SESI SEMBAH TAKLIMAT AKTIVITI MASJID DAN SURAU DI NEGERI PERAK

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

SESI SEMBAH TAKLIMAT

AKTIVITI MASJID DAN SURAU DI NEGERI PERAK

FASA PERALIHAN KE ENDEMIK

TARIKH: 23 MAC 2022 (RABU)

JAM: 3.00 PETANG

TEMPAT: BILIK GERAKAN, BANGUNAN SETIAUSAHA KERAJAAN PERAK.

Pada 8 Mac 2022, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, mengumumkan, negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022; memberikan kelonggaran-kelonggaran terhadap keperluan SOP untuk menangani pandemik Covid-19, agar rakyat dapat kembali melalui kehidupan yang hampir normal.

2. Berpandukan pengumuman yang diuar-uarkan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut menyentuh aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Walau bagaimanapun, tegas Perdana Menteri, pelaksanaan SOP untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia atau Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR).

3. Atas kapasiti Raja Pemerintah ialah Ketua Agama Islam di peringkat negeri, pada 15 Mac Beta telah menitahkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Orang Kaya Bendahara, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak berserta Pengarah Majlis Keselamatan Negara Perak dan Pengarah Kesihatan Negeri, dengan kehadiran bersama Pengarah Jabatan dan Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk menyembahkan status Covid-19 sebelum menetapkan bentuk aktiviti dan kaedah pelaksanaan yang sesuai diberikan perkenan, terutama ketika berada dalam bulan Ramadan yang disusuli dengan sambutan Hari Raya.

4. Beta amat memahami hasrat umat Islam untuk meningkatkan aktiviti keagamaan dan ibadah secara berjemaah dan berkumpulan terutama dalam bulan Ramadan. Beta senantiasa disembah maklum akan harapan tinggi umat Islam terutama suara Jawatankuasa dan Pegawai Masjid agar sekatan-sekatan yang dikenakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan, dilonggarkan, selonggar yang boleh di masjid dan surau.

5. Pada masa yang sama Beta juga wajib memenuhi tanggungjawab lebih besar kepada pelbagai konstituen di dalam negeri. Beta perlu memperingatkan akan beban tanggungjawab berat yang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan terutama petugas-petugas sektor kesihatan sejak lebih dua tahun lalu. Beta perlu memikirkan kesan kepada sistem pendidikan dan pembelajaran anak-anak sekolah yang terjejas. Beta perlu memastikan kegiatan ekonomi dan sumber hidup rakyat terutama para peniaga, pengusaha dan pekerja sendiri, tidak lagi terpaksa dihentikan. Untuk itu Beta perlu mengimbangkan antara memperkenankan tahap kelonggaran dengan faktor risiko, demi mengelak daripada berlakunya satu gelombang baharu.

6. Dalam hasrat untuk mendapat fahaman bersama, Beta berpandangan adalah penting untuk para petugas barisan hadapan dalam hal ehwal Agama Islam, pengurusan masjid dan surau dijemput untuk diberikan taklimat status terkini wabak Covid-19, di samping memberikan peluang kepada Beta disembah maklumkan suara daripada rakyat jelata di daerah, mukim, kariah dan kampung.

7. Setelah menimbangkan pelbagai perkara berdasarkan sembah taklimat, cadangan dan permintaan yang disuarakan, Beta merumuskan ketetapan-ketetapan berikut:

  1. Bermula Solat Subuh Jumaat, 1 April 2022, solat fardu, Solat Jumaat, dan solat jenazah dibolehkan dilaksanakan tanpa jarak fizikal di antara jemaah, dan bilangan jemaah yang dibenarkan ialah mengikuti keluasan ruang masjid atau surau.
  2. Solat Jumaat hanya boleh dilaksanakan di masjid dan surau diri Jumaat. Walau bagaimanapun demi melindungi keselamatan para pelajar terutama yang berada di sekolah asrama penuh, Pengetua sekolah dan Pengetua pusat-pusat pengajian sama ada universiti, maktab dan kolej, diberikan budi bicara masih boleh mengadakan Solat Jumaat dalam surau, bangunan atau kawasan institusi masing-masing.
  3. Walaupun Negeri Perak pada lazimnya menetapkan 20 rakaat Solat Tarawih, dalam tempoh peralihan ini, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid atas pertimbangan meminimumkan risiko jangkitan, diberikan budi bicara menentukan bilangan rakaat Solat Tarawih yang difikirkan munasabah di masjid dan surau masing-masing.
  4. Untuk meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat witir hendaklah tidak melebihi 30 minit.
  5. Program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau dibenarkan dengan mengambil langkah-langkah preventif jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan.
  6. Tadarus Al-Quran dibenarkan di masjid dan surau.
  7. Kuliah dan kelas pengajian di masjid dan surau dibenarkan.
  8. Hidangan berbuka puasa (iftar), hidangan selepas tarawih (moreh) dan hidangan sahur di masjid dan surau, dibolehkan dengan penyediaan makanan bungkus, dan tidak dibenarkan jamuan secara hidangan terbuka, terutama selepas tarawih.

8. Apabila mendapat laporan dan maklumat, serta perakuan dari Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan, bahawa angka jangkitan di kawasan tertentu dianggap kritikal, Pegawai Tadbir Agama Daerah setelah berunding dan mendapat persetujuan Orang Besar Jajahan atau Pegawai Daerah, boleh mengeluarkan arahan menggantung mana-mana masjid dan surau daripada kelonggaran SOP yang diperkenankan ini, dan mengenakan peraturan SOP untuk tempoh tertentu berpandukan nasihat MKN dan Jabatan Kesihatan.

9. Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak hendaklah mengeluarkan pekeliling terperinci kaedah dan tata cara pengurusan aktiviti di masjid dan surau, merangkumi perkara-perkara menyentuh tahap kebersihan dan sanitasi, memastikan secara harian berlaku putaran udara bersih dalam bangunan, serta perkara-perkara yang masih perlu dipatuhi oleh para jemaah semasa berada di bangunan masjid dan surau seperti memakai pelitup muka dan digalakkan membawa sejadah sendiri, untuk meminimumkan risiko jangkitan.

10. Aktiviti-aktiviti, pengurusan dan kesan terhadap perkara-perkara yang diperkenankan pada hari ini, akan dipantau secara teliti terutama oleh Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan dengan bantuan dan kerjasama Orang Besar Jajahan, Pegawai Daerah, dan Pegawai Tadbir Agama. Persembahkan kepada Beta laporan secara berkala. Outcome daripada kelonggaran awal ini, akan menjadi penentu dan panduan kepada aktiviti yang akan diperkenankan untuk menyambut Hari Raya yang akan Beta umumkan pada waktu yang sesuai, setelah Beta berpuas hati bahawa risiko jangkitan berjaya diminimumkan dan dapat dibendung secara berkesan.

11. Beta memahami harapan rakyat, namun rakyat perlulah mengamalkan budaya berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian. Bersyukurlah dengan apa yang telah dibenarkan ketika ini, yang jauh lebih baik daripada apa yang dilalui dalam dua Ramadan yang lalu. Rakyat sewajarnya bersyukur dengan pelangi harapan yang terlukis di kaki langit. Semoga pelangi harapan ini akan disusuli dengan pancaran sinar yang lebih terang menjelang Syawal nanti, agar Aidilfitri akan dapat disambut dalam suasana yang lebih meriah.

12. Berpandukan sembah taklimat Pengarah Kesihatan Negeri, peratus yang menerima suntikan ‘booster’ masih rendah, terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar dan umat Islam. Orang Besar Jajahan dan Pegawai Tadbir Agama Daerah hendaklah berperanan aktif menyedarkan rakyat di luar bandar akan pentingnya ditingkatkan daya tahan tubuh atau imuniti untuk menangani wabak Covid-19. Orang Besar Jajahan dan Pegawai Tadbir Daerah hendaklah turun ke kariah-kariah, menjalinkan kerjasama dengan Jawatankuasa Masjid dan Surau mengenal pasti ahli-ahli kariah yang mungkin perlu dibantu daripada segi pemahaman dan daripada segi urusan untuk mendapatkan suntikan. Di mana sesuai aktiviti suntikan boleh dilakukan di perkarangan masjid dan surau.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: