Masjid Qubah merupakan masjid pertama yang dibina, dipelopori pembinaannya oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, sebaik Baginda sampai di bumi Madinah. Pembinaan masjid tersebut memanifestasikan, pentingnya masjid, bukan sahaja daripada aspek kewujudan fizikal, tetapi sebagai sebuah institusi yang wajib didahulukan perwujudannya, dalam usaha mahu membangunkan masyarakat, pentadbiran, pemerintahan dan tamadun.
2. Masjid selanjutnya tumbuh secara pesat, selaras dengan pengembangan ajaran Islam, terutama di bumi Madinah al-Munawarah; 18 buah masjid telah dibina pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.[1] Baginda senantiasa memberikan perhatian kepada pembinaan masjid, malah memberikan perhatian yang lebih berat tentang adab di masjid; bermakna aspek pengisian lebih dititikberatkan mengatasi aspek fizikal. Selepas wafatnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, usaha membina masjid terus berkembang pesat. Individu-individu Islam, didahului oleh para sahabat, berlumba membina masjid, dibiayai dengan kekayaan rezeki anugerahi ILAHI, berlandaskan sifat menghayati Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, yang bermaksud:
“Siapa yang membina kerana ALLAH masjid walau hanya sebesar sarang burung, nescaya ALLAH akan membina untuknya mahligai dalam syurga.”[2]
3. Rekod menunjukkan terdapat 609 masjid, 63 surau diri Jumaat, dan 1,945 surau di negeri Perak ketika ini. Setiap masjid begitu juga surau, memiliki identiti dan mempunyai sejarah tersendiri di sebalik pembinaannya. Terkandung pelbagai cerita di sebalik pembinaan setiap masjid begitu juga surau, sama ada daripada segi asal usul tapak, pembiayaan, niat, cabaran, halangan, usaha, pengorbanan dan tenaga penggerak.
4. Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, yang melibatkan kos pembinaan 200,000 ringgit, dalam tahun 1917, memiliki seni bina yang unik, dengan keistimewaan bentuk kubah dan menara, diiktiraf antara lima masjid tercantik di dunia. Masjid Ubudiah dihasilkan reka bentuknya oleh arkitek Arthur Benison Hubback, arkitek yang bertanggungjawab menghasilkan reka bentuk Stesen-stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ipoh. Masjid Ubudiah dibina susulan titah Sultan Perak ke 28, Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul Adzam Shah (Marhum Rahmatullah), untuk memenuhi nazar yang dizahirkan semasa Baginda menerima rawatan kegeringan di Port Dickson. Batu asas pembinaannya diletakkan pada 26 September 1913. Urusan pembinaan Masjid Ubudiah menghadapi pelbagai cabaran. Pembinaannya tertangguh, setelah gajah kepunyaan Baginda, bernama Kulub Chandan, berjuang dengan gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga. Dua ekor gajah yang berjuang, melarat ke tempat simpanan batu marmar, mengakibatkan batu marmar yang diimport dari Itali, pecah dipijak gajah yang berjuang. Akibatnya Masjid Ubudiah hanya dapat disempurnakan pada tahun 1917.
5. Masjid Panglima Kinta di Ipoh, kini berusia 121 tahun, merupakan antara masjid tertua di negeri Perak, dan telah diwartakan sebagai bangunan warisan di negeri Perak. Masjid ini dibina oleh Orang Kaya-Kaya Dato’ Panglima Kinta Mohamad Yusoff bin Lassam, dengan harga 15,000 ringgit pada tahun 1898, sebagai tanda kasih amat mendalam, memperingati isteri beliau Saaidah binti Chik yang meninggal dunia pada tahun tersebut.
6. Catatan sejarah menunjukkan bandar Ipoh diterokai oleh masyarakat Melayu, di bawah pimpinan Dato’ Panglima Kinta pada abad ke 19, bermula dengan perkampungan Melayu bernama Paloh. Salah sebuah masjid tertua di Ipoh, ialah Masjid Kampung Paloh, dibina pada tahun 1912 atas daya usaha Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Raja Wan Muhammad Saleh bin Wan Abu Bakar, Ketua Penghulu dan Pembantu Pemungut Hasil Tanah semasa pentadbiran Frank Swettenham. Ada tiga orang penyumbang utama dalam usaha pembinaan Masjid Paloh, pertama, Toh Puan Saripah binti Duakap yang tidak mempunyai anak telah mewakafkan tanah beliau; kedua, Dato Panglima Bukit Gantang Mahmud bin Mohd. Taib; dan ketiga, hartawan Haji Long Mohd Kassim bin Ngah Banja Jugra, cucunda kepada Panglima Kinta Ngah Sudin.
7. Masjid Ihsaniah Iskandariah di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, memiliki keistimewaan identiti, berbumbung seni bina Melayu yang dikenali ‘bumbung limas’. Masjid ini dibina memenuhi nazar Sultan Perak ke 30, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah) yang menzahirkan hasrat akan membina sebuah masjid, jika anakanda Baginda sembuh daripada gering. Kampung Kuala Dal dipilih apabila Baginda melihat penduduk kampung tersebut bersolat dalam sebuah madrasah yang usang ketika Baginda dalam perjalanan pulang dari Lata Bubu. Baginda telah mengurniakan sumbangan bernilai lapan ribu pound sterling untuk membiayai pembinaan masjid berkenaan, di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan, Jeragan Abdul Shukur bin Mohamed Ali, yang pernah bertugas sebagai setiausaha kepada Sultan Perak ke 28. Masjid Ihsaniah Iskandariah, disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar pada 11 Februari 1938.
8. Hasrat untuk membina sebuah masjid negeri telah dicetuskan oleh Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja Abdul Wahab pada tahun 1951; beliau yang ketika itu memegang tanggungjawab Menteri Besar Perak, menyedari bilangan umat Islam di bandar Ipoh semakin meningkat, dan beliau memerhatikan saiz masjid-masjid yang sedia ada di Ipoh, tidak cukup untuk memuatkan jemaah yang semakin bertambah. Pembinaan masjid negeri yang kemudiannya dinamakan Masjid Sultan Idris Shah II, bermula pada 16 Mei 1966, dengan perbelanjaan 1.84 juta ringgit dan perasmiannya disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Iskandar Shah II, (Marhum Afifullah) pada 15 September 1968.
9. Masjid India Muslim Ipoh dibina oleh Shaikh Adam, seorang hartawan berketurunan India pada tahun 1908 dengan perbelanjaan 500,000 ringgit. Menurut cerita, masjid ini dibina untuk masyarakat India Muslim, berpunca daripada perselisihan faham di antara umat Islam berketurunan Melayu dengan umat Islam berketurunan India, berkemungkinan disebabkan terdapat perbezaan kaedah melakukan ibadah antara mazhab Syafii dengan mazhab Hanafi. Dalam tahun 1930, Masjid Pakistan turut dibina di Ipoh untuk memenuhi keperluan orang Islam Punjab yang dibawa berkhidmat dalam Pasukan Polis di negeri Perak.
10. Pada 24 November 2011, Masjid Muhammadiah mula dibina di Taman Tasek Jaya, Ipoh, merupakan Masjid Cina Muslim pertama di Perak yang mempamerkan ciri-ciri seni bina Cina. Masjid yang melibatkan kos pembinaan 4.5 juta ringgit ini telah mula digunakan pada bulan Julai 2013 dan Beta telah menyempurnakan perasmiannya pada 18 Julai 2014.
11. Masjid Toh Puan Besar Khatijah di Batu Gajah, dibangunkan di atas tapak asal, tanah yang diwakafkan oleh keluarga nenda Beta, Toh Puan Besar Khatijah untuk pembinaan masjid pada tahun 1930. Pada tahun 2006, masjid ini dititahkan dibina semula oleh Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah), sebagai lambang pengabadian penghargaan seorang putera kepada seorang bonda, dan pengabadian kasih sayang Almarhum kepada seorang kakanda dengan menamakan dewan serba guna di Masjid tersebut, Dewan Raja Baharom Shah.
12. Huraian ringkas daripada pembinaan beberapa buah masjid ini dipetik untuk memberikan peringatan bahawa setiap masjid begitu juga surau, memiliki salah silah sejarah tersendiri. Bahan-bahan sejarah tersebut, sebaiknya, diselidiki dan dihimpunkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, didokumentasikan secara digital, sebagai bahan ilmiah berharga, untuk dijadikan bahan rujukan, agar generasi terkemudian, mengenali dan memahami asal usul pembinaan rumah-rumah ALLAH ini, dan tidak mengambilnya secara mudah, lantas bersifat kacang lupakan kulit, tidak menghargai, penat jerih, jasa bakti dan pengorbanan generasi terdahulu, yang mengambil tanggungjawab mengusahakan pembinaan masjid-masjid di negeri Perak.
13. Apakah yang dapat dipelajari daripada kisah-kisah di sebalik pembinaan masjid-masjid tersebut?
Pertama: Penglibatan langsung dan penglibatan aktif Raja Pemerintah dan Orang Besar Negeri dalam pembinaan masjid-masjid utama di negeri Perak.
Kedua: Terdapat para dermawan yang menyediakan dana dan para pewakaf yang menyediakan tapak untuk tujuan pembinaan masjid.
Ketiga: Adanya persefahaman, keterbukaan minda, toleransi dan hormat menerima perbezaan dan variasi, membenarkan mazhab dan kaum yang berlainan, membina masjid yang berasingan dengan reka bentuk berlandaskan budaya masing-masing, mengabsahkan bahawa Islam itu bukan milik orang Melayu dan dianuti oleh orang Melayu sahaja.
Keempat: Berlakunya pertambahan pesat populasi umat Islam berdasarkan keperluan membesarkan masjid sedia ada, di samping keperluan membina masjid baharu.
Kelima: Masjid dibina untuk berperanan sebagai pusat penyatuan, membolehkan ummah berkumpul, berinteraksi, bermasyarakat dan menjalinkan hubungan ukhuwah dan mengeratkan silaturahim.
Keenam: Penglibatan malah kerjasama dan sokongan orang bukan Islam membantu urusan pembinaan masjid, terutama dalam kerja-kerja reka bentuk, binaan dan membekalkan bahan-bahan binaan.
14. Dalam melakukan analisis sepintas lalu, sejarah pembinaan beberapa buah masjid di negeri Perak, Beta terpanggil untuk turut mendalami kisah di sebalik pembinaan Masjid Negara. Sebulan sebelum Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Almarhum), dalam Majlis Eksekutif Persekutuan pada 30 Julai 1957, menyuarakan cadangan hasrat membina Masjid Negara, sebagai simbol kemerdekaan negara. Jawatankuasa Pusat Masjid Negara lalu ditubuhkan di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein (Allahyarham). Jawatankuasa ini bertanggungjawab mencari sumbangan untuk membiayai pembinaan masjid yang dicadangkan.
15. Pada bulan Disember tahun 1959, Yang Teramat Mulia Tunku meminta Arkitek Baharuddin Abu Kassim mereka bentuk sebuah masjid untuk kegunaan rakyat. Arkitek Baharuddin telah memilih sebuah bukit, sebagai tapak masjid, berdasarkan niat beliau mahu memuliakan rumah ALLAH, agar ditempatkan di atas muka bumi yang tinggi. Yang Teramat Mulia Tunku menyuarakan pendapat berbeza, tidak mahu masjid dibina di tapak yang menyusahkan pengguna mendapat akses. Yang Teramat Mulia Tunku mahukan masjid dibina di tempat yang mesra pengguna serta mudah dikunjungi pengguna, dan melihat tapak yang berdekatan dengan stesen kereta api sebagai tapak yang amat strategik lagi sesuai, memandangkan, pada ketika itu, kereta api berperanan sebagai saluran komunikasi penting menghubungkan rakyat.
16. Perlu diimbas kembali dan disedari, sesungguhnya tapak Masjid Negara, bukan sahaja lokasinya berhampiran dengan stesen kereta api, tetapi berhadapan Station Hotel, tempat bersejarah, tempat berhimpunnya Raja-Raja Melayu, berdiri dengan hiba dan linangan air mata, menyaksikan daripada balkoni hotel tersebut, sembah taat setia rakyat Melayu, berhimpun dengan songkok berkabung, menuntut kedaulatan Raja-Raja Melayu dipertahankan, dan dengan itu merafakkan sembah, memohon Raja-Raja Melayu tidak berangkat untuk merestui, di sebaliknya hendaklah memulau upacara pelantikan Govenor pertama Malayan Union, Sir Edward Gent pada 1 April 1946.
17. Reka bentuk Masjid Negara diolah secara bersama oleh Arkitek Howard Ivor Ashley dari United Kingdom bersama Arkitek Baharuddin Kassim. Masjid Negara yang terletak dalam kawasan seluas 13 ekar,dibangunkan atas tapak yang sejak tahun 1922 menempatkan sebuah gereja, Venning Road Brethren Gospel Hall. Masjid Negara siap dibina pada tahun 1965. Sebagai tanda mahu menghargai pimpinan dan usaha, Yang Teramat Mulia Tunku, Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada sebelas negeri di Tanah Melayu, mencadangkan agar masjid yang siap dibina, dinamakan dengan nama Yang Teramat Mulia Tunku. Di sebaliknya, Yang Teramat Mulia Tunku memilih menamakan masjid tersebut, Masjid Negara, sebagai lambang pencapaian kemerdekaan untuk semua rakyat.
18. Walaupun pembinaan Masjid Negara dibiayai sebahagian besarnya daripada dana Kerajaan Persekutuan, malah boleh dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, namun Yang Teramat Mulia Tunku memilih untuk memberi ruang, agar rakyat berpeluang melakukan ibadah melalui sumbangan kepada Tabung Pembinaan Masjid Negara. Paling menarik, sumbangan dana membina Masjid Negara, turut datang daripada orang-orang bukan Islam, daripada pelbagai kaum – pelbagai agama, termasuk daripada badan-badan bukan Islam.
19. Apakah iktibar yang boleh diambil di sebalik pembinaan Masjid Negara?
Pertama: Yang Teramat Mulia Tunku memilih masjid sebagai simbol kemerdekaan negara, selaras dengan sejarah dan falsafah pembinaan masjid pertama ia itu Masjid Quba, yang melambangkan ummah telah dimerdekakan daripada minda perhambaan.
Kedua: Brethren Gospel Hall, gereja yang berusia 37 tahun, secara rela hati bersedia beralih ke tempat lain untuk memberi laluan kepada pembinaan Masjid Negara, tanpa menimbulkan sebarang prasangka dan prejudis atau konflik dan polemik agama, membuktikan hubungan harmoni antara kaum dan sifat saling menghormati – saling memahami antara agama begitu sihat dan konstruktif pada era pascamerdeka.
Ketiga: Mengutamakan kemudahan jemaah daripada aspek kemegahan dibina di lokasi tinggi di atas bukit.
Keempat: Arkitek Baharuddin Musa memperkenalkan konsep baharu, menggunakan payung, dan bukan kubah di bumbung masjid, melambangkan agama Islam berada di bawah payung naungan Raja-Raja Melayu.
Kelima: Sokongan dan partisipasi rakyat jelata yang dimanifestasikan melalui sumbangan kepada Dana Pembinaan Masjid Negara.
Keenam: Penglibatan dan sokongan orang-orang bukan Islam untuk menjayakan pembinaan masjid daripada segi tenaga profesional, tenaga kerja pembinaan, malah paling menarik sumbangan kewangan tanda sokongan kepada projek pembinaan sebuah rumah ibadah umat Islam.
Ketujuh: Hikmah, kebijaksanaan dan pendekatan diplomasi yang tidak berkonfrontasi, kepimpinan yang dipamerkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku telah memberikan keyakinan dan membolehkan negara membina sebuah masjid bertaraf nasional dengan mendapat sokongan padu oleh semua lapisan rakyat, termasuk daripada kalangan bukan Islam, hinggakan pihak gereja bersedia berkorban dan memberikan laluan, dalam semangat mengutamakan kepentingan negara.
20. Masjid pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam berperanan sebagai pusat graviti, tempat tumpuan kepada kehidupan insan; serta pusat kepada masyarakat, tempat berlangsungnya perkara-perkara penting merangkumi pelantikan khalifah Islam yang pertama, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq, yang dibai’ah di dalam masjid. Pelbagai urusan penting, penghakiman dan menjatuhkan hukuman, perbincangan, penyebaran ilmu dan amal jariah, dilakukan di dalam masjid. Dapat dirumuskan masjid adalah juga tempat perjumpaan, tempat interaksi sosial, tempat untuk menyatukan dan merapatkan hubungan silaturahim sesama ummah dan sesama manusia, dan tempat menyambut kunjungan dan mempertemukan pelbagai delegasi, baik yang Islam mahupun yang bukan Islam.
21. Para nenek moyang kita dahulu, apabila membuka sesuatu penempatan, tidak melupakan tapak untuk dibina masjid ataupun surau. Para nenek moyang kita dahulu menghargai dan memuliakan masjid sebagai tempat yang mendamaikan, tempat untuk menyatupadukan penduduk di bawah bumbung tauhid, bertiangkan solat, berpandukan perintah ALLAH Subhanahu Wata’ala, seperti yang terkandung dalam ayat 36-37, surah An-Nur, bermaksud:
“Bertasbihlah kepada ALLAH di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang,[3] orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati ALLAH, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan mereka goncang.”[4]
22. Para pemegang amanah yang diberikan tanggungjawab mengurus masjid di negeri Perak, wajib memahami falsafah kewujudan serta peranan utama masjid, sebagai institusi menyatupadukan ummah, institusi yang wajib dimuliakan – institusi yang wajib diimarahkan – institusi yang wajib dilindungi daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya. Ahli-ahli jawatankuasa kariah, hendaklah membantu Beta, pada setiap masa melindungi masjid daripada dicemari oleh aktiviti yang boleh memecahbelahkan ahli-ahli kariah. Sedarilah! musuh utama yang berpotensi besar mencemari masjid dan memecahbelahkan ummah ialah kegiatan politik berpuak secara keterlaluan.
23. Ummah hari ini berpecah kerana budaya yang diamalkan untuk memancing pengaruh dan mendapatkan sokongan politik, sangat bercanggah dengan ajaran dan nilai-nilai murni Islam. Mengaibkan dan memburukkan lawan dijadikan senjata utama dan semakin digalakkan, mengatasi usaha-usaha untuk melakukan yang makruf. Kebenaran sudah dikorbankan kerana emosi sudah mengatasi kerasionalan (rationality). Fitnah menjadi lumrah, diolah, termasuk oleh kalangan yang mematuhi Rukun Islam yang lima, bersyahadah, menyempurnakan solat, menunaikan zakat, berpuasa dan mengerjakan haji; penyebaran fitnah dipermudahkan dan dirancakkan dengan adanya media sosial.
24. Sejak sekian lamanya, sejak umat Islam di negara ini mula mengenali politik, masjid senantiasa menjadi tempat idaman untuk disemaikan pengaruh bagi mendapat laba politik. Disebabkan kelemahan pemantauan dan kawalan, pernah berlaku peristiwa sembahyang dua imam dalam satu masjid, serta ada masjid yang hanya dikunjungi oleh kumpulan politik tertentu tetapi dipulaukan oleh kumpulan politik lawan. Keadaan sedemikian, sebenarnya telah menidakkan masjid memenuhi tujuan kewujudannya.
25. Hasrat menggunakan masjid sebagai tempat mencari laba politik diusahakan melalui pelbagai kaedah. Akhir-akhir ini, individu-individu daripada kumpulan politik tertentu telah menggunakan beberapa pertubuhan bukan politik dan bukan kerajaan (NGO) untuk menembusi masjid, dan memperkenalkan program tertentu untuk dijalankan dalam masjid dan dalam kawasan masjid. Program yang membawa jenama tertentu, dijadikan topeng untuk melindungi niat sebenar yang tersirat. Amatlah janggal, jika para penceramah yang telah diberikan tauliah, diberikan penghormatan untuk berceramah di dalam rumah ALLAH, menyalahgunakan amanah yang diberikan dengan menyelitkan di dalam ceramah mereka unsur-unsur yang mencerca, menyindir dan merendahkan petugas-petugas Jabatan Agama Islam Negeri dan Polis Diraja Malaysia.
26. Kalangan yang telah diberikan amanah sebagai jawatankuasa kariah, hendaklah bersifat tegas – bersifat bijaksana, tidak membenarkan diri mereka dimanipulasi atau diperalatkan oleh mana-mana kumpulan politik. Jika ada yang memiliki agenda politik dan cita-cita politik, baik dalam kalangan ahli jawatankuasa yang dilantik, begitu juga penceramah yang telah diberikan tauliah, mereka hendaklah secara jujur lagi ikhlas, secara mulia lagi terhormat berundur diri, daripada bersifat gunting dalam lipatan, melakukan aktiviti-aktiviti yang menodai kesucian politik. Jawatankuasa kariah, hendaklah pada setiap masa bersifat berkecuali daripada politik kepartian. Ceramah-ceramah yang berlangsung di dalam masjid dan surau hendaklah juga tidak memihak atau mencemuh mana-mana parti politik agar tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli kariah.
27. Ya
Rahman! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah pendirian kami ketika menghadapi cabaran dan dugaan; berikanlah kami kekuatan dan kemenangan
ketika menghadapi musuh. Kami berlindung kepada Mu dari rasa susah dan duka,
dan dari terjerumus dengan godaan rasuah dan sogokkan. Ya Allah jadikanlah
gerak kerja kami sebagai amalan yang Engkau redai, agar dengannya menjadikan
negeri kami, negara yang baik serta mendapat rahmat, keredaan, juga keampunan
oleh Mu, Tuhan sekalian alam.
[1] Ibnu Hisyam, Sirah Ibnu Hisyam.
[2] Daripada Ibn Abbas Radiyallahu ánhu, Riwayat Ahmad.
[3] Al-Quran, Surat An Nuur, (24:36)
[4] Ibid, (24:37)
In The News: