muda yang baharu berusia 24 tahun, Kapten Mohana Chandran, yang bersedia menerima tanggungjawab mengetuai 23 orang anggota Renjer, menggempur gerombolan pengganas komunis di Hutan Simpan Ulu Kinta, gugur dalam pertempuran pada 13 Jun 1971, berketurunan India – beragama Hindu. Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang telah mengakibatkan anggota tentera dan polis gugur ketika melaksanakan tugas.
12. Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.), merupakan darjah tertinggi antara lima darjah Gagah Perkasa, dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang telah menunjukkan keberanian luar biasa atau melakukan sesuatu tindakan dengan gagah berani serta penuh pengorbanan. Penerima pertama anugerah darjah Seri Pahlawan Gagah Perkasa ialah Special Constable Veloo anak lelaki Rajavelu, pada tahun 1963, diikuti Konstabel Abu Bakar bin Ngah Wahab pada tahun 1969, dan barisan penerima pada tahun 1971, terdiri daripada Second Lieutenant Abdul Razak bin Hussain, Konstabel Fong Thean Kit, Inspektor Kartas Singh, Pegawai Waran Lenggu anak China dan Koperal Yeap Sean Hua. Antara nama dalam senarai yang telah dianugerahkan darjah Seri Pahlawan Gagah Perkasa, ialah SAC Abdul Razak Mohd Yusoff, Supritendent Datuk Paul Kiong, DSP Datuk Sia Boon Chee, Koperal Ngalinuh Bala, Konstabel Etin anak Bijang, Trooper Rasli bin Buang, Inspektor Syed Mokhtar bin Syed Zubir Barakhbah, Kapten Hamid bin Awang, Chief Inspector Chin Chin Kooi, Inspektor Reggie anak Deli, Pegawai Waran Kanang anak Langkau, Kapten Narendran Indi Shanmugam, Assistant Superintendent Mohd. Zabri Abdul Hamid.
13. Panglima Gagah Berani (P.G.B.) merupakan darjah kedua tertinggi antara lima darjah Gagah Perkasa. Leftenan (berpangkat Mejar Jeneral ketika bersara) Abdul Rahman Khamis merupakan penerima darjah Panglima Gagah Berani yang pertama. Antara penerima anugerah ini ialah Jeneral Mohd. Ghazali Che Mat, Mejar Jeneral Dato’ Abdul Kadir Nordin, Kolonel Ismail bin Salleh, Kol Maurice Lam Shye Choon, Lt Kolonel Robert Rizal Abdullah, Dato Dr. Leong Chee Woh, Mejar Neville Herbert Seible, Mejar Lee Ah Pow, Kapten Shanmuganathan anak lelaki Rampoo, Sub Inspektor Ngalinuh Bala, Pegawai Waran Tachmi bin Ismail, Pegawai Waran Joseph Miling, Staf Sarjan Osman bin Ismail, Chief Inspektor Voon Ken Hong, Sarjan Choo Wah Soon, Sarjan Jantan Nyamat, Renjer Isa bin Hassan, Renjer Lan anak Gima.
14. Nama-nama penerima anugerah dua darjah utama Gagah Perkasa tersebut, nyata membuktikan bahawa perkhidmatan pertahanan dan keselamatan negara kita telah dipikul secara bersama oleh warga Malaysia daripada pelbagai kaum – pelbagai agama dari pelbagai negeri dan wilayah; mereka ialah warga Malaysia yang patriotik, mendukung semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
15. Semangat saling memahami antara kaum – semangat saling menghormati antara agama, berperanan utama untuk menjamin keamanan dan ketenteraman dalam sebuah negara yang warganya terdiri daripada pelbagai kaum – pelbagai agama. Pertahanan negara akan menjadi rapuh jika warga yang terdiri daripada pelbagai kaum – pelbagai agama, gagal menjalinkan hubungan yang harmoni. Pertahanan negara akan menjadi lebih teguh apabila warga berjaya dipupuk menemui titik pertemuan, menghayati semangat bersatu dalam kepelbagaian (unity in diversity). Para pemimpin, secara perkataan dan secara perbuatan wajib memberikan sebaik contoh teladan untuk memupuk semangat saling memahami – saling menghormati, agar warga hidup penuh harmoni dalam sebuah negara yang aman lagi makmur.
16. Beta dan rakyat yang mengutamakan keamanan, amat menghargai pengorbanan setiap anggota tentera dan setiap anggota Polis Diraja Malaysia. Semoga pengorbanan mereka diterima sebagai amal makruf yang diberikan ganjaran dunia – ganjaran akhirat. Bersempena Hari Pahlawan pada hari ini, sebagai tanda menghargai khidmat bakti mereka yang begitu cemerlang, marilah sama-sama kita berdiri memberikan tepukan penghormatan kepada para anggota tentera dan Polis Diraja Malaysia.
17. Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga rakyat Beta dirahmati oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, menyambut Aidiladha dalam suasana riang lagi meriah, dan dalam semangat bersyukur ke hadrat ILAHI. Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, menurut yang diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam telah bersabda yang bermaksud:
“Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir”
Perbanyakan bertakbir dan bertahmid, menzahirkan kesyukuran kepada ILAHI.
ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.
[1] Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud.
[2] Hadis Riwayat Ibnu Majah
[3] Hadis Riwayat Muslim.
In the News:
https://www.utusan.com.my/berita/2020/07/sultan-nazrin-solat-aidiladha-di-masjid-kem-pga-ulu-kinta/