TITAH ISTIADAT KONVOKESYEN UNIVERSITI SULTAN AZLAN SHAH (USAS) KETIGA BELAS

ISTIADAT KONVOKESYEN UNIVERSITI SULTAN AZLAN SHAH (USAS) KETIGA BELAS

TITAH

TUANKU CANSELOR

DULI YANG MAHA MULIA

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

TARIKH: 12 MUHARAM 1443 / 21 OGOS 2021 (SABTU)

JAM: 10.00 PAGI

SECARA MAYA

Dengan izin dan rahmat ILAHI, Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kali ketiga belas dapat berlangsung pada hari ini. Istiadat konvokesyen ketiga belas akan mengurniakan ijazah dan diploma kepada 1,292 graduan; dua orang penerima ijazah Doktor Falsafah, 59 orang penerima ijazah Sarjana, 288 orang ijazah Sarjana Muda, dan 923 orang diploma.

2. Istiadat konvokesyen merupakan hari istimewa yang sangat dinanti-nantikan oleh setiap graduan. Istiadat konvokesyen ialah istiadat yang memberikan pengiktirafan kejayaan para graduan; pada lazimnya para graduan berarak masuk ke dewan, berserta perarakan para pegawai, para pensyarah, ahli majlis, Naib Canselor, Pro-Canselor dan Canselor Universiti berpakaian khas konvokesyen; disaksikan oleh ibu bapa dan ahli keluarga dengan rasa riang dan bangga; disusuli sesi berfoto serta ucapan dan dakapan tahniah, yang dilengkapi dengan kalungan dan jambangan bunga. Pada setiap kali Istiadat Konvokesyen USAS berlangsung, bandar Diraja Kuala Kangsar turut berawan ceria; hotel, tempat penginapan dan home stay sarat dengan penghuni, restoran dan warung dibanjiri pengunjung, dan para peniaga mendapat laba.

3. Segala norma kehidupan telah berubah sejak menjelmanya virus COVID-19 pada akhir tahun 2019. Dunia dikejutkan, dan kini terpaksa menghadapi musuh biologi dalam medan tempur baru. Seluruh dunia diserang virus, merentasi sempadan agama, benua, negara, ideologi politik, bangsa, usia dan jantina; lebih 200 juta orang dijangkiti – hampir 4.5 juta kematian berlaku.

4. Konvokesyen USAS kali ketiga belas yang sepatutnya berlangsung pada akhir tahun 2020 terpaksa ditangguhkan dengan harapan wabak ini dapat dikawal dan angka jangkitan menurun. Di sebaliknya, virus COVID-19 terus menyerang ganas dan semakin ganas, mengakibatkan angka jangkitan dan kematian terus meningkat. Membaca keadaan yang berlaku, Beta telah memperkenankan sembah cadangan pengurusan universiti agar istiadat konvokesyen tidak ditangguhkan lagi, di sebaliknya dilaksanakan secara maya.

5. Berdasarkan trend yang sedang berlaku, kita terpaksa menerima realiti, COVID-19 ialah sebahagian kewujudan alam dan akan senantiasa berada dalam kehidupan manusia. Langkah vaksinasi diperkenalkan untuk membina imuniti kelompok. Ketika manusia giat berusaha melaksanakan pelbagai penyelidikan untuk menewaskannya, virus ini turut menunjukkan keupayaan bermutasi, melahirkan varian baharu yang terus membiak, mengakibatkan jangkitan berlaku dengan kadar lebih pantas dan menjangkiti ruang yang lebih melebar. Pertembungan antara virus dan vaksin akan terus berlaku; dunia dijangka akan mengambil masa yang lebih lama sebelum mencapai kemenangan untuk menjinakkan atau menewaskan virus yang merbahaya ini.

6. Sehingga manusia berjaya menemui penawar mujarab, manusia hendaklah menggunakan akal fikiran melakukan perubahan, penyesuaian dan penghijrahan daripada norma hidup sebelum ini dengan memiliki pandangan alam (world view) yang bijaksana. Perlu diterima hakikat manusia ialah sebahagian daripada alam semula jadi dan tertakluk kepada kuasa alam; dan kuasa alam pula tertakluk kepada kuasa Ilahi.[1] Pandemik dan penyakit walaupun bermula daripada tangan durjana manusia, tetapi keizinan terjadinya pandemik dan penyakit, ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.[2]

7. Pada zaman silam, ulama mentafsirkan, apabila sesuatu bencana diturunkan, menandakan kemurkaan Ilahi terhadap perbuatan dosa dan kezaliman manusia. Oleh itu, di samping usaha begitu gigih yang diterokai untuk mencari formula mengatasi wabak, manusia wajib meneguhkan iman, menerima sesuatu bencana sebagai qadar yang telah ditentukan Ilahi, dan berusaha mencari rahsia yang terkandung di sebalik bencana yang diturunkan.

8. Ahli falsafah Islam Ibnu Khaldun dalam Mukadimah yang dihasilkannya 800 tahun lalu, mengaitkan bencana dengan perubahan sosial yang membentuk lima fasa:

Fasa pertama: suatu kaum bersandarkan semangat asabiyah bergerak membentuk identiti politik.

Fasa kedua: bermulanya perluasan kuasa, pengaruh dan wilayah.

Fasa ketiga: kerajaan melalui zaman kemewahan dan kesenangan hasil pemerintah sebelumnya.

Fasa keempat: fasa kelalaian dan berpuas hati dengan pencapaian.

Fasa kelima: fasa kejatuhan dan kehancuran sesebuah identiti politik dan kerajaan.

9. Ibnu Khaldun memberikan peringatan bahawa lima fasa tersebut akan berulang; setiap tamadun dan setiap identiti politik akan menghadapinya dalam kitaran sejarah. Manusia, pada saat menghadapi bencana berat yang sedang melanda ini, wajib mendalami lubuk hati, menyelami daya fikir, agar dapat menginsafi tentang kemungkinan jatuhnya sesebuah identiti politik, kerajaan, negara dan tamadun, jika sesebuah negara tidak memiliki cukup persediaan dan kekuatan. Pandemik yang sedang dihadapi hendaklah menginsafkan para pemimpin yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk melakukan penetapan semula (reset) perkara-perkara yang perlu diutamakan[3] dalam urus tadbir negara berteraskan prinsip keadilan, iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan menyerahkan amanah kepada yang ahli dalam bidangnya. Ibnu Khaldun turut memberikan peringatan bahawa sesebuah tamadun akan runtuh apabila pemerintahan gagal melaksanakan keadilan.

10. Di samping meraikan kejayaan, para graduan hendaklah bersedia menghadapi realiti dunia. Ijazah yang diperoleh belum dapat menjamin kejayaan hakiki. Perjalanan menuju kejayaan hakiki masih jauh dan, terbentang luas serta berkembar dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Dunia ini, tempat kelahiran dan pertembungan pelbagai perkara. Idea yang bertukar ganti akan mempengaruhi kerangka pemikiran manusia. Dunia ini tempat pertarungan kekuatan, baik berbentuk idea mahupun pengetahuan, usaha dan sumber. Dunia merupakan gelanggang persaingan pemikiran (contest of ideas) untuk meneroka, menerima atau menolak kebenaran. Dunia juga merupakan tempat membolehkan usaha yang tekun dan gigih membuahkan hasil. Tidak ada tempat di dunia ini bagi mereka yang cepat berputus asa dan lemah semangat. Sebaliknya, dunia merupakan arena bagi mereka yang berjaya mempersiapkan diri dengan survival skills, iaitu menguasai kemahiran, bijak mengimbangi proses tawar menawar ketika menghadapi cabaran.

11. Memetik kata–kata Benjamin Franklin, pelaburan dalam bidang pengetahuan memberikan pulangan terbaik. (investment in knowledge pays the best interest). Para graduan hendaklah sentiasa berusaha mengemudi cabaran dalam lautan kehidupan ini dengan berbekal ilmu agar kejayaan terus tercapai. Amatlah wajib ilmu terus diterokai tanpa noktah agar pandangan dapat diluaskan dan pemikiran dapat dilebarkan.

12. Insan berilmu bertanggungjawab untuk melimpahkan manfaat kepada masyarakat dengan mencetuskan idea dan menghamparkan formula membantu menyelesaikan masalah selaras dengan hadis yang bermaksud:

Dari Ibnu Umar Radiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam, bahawa baginda bersabda: “Ketahuilah, setiap kalian ialah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggung jawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.” (HR Muslim No: 3408)[4]

13. Meskipun dunia sedang dilanda wabak CORONA-19, yang telah mengubah budaya kerja dan budaya pengajian di kampus, dengan rahmat Ilahi, dengan doa ibu bapa, dengan kesungguhan tenaga akademik dan dengan komitmen warga pengurusan USAS, para graduan telah berjaya memenuhi kriteria untuk layak dianugerahkan ijazah dan diploma pada hari ini. Beta menzahirkan ucapan setinggi tahniah kepada para graduan serta penghargaan kepada semua pihak yang berada di sebalik kejayaan para graduan.

14. Sedarilah! Kejayaan ialah anugerah daripada Ilahi. Di samping ketekunan usaha para graduan, kejayaan anda dicapai dengan adanya pengorbanan pelbagai pihak; ibu bapa, para guru, para mahaguru, bermula daripada alam keluarga, alam tadika, alam sekolah dan akhirnya sampai ke alam universiti. Keluarga, tadika, sekolah, universiti merupakan taman-taman asuhan yang menyuburkan pohon kejayaan anda, begitu pula para penaja dan pembiaya yang berperanan penting di belakang kejayaan anda. Selagi hayat dikandung badan, hargai dan kenangi jasa, jangan sama sekali bersifat kacang lupakan kulit, begitu cepat bersifat sombong, begitu mudah berlagak angkuh. Jawatan, pangkat dan kekayaan jangan sampai menukarkan sifat-sifat mulia insani; amalkan sifat merendah diri, sifat cepat memohon maaf bila melakukan kesilapan, sifat rendah diri yang insaf dirinya seorang hamba, dan sifat bersedia menerima nasihat meskipun datangnya daripada seseorang yang pada zahirnya kelihatan berkedudukan lebih rendah daripada kita. Terimalah setiap nasihat, lebih-lebih lagi teguran sebagai peringatan untuk menjauhkan kita daripada hanyut dan tenggelam dalam khayalan kejayaan dan kehebatan.

15. Semoga kita senantiasa dirahmati Allah dengan cahaya bimbingan menuju Siratulmustakim.

  1. Mohd. Jamizat Zainol, “Berdamai dengan COVID-19, kea rah kehidupan lebih baik”, Berita Harian, 11.8.2021, ms 10.

  2. Ibid.

  3. Ibid.

  4. https://people.utm.my/ajmain/2017/12/19/pemimpin-dan-tanggungjawab/

%d bloggers like this: