Seminar Institusi Raja Anjuran Universiti Malaysia Perlis

“PERLEMBAGAAN DAN ISLAM:

PERANAN INSTITUSI RAJA.”

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

MUKADIMAH

Maha Besar ALLAH yang memiliki Kerajaan, Engkau anugerahkan Kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut Kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki; Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki; di tangan Engkaulah segala kebajikan; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu;[1] Engkau jua Ya ALLAH yang menganugerahkan kemuliaan – mengangkat darjat di kalangan hamba-Mu lalu mengamanahkan mereka dengan tugas dan tanggung jawab, untuk disempurnakan secara adil – secara saksama.

2. Hamba-Mu ini mengangkat kalimah kesyukuran kerana dengan kudrat iradat dari Mu jua Ya ALLAH, Hamba-Mu dapat bersama memakmurkan Majlis ilmu anjuran Universiti Malaysia Perlis. Semoga niat suci dan usaha murni sekalian hamba-Mu ini dilimpahkan berkat – dilimpahkan rahmat, diterima sebagai amal makruf, memenuhi seruan Rasul Mu, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, seperti yang terkandung dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Radiallahuanhu bermaksud:

“Menghadiri majlis orang berilmu, lebih utama daripada mendirikan solat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang sakit dan bertakziah seribu jenazah”[2]

begitu juga kata pesanan dari Atha:

“Sesuatu majlis ilmu itu akan menutup dosa tujuh puluh majlis yang sia-sia” [3]

3. Selawat kesejahteraan ke atas Rasul Junjungan, Penghulu kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian; kurniakan rahmat ke atas Baginda, demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berterusan mengembangkan ilmu, berperanan sebagai penyuluh kegelapan. Semoga memperoleh ihsan dari Mu jua Ya ALLAH sehingga ke hari kebangkitan.

4. Kepada Mu Ya ALLAH! dipohonkan petunjuk – dimohon hidayat, mengupayakan Hamba-Mu ini menghuraikan mauduk ‘Perlembagaan dan Islam – Peranan Institusi Raja’; yang mengandungi tiga kata kunci; pertama: Perlembagaan, kedua: Islam, ketiga: Institusi Raja. Dalam menyusun kata – merangkai ayat, mengungkap pandangan – menzahirkan pendapat, Hamba ini memohon kepada Mu, Ya ALLAH, agar dilapangkan untuk ku dada ku; dan mudahkan untuk ku urusan ku; dan lepaskan kekakuan dari lidah ku; supaya mereka mengerti perkataan ku.[4] Amin Ya Rabul Alamin.

5. Menghadap Paduka Kakanda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis; menghadap Paduka Kakanda Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis. Ampun Tuanku, sembah Paduka Adinda mohon diampun. Sesungguhnya Paduka Adinda berasa begitu terhormat dengan keberangkatan hadir Paduka Kakanda berdua, mencemar duli untuk turut mengikuti huraian Paduka Adinda atas mauduk yang telah diamanahkan. Paduka Adinda juga amat menghargai keberangkatan hadir Paduka Anakanda Raja Muda Perlis bersama Paduka Anakanda Raja Puan Muda Perlis.

6. Paduka Adinda amat insaf akan segala kekurangan Paduka Adinda berhadapan seorang Raja Pemerintah yang berdaulat lagi bestari, jauh perjalanan – luas pengalaman, telah pernah menyempurnakan amanah, di takhta Ketua Negara, sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Kedua Belas. Paduka Adinda amat insaf akan kedudukan Paduka Adinda, anak yang masih belum khatam ilmu pengajiannya, ibarat kail panjang sejengkal, ibarat kain pendek sehasta, sekadar busut di tepi gunung – sekadar rehal menjunjung kitab. Oleh itu, Paduka Adinda terlebih dahulu memohon keampunan dari Paduka Kakanda di atas segala kekurangan dan kedaifan Paduka Adinda.

7. Ampun Tuanku, Paduka Adinda dengan ini mohon perkenan Tuanku untuk meneruskan bicara.

PERLEMBAGAAN

8. Perlembagaan sesebuah negara adalah undang-undang yang telah digubal, lalu diterima pakai sebagai prinsip dan panduan pemerintahan. Dalam konteks negara Malaysia, ia dikenali sebagai Perlembagaan Malaysia, lebih kerap dirujuk sebagai Perlembagaan Persekutuan; malah naskhah asalnya lebih dikenali sebagai PERLEMBAGAAN MERDEKA. Proses menggubal Perlembagaan Persekutuan, bermula daripada persidangan yang berlangsung di London dari 18 Januari hingga 6 Februari 1956. Delegasi Persekutuan Tanah Melayu terdiri dari:

  1. Empat wakil Raja-Raja Melayu
  2. Ketua Menteri bersama tiga Menteri Persekutuan Tanah Melayu.
  3. Pesuruhjaya Tinggi Inggeris berserta barisan penasihat.

9. Suruhanjaya Reid ditubuhkan; diberikan tanggung jawab melakukan kajian, seterusnya mengemukakan perakuan kandungan Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya Reid diketuai oleh Hakim Lord Reid, dan dianggotai oleh:

  1. Sir Ivor Jennings, pakar perundangan perlembagaan negara-negara Komanwel
  2. Sir William McKell, mantan Gabenor Jeneral Australia.
  3. Mr. B. Malik, mantan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi India.
  4. Justice Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Tinggi Pakistan Barat.

10. Antara Jun hingga Oktober 1956, Suruhanjaya Reid mengadakan 118 sesi pendengaran (hearings) sebelum merumuskan perakuan pada 20 Februari 1957.[5] Antara perakuan utama yang terkandung dalam draf pelan induk PERLEMBAGAAN MERDEKA menyentuh perkara-perkara berikut:[6]

    1. Keunggulan Perlembagaan.
    2. Badan Kehakiman yang bebas dengan kuasa melakukan kajian semula kehakiman (judicial review).
    3. Kerajaan berteraskan sistem Persekutuan.
    4. Raja Berperlembagaan di Peringkat Persekutuan dan Negeri.
    5. Perlindungan khas hak Raja-Raja Melayu.
    6. Kedudukan istimewa orang Melayu.
    7. Hak kerakyatan kepada setiap orang yang dilahirkan di Persekutuan.
    8. Hak agama, budaya dan bahasa di kalangan bukan Melayu.

11. Permohonan PERIKATAN, begitu juga hasrat UMNO mahu meletakkan Islam di bawah kuasa Persekutuan tidak diterima; di sebaliknya Suruhanjaya Reid menerima tuntutan Raja-Raja Melayu, mengekalkan agama di bawah kuasa negeri.[7] Ini mungkin diasaskan kepada faktor bahawa kuasa Raja berhubung Islam tidak pernah disentuh, di masa negeri-negeri Melayu berada di bawah pentadbiran de facto Residen Inggeris.

12. Kumpulan Kerja Pakatan Tiga Pihak (Tripartite Working Party) mewakili Raja-Raja Melayu, PERIKATAN dan Kerajaan Kolonial telah ditubuhkan untuk mengkaji perakuan Suruhanjaya Reid.[8] Raja-Raja Melayu diwakili oleh Penyimpan Mohor Besar, Haji Mustapha Albakri, Shamsuddin Nain, Tunku Ismail dan Neil Lawson, QC; PERIKATAN diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, Dato’ Abdul Razak, Ong Yoke Lim dan V.T. Sambanthan, dan Kerajaan Kolonial, diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi MacGillivray, Ketua Setiausaha Negara, Sir David Watherston, Peguam Negara TV A Brodie, dan E.O. Laird berperanan sebagai setiausaha. Antara 23 Februari hingga 27 April 1957, Kumpulan Kerja telah mengadakan dua puluh tiga mesyuarat, melakukan pengubahsuaian kepada perakuan asal Suruhanjaya Reid. [9] Antara pengubahsuaian signifikan yang dilakukan menyentuh perkara-perkara berikut: [10]

  1. Memperkukuh peranan Majlis Raja-Raja; sebagai forum yang melantik Ketua Negara; Majlis Raja-Raja berperanan menasihati Yang Dipertuan Agong berhubung urusan lantikan tertentu menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan; dan Majlis Raja-Raja perlu dirunding dalam perkara-perkara penting seperti perubahan sempadan dan wilayah, serta perkara yang menyentuh bidang kuasa Raja.
  2. Menggugurkan perakuan yang meletakkan batasan masa lima belas tahun untuk melindungi keistimewaan orang Melayu.
  3. Islam dikanunkan sebagai agama Persekutuan tetapi tidak mengubah status Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.
  4. Menjamin kebebasan beragama kepada bukan Islam.
  5. Membenarkan pengajaran bahasa Cina dan Tamil serta penggunaan bahasa-bahasa tersebut dalam urusan tidak rasmi.

13. Suruhanjaya Reid, memberi perhatian aspek pergantungan kewangan negeri-negeri dari sumber pendapatan di peringkat Persekutuan. [11] Dalam tahun 1956, keseluruhan perolehan pendapatan Persekutuan berjumlah tujuh ratus empat puluh empat (744) juta ringgit, sementara jumlah perolehan pendapatan negeri-negeri hanyalah sembilan puluh sembilan (99) juta ringgit.[12] Raja-Raja dan PERIKATAN tidak menemui kata sepakat dalam isu menyentuh agihan dan perkongsian hasil negara di antara pusat dengan negeri, lalu wakil Raja-Raja telah memulau mesyuarat yang berlangsung pada 9 April 1957.[13] Kompromi akhirnya dicapai apabila PERIKATAN memberikan persetujuan memperuntukkan geran kepada negeri.[14]

14. Ketika kesetiaan warga kepada negeri masih begitu mendalam – ketika warga kuat memiliki kebanggaan terhadap warisan, adat dan tradisi setempat, Raja-Raja Melayu telah mempamerkan jiwa besar, memberi perkenan untuk memungkinkan penubuhan sebuah Persekutuan. Jiwa besar yang dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu telah memudahkan urusan penggubalan Perlembagaan. Lantas PERLEMBAGAAN MERDEKA berjaya disiapkan mengikut jadual. Sesungguhnya sembilan Raja Melayu pada hakikatnya telah membuktikan sebaik contoh, semangat untuk merealisasikan perwujudan sebuah negara bangsa, dengan perkenan mengurniakan sebahagian besar kedaulatan dan menyerahkan sebahagian besar kuasa negeri masing-masing untuk memungkinkan tertubuhnya sebuah Persekutuan, di bawah konsep Federal isme. Apabila Raja menemui kata muafakat, warga mencapai kata sepakat.

15. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 5 Ogos 1957 oleh Sir Donald Charels MacGillivray bagi pihak Ratu Inggeris dengan lapan Raja Melayu; dan bagi Negeri Sembilan, ditandatangani secara bersama oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berserta empat Undang dan Tengku Besar Tampin.[15] Pada tarikh keramat, 31 Ogos 1957, Duke of Gloucester bagi pihak Ratu Inggeris menyerahkan Perlembagaan Persekutuan kepada Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera, dalam gegak gempita teriakan MERDEKA: berkibarlah bendera JALUR GEMILANG, berkumandanglah lagu NEGARAKU, lalu lahir sebuah negara merdeka lagi berdaulat. Perlembagaan Persekutuan berperanan sebagai carta dan kompas, sauh dan layar kepada sebuah bahtera merdeka.[16] Pada September 1963, Parlimen Malaysia menggubal Akta Malaysia 26/1963, memberi wajah baru kepada PERLEMBAGAAN MERDEKA selaras dengan pembentukan negara MALAYSIA. [17]

16. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Terkandung 183 perkara di dalamnya. Perlembagaan Negara kita adalah antara Perlembagaan bertulis yang paling komprehensif, mengandungi pelbagai perkara, begitu menyeluruh, digubal secara terperinci – di halusi secara teliti. Dalam bab akhir buku An Introduction To The Constitution of Malaysia, Tun Mohamed Suffian telah mencatat frasa berikut:

Petikan: For such a small country Malaysia has a fearfully long and elaborate Constitution and the visitor from Mars may be forgiven for thinking that our Constitution must have been devised by a mad professor of constitutional law”. [18]

17. Perlembagaan sesebuah negara, sui generis sifatnya, ia itu, berada dalam kelas tersendiri. Perlembagaan Persekutuan tidak sekadar dokumen undang-undang.[19] Perlembagaan Persekutuan pada hakikatnya mengandungi semangat dan roh negara, mencerminkan persetujuan-persetujuan yang di capai ketika negara memperoleh kemerdekaan.[20] Ia memperlihatkan semangat persefahaman – ia mempamerkan kesediaan berkompromi pelbagai pihak[21] – ia memanifestasikan pencapaian kata sepakat antara takhta dengan rakyat, antara rakyat sesama rakyat yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Perlembagaan Persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi. Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan – aspek sejarah bernegara, berpayungkan Raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa peribumi. Amanat yang terkandung dalam tujuh wasiat Raja-Raja Melayu dianyam secara tersirat dalam dokumen yang tersurat.

18. Terpahat secara tersirat – tertera secara tersurat di dalam Perlembagaan Persekutuan semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain, diberikan jaminan untuk dilindungi pada setiap masa. Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan tanpa perkenan Raja-Raja. Perkara-perkara yang telah sama-sama dipersetujui ketika penggubalan PERLEMBAGAAN MERDEKA, menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak boleh sama sekali diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek. Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditafsirkan secara menyeluruh kerana kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa.[22]

19. Dalam penghakiman kes Dato’ Menteri Othman bin Baginda & Anor melawan Dato Ombi Syed Alwi bin Syed Idrus, Ketua Hakim Negara, ketika itu, Yang Amat Arif Raja Azlan Shah antara lain menyebut: [23]

Petikan:

“In interpreting a constitution two points must be borne in mind. First, judicial precedent plays a lesser part than is normal in matters of ordinary statutory interpretation. Secondly, a constitution, being a living piece of legislation, its provision must be construed broadly and not in a pedantic way – with less rigidity and more generosity than other Acts”

(see Minister of Home Affairs v Fisher (1979) 3 All ER 21)

Yang Amat Arif Raja Azlan Shah seterusnya menyatakan:

Petikan:

“It is in the light of this kind of ambulatory approach that we must construe our Constitution. The Federal Constitution was enacted as a result of negotiations and discussions between the British Government, the Malay Rulers and the Alliance Party relating to the terms on which independence should be granted. One of its main features is the enumeration and entrenchment of certain rights and freedoms. Embodied in these rights are the guarantee provisions of Article 71 and the first point to note is that, that right does not claim to be new. It already exists long before Merdeka, and the purpose of the entrenchment is to protect it against encroachment.”

20. Perlembagaan Persekutuan hendaklah dijadikan rujukan utama dalam mengurus tadbir negara. Ia mengatasi segala undang-undang lain. Tidak ada undang-undang lain yang harus mencabar keunggulannya. Mematuhi dan menghormati perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan bukan satu pilihan tetapi adalah satu kemestian untuk membolehkan sistem pemerintahan demokrasi yang sejati dapat ditegakkan.

ISLAM

21. Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara. Islam mula berakar di Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Terdapat penemuan-penemuan yang menunjukkan Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka.[24] Raja Kedah, Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam dalam tahun 1136 Masihi, menukar nama kepada Sultan Mudzafar Shah, dan mengasaskan Kesultanan Islam di Kedah. Di Melaka, Parameswara setelah memeluk Islam, menukar nama kepada Raja Iskandar Shah. Dengan pengislaman Raja Melaka pada tahun 1409[25], Islam bertapak lebih kukuh di alam Melayu[26], dijadikan agama rasmi di Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458).[27]

22. Penduduk di Nusantara Melayu, memeluk Islam kerana dorongan dan dakwah Raja-Raja, bukan kerana ditakluk atau dipaksa. Islam berevolusi menjadi titik penyatuan negara bangsa di bawah pemerintahan Raja-Raja. Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara.[28]

23. Risalah Islam memberi impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu. Islam mengisi kandungan rohani, begitu serasi – begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu. Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia. Islam mengubah anutan agama umat Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.[29] Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat.[30] Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru.[31]

24. Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu; ia mencetuskan satu revolusi pemikiran; mengupayakan umat menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur.[32] Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya.[33] Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan alam mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme – daya intelektualisme, mengangkat adab dan susila serta kesedaran umat terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan.[34]

25. Lalu berlaku pengubahsuaian dalam sistem pemerintahan, menjelmakan identiti baru. Raja dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)”.[35] Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia – para anbia.[36]

26. Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan, melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.[37]

27. Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu. Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak[38]. Di negeri Perak, Undang-Undang 99 digubal, berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerapkan pengaruh Islam dalam pentadbiran.[39]

28. Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu kekal meneruskan tradisi pemerintahan beraja berteraskan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris. Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam. Proses peralihan sistem perundangan dilakukan dari negeri ke negeri dengan penerimaan Common Law Inggeris, mengganti perundangan berlandaskan syarak; akibatnya Islam terpisah dari arus perdana pentadbiran, malah hal ehwal Islam ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan institusi-institusi yang dibatasi bidang kuasanya.

29. Terbukti, bahawa dalam era pemerintahan Kesultanan Melayu. urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek-aspek perundangan, ekonomi, pendidikan dan sosial, telah diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini.[40] Pengiktirafan tersebut selanjutnya diperkukuhkan melalui penghakiman kes Raman lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah “lex loci of the land”.[41]

30. Berasaskan hakikat ini, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh PARTI PERIKATAN agar Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu. PARTI PERIKATAN adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India, tiga kumpulan etnik utama di kalangan penduduk Tanah Melayu. Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat lima belas negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka, Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:

Petikan:

“If in these countries a religion has been declared to be the religion of the State and that declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration is included in the Constitution of Malaya. In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists. All that is required is to transplant it from the State Constitution and to embed it in the Federal”[42]

31. Pengiktirafan Islam sebagai agama Negara bukan komponen baru di bumi ini, ia sebenarnya adalah kesinambungan tradisi dan penerusan hak yang telah lama berakar, ia adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, di samping termaktub sebagai komponen yang tersurat di dalam Perlembagaan.

32. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain,[43] telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya, berserta keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh Raja-Raja Melayu yang tidak tersentuh dan tercacat, termaktub dalam Perkara 3(2) Perlembagaan.

33. Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.

34. Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan[44]. Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain – lawan – Fatimah Sihi dan yang lain,[45] telah memberikan tafsiran berikut:

Petikan:

“… Peruntukan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam….”

35. Setelah hampir lima puluh enam tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah empat belas kali Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah tiga belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan. Segala persetujuan, wajib dihormati. Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun.

RAJA

36. Sembilan negeri di Malaysia kekal berada di bawah payung naungan Raja. Institusi Raja telah wujud lebih enam abad dan telah berakar umbi di bumi ini. Perlu difahami bahawa penduduk di negeri-negeri beraja di alam Melayu, menganggap mereka menetap bukannya dalam wilayah sempadan geografi mengikut tradisi Eropah, tetapi hidup tertakluk kepada kesetiaan di bawah payung naungan Raja.

37. Istilah ‘KERAJAAN’ berasal daripada perkataan Sanskrit ‘Ke-Raja-An’; mengandungi istilah RAJA, bermaksud rakyat yang tertakluk kepada seorang Raja Pemerintah. Sembilan Raja Pemerintah yang masih kekal bertakhta adalah pewaris pemerintahan di negeri masing-masing. Sesungguhnya sistem beraja telah menjadi benteng penghalang dari memudahkan imperialis British melakukan penjajahan mutlak; British sekadar berupaya memperkenalkan sistem Residen, satu bentuk penjajahan tidak langsung atau pemerintahan de facto yang masih mengekalkan kedaulatan Raja Melayu. British, terpaksa mengadakan rundingan dengan setiap Sultan, dan hanya berupaya melakukan penjajahan secara mencantumkan perjanjian-perjanjian yang diperoleh secara berasingan.

38. Ketika merangka formula membentuk kerajaan merdeka, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) amat menghayati, bahawa sistem pemerintahan berteraskan Raja terlalu berharga dan terlalu bernilai untuk ditiadakan. Tanah Melayu yang merdeka telah memilih untuk memeterai sistem pemerintahan beraja yang kekal segar dengan menjelmakannya dalam bentuk dan acuan kontemporari. Institusi Raja diluhurkan dengan sebaik pendekatan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Lalu diperkenalkan sistem berkerajaan dan bernegara yang menggabungkan institusi Raja dengan institusi rakyat, berasaskan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kedaulatan Raja diberikan wajah baru, dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni.

39. Raja, termaktub di dalam Perlembagaan diwujudkan berasas undang-undang. Sepuluh peratus atau 19 dari 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara-Perkara berkaitan Raja. Berpandukan Perlembagaan, adalah jelas dan nyata, Raja Berperlembagaan di Malaysia berperanan penting dalam struktur Kerajaan dan struktur negara bangsa.[46]

40. Ketetapan untuk terus mendaulatkan institusi Raja adalah satu pelanjutan adat – satu kesinambungan budaya, berlangsung dalam era modenisasi; betapa keindahan adat – betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa. Persekutuan Tanah Melayu ketika menghadapi opsyen menggubal PERLEMBAGAAN MERDEKA tidak sekadar mengekalkan tradisi beraja di peringkat negeri malah telah memperkenalkan satu lagi lapisan pemerintahan beraja di dalam sistem Persekutuan, dengan mewujudkan seorang Ketua Utama Negara bergelar Yang Dipertuan Agong; Raja kepada seluruh Persekutuan. Secara harfiahnya gelaran tersebut bermaksud ‘Dia Yang Terulung Di Kalangan Kami’, ia itu, ‘primus inter pares’. Sesungguhnya, kewujudan takhta Ketua Utama Negara dan kaedah lantikan Yang Dipertuan Agong, adalah satu kehebatan keaslian inovasi yang telah mengekalkan identiti negara bangsa.

41. Perlembagaan Persekutuan meletakkan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara,[47] secara undang-undang menganggotai tiga cabang Kerajaan yang terdiri dari cabang Perundangan, cabang Eksekutif dan cabang Kehakiman. Parlimen mengandungi tiga komponen, terdiri dari Yang Dipertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.[48] Diperuntukkan supaya Yang Dipertuan Agong menurunkan cap mohor kepada Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan.[49] Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen.[50] Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan.[51] Baginda berkuasa mengampuni dan menangguhkan sesuatu hukuman.[52] Baginda bertanggung jawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain.[53] Baginda diperuntukkan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen, menitahkan supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.[54]

42. Yang Dipertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri Baginda di samping berperanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.[55] Baginda diperuntukkan kuasa melantik dan membatalkan lantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.[56] Baginda diperuntukkan kuasa membuat pengisytiharan darurat[57] serta mengisytiharkan apa-apa ordinan sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak.[58] Baginda diperuntukkan kuasa atas nasihat Perdana Menteri untuk melantik ahli Suruhanjaya Pasukan Polis,[59] dan menurut budi bicara setelah menimbang nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja melantik ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam[60] dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.[61] Majoriti ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera adalah atas lantikan Baginda.[62] Bahagian Sembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan peranan Yang Dipertuan Agong dalam bidang Kehakiman.[63] Atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Baginda melantik Juru Audit Negara,[64] sementara Peguam Negara dilantik oleh Baginda atas nasihat Perdana Menteri.[65] Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dilantik oleh Yang Dipertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja[66] dan Baginda dipertanggungjawab untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat kepercayaan awam.[67]

43. Demikian senarai peranan dan tanggung jawab Yang Dipertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu amatlah tidak munasabah jika jawatan Ketua Utama Negara itu diwujudkan sekadar untuk menyempurnakan tugas-tugas ceremonial atau dianggap boneka untuk menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembahkan, dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat, diwajibkan tanpa opsyen memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas apa juga nasihat yang diangkat sembah kepada Baginda, meskipun nasihat tersebut menyimpang dari undang-undang atau tergelincir dari landasan keadilan atau berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara bangsa.

44. Raja adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum – tanpa mengira agama – tanpa mengira kabilah politik. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan. Untuk itu amatlah penting bagi Raja bersifat berkecuali, memastikan berada di atas segala polemik politik untuk membolehkan institusi Raja berupaya berperanan secara berkesan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama dalam mendamaikan sebarang perselisihan dan untuk memastikan takhta diterima dengan dada lapang dan hati terbuka apabila diperlukan berperanan menurunkan suhu panas yang berkemungkinan mendidihkan lava-lava persengketaan.

45. Raja Pemerintah mempunyai tanggung jawab memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan warga senantiasa dilindungi. Pada pertengahan abad kesembilan belas, Walter Bagehot telah memperkenalkan konsep triniti klasik, dengan menggariskan bahawa Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak; pertama: hak untuk dirunding, kedua: hak untuk memberi nasihat, ketiga: hak untuk memberi peringatan. [68]

46. Dalam perkara-perkara, termaktub secara nyata di dalam Perlembagaan, bahawa Raja perlu bertindak atas nasihat, Duli-Duli Baginda hendaklah menerima nasihat tersebut; tetapi Raja juga tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, bercanggah dengan semangat Perlembagaan, bercanggah dengan undang-undang dan bercanggah dengan keadilan hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman. Apabila Raja dirujuk, Duli-Duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-Duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbang tara yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, sekali gus memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang, demi menjamin berlangsungnya tadbir urus negara yang baik. Institusi Raja yang berjaya mencerminkan sifat-sifat kearifan dan keadilan pastinya akan menjadi sumber rujukan pilihan apabila tercetusnya sesuatu krisis.

47. Tugas tersebut bukanlah ringan; ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman dan kematangan. Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi demografi warga yang berlatar belakangkan pelbagai kaum – pelbagai agama; ditambah pula dengan komposisi warga muda yang bertambah meningkat bilangannya, memiliki pelbagai idealisme, di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi. Pada hari ini, pemahaman warga terhadap Institusi Raja bagaikan berada di dua penghujung pendulum, ada yang menghargai relevansinya, ada pula yang kabur akan peranannya.

48. Sesungguhnya, para pengasas kemerdekaan negara ini telah mendapat petunjuk ILAHI, dengan wawasan bijak membentuk KERAJAAN MERDEKA di bawah naungan Raja Berperlembagaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggung jawab Raja Pemerintah untuk memperlihatkan kepada warga akan relevansi Institusi Raja, terutama untuk memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

49. Pada masa ini, dari jumlah 192 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hanya empat puluh tiga (43) negara masih mempunyai Institusi Raja; Enam belas (16) daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Enam belas (16) negara lagi mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, empat (4) sistem Raja Separa Autonomi, dan tujuh (7) negara mengamalkan sistem Raja Secara Mutlak. The Economist Intelligence Unit Democracy Index mencatatkan: tujuh dari sepuluh negara di tangga teratas yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya adalah negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan;[69] sementara penemuan Transparency International’s Corruption Perception Index mencatatkan tujuh dari sepuluh negara yang berada di tangga terbaik adalah negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan.[70] Sebelas dari dua puluh negara dalam UNDP Human Development Index yang berada di tangga teratas, adalah negara-negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan,[71] dan sembilan dari dua puluh negara di tangga teratas mengikut yang dikategorikan oleh Heritage Foundation’s Index of Economic Freedom memiliki Institusi Raja Berperlembagaan.[72]

50. Dalam menghadapi cabaran dinamik politik yang sedang berlaku, Institusi Raja sedang melalui satu lagi tahap evolusi. Berpedomankan pengalaman dan hikmah takhta Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bersama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Institusi Raja di bumi ini, akan menemui paksi baru untuk melakarkan ruang peranan yang lebih relevan dalam era yang semakin berubah, membantu membina imej institusi takhta yang terus bertenaga – kekal dinamik, berupaya menangani tuntutan dan keperluan semasa, terutama dalam memenuhi peranan sebagai instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

51. Sebenarnya, takhta ketika ini, berhadapan cabaran lebih kompleks, malah diperlu untuk menyempurnakan peranan yang semakin mencabar dalam orbit moden Malaysia. Keunggulan sifatnya, menjadikan peranan Raja begitu jitu terutama ketika menghadapi keadaan yang mendesak. Ciri-ciri keunggulan yang membezakannya dari versi stereotaip, memperlihatkan keistimewaan keupayaan, menggabungkan tiga tenaga utama, pertama: institusi takhta, dilambangkan oleh Raja, kedua: institusi demokrasi, dimanifestasikan melalui Perlembagaan, ketiga: institusi moral atas nama Islam. Bahawa kejayaan yang tercipta sehingga kini adalah hasil daripada peranan bersepadu di antara tatanegara sosial dan sivil; gabungan Raja, Perlembagaan dan Islam.

52. Kebijaksanaan Raja sehingga kini adalah kejayaan mengintegrasikan ketiga-tiga tenaga utama tersebut menjadi satu tenaga yang amat dinamik dalam menstabilkan dan memakmurkan sebuah negara merdeka lagi berdaulat. Kesaktian dari rangkuman tiga komponen – Raja, Perlembagaan dan Islam telah menghasilkan kepaduan yang dihasratkan. Ia turut memberikan kesinambungan serta membuahkan nikmat keharmonian sosial, juga turut memperkukuhkan cara demokrasi dapat berfungsi dan mendasari kestabilan sosial serta kestabilan politik.

PENUTUP

53. Ujian kepada kandungan yang tersirat di dalam Perlembagaan akan menjelma ketika berlakunya situasi kejutan yang tidak ada duluan (precedent), situasi kejutan yang berpotensi mencetuskan senario baru. Ketika menghadapi saat-saat sedemikian, hikmah pemimpin, terutama Raja yang bertakhta di atas politik dan bersemayam di atas birokrasi pentadbiran harian, berperanan amat penting untuk melakukan analisis bijak lagi tepat dengan merumuskan penyelesaian secara adil lagi saksama.

54. Bermula dari pilihan raya umum kedua belas, landskap politik negara menghadapi perubahan. Dikatakan telah berlaku tsunami politik, memperlihatkan negara semakin menuju kepada senario politik dua parti. Senario ini, jika berlangsung secara tertib, meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang, ditangani secara bijak lagi berhikmah, dilihat, berpotensi memberikan impak positif, menyuburkan amalan demokrasi. Tetapi, kelihatan, kaedah menuju ke senario tersebut, bagai mencetuskan gelombang perpecahan, yang ombaknya semakin menghempas minda warga. Warga kelihatan semakin terpisah hingga benteng perpaduan kelihatan semakin retak. Lebih membimbangkan, jika keretakan itu tercetus atas nama agama – atas nama kaum.

55. Dalam senario sedemikian, keluhuran institusi Raja perlu dilindungi dari sebarang bentuk penodaan, agar warga kekal menabur bunga setia. Ketika warga kelihatan semakin hanyut dilambung emosi, amatlah penting diperingatkan semula, kisah perit hikayat lama; betapa akibat fitnah dan hasad dengki, takhta telah disalah pengaruh. Tercetuslah sengketa antara dua saudara yang sebangsa – seagama – seperguruan. Bisa Taming Sari ditusuk ke dada saudara sendiri; yang tewas terkubur tanpa setunggul nisan jasa, yang menang dihempas gelombang serba salah sepanjang masa, betapa Dang Baru memamah pahit sirih derita, bergambir dan berpinang sengsara ke akhir usia, dan keagungan Melaka akhirnya luntur.

56. Segala yang berlaku ketika ini sedang diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan cerita – diimbangkan berita. Raja juga dikurniakan ILAHI dengan akal – dengan fikiran, dilengkapkan dengan deria – disempurnakan dengan hati. Raja juga memikul amanah ALLAH Subhanahu Wata’ala yang wajib dipenuhi. Sebagai Amirulmukminin, Raja bertanggung jawab menyempurnakan tuntutan Fardu Kifayah kepada watan – kepada ummah. Setiap minggu di mimbar Jumaat, Katib mendoakan – jemaah mengaminkan, akan kesejahteraan Raja, agar Raja berdaulat lagi mulia, gagah lagi perkasa, memerintah secara adil lagi saksama, supaya negara aman, sentosa, selamat lagi sejahtera. Warga semestinya meletakkan harapan agar doa mereka dikabulkan ILAHI. Ia tidak sekadar doa, ia juga seruan – ia juga peringatan, akan tanggung jawab dan harapan yang diletakkan kepada Raja.

57. Untuk sekian lamanya, secara terselindung, Institusi Raja berperanan sebagai perekat sosial, yang telah berjaya menyatukan warga. Pemerintahan beraja secara awal dan semula jadi mencerminkan amalan kesederhanaan – menolak ekstremisme. Ia lambang perpaduan – simbol penyatuan; bertenaga membina kesatuan dalam kepelbagaian. Ia teras dalam proses membina dan membangunkan sebuah negara bangsa. Bahawa Raja adalah simbol kedaulatan tanah air warisan Melayu, berperanan sebagai benteng dan kubu pelindung agama Islam dan budaya Melayu, sekali gus memberikan keselesaan psikologi dalam minda umat Islam dan orang Melayu. Namun peranan tersebut tidaklah eksklusif untuk melindungi orang Melayu semata-mata. Raja turut berperanan memberi naungan kepada warga dari semua kumpulan etnik yang menganuti pelbagai agama. Naungan saksama Raja wajib dilimpahkan kepada setiap warga yang telah menerima identiti Perlembagaan, bermastautin secara selesa di bumi ini, yang dimensi sosialnya berorientasikan Melayu, warga yang telah membuktikan kesetiaan, berpegang kepada semangat, di mana bumi dipijak – di situ langit dijunjung.

58. Di era Kesultanan Melayu Melaka, daulat dikaitkan dengan karisma Raja dan tuah Raja, apabila negeri aman, makmur dan kaya raya, tanaman dan tumbuhan subur di ladang, ternakan membiak, rakyat bertambah; maka Raja yang memerintah dianggap bertuah dan tinggi berdaulat.[73] Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam Kitab Ketatanegaraan, Nasihatul Muluk (Nasihat untuk Raja-Raja) yang ditujukan kepada para pemimpin Islam sezaman, menyemaikan budaya ilmu dan tata cara pentadbiran yang menegaskan perpaduan negara, berdasarkan kefahaman bermakna mengenai tuhan, hakikat alam semesta, kehidupan dan kehidupan selepas mati.[74] Islam menegaskan agar pemerintah menyayangi rakyat dan tentunya rakyat akan membalas kasih sayang tersebut. [75]

59. Sewajarnya Raja Pemerintah menghayati sifat-sifat agung ALLAH Subhanahu Wata’ala, sifat-sifat Maha Pengasih – Maha Penyayang, Maha Pemurah – Maha Pengampun yang mengatasi sifat murka Nya. Terkandung dalam kitab al-Fawaid al-Bahiyah tulisan Nuruddin al-Raniri, hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tentang peranan dan tanggung jawab seorang Raja; bahawa sehari amalan seorang Raja yang adil, lebih afdal dari amalan seorang yang beribadat selama enam puluh tahun; bahawa Raja yang zalim atau mengkhianati warganya dan tidak menasihati mereka, tidak akan mencium bau syurga.[76]

60. Nyatalah Raja mendukung amanah berat; peranannya bukan sahaja dinilai oleh warga di dunia ini, tetapi akan turut diadili di Padang Mahsyar nanti. Di Mahkamah Rabbuljalil, berhadapan ALLAH Yang Maha Esa, Raja ketika itu sudah tidak ada Peguam Negara; ketika itu Raja juga bergantung kepada amal makruf yang telah disempurnakan untuk menjadi Peguam Belanya.

Ampun Tuanku

61. Dengan hikmah, kebijaksanaan, serta kebestarian Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, begitu juga Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, semoga warga terus diberikan naungan saksama. Ketika warga dilanda hempasan ombak perebutan kuasa, yang kelihatan semakin meretakkan perpaduan, barang dijauhkan warga dari menghadapi nasib, benang habis – kain tak jadi, jarum patah – baju tak siap. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berada dalam sebaik-baik kedudukan untuk melindungi kepentingan warga. Berkat daulat Raja-Raja Melayu, semoga warga yang berada di tangga dapat ke pelantar, jika di pelantar dapat ke anjung, yang di serambi dapat ke tengah rumah, yang duduk di lantai dapat duduk di tikar. Berkat naungan Raja-Raja Melayu, semoga warga dapat dibimbing, menapis yang keruh menjadi jernih, membuang yang bengkok – mengambil yang lurus.

62. Sekian, ungkap dan kata yang dapat Paduka Adinda zahirkan. Ungkap dan kata yang Paduka Adinda pelajari dan berguru dari rintihan keresahan pacal-pacal di serata pelusuk negara. Dipohonkan keampunan, jika huraian kurang arif, susun kata kurang bijak, bahasa kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam yang boleh diterima, Paduka Kakanda jugalah pendetanya.

Daulat Tuanku

Semoga Raja Kita Selamat Bertakhta.

Wabillahi taufik, walhidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al Quran: Surah Ali ‘Imran (3:26)
  2. Imam Ghazali, Ihya Ulumiddin Jilid 1, (Terjemahan: Prof. TK. H. Ismail Yakub), (Kuala Ldumpur: Victoria Agensi, 1988), 59.
  3. Ibid, 60.
  4. Al-Quran, Surah Thaha, 20:25-28.
  5. Shad Saleem Faruqi, Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia, (Malaysia: Star Publications (Malaysia) Bhd., 2008), 6.
  6. Ibid, 7.
  7. Faruqi, 7.
  8. Faruqi, 8.
  9. Faruqi, 8.
  10. Faruqi, 8-9.
  11. JC Fong, Constitutional Federalism in Malaysia, (Malaysia: Sweet & Maxwell Asia, 2008), 93.
  12. Ibid.
  13. Faruqi, 10.
  14. Ibid.
  15. JC Fong, 10.
  16. Faruqi, 11.
  17. Ibid, 13.
  18. Tun Mohamed Suffian, An Introduction To The Constitution of Malaysia (Third Edition), (Petaling Jaya: Pacifica Publications, 2007), 425.
  19. Abdul Aziz Bari, Politik Perlembagaan: Suatu Perbincangan Tentang Isu-isu Semasa dari Sudut Perlembagaan dan Undang-undang, (Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar, 2005), 25.
  20. Abdul Aziz Bari, 26.
  21. Tun Mohamed Suffian 429.
  22. Abdul Kadir bin Sulaiman, Ucaptama: “Kedudukan Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan Dalam Perlembagaan Persekutuan,” 4.
  23. (1981) 1 MLJ 29
  24. Mahayuddin Haji Yahya, “Penyebaran Islam Di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka: Sejarah Dan Implikasinya,” dalam Polemik Sejarah Malaysia – Jilid 1 (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008), 31.
  25. Encyclopedia of Islam, 1218.
  26. Abdul Monir b. Yaacob, “Undang-undang Islam Dalam Hukum Kanun Melaka,” dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1 (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 319.
  27. Abu Bakar Abdullah, Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah Dan Penyelesaiannya (Kuala Terengganu: Pustaka Damai, 1986) 8.
  28. Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam Di Malaysia,” kertas dalam Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia (Jabatan Sejarah, Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994, 1.
  29. A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan Di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003), 109.
  30. Ibid., 105.
  31. Ibid.
  32. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, (Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia) 19.
  33. Ibid., 22.
  34. Ibid., 20.
  35. Abdullah Alwi Hassan, 1.
  36. Muhammad Yussoff b. Hashim, “Kesultanan Melaka dan Budaya Politik,” dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1 (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 192.
  37. T. Arnold, The Caliphate (Karachi: Oxford University Press, 1965), 50; S.N.H. Naqvi, Ethics and Economy: An Islamic Approach (Leicester: Islamic Foundation, 1981), 45-47.
  38. Mahamad Naser bin Desa, “Kekebalan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan,” Wacana Ilmiah, ILIM 2009, 1.
  39. Ibid.
  40. Ibid.
  41. (1927) 6, FMSLR 128, dipetik dari Mahamad Naser bin Desa.
  42. Ahmad Ibrahim, “The Position of Islam in The Constitution of Malaysia”, in Readings on Islam in Southeast Asia, ed. Ahmad Ibrahim, Sharon Siddique, Yasmin Hussain (Singapore: Institute of Southeast Asian Studies, 1985) 213
  43. Perkara 11(4), 12 (2), 121 (1A), Senarai 2-Senarai Negeri – Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
  44. Mahamad Naser bin Desa, 6.
  45. (2000) 1 CLJ 393
  46. Fatimah Zainab binti Dzulkifli & Nazrul Dadziruddin bin Mohd. Zameri, “The Functions of Constitutional Monarchy in Malaysian Political System: The Perception of Malay Community” dalam Political Management and Policies in Malaysia, 363.
  47. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 32.
  48. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 44.
  49. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 66.
  50. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 55.
  51. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 41.
  52. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 42.
  53. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153.
  54. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 40(2).
  55. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(3).
  56. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(5) dan 43A(3).
  57. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 150.
  58. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 150(2B)
  59. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 140(3)
  60. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 139(4).
  61. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 141A(2).
  62. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 137(3).
  63. Perlembagaan Persekutuan, Bahagian Sembilan.
  64. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 105.
  65. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 145(1)
  66. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 114(1)
  67. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 114(2)
  68. Vernon Bogdanor, The Monarchy and the Constitution, (Oxford University Press, 1995), 410.
  69. The Economist Intelligence Unit, “Democracy Index 2010 – Democracy in Retreat”, www.eiu.com/democracy.
  70. Transparency International, “Corruption Perception Index 2010, http://www.tranparency.org/policy research/surveys indices/cpi/2010/results
  71. UNDP, “Human Develoopment Report 2010 – The Real Wealth of Nations: Pathways to Human Development”, http://hdr.undp.org/en/report/global/hdr2010/
  72. The Heritage Foundation, “2011 Index Econ0mic Freedom-Promoting Economic Opportunities & Prosperity” http://www.heritage.org/index/
  73. Muhammad Yusoof b. Hashim, “Kesultanan Melaka Dan Budaya Politik” dalam Polemik Sejarah Malaysia (Jilid 1), (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008) 189.
  74. Wan Mohd. Nor Wan Daud, Budaya Ilmu dan Gagasan 1 Malaysia: Membina Negara Maju Dan Bahagia, (Kuala Lumpur: Akademi Kenegaraan BTN, 2010), 16
  75. Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidhi, dalam Wan Mohd. Nor Wan Daud, 19
  76. Wan Mohd. Nor Wan Daud, 42.
%d bloggers like this: