Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para Tabiin dan para Ulama.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan inayat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah bagi pihak Paduka Seri Ayahanda Beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di Upacara Perasmian Multaqa Sultan Azlan Shah ini.
3. Dalam dunia semasa, kepelbagaian sistem perundangan sudah menjadi satu hakikat. Kewujudan sistem yang pelbagai itu menjadi dalil yang jelas bahawa keadilan sebenarnya menjadi tuntutan di mana-mana walaupun setinggi mana harga yang perlu dibayar untuk mendapatkannya.
4. Namun begitu soal terpenting adalah keadilan berlaku secara hakikat dan nyata. Usaha mencari keadilan itu sendiri pada hakikatnya adalah usaha yang tidak kunjung padam dalam sejarah manusia di sepanjang zaman.
5. Walau apapun yang hendak disifatkan tentang konsep keadilan, satu perkara yang pasti ialah tiap-tiap satu daripadanya berusaha mendefinasikan keadilan dan memberikan penyelesaian kepada masalah-masalah kemanusiaan yang melibatkan hak-hak dan tanggungjawab dan fenomena-fenomena yang berkaitan dengannya.
6. Beta sukacita apabila disembah maklumkan bahawa para pembentang dan juga peserta di Multaqa dan Seminar terdiri daripada kalangan orang Islam dan bukan Islam. Beta percaya bahawa kombinasi sebegini bukan sahaja menggalakkan perbincangan ilmiah dan professional malah juga akan membuahkan rasa saling faham-memahami di antara satu sama lain.
7. Satu daripada rukun terpenting yang diperlukan bagi memastikan keadilan dapat dilaksanakan ialah wujudnya badan kehakiman yang bebas. Tiada undang-undang yang akan berkesan dalam memberikan keadilan melainkan mekanisma perlaksanaan berteraskan prosedur yang adil dan telus serta ditadbirkan oleh barisan hakim yang layak, bebas dan mengamalkan integriti yang tinggi.
8. Sering disebut-sebut bahawa badan kehakiman adalah pengawal yang sebenar (true guardian) bagi keadilan. Maka sebarang kelemahan fungsi berbanding fungsi badan-badan lain tentulah akan menjejaskan neraca keadilan. Begitu juga sebarang penurunan keyakinan masyarakat terhadap kebebasan badan kehakiman, lumrahnya akan mewujudkan ketidakstabilan yang lazimnya memakan masa yang lama dan sulit untuk dipulihkan.
9. Kerana itu perlulah disedari betapa pentingnya kewujudan badan kehakiman yang benar-benar bebas. Segala usaha mestilah dilakukan bagi mengukuhkan imej dan kehormatan (dignity) badan kehakiman dan agensi-agensi perundangan dan penguatkuasaan undang-undang.
10. Selain daripada persepsi rakyat tempatan tentang badan kehakiman, pandangan antarabangsa juga menjadi faktor penentu mempengaruhi imej badan kehakiman sesebuah negara. Kini, tiada negara yang boleh hidup bersendirian dan kekal kebal dari penilaian pihak-pihak berkepentingan, badan-badan pelobi dan media antarabangsa.
11. Islam jelas pendiriannya tentang undang-undang dan peraturan. Sistem undang-undang Syariah merangkumi segenap hal yang disokong oleh apa yang dikenali sebagai fikah atau Fiqh jurisprudence. Dalam Islam, soal menegakkan keadilan adalah satu isu keagamaan dan juga duniawi. Tanggungjawab mentadbir keadilan dan menguruskan sistem kehakiman dianggap sebagai tanggungjawab keagamaan dan pengurusan duniawi yang amat penting.
12. Dalam hubungan negara ini, bagi mengelakkan dominasi kuasa oleh mana-mana pihak, doktrin pengasingan kuasa dimaktubkan didalam Perlembagaan. Badan-badan perundangan, eksekutif dan kehakiman dipisahkan untuk berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang demi menjamin kesejahteraan rakyat dan amalan kerajaan yang menghormati prinsip perundangan dapat dijamin.
13. Jika semangat Perlembagaan ini senantiasa dihormati, barulah kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan dan keadilan dapat dilaksanakan.
14. Semoga Multaqa dan Seminar ini dapat membincangkan isu-isu utama yang berkaitan secara lebih mendalam dengan meneliti isu-isu berkaitan dari perspektif Islam dan bukan Islam. Harapan Beta semoga peluang yang diberikan oleh Multaqa ini, membolehkan berlakunya perbincangan dan pertukaran fikiran yang berfaedah di kalangan para peserta.
15. Akhirnya dengan lafaz ” Bismillahir Rahmanir Rahim ” Beta merasmikan Multaqa dan Seminar ini.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.