Ulang Tahun Hari Keputeraan Kelapan Puluh Lima Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

 

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Maha suci ALLAH yang memiliki segala Kerajaan; Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.[1] Selawat dan kesejahteraan ke atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam semulia-mulia kejadian dan sebaik-baik teladan; limpahkan rahmat ke atas Baginda, begitu juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan; semoga memperoleh ihsan daripada Mu jua Ya ALLAH, sehingga ke hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat dari ALLAH Subhanahu Wata’ala, Beta bersama Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Ahli Dewan Negara, Orang Besar, Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan, Pasukan Keselamatan serta Pertubuhan Sukarela dan Bukan Kerajaan, mewakili pelbagai konstituen rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, bersama-sama berhimpun pada pagi ini di Istana Iskandariah, bersempena ulang tahun hari keputeraan kali kelapan puluh lima, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

3. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada ketika ini masih perlu beristirahat. Baginda begitu juga Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun menitahkan Beta untuk menyampaikan salam dan menzahirkan ucapan terima kasih Baginda berdua di atas ucapan dan doa yang dipersembahkan oleh pelbagai pihak yang memperlihatkan perhatian berat ke atas diri Baginda berdua.

4. Walaupun dalam keadaan masih perlu beristirahat, Baginda tidak terlepas pandang akan tanggung jawab Baginda terhadap negeri dengan menitahkan agar hari ulang tahun keputeraan Baginda terus disambut secara simbolik sebagai tanda menghormati peranan penting institusi takhta dan Raja Pemerintah. Bahawa ulang tahun sambutan hari keputeraan seorang Raja Pemerintah itu tidak peribadi bentuknya; sambutannya tidak hanya terbatas di kalangan ahli keluarga dan kenalan peribadi. Ulang tahun sambutan hari keputeraan seorang Raja Pemerintah itu adalah acara rasmi Negeri, adalah satu tradisi – satu kesinambungan adat budaya, disambut secara bersama oleh negeri dan rakyat. Bersempena ulang tahun hari keputeraan, telah menjadi lazim bagi Raja Pemerintah untuk memperlihatkan sifat ihsan terhadap rakyat sementara rakyat pula mempamerkan semangat kesetiaan. Oleh itu, pelbagai acara dianjurkan untuk membolehkan Raja Pemerintah dapat sampai ke sejauh mungkin jajahan pemerintahan dan bertemu dengan seramai mungkin rakyat di bawah naungan pemerintahan Baginda.

5. Bersempena ulang tahun hari Keputeraan Baginda kali kelapan puluh lima ini, Baginda telah menitahkan untuk Beta menyampaikan pesanan Baginda agar rakyat yang terdiri dari pelbagai agama dan kaum dengan memiliki pelbagai budaya dan bahasa terus menjalin hubungan harmoni dan memupuk semangat bekerjasama, kekal bersatu dan sama-sama berusaha membangunkan negeri yang aman lagi tenteram, makmur lagi sejahtera. Baginda mengingatkan bahawa keamanan dan ketenteraman, begitu juga kemakmuran dan kesejahteraan adalah anugerah besar dari ILAHI yang wajib dihargai dan dipelihara setiap masa.

6. Baginda mengingatkan, demi menjamin kelangsungan sebuah negara yang aman dan tenteram, makmur lagi sejahtera, adalah penting untuk Perlembagaan Negara diluhurkan dan undang-undang negara didaulatkan; begitu juga dipastikan pentadbiran negeri yang tulus lagi amanah serta pentadbiran korporat yang telus lagi jujur senantiasa diamalkan. Baginda menyeru supaya penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan berteraskan prinsip keadilan undang-undang secara saksama. Baginda mengingatkan bahawa integriti badan-badan penguatkuasaan dan keyakinan serta penghormatan rakyat kepada penguat kuasa undang-undang, dipengaruhi oleh amalan profesional yang diperlihatkan oleh badan-badan tersebut ketika melaksanakan tugas yang berpaksikan undang-undang tanpa gentar dan tanpa berpihak.

7. Baginda menekankan pentingnya nilai-nilai agama dan nilai-nilai moral disemai dan dijadikan asas untuk membina insan berakhlak mulia, amanah, jujur lagi ikhlas. Baginda menyeru agar kerukunan keluarga dan semangat kejiranan tidak dipinggirkan ketika manusia berlumba mahu membina kerjaya dan mengejar pencapaian materialisme. Ibu bapa mempunyai tanggung jawab penting untuk membentuk insan yang memiliki emosi yang stabil melalui sentuhan kasih sayang yang sangat diperlukan oleh anak-anak. Baginda menitahkan agar usaha membela nasib rakyat miskin dan rakyat bawahan hendaklah terus dilipat gandakan dan dilaksanakan secara bersungguh kerana Baginda amat peka bahawa rakyat miskin dan rakyat bawahan adalah kumpulan rakyat yang paling perlu diberikan perhatian dan pembelaan.

8. Baginda turut mengikuti perkembangan politik semasa dan pilihan raya umum ketiga belas yang akan berlangsung pada 5 Mei 2013. Baginda menegaskan peranan berkecuali takhta serta Raja Pemerintah yang tidak memihak kepada mana-mana kumpulan politik. Malah Baginda menegaskan betapa pentingnya bagi Raja Pemerintah mencerminkan dan mempamerkan sifat berkecuali agar Raja Pemerintah dapat berperanan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama untuk membantu merungkai sebarang konflik dan kekusutan jika berlaku.

9. Baginda meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan dan pengalaman pelbagai institusi negara terutamanya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pasukan Keselamatan untuk menentukan pilihan raya dapat berlangsung dalam keadaan lancar, aman dan tenteram. Baginda menyeru pemimpin-pemimpin pelbagai parti politik agar mencerminkan sikap bertanggung jawab yang tinggi semasa berkempen dengan menghindarkan perkara-perkara sensitif yang berpotensi mengapi-apikan sentimen rakyat menyentuh isu-isu agama, kaum, budaya dan bahasa dari dieksploitasi hingga ke peringkat yang boleh menjejaskan perpaduan warga. Baginda menyeru agar rakyat Baginda berupaya mencerminkan sifat berhemah demi memastikan kelangsungan sebuah negara merdeka yang berdaulat, makmur lagi sejahtera, mendukung prinsip dan amalan demokrasi secara matang lagi bertanggung jawab. Baginda berdoa agar negara dan rakyat terus dilimpahi rahmat dan perlindungan ILAHI.

10. Bersempena ulang tahun keputeraan Paduka Seri Ayahanda kali kelapan puluh lima ini, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Ahli Dewan Negara, Orang Besar, merafakkan sembah, mengulangi ikrar penuh taat – penuh setia, mendukung bersama amanah yang sedang digalas di bahu Paduka Seri Ayahanda, bersandarkan hukum – berlandaskan adat. Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Ahli Dewan Negara, Orang Besar, setiap seorang daripada pacal Paduka Seri Ayahanda membulatkan tekad dan sekaliannya beriltizam memastikan institusi beraja kekal di atas landskap pemerintahan di bumi warisan bangsa ini. Semoga Paduka Seri Ayahanda akan bersemayam di takhta pemerintahan sebuah Kerajaan yang makmur lagi sejahtera dan berperanan sebagai payung mahkota kepada negeri dan rakyat yang hidup dalam aman lagi sentosa. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa mendapat taufik dan hidayah dari ILAHI, bersemayam di takhta singgahsana dengan penuh kerahmatan fid-dunia wal-akhhirat.

Dirgahayu Tuanku.

Wabillahi taufik, walhidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran, Surah Al Mulk (67:1)
%d bloggers like this: