Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ketujuh Puluh Tujuh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui di atas segala sesuatu – lalu memilih dari kalangan makhluk Nya untuk dikurniakan darjat dan dianugerahkan kemuliaan. Hamba-Mu berdiri dengan segala kerendahan sifat, dengan ingatan yang bening – dengan hati yang hening, penuh keinsafan – penuh kesedaran, menzahirkan setulus kalam dari pancaran mata hati, melafazkan seikhlas kalimah dari denyut nadi, akan setinggi-tinggi kesyukuran atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya Allah, yang telah melanjutkan usia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dalam keafiatan, hingga memungkinkan istiadat menyambut ulang tahun hari keputeraan Baginda kali ke 77 ini dapat dilangsungkan.

2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian; demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.

Ya Rafi’udd Darajat

Daulat Tuanku Syah Alam.

3. Dengan segala kerendahan diri – dengan segala rasa kasih – rasa sayang, anakanda merafakkan sembah menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di Pertuan dan Raja Pemerintah yang bersemayam di atas singgahsana Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan segala daulat, kebesaran, darjat serta kemuliaan. Menghadap Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.

4. Ya Allah, Ya Karim, dengan berkat kebesaran Asmaul Husna, dengan berkat kemuliaan nama-nama Mu, hamba Mu memohon akan kurnia dan anugerah dari Mu jua, semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Mu, bersemayam di atas takhta kerajaan dalam keadaan sihat walafiat, dapat menyempurnakan tugas pemerintahan secara adil lagi saksama, arif lagi bijaksana, berpandukan petunjuk dari Mu jua, memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin memimpin negeri – menaungi warga, menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup dalam keadaan yang selamat lagi sentosa. Amin, Ya Rabul Alamin.

Ampun Tuanku

5. Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Paduka Seri Ayahanda kali ke 77, Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar, penuh taat – penuh setia, menjunjung titah – menjunjung perintah Paduka Seri Ayahanda yang bersandarkan hukum – berlandaskan adat, menjunjung kalam ILAHI – mendukung seruan Nabi. Anakanda bersama Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, semua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda dengan azam, terus memperkukuhkan tradisi negeri bersultan – rakyat beraja; tradisi yang telah diwarisi turun temurun, agar terus subur dan segar, kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu – merentas peralihan masa.

6. Negeri Perak Darul Ridzuan telah berada di bawah naungan payung pemerintahan Paduka Seri Ayahanda selama 21 tahun. Dalam tempoh tersebut Paduka Seri Ayahanda telah memperlihatkan kebijaksanaan – telah mempamerkan kearifan, memenuhi peranan Raja Pemerintah berlandaskan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen; sistem berkerajaan dan bernegara yang telah berjaya memperlihatkan keharmonian dan mempamerkan amalan perimbangan kuasa, hatta membantu mewujudkan kestabilan politik serta memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi berkerajaan dan bernegara.

7. Bahawa institusi Raja itu merupakan antara sistem kepimpinan tertua di dunia ini. Di alam Melayu, institusi Raja itu telah lama bertapak dengan mendapat kepercayaan, penghormatan, kemuliaan dan pengiktirafan dari kalangan rakyat jelata. Di awal kurun kesembilan belas, terdapat lebih 900 takhta kerajaan di dunia, menurun kepada 240 pada abad kedua puluh dan pada dekad kelapan abad kedua puluh, hanya 40 takhta yang masih kekal. Takhta yang kekal itu, termasuk di bumi ini, kesemuanya secara bijaksana dapat melakukan pengubahsuaian dengan realiti corak dan bentuk berkerajaan dan bernegara yang dilandaskan kepada prinsip perundangan dan perlembagaan.

8. Dalam hubungan ini, penguasaan ilmu, diperkaya pula dengan pengalaman kerjaya, terutama di bidang perundangan dan kehakiman, merupakan satu khazanah, bukan sekadar menjadi pedoman Paduka Seri Ayahanda malah dijadikan lampu penyuluh memberikan cahaya panduan kepada diri anakanda dan sekalian pewaris takhta. Bahawa dalam memenuhi peranan sebagai payung negeri, Paduka Seri Ayahanda memiliki budi bicara menawarkan keistimewaan serta mengurniakan keampunan. Paduka Seri Ayahanda dilihat sebagai sumber keadilan dan tunggak keutuhan. Paduka Seri Ayahanda telah secara tegas memperlihatkan prinsip dan amalan yang menghormati kedaulatan undang-undang. Paduka Seri Ayahanda senantiasa memperingatkan bahawa darah dan keturunan tidak harus sama sekali disalah gunakan; bahawa kemuliaan dan darjat itu bergantung kepada isi dan kandungan; bahawa tidak mungkin dapat dipertahankan kesinambungan takhta dan penerusan daulat semata-mata kepada imej luaran berbentuk hiasan.

9. Untuk itu anakanda amatlah insaf betapa besarnya pengharapan rakyat terhadap rupa bentuk dan perilaku yang harus dimiliki oleh seseorang Raja untuk terus dapat mengekalkan kedaulatan takhta. Bahawa Raja itu lebih mulia dan tinggi daulatnya jika mempamerkan kebijaksanaan dan kearifan, berilmu lagi berpengetahuan. Sesungguhnya ilmu dan istana itu mempunyai tali hubungan yang cukup rapat. Sejarah nyata menunjukkan betapa besarnya peranan istana sebagai penggerak kepada perkembangan dan pembangunan ilmu.

10. Paduka Seri Ayahanda merayakan hari ulang tahun keputeraan kali ke 77 pada tahun ‘The Malay College Kuala Kangsar’ merayakan sambutan 100 tahun penubuhannya. Tanah, air, angin dan cahaya di Bandar Di Raja ini adalah saksi kepada penubuhan The Malay College Kuala Kangsar dalam tahun 1905, hasil dari keputusan penting yang dirumuskan oleh Raja-Raja Melayu. Raja-Raja Melayu berpandangan adalah penting dibekalkan tahap pendidikan yang dapat melengkapkan anak bangsa menguasai ilmu, menguasai pengetahuan dan menguasai kemahiran yang dapat membawa bangsa ke tahap kejayaan yang lebih tinggi. Pada 26hb. Mac yang lalu, tanah, air, angin dan cahaya di Bandar Diraja ini telah menyaksikan ribuan dari puluhan ribu, putera bangsa yang telah mencatat kejayaan gemilang hasil dari melalui proses pendidikan di ‘Malay College’, kembali menjejak kaki di Bandar Diraja ini. Demikian sejarah yang terukir – nama yang terpahat di pasir, di bumi, di tanah dan di debu Bandar Diraja ini.

11. Wawasan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28, moyangda kepada Paduka Seri Ayahanda, bersama Raja – Raja Melayu dari Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor adalah pencetus kepada kejayaan melahirkan barisan inteligensia Melayu yang seterusnya menjadi nukleus, tenaga penggerak kepada usaha kemerdekaan, kepada usaha pengisian agenda kemerdekaan dan kini kepada usaha meletakkan negara bangsa berada di pentas utama dunia global.

12. Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah I, adalah penggerak kepada penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjong Malim dan penubuhan Maktab Idrisiah di Bukit Chandan, di samping merupakan tenaga kepada pembinaan Masjid Ubudiah dan Masjid Ridwaniah di Kuala Kangsar. Dalam era pemerintahan Marhum Rahmatullah itu juga, Sekolah Perempuan pertama yang dikenali sebagai Treachers Girls School, Sekolah King Edward VII dan Maktab Perguruan Melayu turut dibina di Taiping. Pembinaan Maktab Idrisiah dan Masjid Ubudiah telah menyuntikkan kehadiran simbol keagamaan dan keilmuan kepada landskap Bukit Chandan. Muzium Di Raja dan Galeri Sultan Azlan Shah telah dibangunkan semasa era pemerintahan dan atas usaha Paduka Seri Ayahanda. Pada hemat anakanda, usaha yang bermula dari Marhum Rahmatullah lalu diperlengkap oleh usaha Paduka Seri Ayahanda telah merangkaikan Istana Iskandariah dengan “The Malay College Kuala Kangsar” melalui satu koridor pembangunan budaya dan pembangunan intelek. Pembangunan berbentuk prasarana ini wajarlah diperlengkap dengan usaha pembangunan dari segi perisian.

13. Pada hemat anakanda, koridor budaya dan koridor intelek ini mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke peringkat menjadikan Bukit Chandan sebagai salah satu pusat perkembangan budaya dan perkembangan ilmu di negeri Perak. Untuk itu, menumpang daulat dan menumpang kebesaran Paduka Seri Ayahanda, anakanda telah merintis usaha menubuhkan sebuah yayasan dan menamakannya Yayasan Sultan Azlan Shah untuk diabadikan, tanda penghargaan atas jasa dan peranan Paduka Seri Ayahanda sebagai Sultan Perak ke-34. Yayasan ini akan memberikan perhatian kepada kegiatan pembangunan intelek dan pembangunan budaya serta berusaha untuk memelihara dan melindungi tradisi dan adat bangsa yang begitu kaya supaya tidak hanyut di tenggelami arus pemodenan yang sedang berlaku.

Ampun Tuanku

14. Kepercayaan Paduka Seri Ayahanda memberikan tanggung jawab sebagai Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak amatlah anakanda sanjungi. Dengan di bantu oleh ahli-ahli Majlis, anakanda akan terus melipat gandakan usaha untuk memenuhi amanah dari Paduka Seri Ayahanda dan untuk memenuhi pengharapan rakyat terutamanya dari kalangan umat Islam.

15. Anakanda bertekad dengan usaha membuka minda warga terhadap peranan masjid yang lebih bermakna. Masjid perlu diberikan imej baru dengan memenuhi peranan yang lebih dinamik. Masjid menjadi satu pembaziran jika dibiarkan menjadi satu struktur fizikal tanpa kandungan pengisian bermakna – tanpa program pembangunan insan yang menyeluruh. Masjid mempunyai potensi untuk berperanan dinamik, berfungsi sebagai pusat perkembangan ilmu dalam pelbagai disiplin. Anakanda berpegang bahawa masjid perlulah dimakmurkan sepenuhnya dengan pelbagai kegiatan untuk semua peringkat usia, dari anak di usia tadika dan di usia persekolahan kepada insan remaja dan insan dewasa. Pendekatan yang memisahkan peranan masjid dengan usaha pembangunan insan yang lebih menyeluruh adalah pendekatan yang diwarisi dari pemikiran lapuk di era kolonial.

16. Untuk itu anakanda telah memohon restu Paduka Seri Ayahanda supaya dilakukan beberapa pindaan kepada Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Enakmen pindaan yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perak telah pun mendapat perkenan Paduka Seri Ayahanda. Pindaan tersebut membolehkan keanggotaan Majlis dapat diperluaskan. Adalah penting untuk kumpulan profesional dijemput menganggotai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu, agar dapat membantu Majlis merangka gerak kerja yang lebih strategik dan berdimensi baru, terutama dalam hasrat mahu membangunkan modal budaya dan modal intelek ummah. Nasihat dan pandangan Paduka Seri Ayahanda akan senantiasa dijadikan panduan dalam segala usaha yang sedang dirintis.

Ampun Tuanku

17. Akhirul kalam, Hamba Mu sekali lagi mengangkat doa kepada ILAHI, memohon agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun hidup dengan penuh kebahagiaan dan kerukunan keluarga serta dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat. Semoga di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, rakyat berbilang kaum – berbilang agama, berbilang budaya – berbilang bahasa, kukuh bersatu – cekal berpadu, hidup penuh harmonis – saling menghormati antara satu sama lain. Semoga negeri Perak Darul Ridzuan mencapai kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi dari mala petaka dan sebarang bencana. Semoga Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan ILAHI, bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Amirulmukminin dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.

Wabillahitaufik, walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Termaktub di Istana Iskandariah

Kuala Kangsar.

19. 4. 2005

%d bloggers like this: