Sambutan Ulang Tahun ke-135 Muzium Perak.

‘MUZIUM MENYUSUR ASAL, MEMBINA BANGSA’

 

 

Salam sejahtera.

 

Muzium pada asalnya diwujudkan sebagai tempat untuk mengumpul koleksi-koleksi unik lagi berharga sebagai simbol kekayaan dan status sosial, di samping memperlihatkan pengaruh dan kuasa seseorang.  Antara golongan yang giat mengumpul koleksi-koleksi unik dan berharga, ialah keluarga diraja, ahli gereja, golongan bangsawan dan para pedagang.

  1. Muzium kemudiannya menjadi tumpuan dan pusat, para sarjana berkumpul untuk bertukar-tukar fikiran dan mengkaji ilmu. Muzium Alexanderia di Mesir, sebagai contoh, ditubuhkan pada kurun ketiga, atas arahan pemerintah Mesir yang berazam mahu membawa negaranya mencapai peradaban tinggi.  Rakyat Mesir diperintah menyalin semua buku di dunia, untuk dijadikan koleksi, termasuk menyalin atas gulungan kertas papirus, buku-buku yang dipinjam daripada pedagang-pedagang yang singgah di Pelabuhan Alexanderia.  Melalui usaha yang dilakukan, kota Alexanderia dikenali sebagai kota intelektual.

 

  1. Muzium Perak, ialah muzium tertua dan pertama di Semenanjung Malaysia, diasaskan pada tahun 1883, melalui idea yang dicetuskan oleh Residen Inggeris, Sir Hugh Low, dan disiapkan pada tahun 1910. Taiping dipilih sebagai tapak muzium, kerana Taiping ketika itu, ialah ibu negeri Perak. Sir Hugh Low merasakan perlunya dibangunkan sebuah pusat, mengkaji budaya dan adat resam setempat untuk membolehkan pihak Inggeris dapat lebih memahami cara hidup masyarakat tempatan, supaya dapat membantu, memudahkan mereka mentadbir negara ini.  Beta disembah maklumkan, statistik Jabatan Muzium Malaysia, menunjukkan pada ketika ini, terdapat 189 buah muzium di seluruh negara, di bawah kelolaan Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, juga pihak swasta.

 

  1. Fungsi asal muzium untuk memelihara dan menjaga khazanah warisan negara, kini semakin ketara beralih peranan untuk memenuhi fungsi-fungsi penyelidikan, pendidikan, pemasaran, teknologi dan inovasi. Koleksi artifak hanyalah objek kaku sekiranya dipamerkan atau disimpan tanpa penceritaan yang digarap rapi, berasaskan penyelidikan yang teliti.  Artifak kaku dan mati, wajib dihembuskan nafas, agar artifak itu dapat dihidupkan, berupaya berinteraksi, dirangkaikan, serta memberi pengertian dengan kehidupan semasa.

 

  1. Arus pemodenan dan gelombang globalisasi, menyaksikan berlakunya perubahan kecenderungan, minat dan tumpuan para pelawat; berubah daripada sifat pengunjung yang pasif, sekadar melihat bahan yang dipamerkan, kepada pengunjung yang inquisitive dan interaktif. Oleh itu, muzium hendaklah, berupaya memenuhi keperluan latar belakang pengunjung yang pelbagai,  berfikiran lebih kritikal , serta memiliki tahap literasi dan pengharapan yang lebih tinggi.

 

  1. Muzium tidak harus dikagumi kerana artifak, ciri estetika atau aura misterinya, tetapi muzium hendaklah, dalam mempamerkan bahan dan mempersembahkan urutan peristiwa, berupaya membangkitkan nostalgia silam dan mencuit memori, serta memiliki daya menghembuskan roh keinsafan – membarai semangat kesedaran, melalui ekshibit yang mempamerkan pelbagai tragedi, terutama tragedi yang banyak mengorbankan nyawa dan memusnahkan kehidupan.

 

  1. Dunia, digemparkan dengan peristiwa yang berlaku di Hiroshima dan di Nagasaki. Pada jam lapan lima belas minit (8.15) pagi, 6 Ogos 1945, bom atom pertama dalam sejarah manusia, diletupkan di Hiroshima; diikuti dengan bom kedua yang diletupkan pada jam sebelas dua minit (11.02) pagi, 9 Ogos 1945, di Nagasaki.   Antara 90,000 ke-146,000 nyawa terkorban di Hiroshima, antara 39,000 ke-80,000 nyawa terkorban di Nagasaki, dalam tempoh empat bulan selepas kedua-dua bom tersebut digugurkan, separuh daripada angka kematian berlaku pada hari bom diletupkan.

 

  1. Jepun tidak melupakan tragedi pahit yang mereka alami. Jepun merasakan tragedi pahit itu perlu diperingatkan kepada anak cucu mereka turun temurun.  Muzium dan Memorial memperingati tragedi hitam tersebut, siap pembinaannya pada Ogos 1955 di Hiroshima, sementara di Nagasaki pembinaannya siap pada April 1996; Muzium dan Memorial Bom Atom, berperanan amat berkesan, menyuntik keinsafan dan menyemaikan kesedaran akan penderitaan yang ditanggung oleh penduduk Hiroshima dan Nagasaki secara khusus, dan maruah seluruh bangsa Jepun di serata dunia.  Muzium dan memorial tersebut, dibangunkan dengan tujuan mahu memastikan tragedi pahit yang dialami oleh bangsa Jepun, tidak dipadamkan daripada sejarah.  Dua buah muzium tersebut, memperingatkan tahap kemusnahan yang dicetuskan oleh senjata nuklear, diharapkan dapat berperanan menyedarkan manusia, betapa pentingnya menjamin keamanan serta mengelak peperangan.  Muzium tersebut berupaya menarik empati dan simpati majoriti pengunjung, termasuk dalam kalangan pengunjung dari negara barat, tentang penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Jepun, hingga ramai yang melupakan, tindakan Amerika Syarikat, sebenarnya bersifat tindak balas terhadap serangan mengejut Tentera Udara Jepun menyerang Pearl Harbour pada pagi 7 Disember 1941.

 

  1. Di negara China, Dewan Memorial Nanjing, dibina oleh Nanjing Municipal Government pada tahun 1985, bertujuan memperingatkan rakyat negara China dan warga dunia, akan serangan, pembunuhan beramai-ramai (massacre) dan kekejaman tentera Jepun sewaktu menakluki Nanjing, ibu negara China ketika itu.  Rekod menganggarkan, dalam bulan pertama penaklukan, 300,000 anggota tentera yang tidak bersenjata, bersama orang awam dibunuh secara kejam; mayat bergelimpangan di atas jalan, air sungai berwarna darah; gambar-gambar menunjukkan rakyat China yang menjadi tawanan perang, dijadikan bahan latihan tentera Jepun menggunakan bayonet, sementara 20,000 orang wanita dirogol.  Dewan Memorial Nanjing berjaya menyemaikan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan warga negara China, di samping menunjukkan kepada dunia, penderitaan yang pernah ditanggung oleh rakyat China.

 

  1. The National September 11 (eleven) Memorial and Museum, di New York, dibuka kepada awam pada 21 Mei 2014; dibina untuk memperingati peristiwa pahit yang meruntuhkan World Trade Centre pada pagi 11 September 2001, mengakibatkan 2,977 nyawa terkorban. Memorial dan Museum 9/11(nine/eleven), berjaya menyentuh hati nurani majoriti pengunjung, terutama warga negara Amerika Syarikat untuk menghayati semangat bersatu teguh – bercerai roboh.  Mayor New York, Michael Bloomberg, menyifatkan Memorial dan Museum 9/11(nine/eleven), sebagai simbol penghormatan kepada perpaduan, meriwayatkan kejayaan menyatukan dunia, untuk sama-sama menentang keganasan.

 

  1. Di Israel, tempat kedua paling popular dikunjungi pelancong, selepas ‘Western Wall’, ialah ‘Yad Vashem’, Israel’s National Holocaust Memorial Museum, dibangunkan pada tahun 1953, di Mount Herzi, berdekatan Jerusalem, lapan tahun selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, lima tahun pasca penubuhan negara Israel. Holocaust merujuk kepada genosid, perbuatan penghapusan bangsa dan pembunuhan kaum secara sistematik yang dilakukan oleh Nazi Germany kepada enam juta Yahudi, menyamai dua pertiga bilangan Yahudi di Eropah, sementara 17 juta lagi menghadapi pelbagai tekanan dan penyeksaan, antara tahun 1941 ke tahun 1945.  Holocaust telah mempengaruhi minda masyarakat Yahudi untuk mencapai dua matlamat, pertama; memiliki sebuah negara sendiri, hari ini dinamakan Israel, dan kedua memastikan tidak akan ada ruang untuk membolehkan bangsa Yahudi dikejami lagi.  Yad Hashem bukan sahaja mempamerkan ekshibit yang menunjukkan kekejaman yang dilakukan oleh Nazi Jerman, dan penderitaan kehidupan yang dialami oleh orang-orang Yahudi, tetapi turut mempamerkan bahan-bahan yang menunjukkan semangat kebangkitan dan semangat wira orang-orang Yahudi.  Yad Vashem berjaya menyuntik dalam minda – dalam jiwa orang Yahudi, semangat untuk bangun semula daripada debu-debu kemusnahan.

 

  1. Contoh-contoh yang dipetik, adalah antara banyak lagi muzium yang dibina dan diolah bahan-bahan yang dipamerkan, dan urutan cerita yang dipersembahkan, untuk mencapai tujuan spesifik, menyuntik semangat kenegaraan – semangat patriotisme, meniupkan roh keberanian – roh kepahlawanan, menyemaikan semangat perpaduan – semangat penyatuan, dan melukiskan imej negatif pihak lawan.

 

  1. Negara Malaysia telah 61 tahun merdeka. Ketika Negara mencapai kemerdekaan, yang dilahirkan ketika itu ialah sebuah negara baru; negara merdeka yang mempunyai kedaulatan ke atas warga dan wilayah yang ditetapkan, tetapi bangsa Malaysia belum wujud.[1]  Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1957, disusuli dengan pembentukan Malaysia dalam tahun 1963, ialah pencapaian penubuhan sebuah negara merdeka, sementara membangunkan negara bangsa adalah proses yang masih dirintis, masih menghadapi pelbagai cabaran, dan sangat dibimbangkan bahawa cabaran yang dihadapi dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang teguh bersatu – kukuh berpadu, kini menghadapi ujian lebih getir dan bertambah rumit.

 

  1. Kamus Dewan mentakrif Negara Bangsa sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa.[2] Negara ialah entiti politik – entiti geopolitik, sementara bangsa adalah entiti budaya – entiti etnik; Negara Bangsa adalah satu konsep kenegaraan yang memperoleh pengesahan politik; satu entiti bagi satu-satu bangsa dalam sebuah wilayah berdaulat; istilah Negara Bangsa menyepadukan negara dan bangsa; dipertautkan melalui perkongsian wilayah bersama, ekonomi bersama, serta mempunyai unsur-unsur subjektif bersama;[3] menandakan bahawa warganya telah bersedia berkongsi satu bahasa – satu budaya – satu nilai – satu wawasan.[4]  Negara Bangsa ialah komuniti politik, warganya terangkum dalam sebuah wilayah yang mempunyai simbol-simbol kewibawaan yang dijadikan asas untuk memupuk nilai-nilai patriotisme, kebanggaan dan jati diri.[5]

 

  1. Membina Negara Bangsa merupakan satu proses yang kompleks – proses yang rumit – proses yang berterusan. Semakin bertambah usia negara, warga bagaikan semakin lebih terpisah.  Pelbagai istilah penyatuan diperkenalkan – pelbagai slogan direka cipta, pelbagai logo dilakar, pelbagai lirik dikumandangkan, namun masih tidak memperlihatkan impak keberkesanan menurut yang diimpikan.  Malah slogan ke arah membentuk warga yang bersatu padu dalam sebuah negara yang merdeka, akhir-akhir ini, lebih banyak menimbulkan keraguan, lebih mengundang kontroversi; semakin dipolemikkan – semakin dipolitikkan.

 

  1. Perkembangan ini sangatlah membimbangkan. Dalam negara menumpukan usaha-usaha membangunkan ekonomi dan prasarana fizikal, komponen pengisian, membangunkan warga yang bersatu, menjiwai semangat patriotik terhadap negara, hendaklah diberikan penekanan seimbang, malah dalam senario yang sedang berlaku, keperluan tersebut menjadi semakin diperlukan.  Institusi muzium, berada dalam kedudukan yang dapat memperkenalkan langkah dan kegiatan, membantu negara membina warga yang bersatu padu, warga yang memiliki akar kesetiaan yang kukuh kepada negara, di bawah naungan pemerintahan payung mahkota negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, betapa pun kepelbagaian dan kelainan warga, dari sudut kaum, agama dan kumpulan politik.

 

  1. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala, memakbulkan hasrat dan usaha kita untuk membina warga yang bersatu padu, hidup rukun dan damai, dalam sebuah negara merdeka lagi berdaulat. Amin, Ya Rabul Alamin.

[1] Abdul Rahman Embong, Negara-Bangsa: Proses dan Perbahasan, (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000) ,15.

[2] Kamus Dewan: Edisi Ketiga, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002), 925

[3] Abdul Rahman Embong, 13

[4] Wikipedia.

[5] Rustam A. Sani,  Melayu Baru dan Bangsa Malaysia, (Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1993) dalam “Pembinaan Negara Bangsa Malaysia: Persepsi Mahasiswa Universiti Putra Malaysia Terhadap Proses Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia”

%d bloggers like this: