Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Ya Malik, Ya Khaaliq, Ya Aziz, Ya Jabbar,
Dialah ALLAH yang tiada tuhan selain Dia, Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan, Maha Suci, ALLAH dari apa yang mereka sekutukan[1]. Hamba-Mu ini melafazkan kalimah kesyukuran kerana dengan limpah insan dari Mu jua, hamba-Mu dikurniakan usia dan keafiatan dapat menyambut ulang tahun hari keputeraan kali kelima puluh sembilan dalam suasana negeri yang aman dan rakyatnya hidup secara rukun.
2. Istiadat pada pagi ini adalah julung kalinya, dilangsungkan istiadat sambutan secara rasmi ulang tahun hari keputeraan Beta atas nama Sultan, Yang Di-Pertuan dan Raja Pemerintah bagi negeri dan jajahan Perak Darul Ridzuan dan segala takluknya. Beta menghargai lafaz taat setia yang dizahirkan oleh Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir, demikian juga ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Ayat 86 Surah An Nisaa’ bermaksud;
“Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya ALLAH selalu membuat perhitungan atas tiap-tiap sesuatu.[2]
3. Lafaz dan ikrar taat setia tersebut Beta hargai dengan kesedaran bahawa di sisi ALLAH, Beta juga hanyalah seorang hamba yang bersifat lemah lagi kerdil; bahawa ALLAH juga turut memberikan peringatan melalui firman Nya dalam ayat 51 dan 52 Surah An-Nahl yang bermaksud;
“Janganlah kamu menyembah dua Tuhan, sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Esa, sebab itu hanya kepada ALLAH sahajalah kamu takut. Dan kepunyaan Nya segala apa yang ada di langit dan di bumi, dan untuk Nya ketaatan itu selama-lamanya….[3]”
4. Beta amat insaf akan tanggung jawab berat yang wajib disempurnakan dalam memenuhi amanah seorang Amirulmukminin di bumi ALLAH ini. Amanah ILAHI ini adalah satu tanggung jawab yang akan dinilai di Mahkamah Rabbuljalil pada hari kebangkitan nanti seperti peringatan yang terkandung dalam ayat 9, Surah Ali-Imran bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada keraguan padanya, Sesungguhnya ALLAH tidak memungkiri janji Nya[4].”
5. Tanggung jawab seberat ini tidak mungkin dapat dilaksanakan secara berseorangan. Tanggung jawab seberat ini perlu dilaksanakan secara bersama dengan para ulama dan para umara, dalam semangat keinsafan akan tanggung jawab bersama menyempurnakan fardu ain dan fardu kifayah; secara jujur – secara ikhlas meniatkan setiap pekerjaan sebagai ibadah, bahawa hidup dan matinya hanyalah untuk ALLAH, Tuhan semesta alam[5]. Barang dijauhkan Beta daripada didampingi dan barang dijauhkan Kerajaan Beta daripada dianggotai oleh pembesar-pembesar yang berwatak pepat di luar rencong di dalam, bersifat munafik kerana ALLAH Subhanahu Wata’ala juga turut memberi peringatan dalam ayat 123 Surah Al-an’aam yang bermaksud;
“Kami adakan pada tiap-tiap negeri pembesar-pembesar yang jahat agar mereka mengadakan tipu daya dalam negeri itu, tetapi mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya[6]”
6. Allah Subhanahu Wata’ala telah menghamparkan pelbagai contoh untuk dijadikan pengajaran. Terhimpun pelbagai peristiwa sejarah, terkandung kisah-kisah kegemilangan sesuatu bangsa dan sesebuah negara, terpapar kisah-kisah kejatuhan sesuatu bangsa dan sesebuah negara.
7. Umat Arab berada di wilayah yang dianggap terkebelakang, ketika Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam diputerakan. Namun dalam masa yang singkat, Baginda dan pengikut Baginda berjaya mengubah sepertiga peta dunia. Umat Arab yang kecil jumlahnya melakukan penaklukan, berjaya menumbangkan Kerajaan Parsi dan Kerajaan Rom, diikuti kemudiannya dengan penguasaan kawasan Afrika Utara, merentasi ke Lautan Atlantik, dari Selat Gibraltar sehingga ke Visigot Sepanyol. Kejatuhan dua buah negara kuasa besar, Rom dan Parsi, disebabkan faktor kepimpinan negara yang lemah, para pembesarnya hidup bermewah-mewah, raja-raja tenggelam dalam kenikmatan dan lupa akan tanggung jawab; sementara para kaisar melakukan pelbagai kezaliman, penindasan serta kekejaman. Kehidupan rakyat terumbang ambing dan anggota tentera runtuh moral perjuangan serta luntur semangat kepahlawanan.
8. Apabila bangsa Arab pula turut terlena dengan muzik kejayaan, Allah menyerahkan panji kepimpinan dunia kepada bangsa Kurdish dengan tokoh besar mereka Nuruddin Zengi dan Salahuddin al-Ayyubi[7]. Apabila bangsa Kurdish berpaling daripada Islam, Allah telah menyerahkan tampuk kepimpinan Islam kepada bangsa Saljuk dengan tokohnya Alp Arslan; bangsa Saljuk kemudiannya menyerahkan kepimpinan kepada Usmaniah yang terkenal dengan pemimpin besar mereka Sultan Muhammad al-Fateh dan Sultan Sulaiman al-Qanuni[8]. Kerajaan Usmaniah bertahan hampir enam abad memerintah kawasan merentasi dari India sehingga ke wilayah Balkan dan di wilayah Afrika Utara. Kuasa yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, akhirnya jatuh, apabila Sultan-Sultan Usmaniah dan para penguasanya tergelincir jauh daripada syariat Allah dan Rasul Nya. Segala yang berlaku membuktikan kenyataan kalam ALLAH yang terkandung dalam ayat 13 Surah Al-Hudjurat, bahawa ALLAH mencipta manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku dan orang yang paling mulia di sisi Nya ialah orang yang paling bertakwa.
9. ALLAH menyeru orang-orang yang beriman untuk mentaati ALLAH dan Rasul Nya, dan mentaati ulilamri, ia itu orang-orang yang memegang kuasa, tetapi ALLAH juga mengingatkan dalam keadaan timbulnya pendapat yang berlainan tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada ALLAH dan Rasul ia itu Al-Quran dan Sunah[9]. Sayidina Umar ibni Khattab Radiallahuanhu, semasa pemerintahannya telah menegaskan bahawa ALLAH akan menimpakan penghinaan apabila manusia mencari selain daripada Islam sebagai cara hidup[10]. Sayidina Umar Radiallahuanhu, tidak akan melantik orang-orang yang meminta-minta jawatan atau menunjuk-nunjuk kemampuannya atau yang menggunakan saudara mara untuk mendapatkan jawatan, hatta beliau sendiri memarahi cadangan untuk melantik anaknya Abdullah memegang jawatan gabenor wilayah. Pada era pemerintahannya, para pemimpin dipastikan tidak berlaku zalim, tidak menyalah gunakan kuasa untuk kepentingan peribadi dan mereka ditegah melambangkan sebarang kemewahan. Beliau akan bertanya kedudukan harta para wakil yang dilantiknya untuk memastikan tidak berlakunya sebarang penyelewengan dan salah laku.
10. Sayidina Uthman Radiallahuanhu terkenal dengan sifat mulia sebagai seorang hartawan yang sangat pemurah. Sifat mulia tersebut telah memberikan ruang kepada pihak tertentu melakukan pelbagai manipulasi, menggunakan wang negara untuk kepentingan peribadi[11]. Dasar toleransi Sayidina Uthman Radiallahuanhu telah diambil kesempatan oleh orang-orang yang rakus hingga harta Baitulmal tidak terlepas daripada digunakan sewenang-wenangnya[12]. Penglibatan ramai ahli keluarga yang dilantik dalam pentadbiran negara tetapi tidak bersifat jujur telah mengakibatkan banyak peraturan kewangan dan perbendaharaan menjadi longgar yang memberikan kesan negatif kepada pemerintahan. Manipulasi yang dilakukan oleh ahli – ahli keluarga menyebabkan para pegawai yang tidak sealiran, dipecat daripada jawatan; akibatnya kegelisahan sebenar rakyat tidak sampai ke pendengaran Khalifah hingga akhirnya meletus pemberontakan di Kufah[13].
11. Ummah hari ini mungkin bertanya mengapakah boleh berlaku perbezaan corak pemerintahan antara dua orang Khalifah yang sama-sama berpeluang menyaksikan dan menimba pengalaman secara langsung akan cara kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Bahawa setiap yang berlaku adalah dengan penentuan ILAHI. ALLAH Subhanahu Wata’ala telah menjadikan contoh-contoh tersebut agar dijadikan pengajaran oleh umat terkemudian supaya tidak mengulangi kesilapan yang telah pernah berlaku. Firman ALLAH dalam ayat 54 surah Al-Kahfi bermaksud;
“Dan sesungguhnya Kami telah mengulangi bagi manusia dalam Al-Quran ini bermacam-macam perumpamaan, tetapi manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah[14]
Sikap manusia tidak belajar daripada sejarah adalah sebesar-besar pengajaran sejarah[15].
12. Negara ini mempunyai sejarah kemerdekaan yang masih baru dan terlalu singkat yang tidak sepatutnya begitu cepat dilupakan. Perdana Menteri pertama Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) dalam salah satu ucapan menyatakan;
Petikan:
“If you think you are rich there are many richer than you, if you think you are clever there are more people cleverer than you. But if you think you are honest, then you are among the few, and in this instance, it is best to be among the few[16]”
13. Negara terhutang budi kepada peranan Yang Teramat Mulia Tunku, dan barisan yang seangkatan dengan Almarhum itu, antaranya Tun Abdul Razak (Allahyarham), Tun Dr. Ismail (Allahyarham), Tun Tan Siew Sin (mendiang) dan Tun V.T. Sambanthan (mendiang) di dokong oleh barisan pentadbir dan teknokrat yang turut berpegang kepada budaya kejujuran serta ketegasan untuk menyuarakan yang hak selaras dengan nasihat Tun Abdul Razak Hussein (Allahyarham) dalam ucapan yang bertemakan “ROAD TO NATIONHOOD;”
Petikan, “As civil servants, I hope you will stand up to us politicians, and not allow yourselves to be dominated by us. Because in a true democracy, the civil servants have a duty to perform. The future of our country’s democratic way of life is dependent on you[17]”
14. Kata-kata kenegaraan pemimpin silam dan prinsip bina negara yang telah diasaskan oleh pemimpin terdahulu hendaklah senantiasa dijadikan rujukan, dijadikan panduan dan dijadikan pedoman. Bangsa yang berjaya membina tamadun agung adalah bangsa yang memberikan pengiktirafan kepada tokoh-tokoh silam; tokoh-tokoh yang telah merintis perjuangan dan mengasaskan gagasan negara bangsa. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam sendiri telah menunjukkan contoh teladan. Berpandukan kisah yang terkandung dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda menunjukkan sifat menghormati Rasul-Rasul terdahulu; menghargai pandangan mereka ketika Baginda menerima perintah menunaikan solat daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala. Atas sifat menghargai pandangan para Rasul terdahulu, Baginda telah berulang alik memohon ihsan ALLAH Subhanahu Wata’ala untuk mengurangkan perintah solat daripada lima puluh waktu kepada lima waktu sehari semalam. Sifat menghargai jasa tokoh-tokoh terdahulu hendaklah dijadikan budaya kepada warga bangsa. Dalam semangat mahu menghargai jasa bakti tokoh-tokoh terdahulu, Beta telah menetapkan, sempena istiadat sulung sambutan rasmi ulang tahun hari keputeraan ini, untuk mengurniakan anugerah secara anumerta (posthumous) kepada beberapa orang tokoh terdahulu dan kepada individu-individu yang telah mengorbankan nyawa mereka ketika melaksanakan tugas negara bangsa.
15. Beta hargai persepakatan yang Beta peroleh daripada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda, Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar dan ahli Dewan Negara membantu Beta dalam memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin. Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para Hakim, ahli-ahli Dewan Negeri, para ulama, para umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu dan imam serta Jawatankuasa Kemajuan Kampung yang masing-masing telah menyempurnakan amanah untuk membantu supaya negeri ini terus dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera. Demikian jua penghargaan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta.
16. Berpegang dan yakinlah kepada rahmat ILAHI untuk melakukan yang makruf dan yakinlah akan perlindungan ILAHI untuk memerangi kemungkaran; tegapkan iman yang luhur agar terbina sebuah negara bangsa yang kukuh bersatu – teguh berpadu, aman lagi makmur, sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI, ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABUN GHAFFUR’ seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran, ayat 15 Surah Saba.
17. YA MUTAKABBIR, YA MU’MIN, YA MUHAIMIN, YA SALAM, Hamba Mu ini, memohon ihsan dari Mu, agar dikurniakan hikmah, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah. Semoga negeri dan rakyat Perak Darul Ridzuan senantiasa mendapat lindungan dari Mu jua dan dilimpahkan segala keberkatan fid-dunia wal-akhirat.
Wabillahi taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar
27.11.2015
- Al-Quran,Al-Hasjr (59:23) ↑
- Al-Quran, An-Nisaa’, (4:86) ↑
- Al-Quran, An-Nahl (16:51-52) ↑
- Al-Quran, Ali Imran,(3:9) ↑
- Al-Quran, Al An’aam, (6:162) ↑
- Al-Quran, Al-An’aam, (6:123) ↑
- Muhammad Syaari Abdul Rahman, KuasaKepimpinan Al-Fateh, (Selangor: PTS Millennia Sdn. Bhd, 2014), xxvii. ↑
- Ibid, xxviii. ↑
- Al-Quran, An Nisaa’ (4:59) ↑
- Muhammad Syaari, xxvii ↑
- Ibid, 98. ↑
- Ibid. ↑
- Ibid, 101 ↑
- Al-Quran, Al-Kahfi (18:54) ↑
- Aldous Leonard Huxley, Collected Essays. ↑
- Terjemahan: “Jika anda fikir anda kaya, terdapat lebih ramai orang yang lebih kaya; jika anda fikir anda bijak, terdapat lebih ramai orang yang lebih bijak; tetapi jika anda fikir anda seorang yang jujur, maka anda tergolong dalam kalangan bilangan yang kecil, dalam keadaan pada hari ini adalah lebih baik berada dalam golongan yang kecil tersebut” ↑
- Terjemahan; SebagaiPegawaiAwam, Sayaharapandaakanbersediaberhadapandenganpemimpinpolitikdantidakmembenarkanandadidominasioleh kami keranadalamdemokrasi yang tulen, pegawaiawamadatanggungjawabuntukdilaksanakan. Masa hadapanhidupberdemokrasi dinegarakita,bergantungkepadaanda. ↑