Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam; demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Seribu empat ratus tiga puluh lima (1,435) tahun yang lalu, umat Islam Mekah dengan nasihat dan bimbingan Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam telah berhijrah ke Medina. Peristiwa tersebut tidak mungkin terjadi tanpa izin – tanpa reda ILAHI. Sesungguhnya melakukan Hijrah adalah antara seruan ILAHI seperti yang difirmankan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam surah al-Baqarah ayat 218 bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan ALLAH, mereka itu mengharapkan rahmat ALLAH, dan ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (al-Quran; 2:218)
3. Hikmah yang tersirat di sebalik yang tersurat hendaklah diselami dan difahami lalu dijadikan pedoman. Peristiwa Hijrah memperlihatkan contoh betapa pentingnya dilakukan anjakan pemikiran, menerokai idea baru dalam hasrat mencipta kejayaan lebih gemilang. Sesungguhnya melalui peristiwa Hijrah, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam telah mempamerkan satu contoh pemikiran lateral, satu contoh anjakan paradigma, satu contoh perintisan idea di luar kotak; apa yang pada hari ini ditafsirkan satu penemuan baru, dijenamakan dengan istilah pemikiran lateral yang dipopularkan oleh Edward de Bono.
4. Selepas tiga belas tahun menghadapi pelbagai rintangan – pelbagai tekanan yang menghalang syiar Islam dari dapat berkembang secara terbuka dan lebih luas, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam telah memperlihatkan kebijaksanaan berfikiran lateral, melakukan anjakan minda, mencetus idea di luar kotak pemikiran konvensional, dalam usaha mahu menjayakan misi menyebar syiar Islam. Baginda berhijrah ke Medina, melaksanakan misi dakwah dalam persekitaran yang lebih kondusif; Baginda telah memperkenalkan kaedah berlainan – mengadaptasi pendekatan berbeza hingga terbinanya satu kekuatan sebelum kembali ke Mekah dengan kemenangan. Peristiwa Hijrah adalah contoh kesediaan untuk meninggalkan tata cara lama yang tidak berkesan. Peristiwa Hijrah adalah lambang keberanian menggugurkan tata cara usang yang amat perlu diubahsuai.
5. Dalam sejarah peradaban dunia, peristiwa-peristiwa yang mengandungi semangat hijrah terus berlaku sepanjang masa. Malah Hijrah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam berkemungkinan telah menjadi sumber inspirasi kepada ramai pemimpin dunia yang berhasrat melakukan perubahan, lalu diadaptasi dalam persekitaran serta rangka kerja masing-masing. Di China, ketika berhadapan dengan tekanan dari Kuomintang, Mao Zedong telah menganjurkan ‘The Long March’. Mao Zedong dan pengikutnya telah berundur dari Yudu (dalam Provinsi Jiangxi) ke Yan’an (dalam Provinsi Shaanxi), perjalanan sejauh 12,500 kilometer, memakan masa 370 hari; bermula pada 16 Oktober 1934 dan berakhir pada 19 Oktober 1935. Mao Zedong dan rakan-rakan seperjuangan pada akhirnya muncul di Beijing setelah menewaskan Chiang Kai-Shek dan tentera Kuomintang, mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949.
6. Dunia mengikuti berita kematian General Vo Nguyen Giap berusia 102 tahun, pada 4 Oktober 2013. General Giap terkenal mencatat kemenangan bersejarah sebagai pemerintah Tentera Viet Minh dan Tentera Vietnam. Dalam tempoh empat dekad memimpin Tentera Vietminh dan Tentera Vietnam, General Giap berjaya menewaskan empat kuasa besar, Jepun, Perancis, Amerika dan China hingga General Giap diberikan gelaran The Red Napoleon. Apakah rahsia di sebalik kejayaan General Giap? Jawapannya adalah keberanian General Giap berhijrah dari taktik peperangan konvensional kepada kaedah peperangan baru, peperangan gerila berteraskan patriotisme rakyat Vietnam hingga berjaya mencipta sejarah yang menggemparkan dunia, apabila tentera kolonial Perancis ditewaskan di Dien Bien Phu pada tahun 1954.
7. Setiap penghijrahan berbentuk fizikal bermula dengan penghijrahan minda. Penghijrahan minda berlaku sepanjang masa dalam pelbagai bidang, paling rancak dan paling ketara dalam bidang sains dan teknologi, berjaya menghasilkan pelbagai inovasi dan reka cipta baru; pesawat udara yang lebih besar – lebih pantas, peralatan komputer, komunikasi dan telefon yang semakin canggih, kaedah perubatan yang bertambah sofistikated, malah ribuan lagi reka cipta yang dihasilkan, setiap satunya adalah hasil dari minda yang aktif melakukan penghijrahan demi penghijrahan hingga memungkinkan kehidupan hari ini dan hari esok, bertambah baik dari hari semalam.
8. Keajaiban pencapaian ekonomi Jepun pasca Perang Dunia Kedua dicetuskan oleh anjakan dasar ekonomi dan dasar perbelanjaan negara, berhijrah daripada membina kekuatan ketenteraan kepada aktiviti perdagangan, perindustrian berat dan pemacuan pertumbuhan sektor swasta, lalu mengupayakan Jepun bangun dari debu-debu peperangan, muncul sebagai kuasa ekonomi dunia di akhir tahun enam puluhan.
9. Korea Selatan bangkit mengatasi kemelesetan pasca Perang Dunia Kedua, mencapai status ekonomi kesebelas terbesar di dunia pada tahun 1996; pencapaian yang diperoleh melalui penghijrahan dasar Kerajaan dari kaedah ekonomi berasaskan import gantian kepada ekonomi berteraskan eksport barangan, lalu menjalin kerjasama erat dengan sektor swasta dan memberi sokongan kepada pembangunan industri berat, industri besi waja, dan industri elektronik; di samping usaha melahirkan barisan tenaga kerja mahir lagi terlatih.
10. Deng Xiaoping dalam negara yang berbudayakan politik komunisme, pada tahun 1978, telah melakukan penghijrahan kepada ekonomi pasaran, di samping berhijrah mengamalkan dasar luar negara yang lebih terbuka untuk membolehkan terjalinnya hubungan antarabangsa yang lebih mesra. Hasil dari langkah penghijrahan pendekatan yang dilakukan, Keluaran Dalam Negara Kasar Negara China yang berada pada purata 53.6 bilion dolar Amerika sekitar tahun tujuh puluhan, melonjak kepada 8.2 trilion dolar Amerika pada tahun 2012. Negara China dalam tahun tujuh puluhan hanya memberi sumbangan lima peratus ekonomi dunia, hari ini muncul sebagai ekonomi kedua terbesar dunia.
11. Sepanjang hayat bernegara, para pemimpin Malaysia tidak ketinggalan melakukan pelbagai penghijrahan minda dan anjakan pendekatan. Ekonomi Malaysia berasaskan pertanian ketika negara mencapai kemerdekaan telah berhijrah kepada ekonomi berasaskan pembuatan dan kini semakin berhijrah kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu disusuli Malaysia, sistem Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, perwujudan jawatan Ketua Utama Negara, pemerintahan secara perkongsian kuasa, adalah antara formula bernegara yang telah dicetuskan melalui penghijrahan minda dalam hasrat pimpinan Negara mahu membangunkan sebuah negara merdeka yang berdaulat, aman, makmur lagi bersatu.
12. Dasar, tatacara mengurus tadbir negara, begitu juga mengurus tadbir institusi, memerlukan minda yang terus bersedia melakukan penghijrahan, kerana tanpa pembaharuan dan inovasi, kejayaan tidak selama-lamanya kekal berada di puncak. Salah satu hadis Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam menyeru ummah untuk berusaha seolah-olah kita akan hidup untuk selama-lamanya. Ia hendaklah ditafsirkan bahawa insan diseru untuk terus berusaha – insan diseru untuk terus bekerja – insan diseru untuk terus menerokai pemikiran baru.
13. Budaya Hijrah tidak tamat dan tidak harus dihentikan dengan satu peristiwa yang berlaku 1,435 tahun lalu. Hijrah bukan lirik lama untuk sekadar didendangkan semula setahun sekali. Hijrah bukan hikayat tua untuk sekadar diulang cerita setiap Muharam. Ia adalah peristiwa penting untuk dijadikan pengajaran, diadaptasikan dalam menangani cabaran semasa; ia menuntut kepada ummah untuk bersedia menerokai paradigma baru, pendekatan baru, kaedah baru dan tata cara baru demi memastikan kelangsungan ummah yang lebih lestari. Budaya Hijrah terus berlaku sepanjang sejarah perjalanan dunia merangkumi pelbagai bidang hidup. Oleh itu peristiwa Hijrah yang dirintis oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam hendaklah tidak dilihat sekadar maklumat sejarah tetapi hendaklah dijadikan sumber inspirasi, dihayati dan diamalkan dalam pengembaraan hidup di maya ini.
14. Budaya Hijrah hendaklah terus disuburkan di minda setiap insan. Ketidakberanian melakukan penghijrahan minda, terbukti telah menjadi punca kepada tercicirnya tamadun agung serta mengakibatkan sesuatu bangsa berfikiran tertutup, pada akhirnya bangsa semakin jauh tertinggal di belakang. Hari ini, ada tamadun, ada budaya, ada bangsa, ada bahasa yang semakin hampir di gerbang pelupusan, mengalami nasib yang telah menimpa dinosaur, jumud dan pupus dari maya ini. Sesungguhnya pelbagai peristiwa yang sedang berlaku, meyakinkan bahawa kelebihan dan kemenangan berpihak kepada mereka yang bersedia melakukan hijrah.
15. Setelah lima puluh enam tahun negara ini mencapai kemerdekaan, telah berlaku pelbagai perubahan yang ketara; merangkumi komposisi dan demografi penduduk, landskap dan pembangunan fizikal, tahap literasi, tahap pencapaian ekonomi, hasil negara, sumber alam dan pelbagai lagi. Malah landskap politik, iklim ekonomi serta persekitaran perdagangan dunia hari ini amat jauh berbeza dengan senario lima puluh tahun yang lalu. Perubahan yang berlaku baik di dalam begitu juga di luar negara, menuntut kepada keperluan dan kesediaan ummah melakukan penghijrahan pendekatan dalam mengurus tadbir negara ini; ia menuntut kepada keberanian ummah mengolah semula dasar serta merekayasa jentera pelaksana agar ummah akan terus maju dan berupaya mencipta kejayaan lebih cemerlang ketika berhadapan gelombang globalisasi. Oleh itu, semangat dan budaya hijrah wajib disemaikan, dihayati, diadaptasi dan diamalkan dalam hidup ummah agar ummah dapat di bawa keluar dari kepompong pemikiran yang usang.
16. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala akan memberikan kita petunjuk dan hidayah, kekuatan dan keberanian melakukan penghijrahan demi masa hadapan ummah yang lebih gemilang lagi cemerlang.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.