Salam Sejahtera
Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam, kali ketiga puluh lima, berlangsung pada tarikh 20 Ogos 2016. Pelbagai peristiwa ketenteraan yang signifikan, tercatat berlaku pada tarikh 20 Ogos. Pada 20 Ogos tahun 636, tentera Arab pimpinan Khalid ibni al-Walid berjaya menawan Syria dan Palestin daripada Empayar Byzantine dalam Peperangan Yarmuk, menandakan bermulanya gelombang pertama, kemaraan Islam di luar tanah Arab. Pada tarikh ini dalam tahun 1519, General Wang Yangmen telah menewaskan Zhu Chenboo, menamatkan pemberontakan menentang Emperor Zhengde. Pada tarikh ini dalam tahun 1914, semasa Perang Dunia Pertama, tentera Jerman menawan Brussels; sementara semasa Perang Dunia Kedua, pada tarikh ini dalam tahun 1944, tentera Amerika Syarikat dan Great Britain meleburkan Tentera Ketujuh Jerman, di Falaise-Argentan Gap. Pada tarikh ini dalam tahun 1968, dua ratus ribu tentera pimpinan Soviet di bawah Pakatan Warsaw melancarkan serangan terhadap Czechoslovakia.
2. Banyak lagi peristiwa signifikan dalam sejarah dunia berlaku pada tarikh 20 Ogos; dan pada pagi 20 Ogos 2016 ini, ketika negara berada pada ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke lima puluh sembilan, saudara-saudari, yang gagah berdiri di hadapan Beta, mencipta sejarah peribadi dalam bidang ketenteraan. Dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saudara-saudari akan di tauliahkan sebagai Leftenan Muda, Kor Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia.
3. Kedaulatan sesebuah negara-bangsa yang merdeka, amat dipengaruhi oleh tahap semangat patriotisme yang dimiliki oleh warganya. Tahap patriotisme paling tinggi seseorang warga terhadap negara- bangsanya, ialah kesediaan, mengabadikan jiwa raga, hatta ke peringkat sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara. Semangat rela mati berputih tulang daripada hidup berputih mata ialah semangat kesateria yang dihayati oleh setiap anggota tentera. Angkatan Tentera Malaysia, kaya dengan kisah pengorbanan – lengkap dengan cerita kepahlawanan; seperti contoh keberanian luar biasa Leftenan Adnan Saidi, bersama empat puluh dua orang anggota Rejimen Askar Melayu, memberikan tentangan hebat kepada tentera Jepun semasa pertempuran di Permatang Pasir Panjang.
4. Bumi ini tidak ketandusan pahlawan bangsa; terdiri daripada kalangan putera bangsa yang tidak rela watannya dijajah, lalu bangkit menentang penjajahan seperti yang dibuktikan oleh Dato’ Maharaja Lela di Perak, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Dol Said di Naning dan Rosli Dobhi di Sarawak. Mereka adalah wira bangsa – mereka adalah perwira negara; mereka telah memperlihatkan semangat kepahlawanan yang amat tinggi, semangat yang wajib dijadikan sumber inspirasi kepada generasi semasa.
5. Ramai anggota tentera yang terkorban atas nama negara, disemadikan di pusara yang tidak bernama. Amatlah menyedihkan, apabila pengorbanan mereka, begitu cepat luput daripada minda warga, setelah jasad mereka selesai disemadikan di perut bumi. Tangisan anak-anak mereka yang begitu awal menjadi yatim, sedu-sedan isteri mereka yang terlalu muda menjadi balu, hilang bagaikan di bawa angin, sebaik tetuang selesai meniupkan ‘The Last Post’. Demikian harga satu nyawa yang ditamatkan oleh sebutir peluru, apabila warga tidak disuntikkan dengan semangat untuk menghargai pengorbanan. Demikian cepat dilupakan pengorbanan wira bangsa dan perwira negara.
6. Dalam hasrat untuk menghargai jasa para perwira negara, pada 31 Julai setiap tahun, negara menganjurkan sambutan Hari Pahlawan. Kutipan dana atas nama Tabung Pahlawan dianjurkan sempena Hari Pahlawan. Tabung Pahlawan ialah dana yang bertujuan untuk menampung kelangsungan hidup veteran tentera dan veteran pasukan keselamatan, serta untuk membantu keluarga anggota keselamatan yang telah terkorban. Dilaporkan di dalam media, pada tarikh sambutan Hari Pahlawan tahun ini, Tabung Pahlawan hanya berjaya mengumpul sumbangan berjumlah 1.47 juta ringgit.[1] Berasaskan kenyataan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Tabung Pahlawan tidak mendapat sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat Malaysia. Di samping Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sebagai penyumbang utama dengan nilai satu juta ringgit, hanya enam syarikat lain yang tampil menghulurkan derma, sedangkan di Bursa Malaysia sahaja terdapat 812 syarikat awam yang disenaraikan[2], dan ribuan lagi syarikat persendirian yang mencipta keuntungan jutaan ringgit setiap tahun. Jumlah derma yang diperoleh baik daripada syarikat mahupun daripada individu, membuktikan bahawa tahap apresiasi masyarakat kepada anggota keselamatan di negara ini, terutama pengorbanan besar mereka kepada negara bangsa, berada pada tahap yang amat rendah. Oleh itu, amatlah penting warga disedarkan agar memberikan apresiasi yang lebih bermakna, terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang telah membolehkan keamanan negara dapat di capai dan kemakmuran negara dapat dinikmati. Gerakan menyedarkan warga agar menghargai pengorbanan anggota keselamatan hendaklah dimulakan dari bangku sekolah sehingga ke peringkat pusat pengajian tinggi.
7. Universiti Awam telah berjaya menarik minat siswa-siswi untuk menyertai perkhidmatan tentera. Saudara-saudari telah berjaya dilatih fiziknya, dicanai mindanya, dibina ketahanannya, serta didedahkan kepada pelbagai latihan, dicabar dengan pelbagai ujian. Saudara-saudari telah melalui proses transformasi fizikal, minda dan spirituil, lalu terbina kekuatan – terbina ketahanan, terbina ketabahan – terbina kecekalan.[3] Saudara-saudari telah didedahkan dengan dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin – yang menjunjung semangat setia – yang mengamalkan ketaatan ketika melaksana misi. Saudara-saudari sedia berpanas – sedia berhujan, sedia bertempur – sedia ke medan perang; cekal untuk dititiskan darah – dicederakan tubuh – dileraikan daging – dikorbankan nyawa. Setiap keberanian itu dan segala kerelaan itu dilakukan bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi dilaksanakan untuk kepentingan mempertahankan negara bangsa.
8. Kepercayaan kepada Tuhan hendaklah dijadikan pegangan asas supaya perjuangan tidak tersasar haluan. Semangat kesetiaan kepada Raja dan Negara hendaklah dijunjung pada setiap masa berteraskan Perlembagaan dan berpaksikan undang-undang. Disiplin yang telah menjadi budaya saudara-saudari hendaklah dipamerkan melalui tindak tanduk bersopan dan bersusila.
9. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada setiap seorang saudara-saudari yang telah berjaya melalui latihan secara sabar – secara tabah, dengan tekun – dengan kesungguhan, hingga tersemai dalam diri saudara saudari jati diri insan bersemangat wira – berjiwa kesateria. Semangat wira dan jiwa kesateria yang telah tersemai di dalam diri, hendaklah berupaya membina kekuatan dan keberanian dalaman untuk memperjuangkan yang hak dan menegak kebenaran; semoga jika ditakdirkan terkorban di medan tempur, saudara-saudari gugur dalam memperjuangkan sesuatu yang suci, perjuangan yang Insyallah akan mendapat keredaan ILAHI.
10. Upacara Perbarisan Pentauliahan pada pagi ini, turut berlangsung dalam bulan Zulkaedah, takwim Islam. Tercatat peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlangsung dalam bulan Zulkaedah, ia itu peristiwa para sahabat berbaiah dengan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam melafaz ikrar kesetiaan untuk tidak lari meninggalkan medan perang, dikenali dengan nama Bai’atur Ridhwan. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala akan menyemaikan semangat setia kawan dan semangat kesetiaan kepada perjuangan dalam jiwa saudara-saudari seperti yang telah dilimpahkan kepada para sahabat ketika melafazkan Baiah Bai’atur Ridhwan.
11. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, mewakili Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Beta isytiharkan pada hari ini, 17 Zulkaedah 1437 bersamaan 20 Ogos 2016, dengan rasminya, saudara-saudari ditauliahkan sebagai Pegawai Muda di dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia.