TITAH ISTIADAT MENGHADAP SEMBAH TAAT SETIA DAN PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

DI ISTIADAT

MENGHADAP SEMBAH TAAT SETIA

DAN

PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN

NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

SEMPENA

SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN

KEENAM PULUH LIMA

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI ALMARHUM

SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH AL-MAGHFUR-LAH

TARIKH: 9 RABIULAKHIR 1443 / 14 NOVEMBER 2021 (AHAD)

JAM: 10.30 PAGI

TEMPAT: ISTANA ISKANDARIAH, KUALA KANGSAR.

Salam Sejahtera

Ya Malik, Ya Khaaliq, Ya Aziz, Ya Jabbar,

Dialah ALLAH, tidak ada Tuhan selain Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan nyata; Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.[1] Apa yang ada di langit dan di bumi sentiasa bertasbih kepada Allah, milik Nya semua kerajaan dan bagi Nya (pula) segala puji, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.[2] Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.[3]

2. Hamba-Mu ini melafazkan kalimah kesyukuran kerana dengan limpah ihsan dari Mu jua Ya Allah, hamba-Mu ini dikurniakan usia dan keafiatan dapat menyambut ulang tahun hari keputeraan kali keenam puluh lima.

3. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah An-Nahl ayat 112 bermaksud:

“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman dan tenteram, rezeki datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduknya) mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka lakukan.”[4]

4. Pada akhir tahun 2019, dunia dikejutkan dengan penjelmaan virus baharu yang boleh menjejaskan saluran pernafasan. Virus baharu yang dilaporkan ditemui di Wuhan China, direkodkan penemuannya secara rasmi pada 31 Disember 2019, dinamakan Covid-19, pada 11 Februari 2020. Virus Covid-19 mencetuskan medan tempur baru, kehidupan alam kini menghadapi serangan musuh biologi. Virus yang baharu ditemui ini tersebar pantas ke serata dunia. Pada 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai satu pandemik. Dalam tempoh dua tahun penjelmaannya, virus ini telah menjangkiti lebih 250 juta orang, mengakibatkan lebih 5 juta pesakit kehilangan nyawa. Di negara kita, lebih 2.5 juta orang dijangkiti, dan hampir 30,000 kematian direkodkan.

5. Virus Covid-19 terus mengancam nyawa dan kehidupan manusia. Dunia menyaksikan ramai manusia mengalami kepedihan hidup, semakin ramai orang menjadi susah, menghadapi trauma kehilangan mata pencarian dan sumber pendapatan, terkurung dan terpenjara; di samping itu ada yang menerima notis lelongan rumah, notis mengosongkan rumah kerana gagal membayar sewa dan notis kereta ditarik balik. Kepedihan hidup yang dilalui turut mengakibatkan berlakunya krisis rumah tangga, meningkatkan angka penceraian, lebih mendukacitakan, ada yang sampai ke peringkat membunuh diri.

6. Sudah hampir dua tahun dunia menghadapi gelora dilanda bencana perit. Natijah daripada wabak Covid-19 sangatlah dahsyat. Wabak Covid-19 bukan sahaja mencetuskan pandemik penyakit, tetapi turut mengubah tatacara hidup manusia dan urusan dunia. Selain meragut nyawa manusia, Covid-19, turut meragut dana negara dan sumber kehidupan banyak lapisan masyarakat. Ekonomi menjunam, nilai mata wang di banyak negara jatuh, kadar inflasi meningkat tinggi, kuasa beli bertambah rendah, ribuan perniagaan ditutup dan ratusan ribu yang menjadi penganggur, pelajar terhalang ke sekolah dan pusat pengajian; pergerakan serta kegiatan termasuk cara beribadah dikenakan pelbagai syarat dan kawalan.

7. Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pakej, melibatkan tanggungan kewangan yang besar untuk menangani kesusahan rakyat. Pelbagai eksperimen diterokai, pelbagai langkah dirintis, pelbagai pendekatan diumumkan untuk bukan sahaja membendung jangkitan virus, lebih utama untuk meyakinkan rakyat dan menggerakkan rakyat agar sama-sama berusaha dan kembali bekerja untuk membangunkan negara. Vaksinasi menampakkan cahaya harapan di penghujung terowong tetapi belum memberikan sepenuh jaminan serangan virus telah berjaya ditumpaskan.

8. Tabungan dan simpanan rakyat dilaporkan bertambah susut. Dilaporkan seramai 6.1 juta ahli Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kurang daripada 10,000 ringgit dalam akaun simpanan mereka; dan seramai 3.1 juta ahli pula didapati mempunyai kurang daripada 1,000 ringgit. Angka-angka tersebut menimbulkan kebimbangan bagaimana mereka menghadapi hari tua kelak sekiranya tiada simpanan yang mencukupi, dan kesan limpahan yang akan menjadi beban baharu kepada kerajaan dan negara. Dianggarkan 600,000 keluarga M40 telah terjerumus ke kategori B40; bermakna lebih ramai rakyat menjadi miskin. Kemiskinan tidak mengenal pegangan agama, kaum dan fahaman politik. Kemiskinan bukan medan untuk menentukan siapa bakal menjadi wira penyelamat tetapi kemiskinan ialah mengenai tanggungan, mengenai penderitaan, dan mengenai nasib dan hidup rakyat. Mengurus dan menangani trauma yang telah melanda rakyat tidak memadai dengan percaturan berbentuk konsep dan angka yang begitu permukaan sifatnya, tetapi memerlukan kefahaman dan pengertian serta sentuhan insani yang lebih mendalam.

9. Pandemik Covid-19 hendaklah dijadikan loceng amaran, menyedarkan badan-badan antarabangsa di peringkat dunia, begitu juga negara tentang kelemahan dan kekurangan yang dialami, kerana sikap kealpaan serta kesilapan dasar yang digubal ketika dunia dan negara berada dalam suasana selesa, yang bebas daripada sebarang krisis. Negara wajib mengambil pengajaran dan merekayasa dasar dan program berkaitan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan, kebajikan serta guna tenaga manusia, terutama kebergantungan yang keterlaluan kepada pekerja asing. Negara hendaklah bersedia dan berani melakukan pengauditan untuk menilai kekuatan dan kelemahan aset perkakasan (hardware), aset perisian (software) dan aset sumber manusia daripada segi kuantiti juga kualiti kepakaran, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki; dan penting disegerakan langkah-langkah penambahbaikan agar negara berada dalam keadaan lebih siap siaga menghadapi krisis pada masa hadapan. Bencana yang melanda hendaklah dijadikan pembuka mata untuk mencetuskan pemikiran baharu, memformulasikan kaedah baharu, menerokai pendekatan baharu, meletakkan keutamaan baharu dan memperkenalkan budaya baharu mengurus tadbir negara.

10. Ketika ini, keutamaan hendaklah ditumpukan kepada dua daripada lima elemen yang terkandung dalam hierarki keperluan yang diperkenalkan oleh ahli psikologi, Abraham Harold Maslow pada tahun 1943; pertama: keperluan fisiologi; merangkumi makanan, air, pakaian, dan tempat tinggal; kedua: keperluan keselamatan dan jaminan keselamatan agar rakyat kembali berasa selesa untuk merenangi lautan kehidupan.

11. Covid-19 sudah menjadi sebahagian kewujudan alam dan mungkin kekal berada dalam kehidupan manusia. Pertembungan antara virus dan vaksin akan terus berlaku. Dunia dijangka mengambil masa yang lama sebelum mencapai kemenangan untuk menjinakkan atau menewaskan virus bahaya ini. Sehingga manusia berjaya menemui penawar yang mujarab, manusia hendaklah menggunakan akal fikiran melakukan perubahan, penyesuaian dan penghijrahan daripada norma hidup sebelum ini dengan memiliki pandangan alam yang bijaksana. Perlu diterima hakikat manusia ialah sebahagian daripada alam semula jadi dan tertakluk kepada kuasa alam; dan kuasa alam pula tertakluk kepada kuasa Ilahi.[5] Pandemik dan penyakit walaupun secara zahir bermula daripada tangan durjana manusia, tetapi keizinan kejadian terjadinya pandemik dan penyakit, ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.[6]

12. Pasca Covid-19 memerlukan pimpinan dan pengurusan yang dinamik lagi bertenaga; pimpinan dan pengurusan yang memiliki stamina, kekuatan, kesungguhan dan tumpuan merencanakan pendekatan pemulihan yang dapat memberi impak bermakna kepada rakyat, terutama usaha membasmi kemiskinan. Kebijaksanaan barisan pemimpin terdahulu, memformulasikan program pembasmian kemiskinan pada era pascamerdeka dan pada era Dasar Ekonomi Baru mula diperkenalkan, hendaklah dijadikan rujukan, panduan dan pedoman.

13. Pendidikan merupakan program paling berjaya Dasar Ekonomi Baru memenuhi matlamat pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Majoriti yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dan peningkatan kumpulan menengah terutama dalam kalangan masyarakat Melayu dicapai melalui program pendidikan. Susulan pandemik yang berlaku, platform pendidikan, ia itu sekolah, universiti dan pusat-pusat pengajian merupakan institusi yang terjejas secara langsung. Para pelajar di sekolah serta di pelbagai institusi latihan dan pengajian, merupakan casualty atau mangsa yang menghadapi kerugian besar ketika ditetapkan Perintah Kawalan Pergerakan. Ternyata negara masih tidak memiliki prasarana yang cukup untuk membolehkan kaedah pendidikan baharu dapat dinikmati oleh rakyat secara saksama. Masyarakat di luar bandar menghadapi kesukaran mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) kerana jalur lebar yang lemah dan tidak stabil, sementara masyarakat dalam kategori berpendapatan rendah dan miskin menghadapi kesulitan kewangan untuk membekalkan anak-anak dengan peralatan peranti yang berkualiti.

14. Pelbagai pihak, merentasi agama dan kaum telah membuktikan semangat patriotisme yang tinggi, bersedia berkorban ketika negara bertarung menghadapi wabak Covid-19. Lima ratus ribu petugas barisan hadapan, membuktikan komitmen membantu usaha-usaha negara, berpenat – berlelah memberikan perkhidmatan tanpa mengenal waktu bekerja dan menghadapi risiko yang tinggi; mereka terdiri daripada para doktor, para jururawat dan kakitangan kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans, pemandu kereta jenazah, penggali kubur dan pengurus rumah jenazah; bersama pegawai perkhidmatan awam, anggota polis, tentera, bomba, pertahanan awam, pegawai kebajikan masyarakat, pemimpin pelbagai agama, badan-badan belia dan badan-badan sukarela. Beta menzahirkan penghargaan yang tinggi atas khidmat bakti dan komitmen para petugas barisan hadapan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan sebesar-besar rahmat perlindungan dan semoga khidmat serta pengorbanan mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai amal makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia-ganjaran akhirat.

15. Beta menghargai lafaz taat setia yang dizahirkan oleh Raja Muda Perak, demikian juga ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Menteri Besar. Lafaz dan ikrar taat setia tersebut memperingatkan Beta akan ucapan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq apabila dipilih menjadi khalifah:

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu ialah khianat…

Taatlah selagi aku taat akan Allah dan Rasul Nya. Jika aku derhaka akan Allah dan Rasul Nya, maka tiada ketaatan untuk ku”[7]

16. Beta menghargai setiap sembah nasihat yang dapat membantu Beta untuk memperkenankan keputusan yang betul, berasaskan maklumat dan fakta yang tepat. Beta hargai persepakatan yang Beta peroleh daripada Raja Muda, Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar dan ahli Dewan Negara membantu Beta dalam memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin. Beta menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para Hakim, ahli-ahli Dewan Negeri, para ulama, para umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para pegawai perkhidmatan awam, para penghulu dan imam serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yang masing-masing telah menyempurnakan amanah membantu agar Negeri Perak Darul Ridzuan terus dapat dibangunkan dalam suasana aman lagi makmur dan warga berada dalam harmoni lagi sejahtera. Demikian jua penghargaan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan belia, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta.

YA MUTAKABBIR, YA MU’MIN, YA MUHAIMIN, YA SALAM.

17. Hamba-Mu mengambil ingatan akan firman Mu dalam Surah Al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud:

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksanya.”[8]

18. Ya Allah! Yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih, sesungguhnya makhluk kecil bernama Covid-19, menjadi bukti akan kuasa Pencipta, yang tidak ada kekuatan manusia untuk melawan. Andai kata, makhluk kecil ini ialah tentera yang Engkau turunkan, sebagai hukuman dan pengajaran terhadap kesombongan manusia yang begitu banyak melakukan kerosakan di muka bumi milik Mu ini, segerakanlah tugas mereka. Dipohonkan Engkau memerintahkan agar makhluk kecil ini segera pulang ke tempat Pencipta nya, dan menghentikan serangan terhadap kami yang daif ini, agar hamba-hamba Mu yang daif dan tidak berdosa, hamba-hamba Mu yang hidup kais pagi makan pagi – kais petang makan petang, tidak terus menanggung beban derita kerana perbuatan orang-orang yang telah melakukan kezaliman. Hamba Mu ini, memohon dengan kudrat Mu, dihentikan makhluk kecil Covid-19 ini daripada mengganggu kehidupan harian sekalian hamba-Mu; dipohonkan kehidupan para hamba-Mu dikembalikan seperti biasa, membolehkan mereka bekerja dan beribadah memenuhi seruan Mu.

19. Hamba-Mu memohon ihsan dari Mu, agar dikurniakan hikmah, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah. Semoga negeri dan rakyat Perak Darul Ridzuan senantiasa mendapat lindungan dari Mu jua dan dilimpahkan segala keberkatan fid-dunia wal-akhirat.

Termaktub di Istana Iskandariah

Kuala Kangsar

14.11.2021

  1. Al-Quran, Al-Hasjr (59:22)
  2. Al-Quran, At-Taghabun (54:1)
  3. Al-Quran, Al-Mulk )(67:2)
  4. Al-Quran; An-Nahl (16:112)
  5. Mohd. Jamizat Zainol, “Berdamai dengan COVID-19, kea rah kehidupan lebih baik”, Berita Harian, 11.8.2021, ms 10.
  6. Ibid.
  7. Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361
  8. Al-Quran, Al-Anfal (8:25)
%d bloggers like this: