Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Keenam Puluh Lima (Sidang Pertama)

ISTIADAT KONVOKESYEN

UNIVERSITI MALAYA

KEENAM PULUH LIMA

(SIDANG PERTAMA)

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

CANSELOR

UNIVERSITI MALAYA

TARIKH: 8 JAMADILAKHIR 1447 / 29 NOVEMBER 2025 (SABTU);

JAM: 9.00 PAGI

TEMPAT: DEWAN TUNKU CANSELOR, UNIVERSITI MALAYA,

KUALA LUMPUR.

Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-65, melibatkan 22 sidang, bermula daripada sidang pada pagi ini sehingga 10 Disember 2025. Seramai 11,356 graduan telah memenuhi kriteria akademik, layak dianugerahkan ijazah dan diploma; 686 graduan akan menerima ijazah Doktor Falsafah, 5,171 ijazah Sarjana serta Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 4,127 ijazah Sarjana Muda, 1,372 Diploma Lanjutan, Diploma Eksekutif dan diploma. Konvokesyen kali ke-65, turut menganugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada Yang Amat Berbahagia Tun Tengku Maimun Tuan Mat, alumni Universiti Malaya yang telah mencipta sejarah dalam kerjaya beliau dan dalam sejarah perkhidmatan kehakiman negara, merupakan wanita pertama diamanahkan tanggungjawab sebagai Ketua Hakim Negara. Konvokesyen kali ini juga akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Profesor Ts Dr. Rohana binti Yusof, Datuk Profesor Dr. Awg Bulgiba Awg Mahmud, Profesor Dr. Phrabhakaran Nambiar, Profesor Dr. Khoo Ee Ming, Dato’ Profesor Dr. Mohd. Zambri Zainuddin, dan Dato’ Profesor Dr. Ahmad Hidayat Buang.

2. Bagi 686 orang graduan ijazah Doktor Falsafah pada pagi ini, acara konvokesyen ini bukan pengalaman pertama menerima skrol. Anda merupakan kumpulan minoriti yang memiliki semangat, hasrat dan cita-cita, memilih untuk terus mengembara sahara ilmu dan untuk terus menyelami lautan ilmu. Semoga anda selanjutnya akan berperanan lebih besar kepada kehidupan alam dan manusia dengan berperanan sebagai penyumbang ilmu.

3. Para graduan telah melalui satu tempoh dan proses pendidikan secara tekun dan tabah, laksana melakukan tenunan, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Kejayaan insya-Allah dikurniai Ilahi kepada kalangan hamba Nya yang tanpa putus asa, berusaha dan terus berusaha, sambil berdoa dan bertawakal selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 5 Surah Ad Duha:

“Dan sesungguhnya Tuhan pasti akan memberikan kurniaan Nya kepadamu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga kamu redha (berpuas hati)

(Al-Quran; Surah Ad-Duha; 93:5)

4. Alhamdulillah usaha, doa dan tawakal anda telah dimakbulkan Ilahi, Para graduan telah berjaya mendaki satu lagi tangga kejayaan. Anda telah mencapai kejayaan, dan kejayaan tersebut pastinya diraikan dengan keriangan bersama ibu bapa, kaum keluarga, tenaga akademik dan tenaga pengurusan universiti. Kejayaan yang dicapai ini mungkin telah meletakkan anda berada jauh lebih berjaya berbanding anggota keluarga, rakan sepermainan, sahabat handai dan jiran tetangga. Kejayaan biasanya meletakkan seseorang menjadi lebih dihargai, lebih dihormati malah lebih terkenal. Kejayaan juga memberi makna yang berbeza kepada setiap seorang individu. Namun amat perlu difahami bahawa usaha untuk mencapai kejayaan sangat berbeza dengan kebijaksanaan mengurus kejayaan.

5. Alam pendidikan akan disusuli dengan alam pekerjaan di dunia yang lebih nyata. Anda bakal menyertai alam pekerjaan, anda bakal terpilih untuk menyandang jawatan tertentu, anda bakal memperoleh status baharu, anda bakal berpangkat lebih tinggi, anda bakal mengalami lompatan gaji, anda berkemungkinan dilimpahi keuntungan, kekayaan dan kemewahan, anda berpotensi mendaki tangga politik, malah anda bakal mengalami pelbagai tawaran dan pengiktirafan. Tersangatlah penting, bagi anda memiliki kebijaksanaan mengurus kejayaan terutama yang datang secara mengejut. Berbahagialah kalangan mereka yang bijak menguruskan kejayaan yang telah dicapai, lalu dijadikan anak tangga untuk mendaki kejayaan yang lebih tinggi. Di sebaliknya amatlah malang, jika kejayaan yang telah dicapai termusnah, kerana kurang keupayaan mengurus kejayaan secara bijaksana.

6. Cara anda mengurus setiap kejayaan akan menjadi penentu sama ada anda pada akhirnya akan sampai ke puncak kejayaan, menjadi insan cemerlang, gemilang dan terbilang; di sebaliknya jika tersilap langkah, anda juga berpotensi tergelincir jatuh ketika mendaki gunung kejayaan atau lemas tenggelam dalam laut kejayaan; akan kelamlah bintang kejayaan terdahulu, dan anda berkemungkinan berakhir dengan kekesalan yang tiada berhujung seperti yang digambarkan melalui ayat 36 surah Ar-Rum:

Bermaksud, “Dan apabila Kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengannya (sehingga lupa daratan). Dan jika ditimpa sesuatu bencana disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh tangan mereka sendiri, maka ketika itu mereka berputus asa.

(Al-Quran; Surah Ar-Rum; 30:33)

7. Sedarilah! Kejayaan itu bukan destinasi tetapi merupakan pengembaraan. Mengurus kejayaan melibatkan penetapan matlamat yang jelas, usaha yang konsisten, membina hubungan yang positif, tidak bersifat riak dan angkuh, tetap berpijak di bumi nyata, serta memiliki semangat belajar terus belajar untuk bangkit semula daripada setiap kegagalan; di samping memiliki integriti serta keupayaan mengurus diri dan persekitaran, termasuk memiliki disiplin menjaga kesihatan fizikal dan ketenangan mental, dan lebih utama mengamalkan sifat berterima kasih, meraikan mereka yang pernah membantu, dan turut berperanan di sebalik kejayaan kita, serta bersyukur atas setiap nikmat kurniaan Ilahi.

8. Anda bakal berhadapan ujian dan cabaran sebenar memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Jangan bersifat kacang lupakan kulit. Jadilah insan yang mengamalkan resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Nilai yang dipegang akan berperanan sebagai kompas moral memandu anda menjadi aset atau liabiliti kepada negara.

9. Istiadat konvokesyen ini merupakan istiadat tradisi keilmuan mengiktiraf dan meraikan kejayaan anda; kejayaan yang melimpahi rasa bangga dan rasa riang dalam diri anda, demikian juga kepada anggota keluarga; raikan kejayaan ini dengan rasa syukur dan rendah diri; lengkapi kejayaan ini dengan nilai moral yang murni, jadikan diri insan yang bersopan dan beradab, amanah, jujur, ikhlas dan berintegriti, agar anda terus mengangkat martabat diri dan nama baik keluarga. Hindarkan diri daripada terjebak dengan perbuatan yang boleh memusnahkan diri dan mengaibkan keluarga. Gunakan ilmu sebagai cahaya penyuluh memandu perjalanan hidup supaya terhindar daripada kegelapan. Gunakan kebijaksanaan untuk membina dunia yang lebih adil, damai, makmur dan berperikemanusiaan. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan di samping memperingatkan anda agar menghargai dan membalas jasa ibu bapa dan ahli keluarga yang telah banyak berkorban dan senantiasa mendoakan kejayaan anda. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk membimbing anda menemui jalan yang lurus, jalan yang benar, jalan yang dapat memberi kebahagiaan dunia dan akhirat.

10. Selaku Canselor, dengan penuh kesyukuran, Beta menumpang gembira dan menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga universiti atas komitmen dan dedikasi usaha mereka, berjaya meletakkan Universiti Malaya diiktiraf oleh QS World University Rankings berada di ranking ke-58 terbaik dunia. Teruskan iltizam melahirkan cendekia terbilang. Teruskan peranan sebagai tapak semaian yang menumbuhkan cendekiawan beridea besar untuk manfaat negara dan warga. Semoga melalui pelbagai projek komuniti, inovasi sosial dan jaringan antarabangsa, Universiti Malaya akan terus menerajui perubahan dan mencipta nilai untuk masa hadapan nusa dan bangsa yang lebih gemilang.

11. Beta menzahirkan penghargaan kepada Pro Canselor-Pro Canselor yang senantiasa bersama Beta mengamalkan semangat berat sama dipikul, gunung sama didaki. Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor dan warga akademik, begitu juga kepada warga pengurusan dan warga kerja universiti yang sama-sama berusaha memecahkan ruyung untuk mendapatkan sagu, berusaha untuk terus menggemilangkan nama Universiti Malaya sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf dunia. Semoga segala usaha dan khidmat bakti tersebut diterima sebagai amal makruf yang dilimpahi ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

%d bloggers like this: