Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Negeri Perak

‘Menangani Ancaman Perubahan Iklim Dan Pemanasan Global’

Salam Sejahtera.

Dunia sedang berhadapan ancaman perubahan iklim dan pemanasan global.  Antartika mencecah suhu tertinggi 18.3 darjah Celsius, pada 7 Februari tahun ini.[1]  Perubahan iklim dan pemanasan global berlaku akibat daripada pembangunan fizikal yang dilaksanakan secara tidak seimbang, hingga ke peringkat yang tidak lagi dapat memelihara kelestarian alam sekitar.

2.      Haba dari bumi terperangkap dalam atmosfera kerana kehadiran karbon dioksida yang tinggi, menjadi bertambah kritikal dengan kewujudan gas-gas lain yang menghalang haba dari dapat terlepas ke angkasa; situasi yang dirujuk sebagai perlepasan gas rumah hijau.  Keadaan bertambah meruncing dengan berlakunya pelbagai projek pembangunan yang melibatkan kawasan tanah gambut, pembalakan yang tidak terkawal, pembakaran berskala besar, arang batu, petroleum dan bahan bakar fosil.  Setiap tan karbon yang dikeluarkan, membawa dunia lebih dekat kepada titik penentuan bahaya kehidupan.  Setiap minit tertangguhnya usaha menangani isu alam sekitar, meningkatkan ancaman terhadap kehidupan, kesihatan dan masa hadapan alam.

3.      Demi menjamin kelestarian alam sekitar, tindakan adaptasi dan tindakan mitigasi perlu dirintis dan dilaksanakan secara serius.  Lima puluh peratus kesan gas rumah hijau disebabkan oleh karbon dioksida.  Setiap pokok muda, berupaya menyerap 13 paun karbon dioksida setahun;  pokok berada pada peringkat paling produktif setelah menjangkau usia sepuluh tahun, berupaya menyerap 48 paun karbon dioksida setiap tahun, sekali gus berupaya membekalkan keperluan oksigen untuk dua orang manusia.  Secara purata, satu ekar kawasan hutan, berupaya mengasingkan 2.5 tan karbon dioksida setahun.  Setiap tan pokok yang tumbuh, akan dapat menyerap 1.5 tan karbon dioksida.  Dianggarkan 100 juta pokok, berupaya mengurangkan 18 juta tan karbon dioksida setahun, yang sekali gus dapat menjimatkan empat bilion dolar setahun pembayaran utiliti dalam kalangan pengguna di Amerika Syarikat. 

4.      Melalui proses fotosintesis, pokok membantu menghapuskan karbon dioksida dan mengembalikan oksigen ke dalam atmosfera.  Inisiatif menanam pokok dalam skala yang besar merupakan satu langkah proaktif yang berupaya menangani ancaman perubahan iklim.  Perkhidmatan ekosistem ekologi semula jadi, dapat dipulihkan dengan pertambahan bilangan pokok, serta usaha serius untuk memulihara dan melindungi kawasan hutan.  Hutan berupaya secara berkesan menyerap radiasi cahaya matahari di samping berperanan sebagai sinki karbon.

5.      Kajian yang terkandung dalam Nature yang diterbitkan pada tahun 2015, melaporkan bilangan pokok sejak menyingsingnya fajar pertanian dua belas ribu (12,000) tahun lalu, hanya tinggal separuh.  Data menunjukkan secara purata, sepuluh bilion pokok dimusnahkan setiap tahun.  Pokok dan hutan, tidak lagi dihargai berdasarkan peranan utama kewujudannya, kerana pokok dan hutan, semakin dilihat sebagai bahan komersial menghasilkan kayu, dan kawasan hutan dilihat sebagai tanah untuk dijadikan ladang tanaman komersial.  Justeru itu, kegiatan penebangan hutan terus berleluasa.  Didorong nafsu haloba manusia, pembalakan dan penerokaan secara haram semakin berlaku.  Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 7 Surah Qaaf bermaksud:

“Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh, dan Kami tumbuhkan di atasnya tanam-tanaman yang indah dipandang mata.”[2]  

6.      Pokok ialah kurniaan berharga daripada ILAHI.  Pokok berperanan penting membantu membendung perubahan iklim dan pemanasan global, melindungi sumber air, meminimumkan hakisan tanah, mengawal banjir, serta menapis dan meningkatkan kualiti udara.  Tanpa pokok, tidak akan adanya hutan.  Tanpa pokok dan hutan, akan hilang segala manfaat rimba raya, berkurang spesies tumbuhan dan haiwan, rosak habitat semula jadi, terputus sistem rantaian makanan, dan terancam kehidupan manusia.[3]  Begitu pentingnya peranan pokok dan menanam pokok dimanifestasikan dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud:

“Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya, maka tanamlah.”[4]

7.      Pada tahun 1977, Wangari Maathai, wanita pertama Afrika Timur yang dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah oleh University College Nairobi, mengasaskan ‘The Green Belt Movement’ di Kenya, sebuah pertubuhan yang antara lain bertujuan untuk memulihara alam sekitar dan merintangi iklim.  Wangari memperkenalkan moto:

“When we plant trees, we plant the seeds of peace and hope.”[5]

8.      Wangari kecewa menyaksikan pokok-pokok asli di bumi Kenya semakin pupus, digantikan dengan pohon-pohon eksotik seperti pine dan eucalyptus yang semakin mendominasi landskap negaranya.[6]  Melalui usaha yang beliau rintis secara gigih, melibatkan rangkaian wanita di kawasan luar bandar, 51 juta pokok berjaya ditanam di bumi Kenya.  Usaha Wangari memulihara alam sekitar dan menyemaikan kesedaran dalam kalangan wanita Kenya, mendapat pengiktirafan antarabangsa; beliau dianugerahkan hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2004.

9.      Wangari Maathai meninggal dunia ketika berusia 71 tahun pada tahun 2011 akibat barah ovari.  Tetapi legasi yang beliau tinggalkan telah menyemaikan inspirasi kepada Felix Finkbeiner, seorang kanak-kanak di Jerman.  Sewaktu baru berusia 9 tahun,  Felix terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi menyelamatkan kehidupan alam dan mengasaskan pergerakan dalam kalangan remaja untuk menanam pokok.  Felix memulakan kempen dengan menanam pokok pertama dalam hidup beliau, sebatang pokok epal di laman sekolahnya pada tahun 2007, dan meletakkan sasaran tanaman sejuta pokok di Jerman; matlamat tersebut tercapai pada tahun 2011.

10.    Usaha Felix mendapat perhatian dunia.  Dengan kemahiran berpidato yang dimilikinya, Felix mendapat undangan untuk berucap di Parlimen Eropah dan Konferensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Norway dan di Korea Selatan.  Ketika berusia 13 tahun, Felix diberikan penghormatan berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di New York.

11.    Felix berjaya meyakini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan kecintaannya terhadap pokok, lantas tanggungjawab mengawas program menanam satu trilion pokok bertujuan menyerap sepuluh bilion tan karbon dioksida setiap tahun, diamanahkan kepada kumpulan Plant-for-the-Planet, di bawah pimpinan Felix.  Kumpulan Plant-for-the-Planet, dianggotai lebih 55,000 ‘Duta Keadilan Iklim’ (Climate Justice Ambassadors), majoriti ahli berada dalam lingkungan usia sembilan hingga dua belas tahun.  Berdasarkan bancian tahun 2017, jalinan kerjasama kumpulan Plant-for-the-Planet dengan UN’s Billion Tree Campaign merekodkan pencapaian tanaman 14 bilion pokok di 130 negara.   Rekod menunjukkan negara China telah menanam 12.8 bilion pokok, diikuti 2.5 bilion pokok di India.  Lapan ratus ribu (800,000) sukarelawan yang berjaya menanam 50 juta pokok di Uttar Pradesh pada tahun 2016, mencatatkan rekod tanaman tertinggi dalam satu hari.

12.    Bumi Ethiopia telah dirosakkan kerana aktiviti penebangan hutan secara keterlaluan.  Kawasan hutan di Ethiopia merosot daripada 35 peratus pada awal abad kedua puluh,  kepada empat peratus pada tahun 2000.  Ethiopia mengadakan gerakan massa menanam pokok.  Rekod menanam pokok terbanyak dalam satu hari di India pada tahun 2016, telah diatasi melalui kempen menanam pokok yang dijalankan serentak di seluruh Ethiopia, di ketuai Perdana Menteri Abiy Ahmed, seorang pemegang hadiah Keamanan Nobel; 350 juta benih pokok, melibatkan 23 juta orang, di seribu lokasi, berjaya ditanam dalam tempoh masa 12 jam, pada 29 Julai 2019.[7]  Dalam aktiviti kempen tanaman pokok, Ethiopia merupakan negara yang berada di tempat ketiga di dunia, berjaya menanam 1.7 bilion pokok dan meletakkan sasaran untuk menanam 4 bilion pokok, di kawasan seluas 6.5 juta hektar.  

13.    Penulis John Evelyn, dalam kertas berjodol ‘Sylva, or A Discourse of Forest-Trees and the Propagation of Timber in His Majesty’s Dominion’[8] yang dibentangkan pada 16 Februari 1662, kepada Royal Society, mencatatkan:

“sowing and planting of trees had to be regarded as a national duty of every landowner, in order to stop the destructive over-exploitation of natural resources.”

14.    Tidak terlalu lama dahulu, menjadi budaya orang Melayu terutamanya di desa, menanam sebatang pokok menandakan kelahiran seorang bayi, sama ada pokok pisang, pinang atau buah, tanpa menyedari bahawa amalan tersebut telah menyeimbangkan sistem ekologi secara semula jadi; kerana manusia menyedut oksigen dan melepaskan karbon dioksida, sementara pokok menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen.  Pepatah Cina menyebut, “Waktu terbaik menanam pokok ialah dua puluh tahun lalu; waktu kedua terbaik menanam pokok ialah pada hari ini.    Menjelang sambutan Hari Landskap Negara peringkat negeri pada tahun ini, Tenaga Nasional Malaysia (TNB) memilih melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat, bekerjasama dengan Kerajaan Beta dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, membiayai program menanam pokok di sekitar Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.  Sejak dua bulan lalu, 633 pokok telah ditanam dalam fasa pertama program ini.  Pokok-pokok yang ditanam dipilih secara khusus dengan mendapat nasihat pakar daripada Tunas Harapan Nursery di Behrang Perak dan Encik Richard James Kingham, seorang yang sangat berpengetahuan mengenai pokok, serta amat berminat dan kasih (passionate) kepada pokok.

15.    Kebimbangan Wangari Maathai, akan kemungkinan pupusnya pokok-pokok asli yang tumbuh secara semula jadi di bumi Kenya, sewajibnya menjadi kebimbangan kita jua.  Pohon-pohon asli, telah ditentukan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala tumbuh subur di sesuatu lokasi, sesuai dan mesra dengan tanah, air dan iklim dalam habitat semula jadi, untuk tujuan tertentu.  Pohon-pohon asli tersebut ialah khazanah semula jadi, khazanah milik sesuatu bumi yang dikurniakan oleh ILAHI.  Beberapa tempat di negeri Perak, dinamakan berasaskan pokok, antaranya Ipoh, Beruas, Lekir, Changkat Keruing dan Padang Rengas.  Berapa ramai generasi pada hari ini yang mengenali pokok-pokok tersebut, dan masih adakah pokok-pokok tersebut di tempat-tempat yang telah menggunakan namanya?

16.    Kesungguhan negara-negara China, India dan Ethopia hendaklah dijadikan teladan;  Semangat Wangari Maathai dan Felix Finkbeiner hendaklah dijadikan inspirasi; dan komitmen TNB mempromosikan program melestarikan alam sekitar hendaklah dijadikan ikutan oleh pelbagai badan, GLC dan syarikat.    

17.    Jika 65 peratus bumi Kenya merupakan kawasan gersang dengan taburan hujan sekitar 20 ke 100 sentimeter setahun, dan Ethiopia yang mencatatkan taburan hujan antara 122 sentimeter ke 200 sentimeter setahun boleh menanam bilangan pokok yang begitu banyak, Kuala Kangsar yang sejak 26 tahun lalu, mencatatkan taburan hujan 190 sentimeter setahun, dengan tanah yang subur, sepatutnya turut berupaya menanam bilangan pokok secara perkadaran (proportionate).  Tanaman 633 pokok, di Bandar Diraja Kuala Kangsar ini, ialah satu permulaan dan jangan menjadi satu pengakhiran.  Setiap pihak hendaklah menggerakkan momentum dengan memberikan komitmen; pejabat kerajaan, syarikat swasta, sekolah, masjid, surau, kawasan perumahan dan kampung, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarela, terutamanya para belia dan para pelajar, bergiat aktif mahu menghijaukan Bandar Diraja Kuala Kangsar.  Usaha TNB bersama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar hendaklah disambut di setiap kampung, di setiap mukim, di setiap daerah dan di seluruh negeri.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda:

“Dunia ini hijau dan cantik dan sesungguhnya ALLAH telah melantik kamu sebagai pengurusnya.  Dia melihat apa yang kamu lakukan…”[9]

18.    Bermula daripada 633 pokok yang ditanam pada Januari 2020, semoga dapat mencecah angka 10,000 pokok di Kuala Kangsar, dan mencecah 100,000 pokok di seluruh negeri pada Januari 2021.  Merimbunkan kehijauan di Bandar Diraja ini, dan menghijaukan seluruh negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah menjadi tanggungjawab kita bersama.


[1] Catatan daripada Pangkalan Penyelidikan Esperanza, Argentina, disahkan oleh UN World Meteorological Organisation (WMO).

[2] Al-Quran, (Qaf, 50:7)

[3] Maizatun Mustafa, “Lindungi alam suatu perjuangan nasionalisme”, Berita Harian, 6 September 2017, 11.

[4] Hadis Riwayat Ahmad dan Bukhari.

[5] Jenni Murray, A History of The World in 21 Women, (London: One World, 2018), 206.

[6] Ibid.

[7] BBC News 29 July 2019.

[8] Sylva, or A Discourse of Forest-Trees and the  Propagation of Timber in His Majesty’s Dominions, a paper by  presented to the Royal Society on 16 February 1662.

[9] Muslim, Sunan, Kitab Ar-Riqaq, Ma Tarak Ba’di fi l-Nasr Adarr ‘Ala Al-Rijal Min Al-Nisa’.

%d bloggers like this: