Peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah meriwayatkan kisah kejayaan. Peristiwa tersebut, memulakan babak baharu dalam usaha Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menyebarkan ajaran Islam. Masyarakat Madinah yang sudah bersedia menerima kalimah tauhid, mengesakan ALLAH Subhanahu Wata’ala, telah membolehkan Baginda, melangkah ke tahap kedua mengembangkan ajaran Islam, untuk memperkenalkan prinsip-prinsip fardu kifayah, menyentuh aspek-aspek hubungan manusia sesama manusia, dan hubungan manusia dengan alam persekitaran yang luas. Baginda memperkenalkan dimensi baru urus tadbir kehidupan, berhasrat membina kehidupan yang lebih adil lagi saksama, harmoni lagi lestari demi membangunkan ummah yang sejahtera dan alam yang harmoni.
- Hijrah hendaklah dijadikan contoh, bahawa di dalam memenuhi sesuatu misi, manusia perlu bersedia mencari formula baharu untuk mengatasi halangan dan tentangan. Hijrah hendaklah dijadikan pengajaran, bahawa manusia perlu bijak mengenal pasti kelemahan sedia ada, lalu menerokai kekuatan baharu. Hijrah hendaklah dijadikan pedoman, bahawa manusia perlu bersedia melakukan pengubahsuaian, serta bersedia menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu.
- Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassalam berserta kaum Muhajirin, menempuhi pengembaraan fizikal sejauh 200 kilometer; pengembaraan tersebut, telah mengupayakan umat Islam mencapai destinasi yang lebih jauh pada akhirnya. Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassalam tidak hanya melakukan pergerakan fizikal dari Mekah ke Madinah, tetapi sebaik sampai ke Madinah, Baginda merintis pelbagai transformasi. Bumi Madinah telah menghamparkan persekitaran baharu, penduduk Madinah telah memberikan semangat baharu, lalu tersemai keyakinan baharu, dan lahir azam baharu untuk menyebarkan ajaran Islam dengan kaedah dan pendekatan baharu. Umat Islam tidak lagi perlu bersembunyi-sembunyi untuk menyempurnakan ibadah; umat Islam bukan sahaja berani melaksanakan ibadah secara terbuka, malah umat Islam yang pernah didera dan diseksa ketika di bumi Mekah, kini bersedia dan berani mengangkat senjata untuk berperang mempertahankan maruah diri dan mempertahankan ummah daripada serangan musuh. Ibadah diamalkan secara terbuka, masjid dibina, azan dikumandangkan menandakan waktu solat, dan solat dilaksanakan secara berjemaah. Peristiwa hijrah, berjaya membina sifat yakin – sifat berani di kalangan umat Islam, lantas memberikan status baharu kepada Islam dan umat Islam.
- Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassalam terus diperturunkan wahyu ILAHI. 1,456 ayat, lebih daripada satu pertiga (11/30), daripada kandungan Al-Quran diturunkan di Madinah. Ayat-ayat yang diturunkan di Madinah, adalah ayat-ayat yang panjang, mengandungi hukum-hukum, berkaitan hukum adat dan hukum duniawi, merangkumi hukum-hukum kemasyarakatan, ketatanegaraan, perang, hubungan antarabangsa dan hubungan antara agama; berbanding 4,780 ayat-ayat pendek yang diturunkan di Mekah, yang mengandungi pengajaran berkaitan iman, budi pekerti, ancaman dan pahala, serta sejarah umat terdahulu. Berpandukan ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan di Madinah, ternyata, ALLAH Subhanahu Wata’ala mula membekalkan umat Nya, dengan petunjuk dan panduan akan tatacara mengurus tadbir urusan manusia dan urusan alam.
- Berlaku enam perubahan penting melalui peristiwa Hijrah:
Pertama: perubahan nasib umat Islam daripada kumpulan kecil yang berada dalam ketakutan diancam musuh, kepada ummah yang menguasai kuasa serantau di bawah pemimpin berwibawa.
Kedua: penyebaran Islam beralih daripada sekadar dilakukan kepada penduduk Arab Mekah yang sangat terbatas kepada penyebaran bersifat universal yang merentasi kaum dan wilayah.
Ketiga: corak dakwah yang dilakukan secara tersembunyi – secara perseorangan, bertukar kepada kegiatan dakwah yang dilakukan secara terbuka – secara institusi, di bawah naungan sebuah pemerintahan.
Keempat: Islam berkembang daripada agama yang dianuti oleh sekumpulan kecil pengikut, kepada sebuah negara Islam yang didukung oleh pelbagai institusi dan organisasi.
Kelima: status umat Islam berubah daripada keadaan lemah dan dihina kepada umat yang gagah lagi dihormati.
Keenam: ajaran Islam tidak lagi berbentuk satu ritual ketuhanan, tetapi menjadi satu addin, satu budaya hidup yang diredai ILAHI, merangkumi politik, ekonomi, interaksi sosial, dan setiap lapangan kehidupan, meletakkan Islam sebagai agama yang komprehensif.
- Hari demi hari, Madinah dibangunkan dengan semangat kesetiaan, dengan rasa kasih dan cinta, dengan keringat dan penat jerih, bukan bertujuan untuk imbuhan kebendaan, tetapi atas gagasan iman dan takwa; amal dan ibadah dilakukan semata-mata atas nama ALLAH Subhanahu Wata’ala, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 105, Surah At Taubah:
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Beramallah kamu, (akan segala yang diperintahkan) maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”[1]
- Demikian iman dan takwa di kalangan ummah yang menghayati semangat bahawa kesempurnaan ibadah akan dapat dicapai melalui cinta sejati kepada Allah; kecintaan kepada Allah mengatasi kecintaan kepada diri sendiri serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta benda dan dunia; bahawa segala yang dilakukan adalah semata-mata kerana ALLAH Subhanahu Wata’ala, menghayati semangat yang terkandung dalam ayat 162, Surah An’Aam, bermaksud:
“Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”[2]
- Hijrah memulakan era baharu, terciptanya satu sejarah, satu budaya, satu tamadun baharu. Hijrah telah membangunkan tamadun Islam. Islam berjaya berkembang maju, kerana umat Islam berani melakukan perubahan dalam pelbagai aspek dan dimensi. Selain daripada rasa cinta kepada ILAHI, berakarkan iman dan takwa yang kukuh, Negara Islam di Madinah, telah dibangunkan berteraskan tiga prinsip utama; pertama: jiwa merdeka, kedua: budaya syura dan ketiga: semangat jihad.[3] Di dalam Islam, jiwa merdeka merupakan teras, tidak sekadar hiasan luaran. Islam menganjurkan manusia dimerdekakan daripada menghambakan diri kepada mana-mana manusia lain. Umat Islam, dibebaskan daripada politeisme; roh, minda dan jiwa mereka dimerdekakan, agar mereka mengabdikan diri hanya kepada Tuhan yang satu, melakukan amar makruf dan menjauhi nahi mungkar, semata-mata kerana ALLAH Subhanahu Wata’ala.
- Islam tidak akan berkembang jika ummahnya berjiwa hamba, berminda abdi, berfikiran fakir, berpandangan jumud. Islam berkembang dengan minda yang cerdas lagi cergas, dan fikiran yang luas lagi terbuka. Kejayaan gemilang negara Islam Madinah, berlaku melalui budaya syura, budaya perundingan dan konsultasi yang digalakkan di kalangan ummah; budaya yang memberikan perhatian dan pertimbangan kepada pelbagai pandangan dan pendapat meskipun berbeza dan berlainan, budaya yang bersedia menerima teguran dan kritikan. Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 159, Surah Ali Imran bermaksud:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada ALLAH (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuarahlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan). Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”[4]
- Semangat jihad, telah memperlengkapkan kekuatan di dalam diri individu dan di dalam pemerintahan. Jihad terbahagi kepada dua bentuk. Pertama, jihad yang lebih diutamakan, ialah kekuatan dalaman, kekuatan membendung keinginan nafsu keberahian dan kekuatan mengawal perasaan tamak haloba untuk memiliki kuasa dan kekayaan; dan kedua, jihad untuk menghadapi dan menewaskan musuh yang mengancam keselamatan dan kehidupan ummah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengutamakan jihad yang pertama, demi memastikan Baginda dikelilingi oleh insan-insan yang jujur lagi ikhlas, insan-insan yang berupaya mengatasi nafsu, insan-insan yang tidak tergelincir iman mereka dengan godaan kemewahan dunia. Peperangan merupakan pilihan terakhir Baginda, apabila Baginda sudah tidak ada pilihan lain untuk melindungi keselamatan dan kehidupan ummah, bermula dengan Perang Badar, perang pertama yang dipimpin oleh Baginda.
- Perang Badar memberi pengajaran tentang pentingnya niat dan pegangan, kesungguhan dan keyakinan, disiplin dan kesetiaan di dalam peperangan. Kemenangan tidak semestinya berpihak kepada bilangan tentera yang lebih ramai dan kelengkapan perang yang lebih superior. Dalam peperangan untuk menegakkan kebenaran Ilahi, tentera Islam berpegang kepada semangat bersedia untuk mati syahid jika kecundang di medan tempur. Firman ALLAH dalam ayat 146, Surah Ali Imran bermaksud:
“Dan berapa banyak daripada Nabi-Nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh orang-orang yang taat kepada ALLAH, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa-apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) ALLAH, dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), ALLAH sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”[5]
Di dalam peperangan, mereka yang tidak takut mati akan dapat terus hidup merayakan kemenangan. Pada 7 Ramadan, tahun kedua Hijrah, kemenangan berpihak kepada tentera Islam.
- Hijrah telah memperlihatkan kehebatan Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengimbangkan peranan kepimpinan agama, kepimpinan politik dan kepimpinan tentera. Negara Islam Madinah telah dibangunkan oleh seorang pemimpin yang amat ikhlas lagi jujur, seorang pemimpin yang melakukan sebesar-besar pengorbanan dengan mendahulukan dan mengutamakan ummah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengabadikan seluruh kehidupan Baginda kepada Penciptanya; pemimpin contoh yang memiliki kehebatan dan kesempurnaan, bekerja dengan segala jiwa raga untuk mengembangkan Islam tanpa memikirkan manfaat peribadi kepada diri sendiri.
- Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam telah wafat pada tahun 11 Hijrah.[6] Islam, tidak berakhir dengan kewafatan Baginda, malah tetap dan terus berkembang, kerana ajaran yang dibawa oleh Baginda tidak berpaksikan manusia. Ajaran Islam menekankan aspek prinsip dan bukannya kebergantungan kepada mana-mana personaliti. Islam menegaskan kepada syahadah, “Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH, dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam adalah pesuruh kepada ALLAH.” ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 144 Surah Ali Imran berfirman yang bermaksud:
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah) sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada ALLAH sedikit pun; dan (sebaliknya) ALLAH akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).”[7]
- Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah wafat 1428 tahun yang lalu. Namun Baginda telah meninggalkan Al-Quran dan Sunnah serta pelbagai catatan peristiwa dan sejarah untuk dijadikan rujukan. Maal Hijrah, hendaklah disambut dengan hasrat dan hati mahu menghidupkan kembali, tiga prinsip utama, ia itu, jiwa merdeka, budaya syura dan semangat jihad, yang telah berperanan sangat penting membangunkan pemerintahan yang gemilang di bumi Madinah. Sama-samalah ummah, menghidup dan menerapkan jiwa merdeka, budaya syura dan semangat jihad dalam diri dan dalam organisasi, di samping mengukuhkan iman dan takwa, memohon rahmat dan petunjuk ILAHI untuk memberikan kita kemenangan.
Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.
[1] Al-Quran, At Taubah (9:105)
[2] Al-Quran, Al-An-aam, (6:162).
[3] Ahmed Bahgat ((Translated by: Sheikh Muhammad Mustafa Gemea’ah, Office of The Grand Imam, Sheikh Al-Azhar), Stories Of The Prophets From Adam to Muhammad, (Cairo: Islamic Home Publishing & Distribution), 491.
[4] Al-Quran, Ali Imran, (3:159).
[5] Al-Quran, Ali Imran, (3: 146)
[6] Abu Hassan Ali al-Husaini al-Nadawi, al Sirah al-Nabawiyah, dari ibn Kathir, Dimasyq, 2009, cet: 5, hlm:539.
[7] A-Quran, Ali Imran, (3:144)