Majlis Penutup Muzakarah Ulama Dan Cendekiawan Islam 2011

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wataala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Pada 2 Mei 2011, Osama bin Ladin, dilaporkan telah dibunuh oleh komando SEAL tentera laut Amerika Syarikat dalam operasi ketenteraan di bandar Abbottabat, Pakistan. Osama telah menjadi sasaran utama pemburuan Amerika Syarikat sejak berlakunya serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001. Ketika mengumumkan kejayaan operasi ketenteraan itu, Presiden Obama menyatakan bahawa “Keadilan Telah Ditegakkan”.

3. Presiden Rusia, Dmitry Medvedev menyambut berita kematian Osama dengan menyatakan, “Kremlin mengalu-alukan kejayaan besar Amerika Syarikat dalam peperangan menentang keganasan”.

4. Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu menganggap berita kematian Osama sebagai satu kejayaan menegakkan keadilan, kebebasan dan nilai-nilai yang dikongsi semua negara demokratik yang berjuang memerangi keganasan.

5. Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkan kematian Osama melegakan penduduk dunia, bahawa operasi Amerika Syarikat itu merupakan satu kejayaan besar dalam kempen memerangi keganasan.

6. Sementara itu, Ismail Haniyeh, pemimpin kanan HAMAS mengutuk pembunuhan Osama dengan menyifatkan pemimpin al-Qaeda itu sebagai pahlawan suci Arab. Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Ghassan Khatib pula, mengingatkan bahawa pembunuhan Osama adalah baik bagi keamanan dunia, tetapi apa yang penting sekarang adalah untuk menyekat pendekatan keganasan yang diwujudkan atau yang digalakkan oleh Osama di seluruh dunia. Demikian antara pelbagai reaksi berikutan berita pembunuhan Osama.

7. Seorang Osama telah ditamatkan hayatnya. Apakah jaminan bahawa tidak akan muncul Osama yang baru, meskipun berlainan nama dan berlainan paras rupa, tetapi berpegang kepada kaedah perjuangan yang sama dengan kaedah yang dipelopori oleh Osama? Dunia Barat dan bumi Arab turut menjadi penyebab dalam menyemai dan menyemarakkan perasaan kebencian yang ekstrem terhadap Barat, perasaan menentang status quo yang ekstrem dan perasaan memberontak yang ekstrem dalam jiwa seorang manusia bernama Osama, malah dalam jiwa ramai lagi sekutu dan rakan Osama di serata dunia.

8. Adakah kematian Osama memberi jaminan bahawa keganasan akan berakhir dan keamanan akan terjamin? Sebenarnya, adalah lebih penting bagi dunia untuk menyelami faktor-faktor yang telah mendorong kepada pembentukan watak ekstrem seorang Osama dan adalah lebih penting untuk dunia dapat memahami faktor-faktor yang membolehkan ideologi ekstrem yang dijaguhkan oleh Osama mendapat sokongan meluas. Sebuah akhbar di Pakistan pada September 2001 melaporkan kata-kata Osama, bahawa:

Jihad tetap akan diteruskan walaupun semasa ketiadaan saya”.

9. Osama telah dibunuh. Jasad Osama telah terbenam di dasar lautan, namun keganasan dan hasrat meneruskan keganasan masih subur menjalar di muka bumi. Pada 13 Mei 2011, sebelas hari selepas Osama dibunuh, dua pengebom meletupkan diri di sebuah akademi polis separa tentera di kawasan Shabqadar, di utara Peshawar, Pakistan sebagai tindak balas pertama untuk membalas dendam. Akibat tragedi tersebut, sekurang-kurangnya lapan puluh sembilan orang dilaporkan terbunuh sementara seratus empat puluh orang lagi mengalami kecederaan.

10. Osama yang dibunuh pada 2 Mei, beragama Islam; dua pengebom dalam tragedi 13 Mei, beragama Islam; mangsa pengeboman tragedi di Shahqadar, beragama Islam. Apakah keuntungan kepada umat dan dunia Islam dari satu lagi tragedi ganas ini? Apakah yang mahu dicapai dan apakah kejayaan yang telah dicapai dalam perjuangan yang didakwa dilakukan atas nama Islam dan atas nama keadilan? Apakah pandangan dunia terhadap Islam berikutan satu lagi tragedi ganas ini?

11. Ancaman militan dari kegiatan ganas ketara belum berakhir dan tidak semudah untuk berakhir dengan kematian seorang Osama. Dunia wajib merenungi kepada pemikiran yang lebih lateral lagi konstruktif untuk menghindarkan kelahiran lebih ramai Osama Baru di muka bumi ini. Langkah preventif untuk menghindar dari terbentuknya lebih ramai Osama wajib diberikan perhatian.

12. Kemiskinan, ketidakseimbangan agihan kekayaan negara, amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin, tadbir urus negara yang lemah, kemudahan pendidikan yang tidak setanding dengan keperluan semasa, kemudahan sosial dan infrastruktur yang daif, di samping masalah politik di Asia Barat terutamanya isu Palestin yang berpanjangan, adalah isu-isu kritikal yang wajib diberikan perhatian. Selagi isu-isu kritikal ini tidak segera diselesaikan, selagi itu dunia tidak akan aman dan api keganasan akan terus membara.

13. Selepas berakhirnya penjajahan Jepun dan ketika negara baru mencapai kemerdekaan, negara kita turut mengalami ancaman keganasan dari Parti Komunis Malaya, meskipun pada skala yang berbeza, berasaskan teknologi persenjataan dan teknologi komunikasi ketika itu yang masih belum secanggih sekarang. Namun ia tidak menghalang Parti Komunis Malaya dari mendapat sokongan moral dan sokongan material dari Pertubuhan Komunis Antarabangsa termasuk mendapat naungan dari negara tertentu.

14. Negara telah memilih pendekatan bijak ketika menangani ancaman keganasan dengan memberi keutamaan untuk memenangi hati rakyat, lalu mengambil langkah melaksanakan program-program pembangunan prasarana, pembangunan sosial, pembangunan pendidikan dan mentadbir urus negara secara cekap lagi produktif, memastikan ekonomi berkembang dalam hasrat mahu membasmi kemiskinan rakyat. Kewangan Negara diutamakan untuk perbelanjaan membina rumah, sekolah, jambatan, jalan raya, klinik kesihatan serta dibelanjakan untuk membangunkan ladang dan membina tali air daripada dibelanjakan untuk membesarkan angkatan bersenjata atau membeli senjata. Kegiatan perisikan dan kegiatan ketenteraan untuk menangkap Chin Peng dan para pemimpin Parti Komunis Malaya dilakukan, namun negara tidak taksub dengan hasrat tersebut sehingga terlepas pandang kepada pendekatan kemanusiaan yang lebih berkesan untuk memenangi hati rakyat. Akhirnya Chin Peng semakin terpinggir dan gagal mengembangkan pengaruh.

15. Alhamdulillah, Negara kita berjaya mengatasi keganasan, kawasan hitam dapat diputihkan dan darurat berakhir pada tahun 1960. Jika kejayaan Negara, walaupun pada skala yang berbeza dapat dijadikan pengajaran, maka pengalaman kejayaan ini wajarlah dijadikan pedoman dalam usaha dunia mahu menangani keganasan di peringkat antarabangsa. Selagi pendekatan yang berkesan tidak segera diperkenalkan dengan segala kesungguhan, selagi itu keganasan akan tumbuh subur, merebak dari satu madrasah ke satu madrasah, dari satu perkampungan ke satu perkampungan, dari satu wilayah ke satu wilayah. Akibatnya kos perisikan, kos intipan dan kos ketenteraan akan terus meningkat, kemusnahan terus berlaku dan semakin banyak nyawa akan terkorban.

16. Belajarlah dari kesilapan, janganlah terlalu taksub dengan pendekatan punitif atas rasa dendam, kerana setiap perbuatan membalas dendam akan membiakkan dendam yang baru. Laksanakan secara serius lagi bersepadu, pendekatan preventif untuk memadamkan rasa benci dan menghilangkan rasa bermusuh di kalangan insan terutama di kalangan generasi muda. Binalah rasa kasih – rasa sayang sesama insan tanpa mengira agama – tanpa mengira bangsa, dan bantulah mereka supaya dapat keluar dari penderitaan kemiskinan, supaya dapat bebas dari penindasan hidup, dengan memenuhi keperluan asasi mereka dari segi perumahan, makanan dan perubatan serta memenuhi keperluan sosioekonomi mereka dari segi pelajaran, kemahiran dan peluang pekerjaan.

17. Dunia akan lebih aman, jika kemiskinan semakin dapat dikurangkan, jika lebih ramai warga dunia dapat dilengkapkan dengan pelajaran dan kemahiran yang dapat memberikan nilai tambah yang relevan dengan keperluan dunia semasa. Dunia akan lebih sejahtera, jika pemerintahan lebih adil dan saksama dapat diamalkan, jika kekayaan negara lebih seimbang pengagihannya, jika amalan rasuah ditegah secara tegas, jika tadbir urus negara dilaksanakan secara jujur, amanah dan telus.

18. Era beretorik telah begitu lama berlalu – suara retorik telah begitu lama bergema. Tanggung jawab fardu kifayah membantu membina dunia yang lebih aman adalah tanggung jawab bersama, bermula dengan sikap menyemaikan rasa kasih – rasa sayang sesama manusia, bermula dengan rasa belas – rasa simpati terhadap insan yang berada dalam kemiskinan dan kesusahan, bermula dari perasaan kemanusiaan dan keinsanan yang menghargai setiap nyawa dan setiap kehidupan. Bersamalah menggemakan suara perdamaian; bersamalah menggerakkan usaha perdamaian.

19. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Penutupan Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011.

Wabillahi taufik, walhidayah.

Wassalamualaikum, warahmatullahi, wabarakatuh.

**************

%d bloggers like this: