Sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam diutus oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala untuk membawa rahmat kepada sekalian alam.  Seisi alam diwarnai kebahagiaan melalui kejayaan usaha dakwah yang disampaikan oleh Baginda, mengabsahkan wahyu yang terkandung di dalam ayat 107, Surah Al-Anbiya’ bermaksud:

 

“Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”[1]

 

  1. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam melalui pertuturan dan amalan, mencerminkan akhlak sebaik-baik pendidik, berjaya menyebarkan mesej besar akan pegangan akidah yang membawa umat mengamalkan keharmonian hidup di dunia, di dalam persiapan mendapat kesejahteraan akhirat. Baginda menyebarkan wahyu ILAHI melalui pendekatan dakwah yang sangat berkesan dengan mengamalkan sifat-sifat sabar, berlemah lembut, memaafkan dan berkasih sayang, sifat-sifat  yang serasi dengan tabiat dan naluri manusia yang mahukan kebaikan.

 

  1. Baginda berdakwah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, untuk memastikan umat mendapat hidayah dan petunjuk kebenaran, melalui kaedah yang selesa diterima hingga berjaya mendekatkan Baginda dengan umat.[2] Baginda sangat dikasihi dan senang didampingi.  Baginda memberikan kepimpinan secara berlemah lembut dan amat mengasihi umat, disusuli dengan sikap berlapang dada, sabar dan tidak pernah berputus asa sekiranya terdapat umat yang menyimpang daripada kebenaran, seperti yang digambarkan di dalam surah at-Taubah:

 

“Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman.”[3]

 

  1. Umat manusia yang berada dalam kegelapan senantiasa mencari-cari cahaya penyuluh. Para pendeta dan para ulama berperanan penting sebagai sumber yang berupaya menerangi hidup umat yang berada di dalam kegelapan.  Pendekatan dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam hendaklah dijadikan sumber inspirasi oleh para pendeta dan para  ulama, begitu juga institusi dan organisasi Islam dalam usaha membantu umat untuk menemui jalan yang mendapat keredaan ILAHI.  Di dalam ayat 159, Surah Ali Imran, ALLAH Subhanahu Wata’ala menegaskan bahawa kata-kata yang buruk dan hati yang kasar akan menyebabkan umat yang diseru kepada kebaikan, berpotensi menjauhkan diri dan meninggalkan pendakwah yang bersifat sedemikian,[4] kerana kata-kata yang buruk dan hati yang keras, adalah faktor yang boleh menyebabkan kegagalan kepada usaha mahu mengajak manusia ke arah kebaikan[5].

 

  1. Al-Quran turut memperingatkan agar penyeru kebenaran tidak mencari kesalahan orang lain, tidak bertanggapan buruk, dan tidak bersikap impresionistik. Islam menitikberatkan agar seorang Muslim dan Muslimah menjaga kehormatan saudaranya walaupun saudaranya telah melakukan kemungkaran.  Ketika Ma’iz direjam terhadap pengakuan zinanya, maka lalulah dua orang yang terus menghina Ma’iz; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam lantas memanggil mereka berdua, lalu menyatakan bahawa kata-kata yang mencerca Ma’iz, lebih jijik daripada bangkai keldai.[6]  Abu Dawud dan At-Tirmidzi telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang bermaksud:

 

“Adalah haram bagi setiap Muslim ke atas saudara Muslimnya: hartanya, kehormatannya dan darahnya.  Cukuplah keburukan seseorang, bila ia menghina saudaranya sesama Muslim.”[7]

 

  1. Larangan terhadap mencari dan mengintai kesalahan orang lain telah diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran dan diperkuatkan lagi dengan dalil As-Sunnah. Di dalam Al-Quran, ALLAH menurunkan hukum melalui ayat 12 Surah Al-Hujurat  yang bermaksud:

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain.  Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik.  Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.”[8]

 

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah prasangka, kerana sesungguhnya prasangka adalah perkataan yang paling dusta.  Janganlah kalian saling mencari-cari kesalahan orang lain, janganlah kamu saling mencuri-curi informasi, janganlah saling bersaing (dengan cara yang tidak sihat), janganlah saling mendengki, jangan saling membenci, dan jangan saling bermusuhan.  Sebaliknya, jadilah hamba-hamba ALLAH yang bersaudara.”[9]

 

  1. Sikap mencari dan mengintai kesalahan orang lain merupakan pencerobohan terhadap kehormatan seseorang hamba. Tegahan untuk menjauhi prasangka merupakan suatu perintah daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, disusuli dengan larangan Nya terhadap mencari kesalahan orang lain.[10]  Sesungguhnya, syariat ALLAH diturunkan dengan salah satu tujuannya untuk menjaga kehormatan manusia.  Saidina Umar Radiallahuanhu pernah mendapat teguran terhadap perbuatan mengintai kesalahan orang lain.

 

  1. Diriwayatkan Saidina Umar al-Khattab Radiallahuanhu, pada suatu malam ketika meronda di Madinah, terdengar suara seorang lelaki sedang menyanyi di dalam sebuah rumah. Baginda menuju ke arah suara tersebut, lalu mendapati ada seorang wanita bersama lelaki tersebut serta arak ada di sisinya.  Berkatalah Baginda kepada lelaki tersebut, “Wahai musuh ALLAH, aku meyakini bahawa ALLAH akan meninggalkanmu, sedang kamu telah melakukan maksiat kepada Nya.”  Lelaki itu menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, janganlah kamu lekas menghukumku, kerana sesungguhnya aku menderhaka kepada ALLAH hanya sekali, sedangkan kamu tiga kali menderhaka kepada ALLAH kerana ALLAH berfirman; janganlah kamu mencari kesalahan-kesalahan orang lain, sedangkan kamu telah mencari kesalahan ku.  Dan ALLAH ‘Azza Wajalla berfirman; bukanlah kebaikan kamu masuk ke rumah-rumah melalui pintu belakang, dan kamu telah masuk ke rumahku melalui pintu belakang.  Dan ALLAH berfirman; janganlah kamu masuk ke rumah yang bukan rumah kamu sehingga kamu mendapat keizinan dan memberi salam kepada tuannya, dan kamu telah masuk tanpa keizinan dan tanpa memberi salam.”  Berkatalah Umar Radiallahuanhu; “Maka adakah kebaikan yang akan aku dapat daripadamu sekiranya engkau memaafkan aku?”  Lelaki itu berkata, “Ya, demi ALLAH sekiranya engkau mendapatkan kemaafan daripadaku, aku tidak akan mengulangi kesalahan ini untuk selama-lamanya.”  Saidina Umar Radiallahuanhu, mendapat kemaafan lantas keluar dan meninggalkan lelaki tersebut.

 

  1. Di dalam menghadapi perubahan pesat sosial budaya pada era kebangkitan teknologi, dan ketika menangani umat yang lebih literate, lebih terpelajar dan lebih terdedah, terutama di dalam menghadapi generasi muda, para penyeru kebenaran perlu meneliti metodologi dakwah, juga meneliti kaedah yang digunakan untuk menangani pelbagai isu agama. ALLAH Subhanahu Wata’ala telah memberikan garis panduan mengenai tatacara melaksanakan seruan ke arah kebaikan kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam dengan menegaskan tiga kaedah yang dapat memperkasa intelektualisme dakwah dan membawa kesejahteraan kepada ummah.

 

Pertama:    pendekatan dakwah dengan hikmah,

Kedua:       memberi pengajaran dan peringatan yang baik,

Ketiga:       perdebatan dengan cara yang tertib dan sopan.

 

Tidak ada satu pun kaedah tersebut yang menganjurkan kekerasan, menjatuhkan kehormatan dan mencetuskan ketegangan.  Sebaliknya, masyarakat dianjurkan untuk memperoleh kebaikan dengan cara yang bijak, sopan, tertib dan beradab.

 

  1. Pendekatan hikmah turut didefinisikan tentang cara melaksanakan sesuatu urusan secara bijaksana, berlandaskan ilmu yang benar, serta bukti-bukti yang meyakinkan lagi mudah difahami akal.[11] Pengajaran dan peringatan yang disampaikan secara berhemah, mempunyai manfaat sehingga dapat meninggalkan kesan mendalam dalam hati orang yang diseru, di samping berupaya mendekatkan hati mereka kepada penyeru kebenaran.[12]  Perdebatan untuk menegakkan kebenaran dan perbahasan untuk menolak ketidakbenaran, hendaklah dilakukan secara tertib, sopan lagi beradab, tanpa berprasangka, di dalam semangat persaudaraan, tanpa mencetuskan bibit-bibit permusuhan[13].

 

  1. Islam sewajarnya dilindungi dan dikembangkan melalui pendekatan berhemah, secara sopan – secara terhormat, dilaksanakan tanpa paksaan, tanpa tekanan dan tanpa kekerasan; sama sekali tidak dilakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan aib dan hendaklah menjauhkan perbuatan yang merendah-rendah atau menghina insan lain. Islam hendaklah dipertahankan kebenarannya dan dilindungi kesuciannya melalui perbincangan dan penghujahan berdasarkan fakta – berdasarkan kebenaran di dalam semangat yang menghormati kelainan dan perbezaan pandangan; dan selebihnya bertawakal kepada ALLAH yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

 

  1. Malaysia adalah sebuah negara yang harum namanya lagi dihormati di kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam kerana amalan kesederhanaan beragama. Hari ini kesucian dan nama baik Islam semakin dicalarkan di negara ini oleh perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu yang membenarkan para petugas melakukan pelbagai tindakan atas tujuan mahu menguatkuasakan peraturan untuk melindungi Islam.  Kata-kata penghinaan yang diungkapkan, dan tindakan-tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan, telah memberi imej tersangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini.

 

  1. ALLAH Subhanahu Wata’ala tidak sama sekali menurunkan sebarang kuasa kepada sesiapapun untuk menghukum seseorang itu sebagai ahli syurga atau ahli neraka. Islam tidak mengizinkan perbuatan memulau mana-mana kumpulan atau memutuskan silaturahim dengan mana-mana individu, hingga ke tahap penghinaan tidak mahu menguruskan jenazah seseorang individu yang telah meninggal dunia, hanya berpunca daripada perselisihan tafsiran dan pandangan.  Perbuatan-perbuatan sedemikian adalah perbuatan melampau dan keterlaluan yang sangat bercanggah dengan sifat-sifat mulia yang dipamerkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.  Perbuatan dan tindakan sedemikian wajib diberhentikan; perbuatan sedemikian wajib dibanteras secara tegas.
  2. Islam menganjurkan kesederhanaan. Oleh itu majoriti umat yang berpegang kepada amalan kesederhanaan, wajib bangun bersuara, dan suara majoriti ini jangan sama sekali merelakan untuk ditenggelami oleh kumpulan ekstrem yang minoriti.  Umat hendaklah mengembalikan azam dan tekad untuk mendekatkan ummah dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala, menjadikan Islam pakaian luaran dan pegangan dalaman, melalui pendekatan dakwah secara berhikmah, melalui pengajaran baik secara contoh – secara teladan, serta melalui perdebatan yang tertib, sopan lagi beradab.

 

  1. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala melindungi kita daripada melakukan amalan-amalan yang bercanggah dengan nas-nas yang terkandung di dalam Al-Quran. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan hidayah agar kita dipertemukan dengan jalan diredai berpedoman Sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.

 

Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.

 

[1] Al-Quran, [Al-Anbiya’, 21;107]

[2] Muhammad Rafa’at Said, Rasulullah SAW Profil Seorang Pendidik, terjemahan Bahasa Indonesia (Jakarta: CV Firdaus, 1994), 17.

[3] Al-Quran, [At-Taubah, 9;128]

 

[4] Ibnu Katsir, Sahih Tafsir Ibnu Katsir, terjemahan ke dalam Bahasa Indonesia (Bogor: Pustaka Ibnu Katsir, 2006), 339.

[5] Muhammad Mahmud Al-Qadi, I’rab Al-Qur’an Al-Kareem, (As-Sayyidah Zainab: Al-Sahoh, 2010), 139.

[6] Ibnu Katsir, 482.

[7] Abu Dawud (4882) dan At-Tirmidzi (1927).

[8] Al-Quran, [Al-Hujurat, 49; 12]

[9] Riwayat Abu Hurairah Radiallahuanhu

[10] Muhammad Mahmud Al-Qadi, 1031.

14 Ahmad Ghallusy, Dakwah Islamiah Siri Dua, terjemahan ke dalam Bahasa Malaysia, (Kuala Terengganu: Yayasan Islam Terengganu, 1992),148.

[12] Ibid, 146.

[13] Ibid, 147.

%d bloggers like this: