Titah Tuanku Canselor Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Salam sejahtera.

Lima puluh lapan tahun yang lalu, ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen pertama pada 10 Jun 1961, Universiti Malaya menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 475 graduan; empat ijazah Doktor Falsafah, 11 ijazah Sarjana, 362 ijazah Sarjana Muda dan 98 diploma.  Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke 59, akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 6,562 graduan.  Daripada jumlah tersebut, seramai 477 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam sidang pagi ini; diikuti dengan sembilan sidang lagi untuk penganugerahan 2,026 Ijazah Sarjana dan Diploma Pasca Siswazah, 2,965 Ijazah Sarjana Muda, dan 1,094 diploma lanjutan dan diploma.

2.      Dalam tempoh lima puluh lapan tahun, bilangan graduan yang dianugerahkan ijazah dan diploma oleh Universiti Malaya sahaja, meningkat hampir 1,300 peratus.  Hari ini, terdapat 20 universiti awam, dan 467 institusi pengajian tinggi swasta di negara ini.[1]  Satu perpuluhan tiga (1.3) juta remaja Malaysia sedang mengikuti pengajian peringkat pendidikan tinggi, lebih lima ratus ribu daripada bilangan tersebut berada di dua puluh Institusi Pengajian Tinggi Awam.[2]  Dalam tempoh 40 tahun terakhir, remaja Malaysia dalam golongan usia 17 ke 23 tahun yang berpeluang mengikuti pengajian peringkat pendidikan tinggi, meningkat daripada 14 peratus dalam tahun-tahun sembilan belas tujuh puluhan ke sembilan belas lapan puluhan, kepada 44 peratus.[3]

3.      Data menunjukkan universiti awam kebanyakannya dibangunkan selepas tahun 1990.  Jika diandaikan, 100,000 graduan dihasilkan setiap tahun sejak berakhirnya tempoh Dasar Ekonomi Baru, bermakna tiga juta graduan telah dihasilkan dalam tempoh 30 tahun, satu pencapaian program pendidikan yang bukan sahaja menggalakkan, tetapi mungkin belum pernah berlaku di mana-mana juga di dunia.[4]  Berasaskan bilangan ijazah yang dianugerahkan, Malaysia mungkin mempunyai bilangan pemegang ijazah per kapita tertinggi di Asia, jika tidak di dunia.[5]

4.      Menghasilkan bilangan graduan yang ramai belum menyempurnakan sepenuhnya tanggungjawab terhadap negara.  Universiti juga wajib mengambil tanggungjawab untuk membina karakter dan mencanai jiwa insan secara menyeluruh.  Ijazah adalah pakaian luaran yang memberikan identifikasi tahap dan bidang penguasaan ilmu seseorang graduan.  Faktor yang tidak boleh dipinggirkan, malah menjadi lebih penting, ialah kejayaan menyemaikan nilai-nilai murni dalam roh setiap graduan,  agar para graduan ketika menghadapi cabaran hidup di dunia sebenar, memiliki kekuatan dalaman, serta menghayati aspek-aspek etika dan moral, akauntabiliti dan integriti. 

5.      Sejarah manusia mencatatkan ilmu bukan sahaja dianggap pengaruh, bahkan kuasa.[6]  Bangsa Greek yang kecil misalnya, dengan pencapaian ilmu berpusat di Athens, berpengaruh besar terhadap Empayar Roma dan bangsa lain hingga kini.[7] Peter F. Drueker, dalam buku Post Capitalist Society, mencatatkan kumpulan sosial paling utama dan terpenting pada zaman akan datang, ialah pekerja serta eksekutif berilmu pengetahuan dan tahu menggunakan ilmu.[8]  Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat 11 Surah Al-Mujadalah bermaksud:

“…Allah mengangkat orang beriman daripada golongan kamu dan begitu juga orang dikurniakan ilmu pengetahuan beberapa darjat…”[9]

6.      Lebih tinggi ijazah yang dimiliki, lebih besar amanah yang akan dipertanggungjawabkan.  Menyerahkan amanah kepada insan yang tidak memiliki sifat amanah dan tidak menghargai nilai amanah, menyamai perbuatan menyerahkan sekandang biri-biri untuk dijaga oleh seekor atau sekumpulan serigala.  Individu yang tidak amanah akan memudaratkan warga, agama, negara dan tamadun.

7.      Universiti, dalam memenuhi peranan sebagai institusi pendidikan, sewajibnya memberi perhatian serius terhadap laporan-laporan berlakunya pelbagai kepincangan di pelbagai organisasi akibat perbuatan individu ataupun kelompok terpelajar, berkelulusan tinggi, yang menyandang jawatan penting, melakukan perbuatan pecah amanah, rasuah, penipuan dan menyalah guna kuasa.  Kerendahan akhlak dan ketiadaan integriti, terbukti dalam sejarah, menjadi punca keruntuhan sesuatu tamadun manusia serta kemusnahan sesebuah negara bangsa. 

8.      Perangkaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan dari tahun 2014 hingga Jun 2019, seramai 4,860 individu ditahan kerana rasuah; daripada jumlah tersebut, seramai 2,594 orang atau 53.4 peratus adalah orang muda berusia di bawah 40 tahun.[10]  Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2002, mendapati 30.5 peratus daripada pelajar universiti yang menjadi responden menyatakan kesanggupan menerima rasuah,[11] membayangkan nilai integriti dalam kalangan anak muda semakin terhakis.[12]  Tinjauan Institut Integriti Malaysia (IIM) mengenai persepsi pelajar terhadap rasuah pada tahun 2017, mendedahkan satu daripada tiga pelajar universiti tempatan berpendapat, menerima habuan sebagai balasan untuk perkhidmatan yang diberikan bukan dianggap rasuah, sementara 28.1 peratus responden berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi mereka untuk mengambil harta atau barangan milik syarikat untuk kegunaan peribadi, malah 37.3 peratus daripada responden menganggap perlakuan mengemukakan tuntutan untuk tugas luar walaupun ada tajaan penuh, bukan satu kesalahan moral.[13] Kajian yang dijalankan oleh SPRM terhadap seribu orang pelajar universiti mendapati 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah manakala 18.5 peratus pula akan menerima rasuah jika tiada apa-apa tindakan diambil.[14]  Dapatan kajian UKM, serta hasil tinjauan Institut Integriti Malaysia, ada hubung kait dengan data tangkapan SPRM, atas asas graduan yang dihasilkan 17 tahun yang lalu, kini berada dalam kumpulan usia 38 ke 40 tahun.

9.      Imej sesebuah universiti bukan hanya diwarnakan dengan bilangan dan tahap pencapaian kerjaya graduan yang dihasilkan, tetapi universiti juga menerima tempias negatif, jika ramai daripada graduan yang dihasilkan olehnya, menghadapi pelbagai dakwaan jenayah di mahkamah, atau meringkuk di dalam penjara.

10.    Kaji selidik yang dilakukan dalam makmal akauntabiliti semasa berlangsungnya Forum Ekonomi Dunia di Davos tahun ini, menamakan rasuah sebagai cabaran paling besar yang anak muda hadapi.  Kaji selidik tersebut juga mengenal pasti rasuah perlu dibayar dengan harga yang tinggi dan melenyapkan dana awam; didapati lebih satu trilion dolar setahun terpaksa disogok dalam bentuk rasuah oleh golongan peniaga dan individu, majoritinya golongan miskin, mengakibatkan hilangnya keyakinan dan melebarnya ketidakseimbangan pendapatan.  Dianggarkan, setiap tahun, satu trilion dolar penggubalan wang secara haram berlaku di negara-negara miskin dan kurang membangun; dianggarkan juga setiap tahun, 38 ke 64 bilion dolar hasil dalam bentuk cukai di negara-negara sedang membangun tidak dapat dipungut kerana rasuah.[15]  Antara tahun 2001 hingga 2010, hampir enam trilion dolar disalah guna di negara-negara miskin hingga menjejaskan kehidupan rakyat biasa.[16]  Setiap trilion dolar yang tiris, menjadi punca kepada 3.6 juta kematian setahun,[17] kerana hasil negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan, makanan dan prasarana, telah dilesapkan.  Ban Ki-Moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2007 menyatakan:

Corruption undermines democracy and the rule of law.  It leads to violations of human rights.  It erodes public trust in government.  It can kill.”

11.    Para graduan, terutama dalam kalangan yang pertama kali menerima ijazah atau diploma, selepas ini akan menghadapi dunia sebenar.  Tanggungjawab, cabaran dan akauntabiliti saudara-saudari tidak lagi terbatas kepada guru dan pensyarah, keluarga dan diri sendiri.  Saudara saudari akan berhadapan ujian dan cabaran sebenar memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan.  Nilai yang dipegang akan berperanan sebagai kompas moral memandu saudara saudari menjadi aset atau liabiliti kepada negara.

12.    Istiadat konvokesyen ini mencipta kejayaan yang membawa kebanggaan kepada diri – kepada keluarga; lengkapkan kejayaan ini dengan nilai moral yang murni, agar saudara saudari terus mengangkat martabat diri dan nama baik keluarga; hindarkan diri daripada terjebak dengan perbuatan yang boleh memusnahkan diri dan mengaibkan keluarga.  Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan.  Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk membimbing saudara saudari menemui jalan yang lurus, jalan yang benar, jalan yang dapat memberi kebahagiaan dunia dan akhirat.


[1] Siti Hamisah Taspir, “Harmonising public and private education”, New Straits Times, (nst.com.my), 14.5

[2] Ibid.

[3] Ibid.

[4] Lim Teck Ghee, “Now everybody has a degree”, The Sun, 22.7.2019, page 9.

[5] Ibid.

[6] Profesor Emeritus Zakaria Stapa, “Ubah tujuan ilmu berasaskan falsafah kebendaan Barat”, Berita Harian, 14.3.2019, ms 85.

[7] Ibid.

[8] Ibid.

[9] Al-Quran, Surah Al-Mujadalah (58:11)

[10] Berita Harian, 1.8.2019, ms 4; 2.8.2019, ms 10.

[11] Ibid. 1.8.2019.

[12] Ibid. 2.8.2019.

[13] Berita Harian, 15.8.2019, BH Varsiti ([email protected],my)

[14] Ibid.

[15] “The Middle East included, of course: corruption costs poor countries trillion dollars a year”, Al Bawaba (http://www.albawaba.com), 8 September 2014.

[16] Pierre Landel-Mills, Citizens Against Corruption: Report From The Front Line, (Leicestershire: Partnership for Transparency Fund, 2013) xv

[17] “Corruption impoverishes and kills millions in developing countries”, LusakaTimes.com-http://www.lusaka.times.com, 4 September 2014.

In The News:

https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/10/13/sultan-build-students-with–character

%d bloggers like this: