Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; Tuhan yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu – penentu kepada setiap kejadian, lalu memilih satu-satu dari makhlukNya untuk dikurniakan sesuatu darjat dan dianugerahkan sesuatu kemuliaan. Hamba-Mu ini, berdiri dengan ingatan yang bening – dengan hati yang hening, dengan penuh keinsafan – dengan penuh kesedaran, melafazkan kalam yang tulus dari pancaran mata hati, akan kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya Allah, yang telah melanjutkan usia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dengan segala keafiatan, dapat menyambut ulang tahun hari keputeraan Baginda kali ke 76.
2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian; demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan.
Ya Rafi’udd Darajat
Daulat Tuanku Syah Alam.
3. Dengan segala kerendahan diri dan dengan penuh rasa kasih dan sayang anakanda merafakkan sembah menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di Pertuan dan Raja Pemerintah yang bersemayam di atas singgahsana Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan segala daulat, kebesaran, darjat dan kemuliaan. Menghadap Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.
4. Ya Allah, Ya Karim, dengan berkat kebesaran Asmaul Husna, dengan berkat kemuliaan nama-nama Mu, hamba Mu memohon akan kurnia dan anugerah dari Mu jua, semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Mu, bersemayam di atas takhta kerajaan dalam keadaan sihat walafiat, dapat menyempurnakan tugas pemerintahan secara adil lagi saksama, arif lagi bijaksana, berpandukan petunjuk dari Mu jua, memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin membawa negeri – membawa warga menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Amin, Ya Rabul Alamin.
Ampun Tuanku,
5. Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Paduka Seri Ayahanda kali ke 76 ini, Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar, penuh setia – penuh taat, menjunjung titah – menjunjung perintah Paduka Seri Ayahanda yang senantiasa bersandarkan hukum – berlandaskan adat, menjunjung kalam ILAHI – mendukung seruan Nabi.
6. Di samping mencapai usia 76 tahun, Paduka Seri Ayahanda juga telah bersemayam di takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan selama 20 tahun. Dalam tempoh masa pemerintahan tersebut, Paduka Seri Ayahanda memperlihatkan contoh teladan akan peranan dan watak, perilaku dan tatacara seorang Sultan yang berada di singgahsana pemerintahan dalam sistem kerajaan yang berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Dari penghayatan anakanda, Paduka Seri Ayahanda secara bijaksana lagi berkesan berjaya meyakinkan rakyat jelata akan wujudnya mekanisme semak dan imbang dalam sistem berkerajaan dan bernegara di bumi ini.
7. Bahawa Paduka Seri Ayahanda diterima dengan rasa kasih dan rasa setia oleh rakyat dari pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai agama sebagai seorang Raja berdaulat – sebagai lambang negeri. Rakyat memandang Paduka Seri Ayahanda sebagai sumber keadilan, mengurniakan keampunan – menawarkan keistimewaan, sebagai tunggak keutuhan – sebagai gerbang kebebasan. Paduka Seri Ayahanda adalah payung kehormatan, payung negeri, payung naungan – memberi teduh di hari panas, menahan kuyup di hari hujan.
8. Nyatalah Paduka Seri Ayahanda membuktikan bahawa institusi kesultanan itu bukan sekadar satu cermin lama untuk melihat satu institusi yang telah tua. Di sebaliknya, institusi kesultanan itu tidakkan usang, malah tetap diterima oleh rakyat jelata dari segi peranan dan relevannya di era moden ini, kekal menjadi lambang kebesaran bangsa Melayu khususnya dan warga Malaysia keseluruhannya. Ini membawa ingatan anakanda kepada mutiara kata yang diungkapkan oleh Paduka Seri Ayahanda ketika menerima Penganugerahan Doktor Persuratan (Kehormat) oleh Universiti Malaya dalam tahun 1979, bahawa negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.
9. Faktor sejarah mengesahkan ungkapan kata-kata yang telah pernah Paduka Seri Ayahanda lafazkan. Bahawa semenjak abad kedua hinggalah ke abad lima belas, Kerajaan Melayu telah wujud di rantau ini, merangkumi kawasan dan wilayah di Selatan Thailand, di Langkasuka, di Kedah Tua, di Kalimantan Timur, di Srivijaya, di Majapahit hingga kepada kegemilangan Kerajaan Melayu Islam Melaka. Pada hari ini, tiga negara di dunia masih dikuasai oleh pemerintahan Melayu, sebuah kesultanan di Brunei, sebuah Republik di Indonesia serta sebuah Kerajaan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen di Malaysia. Bahawa sesungguhnya kehadiran Raja-Raja Melayu itu merupakan institusi negara-bangsa, institusi berkerajaan – bernegara yang mempertahankan ketuanan Melayu. Kerana itulah pada hemat anakanda, Orang Kaya Laksamana Hang Tuah memilih untuk mengorbankan sahabat kesayangannya, walau dituduh melakukan kesetiaan melulu. Hang Tuah tidak sekadar membunuh Hang Jebat, tetapi menentang perbuatan derhaka dan biadab kepada Raja. Hang Tuah bukan sekadar mempertahankan seorang Raja tetapi mempertahankan lambang negara kepada sebuah kerajaan, demi memastikan bahawa Melayu itu tidak akan hilang di dunia.
10. Pada masa yang sama, Paduka Seri Ayahanda meneruskan amalan seorang Raja Melayu yang pragmatik dan berwawasan jauh seperti yang pernah diperlihatkan oleh Sultan di zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka. Ketika itu, Melaka merupakan kota kosmopolitan, mempertemukan pedagang timur dan barat, mempertemukan budaya timur dan barat. Di puncak kegemilangannya, terdapat 80 bahasa yang dipertuturkan di kota tersebut. Demikianlah hari ini layanan saksama yang Paduka Seri Ayahanda perlihatkan kepada rakyat yang berbilang kaum, berbilang budaya dan berbilang agama yang terdapat di negeri ini, hidup rukun lagi damai di antara satu sama lain, bertemu dalam muafakat, bersatu mendukung wawasan, bersama dalam tindakan.
11. Sesungguhnya, Paduka Seri Ayahanda telah memberikan nafas baru kepada institusi kesultanan hingga kekal relevan untuk masa kini dan masa hadapan sebagai instrumen yang dapat menyatukan warga, sebagai institusi yang dapat menstabilkan negara dan sebagai institusi yang dapat memberikan kedaulatan kepada negara bangsa. Namun Paduka Seri Ayahanda seawal tahun 1980, ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang dari Universiti Sains Malaysia telah memperingatkan bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati institusi beraja, selama itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium.
12. Mengambil iktibar dari peringatan tersebut anakanda amatlah insaf bahawa daulat dan darjat seseorang Raja tidakkan pipis datang melayang, tidakkan bulat datang menggolek. Anakanda amat sedar bahawa kedudukan dan darjat turut disertai dengan peranan dan tanggung jawab. Oleh itu adalah menjadi tanggung jawab anakanda bersama Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, semua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar serta ahli Dewan Negara berazam dan berikrar, membantu usaha yang telah ayahanda bina, melukiskan secantik gambaran – mewarnakan seindah lukisan akan institusi kesultanan hingga disegani lagi dihormati – mulia lagi berdaulat. Anakanda sedar bahawa ianya akan hanya tercapai dengan memperlihatkan contoh teladan yang baik lagi luhur melalui perlakuan yang beradab lagi bersopan, baik secara perkataan – baik secara perbuatan.
Ampun Tuanku,
13. Anakanda amatlah menghargai akan kepercayaan Paduka Seri Ayahanda bagi diri anakanda mengambil tanggung jawab sebagai Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Anakanda bersyukur bahawa di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda perbezaan fahaman politik tidak membawa perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.
14. Pembangunan umat Islam akan menentukan kejayaan Islam. Umat Islam di negeri ini majoritinya berada di kawasan luar bandar. Secara relatif, keadaan di luar bandar masih tidak seimbang dengan pembangunan pesat yang berlaku di bandar. Dalam era perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi, jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar berkemungkinan bertambah luas. Anakanda mengikuti secara rapi dasar dan pendekatan yang di bawa oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini. Anakanda amat tertarik dengan dasar dan pendekatan yang kembali memberikan penekanan kepada pembangunan di luar bandar.
15. Pilihan raya umum kali kesebelas bagi memilih kerajaan untuk tempoh lima tahun berikutnya telah berlangsung secara teratur dan aman pada 21 Mac lalu. Semoga kerajaan negeri yang telah ditubuhkan dengan mendapat limpah perkenan Paduka Seri Ayahanda akan seiring dan sejalan dengan Kerajaan Persekutuan dalam memberikan penekanan kepada pembangunan luar bandar.
16. Pada hemat anakanda amatlah penting kuasa penyerapan di kalangan umat Islam diperkembangkan supaya apa juga usaha pembangunan akan dapat dinikmati secara mutlak di kalangan mereka. Dengan pendekatan yang tepat, melalui pelaksanaan jentera kerajaan yang cekap lagi telus, sumber negara insyaAllah dapat ditingkatkan produktivitinya. Umat Islam yang berjaya ditingkatkan kuasa penyerapan dari segi penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran, penguasaan ekonomi insyaAllah akan menjadi umat yang lebih maju – lebih berdaya saing, lalu lebih stabil pemikiran politiknya dan menjadi lebih terbuka dan lebih toleransi sifatnya terhadap kaum dan penganut agama lain.
17. Kerana itu dalam memenuhi amanah Paduka Seri Ayahanda, anakanda sedang meneliti pendekatan-pendekatan dan berusaha merintis idea untuk membawa pembaharuan bagi membolehkan Majlis Agama Islam berperanan secara lebih dinamik dalam usaha mahu membantu membangunkan umat Islam khususnya dari segi penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran dan penguasaan ekonomi.
18. Dengan petunjuk dari ILAHI, dengan panduan dari Paduka Seri Ayahanda dan dengan sokongan ahli-ahli Majlis, anakanda akan berikhtiar dengan sedaya mungkin, membina persepakatan yang tulen sesama umat Islam dan dengan penuh berhemah berusaha untuk membetulkan sebarang salah tanggapan kalangan bukan Islam terhadap Islam. Keperluan ini amat penting dipenuhi untuk terus memberi keyakinan kepada rakyat bukan Islam bahawa di bawah pemerintahan Paduka Seri Ayahanda, hubungan harmoni kekal terjamin dan setiap rakyat akan diberikan perlindungan yang saksama
Ampun Tuanku,
19. Akhirul kalam persembahan yang tidak sepertinya dengan doa kepada ILAHI agar mengurniakan Paduka Seri Ayahanda segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat. Semoga di bawah naungan pemerintahan ayahanda, rakyat berbilang kaum –berbilang budaya – berbilang agama kukuh bersatu padu, penuh harmonis serta saling menghormati antara satu sama lain. Semoga negeri Perak Darul Ridzuan mencapai kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi dari mala petaka dan sebarang ancaman. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan ILAHI, bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Amirulmukminin dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.
Wabilahitaufik, Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar.
19. 4. 2004