Salam Sejahtera.
Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional ataupun TVET di negara ini, digariskan untuk memenuhi tiga aspirasi utama:
Pertama: melahirkan modal insan yang seimbang dan holistik bertunjangkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Kedua: menjadikan TVET sebagai laluan utama yang menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memacu ekonomi Malaysia ke arah mencapai tahap Negara Berpendapatan Tinggi.
Ketiga: meraikan kecerdasan pelbagai (multiple intelligence).
- Para pendidik yang diamanahkan untuk mengendalikan program TVET secara bijaksana telah berjaya menganyam tiga aspirasi tersebut. Pendidikan dan latihan vokasional terbukti telah memberikan sumbangan yang sangat signifikan kepada proses melatih dan menghasilkan modal insan berkemahiran serta separa mahir, memenuhi keperluan sebahagian besar sumber manusia untuk pembangunan negara. Modal insan terlatih yang dihasilkan oleh institusi teknik dan vokasional telah membekalkan negara dengan sumber manusia yang kompeten serta memiliki nilai tambah yang berupaya memberi sumbangan secara proaktif kepada keperluan industri dan pasaran kerja.
- Negara-negara yang mencapai status negara maju, adalah negara-negara yang memberikan keutamaan kepada agenda pendidikan. Membangunkan prasarana pendidikan, dan menyediakan kemudahan pendidikan secara luas lagi komprehensif, telah dijadikan agenda utama kerajaan, sejak negara mencapai kemerdekaan enam puluh tahun yang lalu. Kemudahan pendidikan disediakan di seluruh pelosok negara, dan peluang pendidikan ditawarkan kepada seluruh rakyat.
- Pendidikan bagaikan komoditi yang dijadikan mudah untuk diperoleh oleh setiap keluarga. Pendidikan telah berperanan sangat penting lagi berkesan mengubah struktur sosial dan struktur ekonomi masyarakat. Program pendidikan telah menjadi pemangkin kepada pelbagai pencapaian kejayaan di dalam negara. Melalui program pendidikan yang berkesan, masalah kemiskinan berjaya diatasi, peratus masyarakat menengah dan menengah atas berjaya diperbesarkan, modal budaya dan modal sosial berjaya diperkayakan, produktiviti berjaya ditingkatkan, dan ekonomi negara berjaya mencapai tahap pertumbuhan yang pesat. Prasarana pendidikan bukan sahaja dibangunkan di peringkat asas, pertengahan dan tinggi di dalam negara, malah negara begitu berselera dan beraspirasi besar mahu memperkayakan sumber manusia, dengan memperuntukkan perbelanjaan besar, membiayai puluhan ribu pelajar untuk mengikuti pengajian di pelbagai institusi pengajian di luar negara.
- Program pendidikan hendaklah terus diperluas dan diperkembangkan. Malah, di dalam menghadapi keperluan dunia semasa, dan cabaran dunia akan datang, program pendidikan bukan sahaja perlu diperluas dan diperkembangkan, tetapi wajib dipertingkatkan. Agenda dan program pendidikan, jika disisih, dan jika tidak diberikan keutamaan, berpotensi meletakkan negara dan warga tercicir dan tertinggal dalam arus kemajuan teknologi yang sedang berlaku pada kadar yang tersangat pantas.
- Menjelang tahun 2020, penduduk dunia diramalkan mencecah 7.6 bilion; dan dalam tempoh masa yang sama, 50 bilion peranti elektronik diramalkan memasuki pasaran teknologi; bermakna jumlah peranti yang berkomunikasi adalah melebihi jumlah manusia, dengan nisbah purata setiap manusia memiliki 6.6 peranti elektronik, yang akan membuka laluan interaksi di antara satu sama lain; senario yang bakal menjana data raya dan pengetahuan.
- Dunia kini sedang berada dalam era Revolusi Industri Keempat, yang akan membawa transformasi kepada cara kerja dan budaya kehidupan harian. Transformasi yang melibatkan tiga domain utama, iaitu fizikal, digital dan biologikal, merangkumi aspek simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan, analisis data raya serta robot automasi.
- Revolusi Industri Keempat mencetuskan cabaran baru yang menuntut manusia untuk bersedia keluar daripada zon keselesaan sedia ada. Elemen pemikiran kritis dan elemen penyelesaian masalah perlu dikuasai; kemahiran-kemahiran komunikasi, kolaborasi dan kreativiti perlu dipraktikkan, tidak hanya di dalam ruang lingkup bilik kuliah, malahan seharusnya menjadi latar kepada setiap penjuru kehidupan.
- Manusia harus melihat kebarangkalian wujud ekosistem baharu yang bakal mengubah bukan hanya cara hidup dan cara kerja serta masyarakat dan norma, malahan persepsi tentang “manusia” itu sendiri. Elemen transhumanism akan mula melakar kehidupan yang tentu sekali bakal mencabar konsep kesemulajadian, apabila alam manusia bakal dirangkumkan bersama dunia robot, susulan kewujudan elemen “artificial intelligence” dan bioteknologi.
- Oleh itu, amat penting untuk dipastikan, manusia terus berperanan sebagai tenaga kerja utama tanpa didominasi oleh robot, bahkan menjadi pereka cipta sistem robot, dengan tujuan untuk memudahkan kerja tanpa sama sekali mengorbankan nilai dan roh kemanusiaan. Segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh, mestilah digunakan sebaik-baiknya, dipastikan tidak bercanggah dengan konsep Ketuhanan. Manusia wajib diperkukuhkan dengan nilai-nilai ketuhanan dan roh-roh kemanusiaan agar tidak tergelincir daripada pegangan akidah, ketauhidan Tuhan dan mengamalkan jiwa hamba kepada Yang Maha Pencipta. Insan wajib memiliki pegangan akidah yang kukuh serta disemaikan dengan keimanan yang teguh, supaya pada setiap kejayaan menghasilkan inovasi dan ciptaan baharu, akan meningkat apresiasinya terhadap kewujudan ILAHI, dengan berpegangkan akidah, bahawa setiap yang tercipta itu, bersumberkan ALLAH Subhanahu Wata’ala, yang telah menciptakan manusia dari segumpal darah, lalu mengajarkan manusia dengan perantaraan pena, mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui oleh manusia[1] seperti firman ALLAH yang terkandung dalam Surah Al’ Alaq.
- Oleh yang demikian, ibu bapa, institusi keluarga dan institusi masyarakat wajib memenuhi tanggungjawab penting mengisi komponen-komponen iman dan takwa, serta roh dan kemanusiaan, di dalam jiwa insan-insan yang dilahirkan, agar mereka tidak akan hanyut terapung-apung tanpa kompas dalam ombak dan gelombang teknologi.
- Para graduan yang diraikan pada hari ini telah membuktikan ketekunan, disiplin dan semangat gigih semasa menjalani proses pembelajaran di kampus ini. Saudara-saudari telah meningkatkan penguasaan pengetahuan, semoganya dengan pengetahuan yang dimiliki itu, saudara-saudari mempamerkan dan mengamalkan sifat orang berilmu. Seorang ilmuwan itu akan bersifat semakin merendah diri meski seluas mana pengetahuannya. Seorang ilmuwan itu, semakin bertambah pengetahuannya, semakin dia merasakan dirinya belum lengkap, semakin merasa dirinya masih berada di persisiran pantai kepada lautan ilmu yang begitu luas.
- Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada setiap graduan. Bersyukur dengan kejayaan yang dianugerahkan ILAHI. Bersyukur kerana berada dalam sebuah persekitaran dan tanah air yang aman lagi tenteram, persekitaran yang tidak menghalang hasrat dan aspirasi saudara-saudari untuk belajar dan menguasai ilmu. Dakaplah dengan erat dan kucuplah tangan kedua ibu bapa kerana sokongan serta doa restu mereka yang telah dikabulkan ILAHI, hingga memudahkan laluan untuk saudara-saudari mencipta kejayaan pada hari ini. Di dalam kalangan saudara-saudari yang begitu awal menjadi yatim, ziarahilah pusara ibu atau bapa yang telah kembali ke Rahmatullah, doakan kesejahteraan roh mereka. Tunjukkan penghargaan kepada para pensyarah yang telah mendidik dan berkongsi pengetahuan dengan saudara-saudari. Doakan agar Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan setinggi-tinggi nikmat dan kelebihan kepada kedua-dua ibu bapa serta para guru. Zahirkan kesyukuran dengan berazam untuk menjadi insan yang beriman dan berilmu, dengan sentiasa mengamalkan serta memanfaatkan ilmu yang telah diperolehi demi mencari reda ILAHI.
- Kepada tenaga pendidik dan pengurusan Politeknik Sultan Azlan Shah, Beta zahirkan penghargaan atas kesungguhan dan dedikasi menghasilkan insan berpengetahuan. Semoga segala usaha dan khidmat anda sekalian mendapat berkat dan ganjaran rahmat daripada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA, baik di dunia begitu juga di akhirat. Semoga kita semua diberikan ihsan ILAHI, dilorongkan ke arah kebaikan;
[1] Al-Quran, Surah Al’ Alaq, (96:2,4,5)