TITAH PERUTUSAN
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
TIMBALAN YANG DIPERTUAN AGONG
SEMPENA
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SALLALLAHU ALAI WASSALAM
PERINGKAT KEBANGSAAN.
12 RABIUL AWAL 1443/19 OKTOBER 2021.
(SIARAN RTM JAM 9.00 MALAM, ISNIN, 18 OKTOBER 2021)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wataála yang telah mengutus seorang Rasul untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.[1]
- Sambutan Maulidur Rasul dianjurkan, bertujuan, memperingati seorang pemimpin ummah yang unggul lagi mulia. Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam ialah contoh, tokoh ketampanan lahiriah yang mencerminkan keindahan batiniah. Melalui hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan, Baginda berjaya membina tamadun yang agung, tamadun yang telah mengangkat ummah mencapai persada kegemilangan. Baginda meninggalkan dua perkara untuk dijadikan pegangan dan ikutan ummah, pertama, Al-Quran dan kedua, Sunah.
2. Sayangnya, sunah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam kini semakin disisihkan dan terpinggir dalam kehidupan harian insan. Oleh yang demikian, sempena ulang tahun memperingati tarikh keputeraan Baginda, amatlah relevan bagi ummah mencari mutiara berharga yang terkandung dalam sunah-sunah Baginda, untuk dijadikan panduan dan pedoman.
3. Dalam menghadapi senario semasa dunia, demikian juga dalam mengamati senario semasa setempat, hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan Baginda, wajib dikunjungi, diambil iktibar, dijadikan panduan – dijadikan pedoman, terutama dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan, baik ulama begitu juga umara.
4. Kepimpinan Baginda tidak berakarkan retorik, tetapi disuburkan melalui niat yang ikhlas dan pengorbanan yang jujur, melalui amal makruf, melalui adab pekerti yang mulia dan tindakan yang luhur. Baginda gigih menegakkan kebenaran – tegas melaksanakan keadilan, lalu berjaya memperoleh sokongan dan keyakinan, lantas mengupayakan Baginda mengurus tadbir pemerintahan hingga berjaya melimpahkan kesejahteraan kepada ummah. Pemerintahan Baginda teguh berpegang kepada hukum, gigih mencegah kemungkaran, tegas menegur kesalahan, walaupun melibatkan sahabat, anggota keluarga, atau anggota kabilah, selaras dengan semangat yang terkandung dalam hadis yang bermaksud:
“Sebaik-baik perjuangan adalah bercakap benar di sisi pemerintah yang zalim”[2]
5. Baginda tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda mahu membina kekayaan diri dan kekayaan famili. Ketika wafat, Baginda meninggalkan hanya sebilah senjata, seekor kuda, dan tanah yang telah disedekahkan;[3] Baginda tidak meninggalkan kekayaan harta benda untuk direbut, tetapi yang ditinggalkan ialah didikan dan amalan baik, agar dijadikan panduan dan pedoman, dalam usaha membina kehidupan ummah yang sejahtera, kehidupan ummah yang mendapat keredaan, kehidupan ummah yang mendapat berkat dan rahmat Ilahi.
6. Negara yang mendapat kesejahteraan, keredaan, berkat dan rahmat Ilahi akan dilimpahi kedamaian dan kemakmuran, dilindungi daripada bencana dan malapetaka, buminya subur dan kaya, sementara warganya hidup rukun dan aman; dan pimpinan negara diamanahkan dalam kalangan insan yang ikhlas, jujur dan bertakwa; pemimpin yang memiliki rasa belas – rasa ihsan kepada warganya, di samping roh pemimpinnya menghayati perintah Ilahi seperti yang digambarkan dalam hadis mursal Riwayat Imam Abu Daud bermaksud:
“Jika Allah inginkan sesuatu bangsa itu sejahtera, maka Allah memberikan bangsa itu pemimpin yang baik…”
7. Pemimpin yang baik, perlu dibantu oleh barisan ulama yang tegas dan barisan umara yang ikhlas, serta diperlengkap dengan para peniaga yang jujur kerana Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam turut meletakkan status para peniaga yang jujur, sejajar dengan para wali, para siddiqin, para syuhada dan para solihin.
8. Kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimpin. Ulama besar, umara berwibawa, dan peniaga yang berjaya akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki iman dan takwa. Jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawabnya kepada ummah dan kepada negara, serta lebih insaf akan tanggungjawab lebih besar terhadap Allah Subhanahu Wataála, akan sejahtera hidup ummah dan akan makmur negara. Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan. Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya himpunan kekayaan yang diperoleh secara tidak jujur dan tidak telus, apatah lagi melalui kaedah yang meminggirkan peraturan dan mempersendakan undang-undang.
9. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam amat insaf, Baginda bukan sahaja tidak terlepas daripada penglihatan Ilahi, malah sebagai pemimpin, Baginda turut dinilai oleh para pengikutnya. Justeru itu Baginda senantiasa mengamalkan dan mempamerkan sebaik-baik contoh teladan melalui sifat-sifat amanah, jujur, ikhlas, telus, berdisiplin dan berintegriti.
10. Semasa menyampaikan khutbah terakhir di Arafah, pada 9 Zulhijah Tahun Kesepuluh Hijrah, antara perkara yang disabdakan, menyentuh aspek integriti dan akauntabiliti terhadap ummah dan terhadap Allah Subhanahu Wataála; Baginda menyeru:
“Wahai manusia, seperti mana kamu anggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada pemiliknya yang berhak…
… ingatlah, bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan mu, dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu…”
11. Baginda tidak sekadar mengungkapkan kata, tetapi kata-kata yang diungkapkan mencerminkan amalan kepimpinan yang berintegriti tinggi. Banyak kisah yang dapat dipetik, banyak peristiwa yang boleh dijadikan contoh akan sifat integriti tinggi Baginda, terutama pendirian tidak memberi keistimewaan kepada anggota keluarga atau kenalan terdekat, serta tidak terpengaruh dengan sogokan dan imbuhan.
12. Baginda tidak bertolak ansur dengan rasuah; Sabda Baginda bermaksud:
“Barang siapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selain itu, adalah ghulul (ia itu pengkhianatan dan curi)”[4]
13. Diriwayatkan, seorang gabenor ditugaskan mengutip zakat; ketika menyerahkan kutipan zakat, dia menyimpan sebahagian daripada kutipan sambil berkata:
“Ini untuk mu (bahagian untuk Islam) dan ini untuk ku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai)”
Baginda murka mendengar kata-kata gabenor tersebut lalu bersabda:
“Ketahuilah, jika kamu duduk di rumah bapa mu atau ibu mu, akan adakah orang yang datang untuk memberi hadiah, jika kamu benar-benar layak mendapat hadiah”[5]
14. Baginda berulang kali diuji dengan sogokan. Musyrikin Quraisy melakukan pelbagai usaha dengan niat mahu menggelincirkan baginda daripada landasan perjuangan. Baginda ditawar kuasa, jawatan, kekayaan, wanita cantik, malah ditawar untuk ditabalkan sebagai Raja kaum Quraisy. Sabda Baginda, bermaksud:
“Binasalah hamba wang – dinar dan dirham, hamba pakaian, dengan segala macamnya yang menarik, jika diberi dia merasa gembira, dan jika tidak diberi maka dia tidak merasa gembira”[6]
15. Nyatalah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tidak menyalahgunakan status seorang Rasul dan tanggungjawab kerasulan untuk merebut kuasa dan membina kekayaan diri dan kekayaan famili. Baginda tegas, tidak sama sekali menggadaikan prinsip, cekal setia menjunjung amanah dan perintah Ilahi.
16. Kebelakangan ini, dilaporkan, begitu banyak berlakunya rasuah di negara ini. Berdasarkan berita-berita yang dilaporkan, perlakuan rasuah, kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah berlaku pada skala yang besar. Lebih membimbangkan, apabila turut dilaporkan, rasuah dilakukan secara lebih berani – lebih terbuka. Firman Allah Subhanahu Wataála dalam ayat 188 Surah Al-Baqarah bermaksud:
“Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui”[7]
17. Rasuah ialah barah amat bahaya. Rasuah terbukti menjadi punca penderitaan warga dan kemiskinan rakyat, menjadi punca kejatuhan kerajaan dan pemerintahan, menjadi punca keruntuhan negara dan empayar, serta menjadi punca keruntuhan tamadun dan budaya. Ulama dan umara tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisu lidah terhadap perbuatan rasuah. Ulama dan umara wajib berganding usaha – berganding tenaga berjihad menghapuskan rasuah.
18. Sesungguhnya setiap insan yang diangkat oleh Ilahi ke taraf pemimpin, dikembari dengan tugas dan tanggungjawab. Jangan lalaikan diri daripada tugas dan tanggungjawab, ingatkan diri dengan kata-kata mutiara Imam Syafie:
“Berapa ramai manusia yang masih hidup dalam kelalaian, sedangkan kain kafannya sedang ditenun”
19. Ketika ummah berasa gundah gelisah, pemimpin berperanan besar untuk mewujudkan dunia yang aman dan kehidupan yang sejahtera. Ummah, merindui kepemimpinan yang adil lagi saksama, kepemimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum. Ummah merindui kepemimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik. Ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepemimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah. Ummah amat merindui berada di bawah naungan pemimpin yang mengamalkan sifat-sifat kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam; sifat-sifat kepimpinan yang wajib dijadikan contoh ikutan, mengambil iktibar ayat 21, surah al-Ahzab:
Bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”[8]
20. Ya Allah! Kami pohon untuk Engkau mengamanahkan kepimpinan dan pengurusan negara kami kepada orang-orang yang amanah, jujur dan ikhlas, berani menegakkan kebenaran – tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum; orang-orang yang menghayati, menjiwai dan mengamalkan sifat-sifat kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam.
21. Ya Allah! Cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, hamba-Mu dan pesuruh Nabi yang Ummi, dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Ya Allah! mencukupilah kami berserah kepada Mu, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Amin Ya Rabul Alamin.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
-
Al-Quran, Al-Anbiyaa (21:107) ↑
-
Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi. ↑
-
Hamka, Sejarah Umat Islam, (Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd, Cetakan Kedua 1997), 115. ↑
-
Hadis Riwayat Abu Daud ↑
-
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim ↑
-
Riwayat al-Bukhari. ↑
-
Al-Quran; Surah Al-Baqarah (2:188) ↑
-
Al-Quran; Surah Al-Ahzab (33:21) ↑