TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
IBNI
ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
AL-MAGHFUR-LAH
MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN 2025
THE MALAY COLLEGE KUALA KANGSAR
TARIKH: 16 OGOS 2025 / 22 SAFAR 1447H (SABTU)
JAM: 11.00 PAGI
TEMPAT: AUDITORIUM TUN ABDUL RAZAK,
THE MALAY COLLEGE KUALA KANGSAR.
Salam sejahtera.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin Nya jua, Beta dapat berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Majlis ini yang dianjurkan untuk meraikan pencapaian anak-anak pelajar, semoganya turut berperanan sebagai pendorong, mengukuhkan keyakinan, menyegarkan tekad serta menyemaikan semangat untuk para pelajar berani melangkah lebih jauh, merenangi lautan yang lebih luas dan mendaki gunung yang lebih tinggi.
2. Sejak penubuhannya, MCKK merupakan sebuah sekolah berasrama penuh yang menempatkan pelajar-pelajar yang disaring secara teliti daripada kalangan pelajar yang memiliki rekod pencapaian akademik terbaik. Para penerima anugerah kecemerlangan pada pagi ini, merupakan ‘first amongst equals’ ia itu ‘yang pertama antara yang setaraf’, atau dalam istilah Latin dirujuk sebagai ‘primus inter pares’.
3. Berada dalam status ‘yang pertama antara yang setaraf’ ialah satu kejayaan – meletakkan diri berstatus terbilang antara yang cemerlang; status yang akan diberikan perhatian dan mendapat perhatian. Sejuk rahim ibu mengandung, semestinya ibu bapa amat bersyukur, bangga dan riang, atas kejayaan yang anda capai.
4. Kejayaan yang dicapai ini tidak pipis datang melayang – tidak bulat datang bergolek. Para pelajar telah secara gigih dan tekun, tabah dan sabar berusaha memecah ruyung untuk mendapat sagunya. Kejayaan ini sewajibnya meyakinkan pegangan kita kepada keadilan Ilahi yang hanya mengurniakan nikmat Nya kepada para hamba Nya yang tekun berusaha, khusyuk atau berfokus dalam pekerjaannya, di samping bertawakal dengan sifat yang tawaduk, ia itu bersifat seorang hamba yang senantiasa merendah diri di hadapan Allah Subhanahu Wata’ala dan sesama manusia, serta senantiasa patuh, setia dan taat ketika melakukan sesuatu pekerjaan.
5. Ujian lebih besar yang dihadapi oleh manusia ialah apabila mereka berada di puncak kejayaan. Manusia ketika berada di kaki gunung, secara umumnya lebih mengenali sifat-sifat lemahnya, lalu bersifat merendah diri, memohon bantuan dan pertolongan sesama manusia di samping memanjatkan doa kepada Ilahi. Di sebaliknya sejarah juga menunjukkan, manusia terlalu mudah berubah sifat – bertukar watak apabila dilimpahi dengan kejayaan.
6. Kegagalan manusia mengurus kejayaan secara arif – secara bijak, menjadi penyebab utama kepada kejatuhan mereka. Oleh itu anugerah kejayaan yang diterima pada usia semuda ini, jangan sama sekali menjadi permulaan membenihkan sifat angkuh, riak, sombong dan bongkak dalam diri. Setiap kali Allah mengurniakan kejayaan, banyakkan bersyahadah, memuji kesucian dan memuja kebesaran Ilahi, memohon agar diri dijauhi daripada sifat-sifat sombong dan angkuh; memohon agar diri semakin diperkaya dengan nilai-nilai insani, bersifat tawaduk, mengikuti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk, mencerminkan kesedaran bahawa segala sesuatu kejayaan yang dicapai adalah anugerah dari Allah Subhanahu Wata’ala.
7. Sedarilah! Kejayaan para pelajar hari ini bukan kerana hasil daripada kehebatan diri sendiri secara perseorangan, tetapi didorong daripada didikan para guru yang membimbing dengan tekun, tabah dan sabar, serta sokongan dan doa ibu bapa yang tidak pernah putus, di samping kerjasama daripada rakan-rakan yang mengamalkan sifat saling membantu. Kejayaan para pelajar hari ini turut dipengaruhi oleh peranan pihak pengurusan serta para pemegang taruh yang menyediakan peluang dan ruang untuk pelajar boleh berkembang. Sehubungan itu, para pelajar perlu sentiasa ingat bahawa kejayaan bukan semata-mata pencapaian peribadi tetapi lahir daripada ekosistem yang saling menyokong. Kejayaan yang diraikan hari ini merupakan bukti nyata kepada semangat kebersamaan dan solidariti yang utuh.
8. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah. Bersyukurlah dengan kejayaan yang diperoleh. Berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga yang telah banyak berkorban dan mendoakan kejayaan anda semua, hargailah jasa para guru yang telah melaksanakan amanah secara komited lagi berdedikasi; jadikan diri sebagai hamba yang bersyukur akan nikmat, anak yang soleh kepada kedua-dua ibu bapa, pelajar yang senantiasa mendoakan kesejahteraan para gurunya dan warga yang taat dan setia kepada Raja dan Negara. Semoga anda menjadi penyambung legasi dan pencetus masa depan yang lebih bermakna.
9. Semoga para pelajar, guru, ibu bapa dan warga kerja di MCKK terus berganding bahu mengusahakan kejayaan MCKK yang lebih gemilang. Kepada para guru, ibu bapa serta pemegang taruh, semoga segala usaha murni yang telah dilaksanakan akan diberkati serta dirahmati oleh Allah Subhanahu Wata’ala, dikurniakan ganjaran dunia – ganjaran akhirat.