Sambutan Maulidur Rasul, dianjurkan dalam semangat mahu memperingati seorang pemimpin ummah yang unggul lagi mulia. Keunggulan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, serta taraf kemuliaan yang dikurniakan kepada Baginda, adalah kerana sifat-sifat istimewa yang Baginda miliki hingga berjaya mempengaruhi pembinaan tamadun ummah yang agung. Dalam merayakan peringatan hari keputeraan Baginda, amatlah relevan bagi ummah mencari mutiara berharga daripada sunnah-sunnah Baginda untuk dijadikan panduan dan pegangan terutama dalam usaha mencari formula menangani situasi semasa.
2. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam merupakan contoh ketampanan lahiriah, yang mencerminkan keindahan dan kemuliaan batiniah. Saidatina Aisyah Radiallahuanha menyatakan bahawa akhlak Baginda ialah Al-Quran, kerana amalan-amalan Baginda mencerminkan apa yang dianjurkan dan menjauhi apa yang ditegah di dalam Al-Quran. ALLAH Subhanahu Wata’ala secara nyata menegaskan bahawa Baginda adalah sebaik contoh ikutan bagi seluruh manusia melalui firman dalam ayat 21, Surah Al-Ahzab yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH Subhanahu Wata’ala dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati ALLAH Subhanahu Wata’ala banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”[1]
3. Keperibadian indah Baginda, terserlah biarpun Baginda belum diangkat sebagai Rasul. Baginda terpelihara daripada sifat yang cela dan akhlak yang buruk . Kemuliaan akhlak Baginda, dimanifestasikan melalui sifat merendah diri, tidak berbangga, tidak sombong dan tidak riak meskipun telah diangkat menjadi Rasul. Baginda tidak pernah mendakwa memiliki sifat-sifat supra-manusiawi, di sebaliknya Baginda menyedari dan berulang kali diingatkan, bahawa Baginda hanyalah seorang insan yang diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan wahyu, mengingatkan manusia agar pengabdian diri hendaklah semata-mata kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala [2].
4. Secara hakikatnya, manusia ialah khalifah ALLAH yang dipilih untuk menyempurnakan tanggungjawab yang telah ditentukan. Oleh itu, manusia wajib menyedari bahawa mereka telah dipertanggungjawabkan sebagai pemegang amanah untuk mengurus dan melaksanakan hukum serta peraturan, dan mengimarahkan bumi ini mengikut petunjuk dan kerangka yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala [3].
5. Atas dasar ini, Rasulullah Sallallahu Álaihi Wasallam, diutus dengan sifat amanah, sifat yang amat wajib dimiliki oleh setiap makhluk yang dimuliakan dengan status khalifah. Menurut Al-Sallabi[4], bukanlah sesuatu yang disengajakan apabila Nabi Sallallahu Álaihi Wasallam pernah melakukan pekerjaan penggembala kambing, bahkan ia merupakan perkara yang diinginkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi-Nabi terdahulu. Pengalaman menggembala kambing memberi impak besar terhadap pembentukan keperibadian dalaman yang menjunjung amanah secara jujur – secara ikhlas. Baginda secara jujur memenuhi amanah yang diberikan oleh pemilik kambing, dan secara ikhlas memenuhi tanggungjawab kepada kambing, makhluk lemah yang diamanahkan berada di bawah pengawasan Baginda; makhluk lemah yang tidak boleh bertutur untuk melaporkan sebarang ketidaksempurnaan jika manusia melakukan kezaliman.
6. Baginda berjaya menjunjung amanah yang diserahkan baik oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala mahupun daripada insan lain dengan kejayaan mengawal nafsu daripada mengutamakan dunia, mengamalkan gaya hidup yang sederhana, mentafsirkan tanggungjawab sebagai amal dan berwaspada bahawa gelaran dan jawatan adalah ujian. Ketika wafat, Baginda hanya meninggalkan sebilah senjata, seekor kuda tunggangan dan tanah yang telah disedekahkan[5].
7. ALLAH Subhanahu Wata’ala telah memberi peringatan tegas mengenai perlakuan mengkhianati amanah berdasarkan firman yang terkandung dalam ayat 27 Surah Al-Anfal yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan kepadamu sedang kamu mengetahui.”[6]
Ayat ini, diturunkan untuk mengingatkan orang-orang yang beriman agar tidak mengkhianati perkara yang telah diamanahkan kepada mereka, merangkumi harta, tanggungjawab, kewajipan dan rahsia. Ayat ini diturunkan bersabit dengan peristiwa seorang Ansar, Abu Lababah, yang telah mengkhianati Rasulullah Sallallahu Álaihi Wasallam ketika berlakunya pengepungan orang Yahudi dari suku Bani Quraizah. Abu Lubabah sangat kesal dengan perbuatannya, lantas ke masjid dan mengikat dirinya pada sebatang tiang. Beliau lalu bersumpah tidak akan makan dan minum sampai mati, sehinggalah ALLAH Subhanahu Wata’ala mengampunkannya. Ketika mengampunkan beliau, ALLAH Subhanahu Wataála telah menurunkan ayat tersebut[7].
8. Peristiwa Abu Lababah, menggambarkan betapa beratnya hukuman yang mesti dilalui oleh mereka yang melakukan pecah amanah kerana perbuatan pecah amanah berpotensi menggugat kerukunan ummah dan kemakmuran negara. Sesungguhnya sifat khianat terhadap amanah, merupakan sifat orang munafik, kerana itu ALLAH Subhanahu Wata’ala menetapkan hukuman sangat berat kepada mereka yang mengkhianati amanah.
9. Sejarah menunjukkan bahawa perbuatan pecah amanah dan rasuah, serta nafsu tamak harta dan penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia, adalah faktor yang menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun. Dalam sejarah Kerajaan-kerajaan Islam, ramai kalangan pemimpin Bani Umaiyah dan Bani Abas, telah lupa kepada amanah ILAHI, kerana terlalu asyik menikmati kemewahan dunia, lalu sanggup menggunakan kekayaan untuk mengekalkan kuasa. Akibatnya negara berada dalam kekacauan dan rakyat berada dalam persengketaan. Apabila kuasa dianggap satu peluang untuk memenuhi kepentingan diri dan bukan satu amanah untuk mengimarahkan bumi ALLAH, maka akan rosaklah tataurusan pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.
10. Rasulullah Sallallahu Álaihi Wassalam telah meninggalkan pesanan melalui sabda yang bermaksud:
“Demi ALLAH Subhanahu Wata’ala, bukan kemiskinan yang menakutkan aku terhadap kamu sekelian selepas ini. Tetapi aku takut jika dilimpahkan rezeki keduniaan kepada kamu sebagaimana yang telah dilimpahkan kepada orang sebelum kamu, yang akibatnya kamu akan berlumba-lumba sebagaimana mereka berlumba-lumba. Maka, menjadi lalai dan rosaklah kamu, sebagaimana mereka telah mengalami kelalaian dan kerosakan.”[8]
Hadith ini diucapkan tatkala Baginda melihat orang Islam terlalu bergembira apabila diberitahu akan mendapat harta yang banyak. Baginda telah memperingatkan bahawa kerakusan dan kesibukan dunia yang mengatasi tanggungjawab untuk menyempurnakan persiapan ke akhirat, akan mendorong kepada fitnah[9].
11. Kebelakangan ini, dilaporkan, begitu banyak berlakunya perbuatan pecah amanah dan perlakuan rasuah di negara ini. Berdasarkan berita yang tersiar di dalam pelbagai saluran media, perlakuan rasuah dan pecah amanah, kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah berlaku pada skala yang sangat besar. Lebih membimbangkan, apabila laporan turut menunjukkan perlakuan rasuah dan pecah amanah dilakukan secara lebih berani dan lebih terbuka dan dilakukan oleh golongan yang berjawatan besar dan berpelajaran tinggi. Firman ALLAH dalam ayat 188 Surah Al-Baqarah bermaksud:
“Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui.”[10]
12. ALLAH Subhanahu Wata’ala telah menegaskan di dalam ayat ini agar manusia tidak memilik harta orang lain dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syarak. Begitu juga kesalahan apabila seseorang itu menguasai harta orang lain dengan cara mengupah saksi-saksi palsu atau memberi suapan kepada para hakim dengan tujuan agar keputusan akan memihak kepadanya dan harta-harta itu akan jatuh ke tangannya. Harta yang diperolehi melalui cara begini, menyebabkan berlakunya penganiayaan dan kezaliman terhadap orang yang berhak.[11]
13. Seseorang insan yang memiliki sifat takwa, akan insaf bahawa tugas, adalah satu amanah ILAHI, dan tidak akan berani mengubah sesuatu hukum, tidak akan sanggup melakukan muslihat atau tipu daya di dalam penghakiman dengan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, kerana perbuatan demikian adalah satu dosa di sisi ALLAH.[12] Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, amat tegas pendirian Baginda dalam isu tipu dan dusta, berdasarkan riwayat daripada Imam Muslim yang bermaksud:
“Dari Abdurrahman bin Abu Barkah, dari ayahnya Radiallahuanhu ia berkata, ‘Kami pernah berada di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, lantas bersabda, mahukah engkau aku beritahukan tiga dosa terbesar? (iaitu) menyekutukan Allah, derhaka terhadap kedua orang tua dan kesaksian dusta atau ucapan dusta. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengucapkan itu sambil bersandar, kemudian Baginda duduk. Baginda tidak henti-henti mengulangi ucapannya, sehingga kami mengharapkan semoga Baginda diam”[13]
14. Diriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar, (sebuah daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam), untuk menilai hasil tamar. Baginda telah menetapkan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi, dan separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin. Ketika Abdullah bin Rawahah menjalankan tugas, orang-orang Yahudi datang membawa berbagai perhiasan, menawarkan kepadanya sebagai pemberian, serta meminta Abdullah bersetuju memberikan kepada mereka lebih daripada separuh hasil di bumi Khaibar. Abdullah lalu berkata, “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawapan tersebut orang-orang Yahudi berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!”[14]
15. Sebagai umat yang telah mengaku bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam itu adalah Penghulu dan Rasul junjungan kita, semaikan dalam diri setiap kita, azam dan tekad, untuk tidak sama sekali mengkhianati amanah yang telah diserahkan kepada kita. Semaikan, suburkan dan kukuhkan sifat amanah dalam darah daging kita. Pastikan sel-sel dalam darah daging kita dan dalam darah daging zuriat kita, tidak dibina daripada sumber pendapatan yang diperoleh melalui perbuatan pecah amanah. Semangat teguh menjunjung amanah, semangat kukuh menolak rasuah, hendaklah menjadi pegangan setiap insan di bumi ini.
16. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala sentiasa menurunkan rahmat dan kesejahteraan kepada Rasul Nya yang terakhir, dan juga kepada para sahabat Baginda yang telah mengorbankan jiwa dan harta, demi memenuhi amanat ALLAH untuk menyebarkan Islam. Sama-samalah kita bersyukur dengan jalan yang telah disinari oleh cahaya kesejahteraan yang dibawa oleh Baginda Rasul Sallallahu Alaihi Wassalam. Janganlah kita mengizinkan diri untuk kembali ke era kejahilan setelah disinarkan dengan petunjuk dan hidayah. Semoga dengan mendalami sejarah dan perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, ummah akan memiliki kekuatan untuk memupuk akhlak al-amin, agar umat Islam menjadi umat yang paling beramanah.
17. Ya Allah Ya Rabbulalamin, cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam sebagai rahmat dan selawat yang akan menyelamatkan kami daripada kekacauan dan kemusnahan pada hari kebangkitan kelak.
- Al-Qurán, (Al-Ahzab, 33:21). ↑
- Annemarie Schimmel, “Dan Muhammad Adalah Utsan Allah” [diterjemahkan daripada buku asal bertajuk And Muhammad is His Messenger oleh Rahmani Astuti dan Ilyas Hasan], (Bandung: Penerbit Mizan, cetakan ketiga 1993), 41-42. ↑
- Ab Aziz Mohd Zin, “Strategi Dakwah Dalam Sirah Nabi s.a.w.”(Kuala Lumpur: Tech Production, 2012), 5-6. ↑
- Ali Muhammad Al-Sallabi, “Al-Sirah Al-Nabawiyah” (Beirut: DarnAl-Ma’rifah, 2005), 55. ↑
- Hamka, “Sejarah Umat Islam”, (Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd, Cetakan Kedua 1997), 115. ↑
- Al-Qurán, (Al-Anfal, 8:27) ↑
- Ahmad Sonhadji Mohamad, “Tafsir Al-Qurán”, (Kuala Lumpur: Pustaka Al-Mizan, Cetakan Kedua 1992), Juz 9, 223-224. ↑
- Al-Bukhari, “Sahih Al-Bukhari”, (Kitab Ar-Riqaq: Bab Ma Yahzaru min Zahrati Ad-Dunya wa Al-Tanafus Fiha, Hadith No 6425) & Muslim, “Sahih Muslim”, (Kitab Az-Zuhd wa Ar-Raqaiq, Hadith No 6-2961). ↑
- An-Nawawi, “Syarah Sahih Muslim”, Bab At-Tahzir min Al-I’tirar bi Zinati Ad-Dunya wa ma Yabsutu Minha (Beirut: Dar Al-Khair, 1994), 117. ↑
- Al-Qurán, (Al-Baqarah, 2:188) ↑
- Ahmad Sonhadji Mohamad, Juz. 2, 73. ↑
- Ibnu Kathir, “Sahih Ibnu Katsir”, [diterjemahkan oleh Abu Ihsan Al-Atsari & Abu Ahsan Sirojuddin Hassan Bashri], (Jakarta: Pustaka Ibnu Katsir, 2012), Jld 1, 611-612. ↑
- Sahih Muslim”, (Kitab Al-Iman, Bab Bayan Al-Kabair wa Akbaruha Hadith No 1-87). ↑
- www.zaharuddin.net (dipetik daripada Kitab Al-Muwattha’, Imam Malik : 1450) ↑