Titah Tuanku Canselor Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kedua Belas

Universiti Sultan Azlan Shah atau USAS, bermula dengan penubuhan Kolej Islam Darul Ridzuan, atau KISDAR pada tahun 1999, dengan pengambilan pelajar perintis seramai 43 orang.  Ketika berlangsung istiadat konvokesyen pertama pada 20 Ogos 2002, KISDAR menganugerahkan diploma kepada 35 graduan; 10 orang dianugerahkan Diploma Syariah Islamiah, 14 orang dianugerahkan Diploma Usuluddin dan 11 orang dianugerahkan Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab.  Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah kedua belas ini, akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 1,367 graduan, meningkat hampir empat ribu peratus daripada jumlah graduan yang dianugerahkan diploma 17 tahun yang lalu;  dua graduan akan dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah, 45 ijazah Sarjana, 310 ijazah Sarjana Muda dan 1,019 Diploma.  Dalam tempoh dua puluh tahun penubuhannya USAS telah menghasilkan 5,775 graduan. 

2.      USAS ketika ini menawarkan 23 program pengajian; 5 program Doktor Falsafah, 7 program Sarjana, 10 program Sarjana Muda, dan 1 program Asasi dengan jumlah 5,234 pelajar.  Bermula dengan lapan orang staf akademik dan tiga orang staf pentadbiran ketika KISDAR memulakan operasi, USAS ketika ini dikendalikan oleh 307 orang staf, terdiri daripada 108 orang staf akademik dan 199 orang staf pentadbiran.

3.      USAS mencatat lebihan pendapatan secara berterusan bermula dari tahun 2011.  Status kewangan negatif, 4.4 juta ringgit pada tahun 2010 beralih menjadi positif dua juta ringgit dalam tahun 2011; dan secara konsisten, setiap tahun USAS terus mencatatkan lebihan; dalam tahun kewangan 2018, USAS mencatatkan lebihan 10.4 juta ringgit.  USAS kini berada dalam status kewangan yang berupaya membayar zakat, membayar cukai pendapatan dan mengisytiharkan dividen kepada pemegang saham.

4.      Nyatalah USAS telah mencatatkan prestasi pencapaian yang meyakinkan dalam pelbagai aspek, merangkumi perkembangan kurikulum, bilangan pelajar, staf pengurusan dan staf akademik, pendapatan dan lebihan pendapatan.  USAS juga terus berkembang daripada sudut pembangunan fizikal, merangkumi bangunan-bangunan akademik, demikian juga penempatan pelajar. 

5.      Kejayaan sesebuah institusi dipengaruhi oleh pimpinan yang berwawasan, semangat berpasukan, dedikasi dan komitmen kakitangan serta sokongan pemegang kepentingan (stake holder), juga masyarakat sekitar.  USAS ialah satu kisah kejayaan.  Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah mencipta satu kisah kejayaan daripada peringkat memecah ruyung hingga menghasilkan sagunya pada hari ini.

6.      Membina kejayaan adalah satu cabaran, tetapi mengekalkan kejayaan merupakan cabaran yang lebih besar dan lebih mencabar.  Kejayaan berpotensi mengundang rasa terlalu cepat berpuas hati, kejayaan berpotensi mengundang rasa riak, sifat ego dan keengganan melakukan perubahan, kejayaan berpotensi menyebabkan manusia dipengaruhi nafsu hingga kehilangan fokus, mengundang rasa iri hati, mencetuskan berlakunya pelbagai perbuatan hasad dengki dan fitnah, dan berlakunya pelbagai polemik perebutan kuasa, mengheret kepada berlakunya krisis kepimpinan.

7.      Kisah kehilangan fokus yang berlaku dalam kalangan tentera Islam semasa Perang Uhud hendaklah dijadikan teladan.  Tentera berpanah Islam begitu cepat meninggalkan posisi di tempat yang strategik pada peringkat awal kemenangan kerana pengaruh nafsu untuk berebut harta rampasan perang.  Perbuatan meninggalkan lokasi strategik di atas bukit telah  membolehkan tentera Quraish berpatah balik dan melakukan serangan balas, mengakibatkan tentera Islam akhirnya ditewaskan.  Oleh itu adalah penting untuk manusia, tidak terlalu cepat kehilangan pedoman ketika merayakan kejayaan awal. 

8.      Kejayaan penting dipulihara dan dijadikan pengajaran untuk mendaki tangga kejayaan yang lebih tinggi.  Dalam meraikan kejayaan, USAS berada di persimpangan untuk menentukan arah haluan jangka panjang institusi, sama ada mahu terus berkembang secara organik, menjadi sebuah pusat pengajian massa, dengan terus menambah bilangan pelajar dan bilangan staf, serta memperkembangkan kawasan kampus, atau memikirkan secara strategik  untuk bersifat lebih selektif, berlandaskan falsafah mahu menjenamakan diri, beridentitikan sebuah pusat pengajian dan rujukan bertaraf antarabangsa, yang memiliki kepakaran-kepakaran istimewa dalam bidang-bidang tertentu.  Opsyen yang dipilih akan mencartakan laluan yang mahu terus ditempuhi.  Opsyen yang dipilih akan menentukan kedudukan USAS dalam peta pendidikan negara, ketika sambutan jubli emas penubuhannya dirayakan,  tiga puluh tahun daripada sekarang, sama ada USAS berimej sebagai salah sebuah universiti di dalam negara, atau USAS memiliki reputasi sebagai sebuah universiti  beridentiti tertentu. 

9.      Kita tidak berada dalam kedudukan untuk mengubah sejarah yang berlaku pada hari-hari semalam; tetapi kita berada dalam kedudukan untuk mengolah sejarah pada hari ini dan mencipta sejarah untuk hari esok.  Kita berada dalam kedudukan yang memiliki pilihan untuk bekerja lebih kuat, mengusahakan kejayaan lebih besar atau cepat berasa puas, lalu menyerah diri, tidak mahu bersusah melakukan perubahan, tanpa menyedari dengan bersikap demikian, kita sebenarnya merelakan, menyerapnya sel kegagalan dalam batang tubuh kejayaan yang dicipta pada hari semalam. 

10.    Setelah berjaya menghasilkan 5,775 graduan, dan ketika melangkah ke usia 21 tahun penubuhannya pada tahun 2020, demi memastikan USAS tetap menjadi sebuah institusi pengajian pilihan dalam era kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan dalam era Industri Revolusi Keempat (Fourth Industrial Revolution), pelbagai pihak berkepentingan, perlu memikirkan dan mengolah falsafah yang lebih kontemporari dengan keadaan semasa, dan merekayasa pendekatan yang lebih relevan dengan keperluan semasa, berbanding premis yang digunakan ketika USAS diasaskan pada tahun 1999.  Setelah mencapai usia 20 tahun kewujudannya, amatlah penting bagi USAS mengolah dan merangka pelan strategik untuk mengharungi perjalanan 20 tahun yang akan datang, dengan mengenal pasti dan memberanikan diri menerokai wilayah baharu, agar USAS terus berjaya mencipta kejayaan yang lebih gemilang.  

11.    Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan atas kejayaan memenuhi keperluan yang melayakkan diri dianugerahkan ijazah dan diploma. Hargailah jasa para ibu bapa dan ahli keluarga yang senantiasa memberikan segala sokongan material dan moral, di samping mendoakan kejayaan anda; hargailah jasa para guru yang begitu komited menyinarkan cahaya penyuluh, menerangi perjalanan anda ketika menerokai gua ilmu, dan hargailah khidmat tenaga pengurusan dan tenaga sokongan yang membantu pelbagai urusan anda semasa berada di kampus USAS.  Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor dan staf akademik, serta staf pengurusan dan staf sokongan universiti yang telah memenuhi pelbagai peranan dan melaksanakan pelbagai tugas.   Semoga segala khidmat bakti yang diberikan, diterima ILAHI sebagai amal makruf yang dilimpahkan ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala menunjukkan kita ke jalan yang lurus,     

%d bloggers like this: