Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Keenam Puluh Satu Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah

 

Salam Sejahtera

 

 

Bahawa tiada Tuhan sebenarnya melainkan ALLAH, bahawa Nabi Muhammad itu utusan ALLAH;  Dia Tuhan Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai nama-nama paling baik; bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan di bumi.[1]   Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi ini, dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan Nya kepadamu.[2]

 

Ya Malik, Ya Khaaliq, Ya Aziz, Ya Jabbar,

 

  1. Dengan berkat keagungan Asmaul Husna, dengan ingatan yang bening – dengan hati yang hening, hamba Mu melafazkan kalam yang tulus daripada pancaran mata hati, kalimah kesyukuran atas ihsan Mu, mengamanahkan kepada hamba Mu ini, berperanan sebagai seorang Amirulmukminin, satu amanah besar, sarat dengan ujian – berat dengan tanggungan. Untuk memenuhi amanah ini, hamba Mu amat insaf akan tanggungjawab berat yang wajib disempurnakan, dengan mengambil ingatan akan kalam yang tersurat dalam doa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:

 

“Ya ALLAH ya Tuhanku, sesiapa yang dipertanggungjawab mengendalikan urusan umatku, kemudian dia menyusahkan mereka, maka Engkau berikanlah kesusahan kepada dia.  Sesiapa yang dipertanggungjawabkan mengendalikan urusan umatku, lalu dia berlemah lembut dengan mereka, maka Engkau berlemah lembutlah terhadap dia.”[3]

 

  1. Beta hargai lafaz taat setia yang dizahirkan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, demikian juga ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Barang dijauhi diri Beta daripada bersifat khayal, kerana ditenggelami kata-kata pujian, lalu mendorong Beta teralpa dalam mimpi indah, hingga tergelincir daripada landasan kebenaran, serta tersimpang jauh daripada realiti.  Semoga Beta senantiasa diperingatkan dengan kisah yang berlaku antara Imam Abu Hanifah Rahimahullah, ketika menasihatkan seorang anak kecil yang mengenakan terompah kayu, agar berhati-hati supaya tidak tergelincir; lalu si anak menjawab secara bersahaja, agar Imam Abu Hanifah Rahimahullah seharusnya lebih berhati-hati, dengan gelaran Al-Imam-A’zhom, atau imam yang agung, kerana terompah kayu akan hanya menggelincirkannya di dunia, tetapi keangkuhan disebabkan gelaran, memungkinkan seseorang terjerumus ke dalam api neraka.

 

  1. Hasrat melaksanakan pemerintahan yang adil, insya-Allah akan dimakbulkan ILAHI, jika ada cantuman hasrat berserta gabungan usaha yang sama, di kalangan pemerintah, pemimpin dan rakyat. Pemerintah juga pemimpin, adalah tonggak utama dalam membina negara dan ummah yang gemilang.  Kerana itu, pemerintah dan pemimpin, wajib memiliki akhlak dan sifat terpuji, serta bijaksana dalam urusan pemerintahan dan kepimpinan.  Kesejahteraan rakyat amat bergantung kepada citra dan perilaku seseorang pemerintah atau pemimpin.  Cara seseorang pemerintah atau pemimpin menggunakan kuasa yang diamanahkan, akan mempengaruhi tingkah laku rakyat.[4]  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah mengamalkan corak kepimpinan berlandaskan akhlak yang baik lagi terpuji, dilengkapi dengan sifat-sifat kemesraan, keprihatinan dan penuh kasih sayang seperti yang digambarkan dalam ayat 128 surah At Taubah, bermaksud:

 

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaum kalian sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman.”[5]

 

  1. Pemerintahan dan kepimpinan yang adil lagi saksama, perlu dilandaskan kepada pengetahuan terhadap bidang dan sempadan kuasa. Dalam konteks negara kita, bidang dan sempadan kuasa tersebut, secara nyata, termaktub di dalam Perlembagaan Negara.  Semasa merasmikan Parlimen pertama, pada 12 September 1959, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, antara lain di dalam titah Baginda, telah menzahirkan tujuh perkara berikut:

 

Pertama:    Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah hasil pemikiran daripada pelbagai pihak dengan matlamat yang sama, untuk mengembangkan satu piagam kepada sebuah negara baru, piagam yang diolah daripada pengalaman lalu, disesuaikan dengan persekitaran dan budaya hidup kita, satu piagam yang mengukuhkan kepercayaan terhadap konsep dan tradisi demokrasi berparlimen, dan lebih utama, piagam yang berlandaskan pegangan yang memberi jaminan terhadap kebebasan asasi, menghormati maruah, darjat, martabat dan kemuliaan seseorang insan; merangkumi jaminan kesamaan insan di sisi undang-undang, kebebasan bersuara dan kebebasan beragama.

 

Kedua:       Perlembagaan menetapkan Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

 

Ketiga:       Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu yang wajib digunakan dalam acara-acara rasmi, tetapi tidak pula menghalang bahasa-bahasa lain digunakan bagi tujuan-tujuan lain.

 

Keempat:   Kuasa pemerintah bagi Persekutuan terletak kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Kerajaan, sementara kedaulatan Raja di negeri kekal dipelihara dan didaulatkan; Perlembagaan turut mentakrif kuasa-kuasa Persekutuan dan Negeri, juga menegaskan sistem demokrasi yang menghormati aspirasi rakyat serta menjamin hak rakyat untuk bersuara dan mengundi.

 

Kelima:      Evolusi sistem berparlimen yang terbahagi kepada tiga cabang utama, pertama: Parlimen berperanan sebagai badan perundangan, undang-undang digubal oleh wakil-wakil yang dilantik secara berkala melalui undi yang dijamin rahsia, kedua: eksekutif bertanggungjawab kepada Parlimen, ketiga: pentadbiran berteraskan undang-undang, dipantau dan diimbang oleh badan kehakiman yang bebas.

 

Keenam:    Pentadbiran yang berteraskan undang-undang, dijamin melalui peranan mahkamah, para hakim dan pegawai undang-undang yang bebas daripada sebarang pengaruh eksekutif; begitu juga jaminan bahawa ahli-ahli pelbagai Suruhanjaya Perkhidmatan, yang bertanggungjawab menguruskan lantikan dan disiplin, mengamalkan integriti serta bersifat adil lagi saksama.

 

Ketujuh:    Perlembagaan Persekutuan yang amat unik, telah menggariskan tugas dan tanggungjawab pelbagai pihak secara komprehensif, merangkumi semua jentera negara dan setiap warga.  Secara simbolik, Perlembagaan Persekutuan merupakan kompas untuk memberi panduan kepada warga melayari masa hadapan negara yang belum diketahui.

 

  1. Setelah 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, adalah penting untuk generasi pada hari ini, memahami sejarah penubuhan negara ini, agar bahtera merdeka ini terus dilayari berpandukan kepada kompas yang betul. Tujuh perkara utama yang dizahirkan oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Pertama, semasa pembukaan sidang Parlimen pertama, telah dijadikan pedoman oleh warga, ketika negara sedang berada dalam usia formatif.  Tujuh perkara tersebut berperanan besar, membolehkan negara mempertahankan integriti sebagai sebuah negara yang diurus tadbir secara telus berpaksikan undang-undang, hatta berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang berjaya lagi berdaulat.

 

  1. Keruntuhan sesebuah negara, berpunca daripada kelalaian pemerintah menunaikan keperluan rakyat, serta kegagalan pemerintah menyeru ke arah yang makruf dan kelemahan di pihak pemerintah mencegah kemungkaran. Islam menegaskan, bahawa pemerintahan wajib bersandarkan undang-undang; dan pemimpin tidak memiliki sebarang keistimewaan mahupun kekebalan untuk berada di atas undang-undang.  Pemimpin yang menghayati roh Islam akan mengasaskan pemerintahan berteraskan kebenaran – bertiangkan keadilan selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 24 Surah Saad bermaksud:

 

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan mu Khalifah di bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu daripada jalan ALLAH.  Sesungguhnya orang-orang yang sesat daripada jalan ALLAH akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.”[6]

 

  1. Hasrat mahukan sistem pemerintahan yang adil dan saksama telah mendorong kepada tertubuhnya pelbagai gerakan berunsur militan di serata dunia, bertujuan menubuhkan Daulah Islamiah atau negara Islam. Negara Islam tidak akan terbentuk melalui kegiatan militan, yang  melakukan pelbagai kekejaman, mengebom, membunuh, mencolek, dan mencederakan insan-insan yang tidak berdosa.  Negara Islam tidak terbentuk, dengan melabelkan perkataan Islam kepada nama negara.  Negara Islam juga tidak terbentuk, semudah menyelitkan elemen-elemen Islam di dalam sistem perundangan dan Perlembagaan Negara.  Negara Islam akan dapat terjelma, apabila negara diurus tadbir oleh pemerintahan yang berupaya melakukan amal makruf dan bersungguh-sungguh menegah kemungkaran. Negara Islam akan dapat terjelma, apabila rakyatnya hidup dalam suasana damai lagi rukun, saling bekerjasama – saling menghormati; bersatu dan berpadu mempertahankan kedaulatan watan, meluhurkan perlembagaan negara serta mendaulatkan undang-undang, bersih daripada rasuah, tidak menyalah guna kuasa, berlakunya pengagihan kekayaan secara adil lagi saksama, hingga tiada lagi rakyat yang miskin, serta negara dilimpahi ILAHI dengan rahmat keamanan dan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan.  Negara Islam akan terjelma apabila pemerintah dan pemimpin dapat menghayati sifat-sifat terpuji seperti yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang berakarkan semangat berkhidmat – semangat berkorban, sama sekali tidak mahu diberikan sebarang keistimewaan; sama sekali tidak meletakkan diri lebih mulia daripada orang lain; teguh berpendirian bahawa kemuliaan itu hanya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala; tegas menegakkan prinsip keadilan dan senantiasa memperingatkan gabenor-gabenor di serata wilayah, bahawa pada hari kebangkitan nanti, pemimpin yang mendapat ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala adalah pemimpin yang adil.

 

  1. Keadilan adalah faktor yang menentukan rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin. Sifat adil yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, tidak hanya dinikmati oleh umat Islam, malah keadilan dipastikan turut dinikmati oleh bukan Islam.  Islam yang Baginda anjurkan, berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang dihormati dan mahu didampingi, dan bukan Islam yang ditakuti dan mahu dijauhi.  Baginda telah meninggalkan sebaik-baik modul pemerintahan terutama keberkesanan mengurus konflik dan mengendalikan perselisihan antara agama antara kaum.  Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan menganut agama, dijamin boleh mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan usaha-usaha pembangunan sosial[7] dengan menginsafi bahawa ALLAH Subhanahu Wata’ala telah menciptakan dunia ini dengan penganut agama yang pelbagai,  seperti yang terkandung dalam ayat 118 dan 119 Surah Hud, bermaksud:

 

“Dan kalau Tuhan mu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu.  (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan.

 

Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhan mu, (mereka bersatu di dalam agama ALLAH); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah ALLAH menjadikan manusia…”[8]

 

  1. Bumi yang kita pijak ini memiliki segala komponen perbezaan dari segi agama, kaum, budaya dan bahasa untuk mementaskan teater persengketaan. Alhamdulillah, bumi ini dikurniakan dengan watak-watak dan penulis-penulis skrip yang tidak memilih untuk mementaskan teater persengketaan.  Melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu, elemen-elemen yang pelbagai itu berjaya digabung dan dicantumkan hingga terbinanya sebuah negara Malaysia, merdeka lagi berdaulat, aman lagi tenteram, makmur lagi sejahtera, dikurniakan nikmat ILAHI dengan kekayaan hasil bumi dan terlindung daripada bencana besar dan malapetaka.

 

  1. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, menerima tanggung jawab memimpin ummah dalam persekitaran umat manusia yang berpuak, bersuku-suku dan berkafilah; tidak ada elemen penyatuan, tidak ada Perlembagaan bertulis untuk dijadikan rujukan sebelum tergubalnya Perlembagaan Madinah, namun melalui hikmah kebijaksanaan Baginda, umat manusia telah dapat didamaikan untuk hidup secara rukun hingga ke tahap berjaya disatukan.

 

  1. Negara ini kita warisi berlatar belakangkan persekitaran yang warganya telah berjaya mencapai kata muafakat untuk hidup dalam semangat toleransi, menghormati perbezaan dan menerima kelainan. Semangat permuafakatan yang telah diasaskan dan dicapai oleh barisan pemimpin kita, ketika membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat, hendaklah terus dihormati.  Sebarang tuntutan – sebarang perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafakatan tersebut, wajib ditentang, demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka, yang warganya hidup berpadu, rukun lagi damai.
  2. Beta hargai persepakatan yang Beta peroleh daripada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda, Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, ahli Dewan Negara dan Orang Besar negeri, membantu Beta dalam memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin. Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para Hakim, ahli-ahli Dewan Negeri, para ulama, para umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu dan imam, serta Jawatankuasa Kemajuan Kampung yang masing-masing telah menyempurnakan amanah untuk membantu supaya negeri ini terus dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.  Demikian jua penghargaan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta rakyat keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta.

 

  1. YA GHAFFAR, YA LATIF, YA QAYYUM, YA SALAM, hamba Mu ini, memohon ihsan dari Mu, agar dikurniakan hikmah, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah di dalam jiwa hamba Mu ini, untuk melaksanakan pemerintahan secara adil lagi saksama, memiliki ketegasan menegakkan yang makruf – memiliki keberanian mencegah yang mungkar.  Semoga negeri dan rakyat Perak Darul Ridzuan senantiasa mendapat lindungan dari Mu jua dan dilimpahi segala keberkatan fid-dunia wal akhirat.

 

 

 

 

 

 

 

Termaktub di Istana Iskandariah

Kuala Kangsar

5.11.2017

 

 

[1] Al-Quran, Al-Hasir (59-24)

[2] Al-Quran, Al An’aam (6-165)

[3] Muslim (1828)

[4] Ibn Khaldun, Muqadimah Ibn Khaldun, Terjemahan Bahasa Melayu, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan keempat, 2002), 198.

[5] Al-Qur’an, Surah At-Taubah, (9:128)

[6] Al-Quran, Surah Shaad, (38:26)

[7] Golam w. Choudhury, The Prophet Muhammad: His Life and Eternal Message, (Kuala Lumpur: WHS Publications Sdn. Bhd. 1993) 75

[8] Al-Quran: Surah Hud (11:118-119)

%d bloggers like this: