Sambutan Jubli Emas Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak)

Masjid, yang sering kali dirujuk sebagai rumah ALLAH, merupakan lambang takwa yang menyinarkan syiar keagungan Islam; dimanifestasikan melalui program pertama yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, sebaik sampai ke Madinah semasa peristiwa hijrah, ia itu, membina Masjid Quba,.  Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 108 Surah at-Taubah, bermaksud:

 

“…Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.  Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri.  Dan ALLAH menyukai orang-orang yang bersih.”[1]

 

  1. Pada awal era perkembangan Islam, masjid memenuhi pelbagai peranan, berfungsi sebagai pusat pemerintahan, pentadbiran dan kehakiman, di samping berfungsi sebagai pusat perkembangan sahsiah, ilmu, budaya dan tamadun, serta turut dipenuhi dengan kegiatan-kegiatan kebajikan, kemasyarakatan serta perhubungan ummah; bermakna, lebih banyak ruang masa masjid, dipenuhi dengan kegiatan yang pelbagai, mengatasi waktu yang digunakan untuk bersolat.
  2. Peredaran waktu dan perkembangan tamadun, telah mengubah cara hidup insan, yang terus menghadapi suasana hidup yang berubah dan bertambah kompleks, di samping perlu pula menangani bilangan ummah yang semakin bertambah. Oleh itu peranan dan kegiatan yang dahulunya berlaku di dalam bangunan masjid, kini perlu dipindahkan urusannya di pelbagai premis baharu di luar masjid.

 

  1. Perkembangan yang berlaku ini, tidak bermakna, peranan masjid telah tersisih atau telah menjadi kurang penting. Masjid wajib terus diimarahkan, ditiupkan roh kehidupan dengan pelbagai aktiviti, demi mengelakkan masjid menjadi bangunan kaku lagi terpinggir.  Mengimarahkan masjid ialah tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh mereka yang telah bersedia menerima amanah, dilantik sebagai ahli jawatankuasa masjid, begitu juga dalam kalangan mereka yang dilantik sebagai pegawai masjid.  Orang-orang yang telah diberikan amanah mengurus dan mengimarahkan masjid, jika tidak memenuhi tanggungjawab secara ikhlas, bersungguh dan komited, sebenarnya, telah tidak berlaku adil kepada qariah, dan bersifat, tidak memenuhi janji kepada ummah.

 

  1. Membina masjid merupakan aspek fizikal. Masjid yang sudah dibina secara fizikal, wajib dibangunkan dengan perisian kandungan yang bermakna, dihidupkan oleh orang-orang yang ikhlas, bersungguh dan komited, mahu mengembangkan syiar Islam, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 18, Surah at-Taubah:

 

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid ALLAH hanyalah orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) kecuali kepada ALLAH; (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk”[2]

 

  1. Masjid Sultan Idris Shah II, diiktiraf sebagai Masjid Negeri Perak Darul Ridzuan. Masjid ini, telah dirasmikan pembukaannya pada 15 November 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak ke-33, Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakil-Allallahi Shah II, (Marhum Affifullah). Masjid ini telah pun mencapai usia 50 tahun.  Dalam tempoh masa tersebut, masjid ini telah melalui pelbagai fasa penambahbaikan dan pembesaran secara fizikal, begitu juga telah dibangunkan dengan pelbagai kegiatan.

 

  1. Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memenuhi pelbagai peranan, dan memberikan pelbagai sumbangan, mengimarahkan masjid ini sejak lima puluh tahun yang lalu. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala mengurniakan insan-insan yang diamanahkan untuk menguruskan masjid ini, dengan rahmat dan petunjuk, agar masjid ini akan mencipta pencapaian yang lebih cemerlang 50 tahun dari sekarang, dan mencatatkan sejarah kejayaan yang lebih gemilang, ketika menyambut ulang tahun usia keseratus pada tahun 2068 nanti.

 

  1. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan, Sambutan Jubli Emas, Masjid Sultan Idris Shah II.

[1] Al-Quran: Surah at-Taubah (9:108).

[2] Al-Quran: Surat at-Taubah (9:18).

 

In the News:

https://www.sinarharian.com.my/article/7036

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/518926/elak-masjid-jadi-bangunan-kaku-terpinggir-%C2%A0sultan-nazrin

 

%d bloggers like this: