Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama.
2 Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan limpah rahmat dari Nya juga, Beta dapat berangkat menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak bagi tahun 1427 Hijrah.
3. Peristiwa Hijrah mengandungi banyak pengajaran. Ia melambangkan kegigihan seorang hamba melaksanakan tanggung jawab yang di amanahkan oleh Penciptanya serta azam Baginda menegakkan kalimah kebenaran. Ia memperlihatkan kegigihan seorang Rasul membawa pembaharuan dan kesungguhan usaha Baginda membangunkan ummah. Ia mempamerkan kebijaksanaan pemimpin menyusun pendekatan dan mengatur strategi ketika menghadapi arus tentangan yang paling hebat. Tekad dan azam, kegigihan dan kesungguhan serta kebijaksanaan yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam telah memungkinkan lahirnya satu budaya beragama, budaya bernegara dan budaya bermasyarakat yang begitu hebat hingga terbinanya satu tamadun yang agung.
4. Hijrah merupakan usaha berani lagi gigih untuk memelihara akidah. Hijrah memperkukuh iman – memperteguh keyakinan seorang hamba mentaati perintah Allah Subhanahu Wata’ala. Hijrah mengajar betapa kesediaan dan kesanggupan melakukan pengembaraan mengandungi hikmah terselindung. Hijrah mengajar urusan hubungan keinsanan yang rukun lagi harmonis antara kaum Muhajirin dengan kaum Ansar. Hijrah menunjukkan pentingnya dalam perjuangan akan strategi berundur seketika sebagai langkah membina kekuatan dan memperkukuhkan barisan. Hijrah membuka lembaran sejarah paling agung mengasaskan tapak untuk Islam mencipta kejayaan dan kegemilangan; lalu terbinanya sebuah masyarakat Islam yang menjadi perintis menegakkan negara Islam pertama di Madinah.
5. Nyatalah peristiwa Hijrah tidak sekadar pergerakan manusia secara fizikal – secara geografi dari Mekah ke Madinah. Peristiwa Hijrah memperlihatkan berlakunya perubahan minda. Peristiwa Hijrah membawa peralihan budaya dari budaya primitif kepada budaya progresif. Budaya progresif yang menggalakkan perkembangan ilmu, membantu pembangunan insan, meluaskan rangkaian perdagangan, memakmurkan pembangunan ekonomi.
6. Umat Islam kemudiannya menjadi umat berjaya hingga berupaya membina dunia Islam yang maju. Era kegemilangan Islam bernegara, berkerajaan dan bermasyarakat memuncak; lalu terbinanya Empayar Islam yang agung lagi dihormati; menjadi paksi geopolitik dunia, merentas dari Benua India ke Lautan Atlantik; tercatat sebagai Empayar terbesar dalam sejarah politik dunia.
7. Kegemilangan umat Islam dan dunia Islam tidak dapat bertahan disebabkan kurang bijaksana pemimpin dan umat Islam mengurus kejayaan. Banyak kesilapan dilakukan; paling utama adalah perebutan kuasa dan perasaan tamak. Kepentingan ummah tidak lagi diutamakan. Kepentingan diri, kepentingan keluarga dan kepentingan kumpulan mengatasi kepentingan umum. Dalam taksub untuk mempertahankan kepentingan diri, kepentingan keluarga dan kepentingan kumpulan, kebenaran dan keadilan disisihkan. Amalan-amalan pecah amanah, rasuah, pilih kasih dan salah guna kuasa berlaku dan merebak. Undang-undang turut diketepikan atau disalahgunakan. Oleh itu punca kejatuhan Empayar Islam hendaklah dijadikan pengajaran dan peringatan; dijadikan pedoman dan panduan kepada barisan para pemimpin dan umat Islam.
8. Perpaduan ummah dalam sesebuah negara amatlah penting baik di kalangan umat Islam begitu juga dengan yang bukan Islam. Sebarang peristiwa yang boleh menimbulkan salah faham dan salah tafsiran perlu ditangani segera supaya perpaduan warga dalam sesebuah negara terus terjamin. Realiti hidup dalam sebuah negara yang warganya terdiri dari pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa perlu difahami sedalam-dalamnya.
9. Perkara sensitif menyentuh agama perlu ditangani secara bijak dengan tenang lagi sabar. Kegagalan menangani isu antara agama secara bijak akan menjemput kepada berlakunya anarki yang akan melibatkan pertumpahan darah, kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Keadaan seperti ini tidaklah harus dibenarkan berlaku hingga yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu. Kerukunan negara dan keharmonian warga perlu diutamakan dan dipelihara setiap masa. Dalam hasrat umat Islam mahu agamanya dihormati, umat Islam harus memiliki minda terbuka dan fikiran rasional akan sensitiviti agama dan budaya yang dianuti di kalangan bukan Islam.
10. Sikap adil, saksama dan rasional di antara warga amatlah penting menjadi pegangan. Kebaikan, kemurnian dan keadilan Islam hendaklah senantiasa dipamerkan dengan tidak menimbulkan sebarang kebimbangan dan keraguan kepada yang bukan Islam. Umat Islam harus bijaksana mempamerkan sikap toleransi beragama dan sifat diplomasi bekerjasama; lalu dapat memberikan keselesaan kepada yang bukan Islam untuk bersama menjadi rakan sosial, rakan kerja, rakan dagang, rakan ekonomi dan rakan politik. Umat Islam sendiri wajib bersatu; menjalinkan hubungan persaudaraan dan hubungan kerja yang padu; saling membantu baik dalam bidang sosial, pendidikan, keilmuan, perdagangan dan ekonomi – hingga dapat melahirkan barisan ummah yang makmur, sejahtera lagi berjaya. Umat Islam hendaklah menjadikan diri sebaik contoh teladan supaya agama Islam, institusi Islam dan umat Islam dihormati.
11. Di samping memohon rahmat dan perlindungan ILAHI, warga di negara ini perlu menginsafi bahawa kejayaan diri, kejayaan masyarakat dan kejayaan negara dipengaruhi oleh tindak tanduk manusia itu sendiri. Berazamlah untuk menjadi umat yang bermaruah dan punya harga diri. Oleh itu amatlah penting untuk umat Islam dalam setiap tindak tanduknya mencerminkan budi pekerti yang bijak lagi mulia hingga menjadi sebutan yang akan dicontohi oleh umat manusia sejagat. Hijrahkan minda dan jiwa menuju ke altar yang lebih tinggi dengan meningkatkan amal, memperbaiki budaya kerja, memperkayakan minda dan memperkukuhkan iman.
12. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1427H Peringkat Negeri Perak .
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh .
*****************