Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

MAJLIS PENGURNIAAN WATIKAH

YANG DI PERTUA DAN ANGGOTA

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK,

HAKIM MAHKAMAH SYARIAH PERAK

DAN

AHLI MAJLIS PERUNDINGAN MASJID

SERTA

PENYERAHAN ZAKAT PERNIAGAAN DAN PENDAPATAN

TARIKH: 27 JAMADILAKHIR 1447/18 DISEMBER 2025 (KHAMIS);

JAM: 10.30 PAGI

TEMPAT: ROYAL PERAK GOLF CLUB, IPOH.

Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) penggal 2024-2025, begitu juga kepada ahli-ahli Majlis Perundingan Masjid penggal 2023-2025 atas khidmat yang telah disempurnakan memenuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan. Beta memperkenankan lantikan serta meletakkan amanah dan tanggungjawab kepada Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta ahli-ahli Majlis Perundingan Masjid penggal 2026-2027, demikian juga hakim-hakim Mahkamah Syariah yang akan dikurniakan watikah lantikan pada pagi ini.

2. Dunia menilai Islam melalui perlakuan penganutnya. Usaha memberi penerangan mengenai agama Islam tidak akan lengkap jika tidak dicerminkan dengan sifat, sikap, amalan dan kejayaan umat Islam yang boleh dijadikan contoh teladan terbaik. Institusi Islam tidak terkecuali menerima tempias persepsi negatif jika berlaku kelemahan pengurusan, mahupun ketiadaan integriti oleh insan-insan yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab menguruskan institusi Islam. Institusi agama Islam yang membuktikan kecemerlangan, bukan hanya membantu ummah untuk lebih maju, malah dapat memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam. Lantikan sebagai anggota MAIPK serta ahli Majlis Perundingan Masjid adalah atas kepercayaan Beta bahawa setiap seorang anggota dan ahli memiliki pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang boleh membantu usaha-usaha mengembangkan syiar Islam di samping membina imej dan persepsi positif terhadap Islam melalui cetusan idea yang inovatif dan gerak kerja yang dinamik.

3. MAIPK dan Majlis Perundingan Masjid merupakan dua badan syura. Syura berperanan penting dalam pentadbiran Islam, disarankan dalam al-Quran, diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Syura ialah forum yang membolehkan berlakunya percambahan minda dan pertukaran pendapat, berlangsung dalam suasana tertib, sopan, profesional dan berdisiplin. Syura memberikan kelebihan dan kebaikan kepada masyarakat dan kepada pihak yang bertikai pendapat untuk mencari persefahaman dan rumusan secara rasional dalam semangat saling mendengar dan saling menghormati pendapat yang berlainan dan berbagai. Melalui syura, ahli-ahli berpeluang menghalusi isu, meningkatkan persefahaman, melontarkan idea, merungkaikan permasalahan dan mengemukakan jalan penyelesaian untuk membolehkan keputusan terbaik, tepat dan objektif dirumuskan secara bersama. Semangat syura ini hendaklah dihayati dan menjadi pegangan anggota MAIPK dan ahli Majlis Perundingan Masjid.

4. MAIPK telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara Negeri Perak, merintis program pembangunan ummah dengan memperkenalkan ‘model koreksional Islamik’ berimpak tinggi di Pusat Koreksional Batu Gajah dan di Penjara Tapah. Mulai Januari 2025, akademi tahfiz diwujudkan di Pusat Koreksional Wanita Batu Gajah; mendapat sambutan tujuh orang peserta; seorang daripadanya telah pun berjaya menghafal 6 juzuk al-Quran. Mulai Februari 2025, program hafazan al-Quran telah diperkenalkan di Penjara Tapah, mendapat sambutan penyertaan 18 orang prospek; ada yang telah berjaya menghafal 3 juzuk al-Quran. Program di dua pusat penjara ini dibiayai daripada dana wakaf dan zakat untuk membekalkan kelengkapan, kemudahan pembelajaran dan menyediakan tenaga pengajar; di samping pembiayaan aktiviti kebajikan dalam usaha pemulihan menyeluruh insan dari sudut jasmani, emosi, akal dan akhlak. Dua program yang dirintis ini telah mendapat sambutan baik dan membuahkan hasil yang sangat menggalakkan.

5. Pada zaman ini tidak wujud lagi asnaf al-riqab seperti yang disebutkan dalam kitab-kitab turath sebagai hamba al-mukatab, iaitu hamba yang dijanjikan dengan perjanjian yang sah oleh tuannya untuk dimerdekakan dengan syarat membayar sejumlah wang. Namun demikian, para ulama kontemporari telah meluaskan takrif al-riqab pada golongan-golongan seperti tawanan perang, rakyat yang berada dalam negara yang dijajah atau bergolak, golongan yang dibelenggu dengan masalah sosial dan akidah. Berpandukan takrif ulama kontemporari ini, asnaf al-riqab sebenarnya masih wujud dan layak menerima agihan zakat. Asnaf al-riqab kini tidak terhad kepada mereka yang diperhambakan, tetapi merangkumi insan-insan yang terbelenggu dengan masalah sosial, yang perlu dibantu akidahnya untuk kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya, membebaskan manusia daripada kegelapan merupakan tugas mulia yang seiring dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam:

Bermaksud: “Tolonglah saudaramu sama ada dia berbuat zalim atau dizalimi. Dan bila ditanya bagaimana menolong orang yang berbuat zalim, Baginda menjawab; ‘Dengan menahan tangannya daripada kezaliman”[1]

6. Beta telah memperkenankan untuk MAIPK bekerjasama dengan Jabatan Penjara Perak merintis usaha untuk membantu banduan-banduan yang dibebaskan dari penjara. Beta telah menitahkan Jabatan Mufti untuk mengkaji sama ada banduan yang dibebaskan dari penjara tergolong dalam mana-mana asnaf yang layak diberikan bantuan daripada dana zakat untuk memulakan penghidupan yang baharu. Beta telah menitahkan agar MAIPK memikirkan dana membiayai banduan yang dibebaskan untuk dibantu mengikuti program latihan kemahiran yang sesuai agar mereka dapat segera memulakan hidup yang produktif pasca menjalani hukuman penjara. Para banduan telah melalui pengalaman ditangkap oleh pihak polis, melalui pengalaman perbicaraan oleh mahkamah, dan melalui pengalaman tahanan oleh jabatan penjara. Pada hemat Beta, perlu ada entiti atau badan yang memberikan perhatian kepada banduan yang telah tamat menjalani hukuman. Beta berpendirian MAIPK boleh berperanan konstruktif untuk membantu banduan yang telah selesai menjalani hukuman untuk memulakan hidup baharu.

7. Negeri Perak ketika ini mempunyai 700 buah masjid dan 1,773 buah surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK). Sepanjang tahun 2024, masjid-masjid di negeri Perak merekodkan kutipan dana berjumlah 65.54 juta ringgit. Seiring dengan pertumbuhan penduduk, dikembari pembangunan kawasan penempatan dan perumahan yang baharu, permintaan untuk membina masjid baharu terus dikemukakan. Masyarakat Islam di negara ini, sewajibnya bersyukur kerana mempunyai kemudahan masjid yang sebahagian besar kos pembinaannya dibiayai oleh kerajaan. Namun perlu difahami, kerajaan juga mempunyai sumber kewangan yang terbatas untuk membiayai pelbagai program pembangunan.

8. Pada peringkat awal perkembangan Islam di negara ini, masjid diusahakan pembinaannya oleh umat Islam sendiri. Sebahagian besar sumber dana pembinaan masjid diperoleh melalui wakaf, baitulmal, derma dan sumbangan daripada hartawan Islam. Semangat ummah tampil mengambil tanggungjawab fardu kifayah untuk membantu usaha pembinaan masjid hendaklah dihidupkan semula. Disarankan untuk MAIPK bersama JAIPK memikirkan, merintis dan menggerakkan usaha memperkenalkan instrumen pendanaan awam (crowd funding), dengan menubuhkan dana wakaf khas untuk membantu pembiayaan pembinaan masjid baharu, dengan mendapatkan persefahaman dan persetujuan jawatankuasa-jawatankuasa masjid, memperuntukkan setiap tahun peratus tertentu kutipan dana masjid masing-masing kepada dana wakaf khas yang diwujudkan.

9. Masjid hendaklah keluar daripada kepompong pemikiran jumud dan lapuk, ditransformasikan menjadi pusat kecemerlangan ummah, yang tidak lagi berimej sekadar tempat menunaikan solat dan mengadakan pengajian yang terbatas kepada subjek agama. Masjid sebaiknya hendaklah aktif menggalas peranan pendidikan, pengembangan pelbagai ilmu duniawi dan ukhrawi, kaunseling keluarga, aktiviti remaja, pembangunan sosial dan ekonomi serta berperanan sebagai pusat memupuk adab, jati diri dan perpaduan masyarakat. Tujuh ratus (700) buah masjid dan 1,773 buah surau di negeri Perak jangan dijadikan gajah tidur tetapi hendaklah diaktifkan, sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya ummah; diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat menarik minat pelbagai peringkat usia anggota kariah, merangkumi anak-anak pada usia prasekolah, anak-anak di sekolah rendah, menengah, maktab dan universiti serta golongan belia. Ahli jawatankuasa masjid tidak boleh bersifat memekakkan telinga terhadap isu-isu yang ada kaitan langsung dengan kehidupan ummah dan ahli-ahli kariah tidak boleh bersifat memejamkan mata terhadap cabaran yang berlaku dalam persekitaran kehidupan ummah.

10. Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid hendaklah berfikiran besar, membolehkan masjid berperanan lebih dinamik, melalui pemikiran yang dikeluarkan dari kotak sempit, minda yang dimerdekakan dari kepompong pemikiran lama yang telah disemai oleh penjajah secara terancang, dengan muslihat tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan-urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit. Masjid hendaklah peka kepada keadaan persekitaran, cabaran dan masalah yang dihadapi oleh ummah semasa. Masjid bertenaga untuk tampil ke hadapan mengambil tanggungjawab fardu kifayah membantu menangani tiga perkara berikut:

Pertama: Atas fahaman bahawa banyak masjid memiliki kawasan tanah yang boleh dioptimumkan penggunaannya, masjid hendaklah bergerak aktif dalam program keterjaminan makanan, menyuburkan kawasan masjid dengan tanaman sayur dan pohon buah-buahan. Beta hargai usaha dan bantuan yang telah dihulurkan oleh Jabatan Pertanian menjayakan program keterjaminan makanan di 118 masjid di negeri Perak. Kejayaan awal ini hendaklah menjadi pendorong untuk lebih banyak jawatankuasa masjid bergerak aktif menggiatkan ahli-ahli kariah berusaha untuk menghasilkan bahan makanan di tanah-tanah milik masjid.

Kedua: Penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar. Penjagaan alam sekitar merupakan amanah Ilahi. Masjid hendaklah menjadi pemimpin menyedarkan ummah tentang kelestarian bumi melalui pelaksanaan program masjid lestari yang memberi fokus pengurusan bahan buangan, pengurangan penggunaan bahan plastik, dan memperkenalkan program kitar semula. Jawatankuasa dan pegawai masjid secara aktif hendaklah melaksanakan program pemuliharaan alam sekitar melalui program kitar semula, antaranya menjadikan sisa buangan makanan daripada jamuan-jamuan yang diadakan untuk dijadikan baja kompos, meminimumkan penggunaan plastik sekali guna dan menyediakan tempat untuk ahli-ahli kariah boleh menyerahkan bahan-bahan terpakai yang masih elok dan boleh digunakan untuk manfaat orang-orang yang memerlukan.

Institusi masjid berpotensi berperanan penting sebagai pusat pendidikan, kesedaran dan tindakan komuniti dalam pemuliharaan biodiversiti. Program masjid hijau hendaklah diterokai dan dilaksanakan dengan lebih bersungguh melalui amalan teknologi hijau seperti penggunaan tenaga solar, sistem pengumpulan air hujan dan pengurusan sisa secara efisien. Program pendidikan alam sekitar dan kepentingan biodiversiti hendaklah diadakan melalui siri tazkirah dan ceramah di masjid-masjid secara berkala.

Dengan bimbingan Jabatan Alam Sekitar, dua puluh buah masjid kini terlibat aktif dalam program kitar semula dan penjagaan alam sekitar. Sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri Perak, tujuh buah masjid diiktiraf untuk menerima penganugerahan masjid lestari kerana berjaya mengumpulkan sisa plastik dan ewaste terbanyak di negeri Perak.

Ketiga: Isu Kesihatan. Sedarilah! Malaysia antara negara yang mempunyai peratus penduduk penyakit diabetes tertinggi di dunia. Hampir dua juta rakyat Malaysia merupakan pesakit diabetes berdaftar di 996 klinik kesihatan di seluruh negara. Lebih 60% pesakit diabetes di negara ini ialah orang Islam. Di samping itu, hampir 15% rakyat Malaysia, ia itu seorang dalam tujuh orang menghidap penyakit buah pinggang; lebih 40,000 pesakit buah pinggang di negara ini memerlukan rawatan dialisis; data menunjukkan setiap tahun berlaku pertambahan hampir 9,500 kes baharu yang memerlukan rawatan dialisis. Diabetes merupakan penyumbang utama kepada pesakit baharu; 53 peratus pesakit baharu yang memerlukan rawatan dialisis ialah pesakit diabetes.

Dua puluh satu perpuluhan tiga peratus (21.3%) warga dewasa mengalami obesiti manakala 30.7% kanak-kanak dan remaja Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan. Enam puluh tiga peratus (63%) remaja dan 47% dewasa mengambil gula secara berlebihan, 76% dewasa mengambil garam melebihi had yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia; 42% remaja dan 34% dewasa mengambil makanan berat pada waktu lewat malam. Amalan-amalan tidak sihat tersebut menjadi penyebab kepada penyakit kronik darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan pelbagai jenis barah.

Jawatankuasa masjid disarankan melaksanakan program mengilmukan ahli kariah dan menjadi pemangkin amalan gaya hidup sihat dengan memperkenalkan program-program berikut:

Pertama: Menganjurkan tazkirah dan ceramah siri pendidikan kesihatan dengan kerjasama pegawai kesihatan, perubatan dan pemakanan.

Kedua: Menganjurkan program sukan dan riadah seperti senamrobik di perkarangan masjid selepas solat subuh dan asar.

Ketiga: Menghentikan penyediaan minuman manis dalam jamuan-jamuan di masjid dan mengurangkan garam dan lemak dalam hidangan yang disediakan.

Keempat: Menggalakkan jemaah berpuasa sunat.

Kelima: Memperkenalkan budaya waktu makan yang baharu dengan mengubah waktu jamuan di masjid dan surau daripada dihidangkan selepas solat isyak kepada sebelum solat maghrib.

11. Semoga anggota MAIPK, ahli-ahli Majlis Perundingan Masjid dan para hakim yang Beta perkenankan lantikan masing-masing akan memenuhi amanah dan melaksanakan tanggungjawab dalam semangat dan niat melakukan ibadah yang bersandarkan niat semata-mata kerana ALLAH Subhanahu Wata’ala selaras dengan peringatan yang terkandung dalam ayat 162 Surah Al-An’aam bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyang ku dan ibadat ku, hidup ku dan mati ku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”[2]

12. Ya Allah! Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui, hamba-Mu pohonkan agar mereka yang dengan izin Mu juga telah diamanahkan, pada setiap masa akan mendapat bimbingan dan panduan dari Mu Ya Allah! untuk dapat menyempurnakan tanggung jawab dengan penuh jujur lagi berintegriti. Semoga Engkau anugerahkan kepada setiap seorang daripada mereka kekuatan iman agar senantiasa berpendirian tegas dan bersuara ikhlas menyembahkan sebaik-baik nasihat kepada hamba-Mu yang daif ini, untuk membolehkan hamba-Mu menyempurnakan tugas besar seorang Amirulmukminin dengan adil lagi saksama berteraskan Kitabullah dan Sunah Rasul. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk dan hidayah memandu kita ke jalan yang lurus; ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَ⁠طَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ

  1. Riwayat Bukhari (hadis no. 2444)
  2. Al-Quran, Surah Al-An’aam (6:162)
%d bloggers like this: