Sambutan Hari Pahlawan 2014 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, dengan izin ALLAH Subhanahu Wata’ala, kita dihimpunkan pada petang 27 Ramadhan 1435 Hijrah untuk menghormati jasa bakti para Pahlawan Negara yang telah mengabadikan jiwa raga mereka, berbakti dan berkorban untuk nusa dan bangsa. Ketika dikurniakan penghormatan oleh ILAHI, berdiri menzahirkan titah di hadapan para pahlawan negara yang terdiri daripada para anggota Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia, Beta amat insaf akan kekerdilan sifat Beta sebagai seorang hamba yang serba daif lagi kekurangan di sisi ALLAH Yang Maha Agung dan senantiasa memohon petunjuk dari Nya untuk memenuhi amanah yang telah ditentukan. Bahawa dengan petunjuk daripada ILAHI jua, Beta amat sedar akan peranan penting anggota tentera dan polis menjunjung semangat kesetiaan kepada Raja dan Negara, demi memelihara kedaulatan takhta Raja Pemerintah demikian juga menjamin kedaulatan sebuah negara merdeka.

2. Semangat sedia berbakti – sedia berkhidmat – sedia berkorban adalah sebahagian daripada darah daging anggota tentera dan polis. Semangat tersebut, hidup dalam setiap denyutan nadi para anggota tentera dan polis. Semangat tersebut telah memberikan inspirasi kepada Beta, dan telah mengukuhkan azam dan tekad di dalam diri Beta untuk sama-sama memenuhi peranan, sama-sama bersedia mengambil tanggung jawab untuk mempertahankan kedaulatan sebuah negara merdeka.

3. Anggota tentera dan anggota polis adalah insan-insan yang memiliki semangat juang yang kental, memiliki semangat keberanian yang luar biasa, memiliki semangat pengorbanan yang tinggi, memiliki semangat dedikasi yang unggul, lalu berjaya memenuhi amanah dan tanggung jawab untuk mempertahankan kedaulatan sebuah negara merdeka. Anggota tentera dan polis pada setiap masa, melaksanakan tugas tanpa mengenal sempadan masa – sempadan waktu, tanpa mengenal siang ataupun malam, hujan ataupun panas; menggalas tugas baik di darat, di laut begitu juga di udara; berpenat lelah merentas belantara – mendaki gunung – mengharungi lautan, sering kali menghadapi pelbagai risiko besar yang membahayakan diri – mengancam nyawa.

4. Demikian semangat pahlawan – semangat wira yang tertanam di jiwa setiap anggota tentera – setiap anggota polis. Negara yang aman dan warga yang hidup tenteram, adalah hasil daripada dedikasi – daripada komitmen para anggota tentera dan polis melaksanakan tugas secara berkesan. Anggota tentera dan polis, terbukti memiliki semangat sedia mati berputih tulang daripada hidup berputih mata. Dalam mempertahankan kedaulatan sebuah negara merdeka, ramai daripada anggota tentera dan polis telah gugur ketika melaksanakan tugas untuk bangsa – untuk negara.

5. Sambutan Hari Pahlawan, adalah dalam semangat bukan sahaja untuk memperingati para anggota tentera dan polis yang telah terkorban, tetapi hendaklah juga ditafsirkan sebagai manifestasi ingatan negara kepada mereka yang masih dan sedang bertugas; juga apresiasi negara kepada kaum keluarga yang telah kehilangan insan yang dikasihi, bernama anak, suami, isteri, ayah, ibu, abang, kakak atau adik. Tugas berat yang digalas sepanjang masa – sepanjang waktu oleh anggota Pasukan Keselamatan wajib diberikan penghargaan – diberikan apresiasi – diberikan pengiktirafan oleh negara dan bangsa. Para anggota tentera dan polis adalah pahlawan negara; mereka adalah wira bangsa.

6. Jika negara makmur hingga menjadi syurga pelaburan, jika negara aman dan tenteram, jika warga hidup rukun dan damai, sedarilah! bahawa ia dimungkinkan berlaku kerana khidmat berkesan yang dilaksanakan oleh para pahlawan negara dan wira bangsa, bergelar tentera – bergelar polis. Mereka adalah tenaga yang memungkinkan negara kekal berdaulat dan warga hidup dalam harmoni.

7. Ramadhan semakin hampir mencecah pinggir, bulan Syawal semakin hampir muncul di ufuk. Ketika umat Islam memperagakan warna-warni pakaian baru, berduyun ke Masjid pada pagi Syawal nanti, insaflah! bahawa sebahagian anggota tentera dan polis tetap menyarungkan uniform, bertugas baik di hutan belantara mahupun di laut terbuka, di serata kota – di serata desa. Ketika majoriti umat Islam, beriang ria – bergurau senda – bergelak ketawa bersama keluarga menyambut Syawal, insaflah! bahawa sebahagian dari anggota tentera dan polis berada berjauhan dari keluarga, dihantar bertugas ke serata dunia. Ada yang ketika ini telah meninggalkan Tanah Air, mengendalikan tugas berat lagi hiba, membantu urusan mengenal pasti mangsa dan melakukan tugas-tugas menyiasat punca tragedi malang MH17 di Ukraine. Demikian pengorbanan yang dilakukan oleh anggota tentera – anggota polis; betapa berat mata memandang – berat lagi bahu memikul. Mereka adalah pahlawan sejati – wira terpuji, yang telah terpahat cinta kesetiaan kepada negara – kepada bangsa. Masyarakat sewajibnya bersifat lebih adil menghargai khidmat dan pengorbanan anggota tentera – anggota polis.

8. Beta menzahirkan penghargaan kepada setiap anggota tentera dan polis yang telah membuktikan kesetiaan yang tinggi kepada Raja dan Negara, memenuhi peranan berkesan meluhurkan Perlembagaan Negara serta mendaulatkan undang-undang. Beta menzahirkan penghargaan kepada kaum keluarga setiap anggota tentera dan polis yang sama-sama berkorban dan senantiasa memberikan semangat, dorongan serta mendoakan keselamatan anggota tentera dan polis. Beta menzahirkan simpati kepada kaum keluarga yang telah kehilangan insan yang amat bererti di dalam hidup mereka; ibu bapa yang kehilangan anak, isteri yang kehilangan suami, suami yang kehilangan isteri, anak yang kehilangan ayah. Masyarakat sewajibnya menghulurkan pertolongan kepada kaum keluarga yang telah kehilangan insan yang mereka kasihi, yang telah terkorban ketika menjalankan tugas. YA ALLAH! YA RAHMAN! YA RAHIM, hamba-Mu memohon semoga Engkau limpahkan sebesar-besar rahmat kepada ahli-ahli keluarga para anggota tentera dan polis yang telah terkorban. Engkau Yang Maha Mengetahui, untuk itu dipohonkan agar Engkau kurniakan sebaik-baik ganti kepada kehilangan yang telah dan sedang mereka rasai.

9. Negara terhutang budi kepada setiap seorang dari anggota tentera dan polis yang gugur terkorban ketika melaksanakan tugas. Negara juga wajib memberikan pengiktirafan tinggi kepada mereka yang masih bertugas. Pada petang 27 Ramadhan ini, dalam Rumah Allah yang suci lagi mulia ini, bersamalah dengan segala keikhlasan, kita mendoakan agar roh-roh mereka yang telah terkorban mendapat rahmat kasih sayang ILAHI, ditempatkan di kalangan roh para Solihin. Semoga bacaan Surah Yassin, tahlil dan doa kita diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dan apa jua ganjaran daripadanya disampaikan kepada roh-roh para anggota tentera dan polis yang telah terkorban. Kepada Mu jua Ya! ALLAH! kami pohonkan agar Engkau lindungi keselamatan para anggota tentera dan polis yang melaksanakan tugas-tugas fardu kifayah di dunia ini. Amin! Ya Rabul Alamin.

%d bloggers like this: