MAJLIS PELANCARAN ZAKAT PERAK AL RIDZUAN

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

MAJLIS PELANCARAN

ZAKAT PERAK AL RIDZUAN

TARIKH: 26 JUN 2025 / 29 ZULHIJAH 1446 (KHAMIS)

JAM: 9.15 PAGI

TEMPAT: PUSAT ZAKAT AL RIDZUAN,

NO 11, JALAN PANGLIMA BUKIT GANTANG WAHAB, IPOH.

Zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang wajib ditunaikan. Menunaikan zakat membuktikan sifat taat seorang hamba memenuhi perintah Penciptanya, di samping mencerminkan sifat bersyukur terhadap rezeki kurniaan Ilahi. Firman Allah Subhanahu Wata’ala, ayat 103 Surah At-Taubah maksudnya:

“Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka supaya kamu dapat membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk). Berdoalah untuk mereka kerana sesungguhnya doa kamu itu (boleh) menenteramkan jiwa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”[1]

2. Perkataan ‘ambillah’ dalam ayat 103, Surah At-Taubah merupakan perintah yang ditujukan kepada pihak ‘penguasa’ supaya mengutip zakat daripada orang-orang yang layak. Perintah ini diperkukuhkan, berpandukan arahan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam ketika mengutus Muadz bin Jabal ke Yaman. Sabda Baginda:

“Apabila mereka patuh kepada mu untuk hal itu ‘bersyahadah’, maka beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan zakat kepada mereka pada harta-harta mereka, yang diambil dari orang kaya dalam kalangan mereka, lalu diagihkan kepada fakir dalam kalangan mereka.”[2]

3. Di samping perintah mengutip zakat, Allah Subhanahu Wata’ala turut memperincikan lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat melalui firman Nya dalam ayat 60, Surah At-Taubah, bermaksud:

“Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, petugas-petugas amil zakat yang menguruskannya, para mualaf yang dijinakkan hati mereka, untuk hamba sahaya yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah (fi sabilillah), dan ibnu al-sabil (musafir yang terputus perbelanjaan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu) adalah sebagai sesuatu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.[3]

4. Ayat 60 Surah At-Taubah menjadi asas rujukan untuk mengurus pengagihan zakat secara adil dan teratur, demi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan hak golongan asnaf, dan menentukan setiap sen yang dikutip, dibelanjakan mengikut ketetapan Allah Subhanahu Wata’ala.

5. Zakat berperanan sebagai instrumen utama untuk menjamin keadilan sosial, mengangkat martabat golongan yang memerlukan, dan merapatkan jurang antara golongan kaya dengan miskin. Kaedah mengurus pungutan zakat memiliki sejarah yang panjang. Pungutan zakat secara tradisional berlangsung di bumi ini untuk tempoh yang lama. Zakat lazimnya diserahkan secara perseorangan kepada guru-guru agama yang kemudiannya memenuhi peranan mengagihkan kepada golongan asnaf mengikut keperluan setempat.[4] Kaedah bayaran zakat secara tradisional ini berlangsung atas semangat percaya mempercayai, tanpa mempunyai rekod kutipan dan data agihan yang tersusun, dan sukar dipastikan ketepatan pengiraan dan agihan, begitunya juga keberkesanannya dalam memenuhi sepenuhnya falsafah dan matlamat pungutan zakat.

6. Berlaku penghijrahan urusan pungutan zakat setelah British bertapak dan memainkan peranan dalam urusan pentadbiran negeri. Hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu diserahkan kuasa dan tanggungjawab kepada Raja Pemerintah di peringkat negeri. Maka lahirlah institusi yang kini dikenali sebagai ‘Majlis Agama Islam’, bermula penubuhannya di Kelantan pada tahun 1916, disusuli kemudiannya sebagai asas pengurusan agama Islam merangkumi urusan zakat di serata negeri.[5]

7. Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) ditubuhkan pada 1 Muharam 1369 Hijrah (bersamaan 23 Oktober 1949 Masihi). Penubuhan MAIPk selaras dengan kuasa yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak (1948). Pada tahun ketiga penubuhan MAIPk, pada 1 Mei 1952, Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan Undang-undang Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak. Selain berperanan sebagai badan penasihat Sultan mengenai hal-hal berkaitan Agama Islam dan adat Melayu, MAIPk juga bertanggungjawab sebagai Baitulmal untuk mengurus perkara berkaitan harta orang Islam terutama urusan zakat dan wakaf di negeri Perak.

8. Selama satu dekad pertama penubuhan MAIPk, hasil zakat yang dikumpulkan tidak pun mencapai empat ratus ribu ringgit,[6] memberi makna sama ada kesedaran untuk membayar zakat masih kurang dihayati, atau bilangan umat Islam yang layak membayar zakat masih kecil, atau amaun zakat yang dibayar masih rendah, atau minda pembayar zakat masih belum berubah daripada amalan tradisi membayar zakat kepada guru-guru agama. Kutipan zakat ketika itu pula lebih tertumpu pada zakat fitrah dan zakat tanaman dalam kawasan pesawah padi di Mukim Sungai Manik, Seberang Perak dan Kerian.

9. Selepas lima puluh lima tahun penubuhannya, pada tahun 2004, MAIPk merekodkan kutipan zakat bagi semua kategori, merangkumi harta dan fitrah, berjumlah dua puluh enam perpuluhan tiga juta ringgit (RM26.3 juta). Alhamdulillah, pada tahun 2024, MAIPk merekodkan kutipan zakat berjumlah dua ratus lima puluh tiga juta ringgit (RM253,020,010.00), meningkat lapan ratus lima puluh lapan peratus (858%) dalam tempoh dua puluh tahun terakhir.

10. Boleh dirumuskan kutipan zakat yang semakin meningkat dipengaruhi oleh enam faktor:

Pertama: Kesedaran, fahaman dan penghayatan umat Islam terhadap perintah dan hukum yang mewajibkan zakat.

Kedua: Pendapatan umat Islam secara perseorangan begitu juga secara perniagaan dan tanaman yang meningkat.

Ketiga: Insentif kerajaan memberi rebat cukai pendapatan dan potongan cukai keuntungan perniagaan kepada individu dan institusi yang membayar zakat.

Keempat: Pengenalan wakalah.

Kelima: Penambahbaikan pengurusan zakat.

Keenam: Keyakinan umat Islam untuk menunaikan zakat melalui MAIPk.

11. Keyakinan umat Islam terhadap MAIPk hendaklah terus ditingkatkan melalui tadbir urus yang cekap, amanah, telus dan berintegriti. Islam menegah keras perlakuan pecah amanah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diberikan amanah, jawatan dan kuasa. Abu Humaid Ibn Sa’ad As-Saidi meriwayatkan peristiwa antara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dengan Al-Lutabiyyah yang diberikan hadiah ketika menjalankan tugas memungut zakat. Ketika menyerahkan kutipan zakat, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bertanya tentang bahagian yang tidak diserahkan. Al-Lutabiyyah memaklumkan bahawa bahagian tersebut telah dihadiahkan kepada beliau oleh beberapa orang pembayar zakat. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bertanya, “Adakah engkau akan diberi hadiah jika engkau tidak ditugaskan untuk memungut zakat?”. Baginda menganggap pemberian sedemikian diragukan, dikhuatiri terkandung elemen rasuah, lalu menasihati Al-Lutabiyyah menyerahkan kembali hadiah tersebut kepada pemberinya.[7] Jadikan kisah Al-Lutabiyyah sebagai pedoman dan rujukan, dijadikan tanda aras budaya dan etika kerja yang amanah, telus dan berintegriti dalam kalangan warga kerja MAIPk dan warga kerja Pusat Zakat, agar warga kerja MAIPk dan warga kerja Pusat Zakat senantiasa mendapat rahmat petunjuk Ilahi, dilimpahi keberkatan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

12. Pelbagai pihak baik secara perseorangan begitu juga melalui organisasi berperanan penting memungkinkan kutipan zakat semakin meningkat. Beta menghargai sokongan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri yang bersetuju memperkenalkan dan melaksanakan skim bayaran zakat melalui potongan gaji bulanan kakitangan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menyampaikan syiar Islam bermula daripada keluarga dengan berdakwah kepada isteri dan sepupu Baginda, Sayidina Ali Radiallahuanhu serta sahabat rapat Baginda Sayidina Abu Bakar Radiallahuanhu. Konsep membentuk dan meningkatkan kesedaran itu perlu bermula dari rumah dan orang terdekat. Beta berbesar hati disembah maklum bahawa Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, merupakan satu-satunya institusi di negeri ini, yang seratus peratus warganya memberikan persetujuan menunaikan bayaran zakat melalui skim potongan gaji dan elaun, bermula daripada Yang Dipertua dan ahli-ahli Majlis sehingga kepada kakitangan yang paling rendah pendapatannya. Semoga pencapaian MAIPk ini menjadi sumber inspirasi dan contoh teladan kepada semua jabatan negeri dan persekutuan begitu juga pelbagai industri, syarikat dan badan swasta di negeri Perak.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

13. Agama Islam tidak hadir sekadar mengatur hubungan manusia dengan Allah Subhanahu Wata’ala, malah perlu diimbangkan dengan mengolah tatacara hubungan manusia sesama manusia. Islam ialah agama yang memberi arah untuk umatnya berusaha mencipta dan mencapai kemajuan dengan bersedia melakukan penghijrahan, tidak terbatas dalam perkara-perkara spiritual tetapi merangkumi perkara-perkara material. Islam menganjurkan manusia untuk berani melakukan hijrah. Amalan berhijrah hendaklah dilakukan sepanjang hayat. Insan yang enggan atau takut berhijrah akan terpinggir dan tertinggal. Oleh itu institusi Islam yang dinamik, perlu bergerak seiring perubahan era digital dan kemajuan teknologi agar tidak tenggelam dan tidak dilihat lapuk tanpa sebarang pembaharuan.

14. Dengan trend perolehan kutipan zakat yang semakin meningkat serta cabaran tugas yang turut meningkat, amatlah bertepatan untuk MAIPk mengambil pendekatan berani, merintis langkah strategik, melakukan penghijrahan, mengolah struktur organisasi dan budaya kerja baharu. Dalam semangat mahu berhijrah kepada budaya kerja baharu yang lebih dinamik, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak ke-227, yang bersidang pada 30 Jamadilakhir 1445 Hijrah bersamaan 12 Januari 2024 merumuskan ketetapan untuk menambah baik tugas-tugas pungutan zakat melalui penubuhan sebuah anak syarikat milik penuh MAIPk. Beta telah memperkenankan sembah cadangan MAIPk.

15. Alhamdulillah niat murni yang disusuli dengan usaha yang ikhlas telah dimakbulkan Ilahi. Pada hari ini, 29 Zulhijah 1446 Hijrah, hari terakhir tahun 1446 Hijrah, ketika umat Islam sedang diambang melangkah masuk ke tahun 1447 Hijrah apabila azan solat Maghrib dilaungkan senja ini, dan ketika MAIPk pada hari ini genap berusia 78 tahun penubuhannya mengikut perkiraan tahun Hijri, dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala, kita dihimpunkan untuk menjadi saksi pelancaran ZAKAT PERAK AL RIDZUAN atau singkatan namanya ZAPAR.

16. Penubuhan ZAPAR merupakan inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti organisasi; suatu langkah dinamik untuk memungkinkan perkhidmatan kutipan zakat yang lebih berkualiti dan responsif dapat diberikan kepada pelanggan dan rakyat. Pewujudan ZAPAR insya-Allah akan memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan para muzakki (pembayar zakat). Keutamaan tata kelola yang cekap dan teratur serta berorientasi digital yang diterapkan di ZAPAR akan menyuburkan peranan institusi Islam seiring arus kontemporari. Melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas. Kemajuan teknologi juga membantu mempercepatkan proses agihan secara lebih menetapi sasaran dengan pengumpulan maklumat yang lebih tepat dan tersusun. Kini setiap transaksi yang berlaku mudah dijejak oleh pembayar dan penerima, sekali gus meningkatkan ketelusan integriti institusi.

17. Penghijrahan ini tidak akan tercapai tanpa komitmen pelbagai pihak. Beta merakamkan penghargaan dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Dipertua dan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, Sahibus Samahah Mufti dan ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa, Perunding VIP Solution, Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah ZAKAT PERAK AL RIDZUAN, Ketua Eksekutif, pengurusan dan kakitangan MAIPk dan pelbagai pihak yang terlibat aktif merealisasikan kelahiran ZAKAT PERAK AL RIDZUAN.

18. Dengan penentuan dan restu Ilahi jua, berserta lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan ZAKAT PERAK AL RIDZUAN, sebagai entiti rasmi pengurusan kutipan zakat dan wakaf tunai bagi negeri Perak Darul Ridzuan.

  1. Al-Quran, At-Taubah (9:103)
  2. Hadith Riwayat Bukhari Muslim. http://muftiwp.gov.my/ar/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/4482-irsyad-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-168-hukum-amil-mengambil-duit-lebihan zakat.
  3. Al-Quran; At-Taubah (9:60)
  4. Mustaffa Abdul Rahman, 2011. Pemodenan Pengurusan Pungutan Dan Pelaksanaan Agihan Zakat: Amalan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
  5. The Straits Times, 1 August 1917, ms 10.
  6. The Straits Times, 13 May 1960, ms 6.
  7. https://muftiwp.gov.my/ar/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/4482-irsyad-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-168-hukum-amil-mengambil-duit-lebihan-zakat.
%d bloggers like this: