Bismillahi Rahmani Rahim
Alhamdulillahi Rabbil Alamin, Wassolatu Wassalamu’ala Ashrofil Anbia Iwal Mursalin, Wa’ala Alihi Wasohbihi Ajmain.
2. Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH. Maha Besar ALLAH yang memiliki Kerajaan; Engkau anugerahkan Kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut Kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki; Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki; di tangan Engkaulah segala kebajikan[1]. Maha Suci ALLAH yang di tangan Nya segala Kerajaan[2], kepunyaan ALLAH kerajaan langit dan bumi; Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu[3].
3. Selawat dan kesejahteraan ke atas Rasul Junjungan dan penghulu kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian; kurniakan rahmat ke atas Baginda, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Mu jua Ya ALLAH sehingga ke hari kebangkitan.
4. YA-MALIK, YA-MU’MIN, YA-SALAM, YA-MUTAKABBIR, dengan berkat keagungan Asmaul-Husna, hamba-Mu ini, dengan ingatan yang bening – dengan hati yang hening, melafazkan kalam yang tulus daripada pancaran mata hati, akan kalimah kesyukuran atas anugerah rahmat dari Mu jua YA-ALLAH, yang telah melanjutkan usia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah membolehkan berlangsungnya istiadat sambutan ulang tahun hari keputeraan Baginda kali kelapan puluh enam.
5. Di istiadat ini, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar penuh taat – penuh setia, mendukung bersama amanah yang sedang digalas di bahu Paduka Seri Ayahanda. Paduka Anakanda amat insaf bahawa kedudukan dan darjat turut disertai dengan peranan dan tanggung jawab. Oleh itu, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, setiap seorang dari pacal Paduka Seri Ayahanda, bertekad dan sekaliannya berazam untuk memastikan institusi Raja kekal didaulatkan. Paduka Anakanda sedar bahawa ia akan hanya tercapai melalui watak dan keperibadian mulia, adab dan sopan yang luhur, yang diperlihatkan oleh Raja Pemerintah, Raja Bergelar, Waris Negeri serta kerabat Diraja, baik dalam bentuk perkataan demikian juga dalam bentuk perbuatan.
6. Istiadat pada pagi ini melambangkan citra untuk terus mendaulatkan institusi Raja, satu pelanjutan adat – satu kesinambungan budaya, berlangsung dalam era modenisasi; betapa keindahan adat – betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa; menyegarkan keaslian adat – menyuburkan keindahan budaya, sekali gus mengekalkan identiti satu tamadun pemerintahan, negeri beraja – rakyat bersultan, yang telah sekian lama berakar dalam sistem berkerajaan dan bernegara di rantau ini.
7. Institusi Raja bukan cermin lama untuk melihat wajah yang telah tua. Takhta pemerintahan, tidak sekadar ornamen hiasan. Pemerintahan berpaksikan Raja adalah institusi utama yang termaktub secara perundangan di dalam Perlembagaan Negara. Sepuluh peratus; iaitu, 19 dari 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara-perkara berkaitan Raja; bermakna Negara Malaysia yang mengamalkan sistem kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggung jawab tertentu kepada Raja Pemerintah. Oleh itu, takhta perlu bertenaga agar berupaya memenuhi tuntutan; takhta juga perlu bersifat dinamik untuk bersedia menghadapi cabaran.
8. Raja bersemayam di takhta kerajaan, memerintah dan bukan mentadbir. Raja Pemerintah adalah payung kedaulatan negara, wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga, tanpa mengira kaum – tanpa mengira agama. Takhta pemerintahan berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan – teras perpaduan – payung penyatuan, instrumen kesatuan dalam kepelbagaian. Semestinya takhta pada setiap ketika tidak bersifat partisan, malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian, demi memastikan peranan takhta diterima baik, ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan di dalam negara.
9. Dalam menyelami minda agar dapat lebih memahami tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan, terutama untuk menghadapi generasi muda, Beta senantiasa mengimbas ingatan akan semangat permuafakatan yang telah terukir di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun, satu kontrak sosial menyentuh hubungan Raja dengan rakyat dan hubungan rakyat dengan Raja; bahawa rakyat akan kasih dan setia kepada Raja yang adil berlandaskan semangat “Raja adil – Raja disembah”. Beta juga amat insaf bahawa daulat dan darjat seseorang Raja “tidakkan pipis datang melayang – tidakkan bulat datang menggolek.” Justeru itu, keluhuran institusi Raja perlu dipelihara daripada sebarang penodaan dan dikawal dari sebarang pencemaran untuk memastikan warga kekal menabur bunga setia.
10. Pada hemat Beta, Institusi Raja perlu direkayasa kepada paksi yang berupaya melakarkan ruang peranan yang lebih relevan dalam era yang semakin berubah. Institusi Raja perlu mengambil iktibar daripada contoh teladan kepimpinan gemilang yang bukan sahaja berjaya mendapat sokongan padu rakyat malah turut mendapat keredaan ILAHI. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dikagumi kerana kejayaan kepimpinan Baginda yang mencerminkan sifat tawaduk, amanah dan adil. Baginda mengutamakan budaya konsultasi, menghargai pendapat daripada mereka yang lebih arif, mempertimbangkan maklumat secara teliti, sebelum merumuskan keputusan secara bijaksana. Baginda, pemimpin transformatif yang memberi inspirasi kepada pengikut agar senantiasa bersifat tawaduk, amanah dan adil walaupun sesuatu keputusan itu tidak memihak kepada kumpulan atau diri sendiri.
11. Kisah pemerintahan Iskandar Zulkarnain, terkandung dalam ayat-ayat lapan puluh tiga hingga sembilan puluh lapan Surah Al Kahfi. Betapa Iskandar Zulkarnain membuktikan sifat-sifat keabadian menjunjung perintah ILAHI. Tercatat dalam sejarah, bahawa pada era keagungan Kesultanan Melaka, Hikayat Iskandar Zulkarnain dijadikan sumber rujukan oleh Raja-raja di rantau ini.
12. Pengasas kesultanan Dinasti Ayyubid, Salahuddin Ayyubi ialah tokoh hebat, terkenal dengan sifat warak dan soleh, mencintai Al-Quran dan sering mengalirkan air mata ketika mendengar dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Walaupun bertaraf Sultan, Salahuddin Ayyubi menjelajah dunia ilmu, melakukan pengembaraan untuk berguru dengan Imam Malik. Salahuddin Ayyubi mengamalkan sifat pemurah dan suka bersedekah; ketika menghembus nafas terakhir, Salahuddin Ayyubi hanya meninggalkan sekeping syiling emas dan empat puluh tujuh keping syiling perak.
13. Sultan Alauddin Ri’ayat Shah, Sultan Melaka ketujuh, terkenal sebagai pemimpin yang warak dan berjiwa rakyat. Baginda seorang Raja yang sering mendampingi rakyat secara dekat, membaca denyut nadi dan denyut jantung rakyat tanpa tapisan, menghayati masalah rakyat secara langsung dan berusaha menyelesaikannya. Baginda sering menyamar sebagai rakyat marhaen, meronda pada malam hari untuk menangani masalah jenayah yang berlaku lalu mengasaskan penubuhan balai-balai pengawal.
14. Kaedah kepimpinan tokoh-tokoh terbilang tersebut wajib dijadikan iktibar. Betapa kaedah kepimpinan tersebut telah mendekatkan Rasul dengan umat, merapatkan Raja dengan rakyat, lalu terjalin ikatan – terbina persefahaman, terserlah penyatuan matlamat di antara pemimpin dengan pengikut, memiliki wawasan yang sama, menjunjung prinsip yang serupa; sama-sama membangunkan budaya sosial yang bertiangkan keadilan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan. Tokoh-tokoh tersebut adalah kalangan pemimpin progresif yang berpegang kukuh kepada konsep tauhid dan ketuhanan; bersifat tawaduk, amanah dan adil, senantiasa insaf bahawa pangkat dan jawatan adalah amanah berat. Ketakwaan mereka kepada ILAHI mengatasi segala-galanya, hingga hati mereka gementar dan tubuh mereka bergoncang apabila mengingati kebesaran ILAHI dan betapa kerdilnya status mereka yang bersifat hamba.
15. Pada era Kesultanan Melayu Melaka, daulat dikaitkan dengan karisma Raja dan tuah Raja, apabila negeri aman, makmur dan kaya raya, tanaman dan tumbuhan subur di ladang, ternakan membiak, rakyat bertambah; maka Raja yang memerintah dianggap bertuah dan tinggi berdaulat[4]. Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam Kitab Ketatanegaraan, Nasihatul Muluk (Nasihat untuk Raja-raja) yang ditujukan kepada para pemimpin Islam sezamannya, menyemaikan budaya ilmu dan tatacara pentadbiran yang menegaskan perpaduan negara, berdasarkan kefahaman bermakna mengenai tuhan, hakikat alam semesta, kehidupan dan kehidupan selepas mati[5]. Islam menegaskan agar pemerintah menyayangi rakyat dan tentunya rakyat akan membalas kasih sayang tersebut[6].
16. Pemerintah sewajibnya menghayati sifat-sifat agung ALLAH Subhanahu Wata’ala, sifat-sifat Maha Pengasih – Maha Penyayang, Maha Pemurah – Maha Pengampun yang mengatasi sifat murka Nya. Nuruddin al Raniri dalam kitab al-Fawaid al Bahiyah memperingatkan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam akan peranan dan tanggung jawab seorang Raja; bahawa sehari amalan seorang Raja yang adil, lebih afdal dari amalan seorang yang beribadat selama enam puluh tahun; bahawa Raja yang zalim atau mengkhianati rakyatnya dan tidak menasihati mereka, tidak akan mencium bau syurga[7]. Nyatalah Raja Pemerintah mendukung amanah berat, dan peranannya bukan sahaja dinilai di dunia oleh rakyat, tetapi akan turut diadili di Padang Mahsyar, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 9. Surah Ali Imran yang bermaksud;
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tidak ada keraguan padanya”[8]
17. Nyatalah prinsip tauhid dan ketuhanan yang kukuh adalah elemen utama yang perlu ada dalam DNA setiap pemerintah dan setiap pemimpin. Ia akan mempengaruhi minda pemerintah begitu juga pemimpin untuk melakukan amal makruf dan menghindari daripada melakukan kemungkaran seperti nasihat yang terkandung dalam ayat 17, Surah Luqman yang bermaksud:
“Hai anak ku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh ALLAH)”[9]
18. Kekuatan sesebuah negara amat dipengaruhi oleh tahap amal makruf yang dilakukan serta ketegasan negara memerangi kemungkaran, ia adalah mutiara berharga, penentu kepada kerukunan dan kemakmuran sesebuah negara. Mutiara ini jika telah terbenam, ia wajib dicungkil semula; mutiara ini perlu digarap. Berpegang dan yakinlah kepada rahmat ILAHI untuk melakukan yang makruf dan yakinlah akan perlindungan ILAHI untuk memerangi kemungkaran; tegapkan iman yang luhur agar terbina sebuah negara bangsa yang kukuh bersatu – teguh berpadu, aman lagi makmur, sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI, ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABUN GHAFFUR’ seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran, ayat 15 Surah Saba.
19. YA MUHYI, YA MUMIT, YA-GHAFUR, YA BA’ITH, Hamba Mu ini, sekali lagi memohon ihsan dari Mu, agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun terus berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa mendapat lindungan ILAHI dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.
Dirgahayu Tuanku,
Daulat Tuanku Syah Alam
Wabillahitaufik, walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar.
19.4.2014
- Al-Quran, Surah Ali’ Imran (3:26) ↑
- Al-Quran, Surah Al-Mulk (29:1) ↑
- Al-Quran, Surah Ali’ Imran (3-189) ↑
- Muhammad Yusoof b. Hashim, “Kesultanan Melaka dan Budaya Politik” dalam Polemik Sejarah Malaysia (Jilid 1), (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 189. ↑
- Wan Mohd. Nor Wan Daud, Budaya Ilmu dan Gagasan 1 Malaysia: Membina Negara Maju dan Bahagia, (Kuala Lumpur: Akademi Kenegaraan BTN, 2010) 16 ↑
- Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidhi, dalam Wan Mohd. Nor Wan Daud, 19. ↑
- Wan Mohd. Nor Wan Daud, 42. ↑
- Al-Quran, Surah Ali Imran (3-9) ↑
- Al-Quran, Surah Luqman (31:17) ↑