TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
IBNI
ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
AL-MAGHFUR-LAH
MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1447H
PERINGKAT NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
TARIKH: 1 MUHARRAM 1447H / 26 JUN 2025 (KHAMIS);
JAM: 9.00 MALAM
TEMPAT: CASUARINA@MERU, IPOH.
“HIJRAH DAN KELESTARIAN: MENYATUKAN UMMAH MEMULIHARA BUMI”
Penghijrahan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dari Mekah ke Madinah merupakan peristiwa amat bersejarah yang berjaya memancarkan keagungan syiar Islam. Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bukan suatu perjalanan biasa, sebaliknya perjalanan yang membawa kejayaan menemui cahaya, setelah manusia sekian lama terkurung dalam kegelapan syirik, bertuankan manusia dan kebendaan yang menyesatkan. Hijrah membebaskan minda ummah daripada belenggu kejahilan, membina kekuatan rohani, mengukuhkan keyakinan dan mengangkat martabat ummah menjadi insan kamil berteraskan prinsip-prinsip agama yang murni.
2. Negeri Perak Darul Ridzuan memilih ‘HIJRAH DAN KELESTARIAN: MENYATUKAN UMMAH MEMULIHARA BUMI’ sebagai tema sambutan Maal Hijrah 1447. Tema tersebut dipilih atas kesedaran, bahawa bumi ini akan diwariskan kepada generasi baharu yang akan meneruskan kelangsungan hidup. Tema tersebut dipilih atas keinsafan bahawa bumi yang semakin tua ini sedang menunjukkan pelbagai tanda keuzuran, semakin kerap berlakunya bencana alam; gempa bumi, tanah runtuh, ketidaktentuan iklim, peningkatan suhu, kebakaran besar-besaran, banjir serta pelbagai musibah lain yang telah mengorbankan harta dan nyawa.
3. Dunia pada hari ini berhadapan fenomena alam yang mengalami pelbagai bencana sehingga mengancam kesejahteraan hidup dan kelestarian alam. Pertambahan bilangan serta kepadatan penduduk, penerokaan tanah dan penempatan baharu, pembinaan prasarana, peningkatan kawasan bandar dan pengembangan aktiviti perindustrian, telah secara langsung memberi kesan terhadap alam. Fenomena yang sedang berlaku seharusnya mencetuskan kesedaran kepada pelbagai pihak untuk berganding bahu menangani krisis alam yang semakin membimbangkan. Islam sebagai agama yang syumul mementingkan perlindungan terhadap alam sekitar dan mentakrifkan usaha memulihara alam sekitar sebagai ibadah.
4. Memulihara alam sekitar adalah sebahagian daripada amanah Allah Subhanahu Wata’ala. Allah Subhanahu Wata’ala, murka terhadap orang yang melakukan kerosakan. Allah memerintahkan manusia akan pentingnya memulihara alam dan seisinya, kerana jika alam disakiti, dizalimi, dirosaki serta diancam, manusia sebenarnya telah melakukan fasad (ia-itu melakukan kerosakan, kebinasaan dan keburukan) terhadap makhluk ciptaan dan milik Ilahi. Melanggar perintah dan melakukan perkara yang dilarang, mengundang amarah, disifatkan telah melakukan dosa menderhakai perintah Allah Azza Wajalla.
5. Sesungguhnya, Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam tidak sekadar mengajar ibadah ritual dalam agama. Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam menegaskan pentingnya memelihara alam dan menjaga hubungan baik dengan seluruh makhluk. Baginda mengingatkan bahawa manusia dan alam mempunyai hubungan yang erat, dan manusia akan menanggung musibah sekiranya alam dirosakkan. Menjaga alam merupakan suatu ibadah, lambang pengabdian seorang Muslim kepada Penciptanya, menandakan keseriusan seorang hamba membuktikan kepatuhan kepada segala perintah dan larangan Allah Subhanahu Wata’ala.
6. Bumi ini ialah tempat tinggal sementara yang dipinjamkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada manusia, sebelum manusia berpindah ke alam barzakh, atau apabila sampai ketentuan yang bumi ini akan hancur dan lenyap ketika tibanya kiamat. Bumi ini juga ialah tempat tinggal dan keberadaan semua makhluk lain ciptaan dan milik Ilahi, merangkumi haiwan, unggas, kehidupan laut dan sungai, tumbuh-tumbuhan, sumber alam dan pelbagai kehidupan lain, berkongsi berada di bumi yang sama. Pencabulan yang dilakukan terhadap mana-mana makhluk yang menyebabkan kemusnahan, kerosakan, pencemaran dan pembunuhan, akan membawa kepada ketidakseimbangan dan terganggunya proses kitaran hidup alam semula jadi. Apabila haiwan sudah mula berkeliaran menghampiri penempatan manusia, tandanya habitat mereka telah diganggu dan dicerobohi.
7. Dakwah Islam berperanan membebaskan manusia daripada belenggu penganiayaan, kerosakan, penindasan, perpecahan, kemusnahan, penyalahgunaan kuasa dan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah yang benar. Islam mengetengahkan pembaharuan, berasaskan nilai dan akhlak yang mengangkat kemuliaan insan, meningkatkan taraf kehidupan, memakmurkan alam, mengembalikan hak, bukan sahaja kepada setiap insan, tetapi merangkumi apa sahaja hak yang ada di alam ini, yang tidak boleh dinafikan kerana alam itu sentiasa berinteraksi.
8. Peranan yang dipertanggungjawabkan ke atas Baginda Rasul Sallallahu Alaihi Wassalam adalah sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam berpandukan ayat 107 surah Al-Anbiya’ yang bermaksud:
“Dan tiadalah Kami mengutusi engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
9. Rahmat yang bersifat universal, menggambarkan misi Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam, untuk membawa kebaikan, kasih sayang serta belas dan ihsan, tidak hanya kepada manusia, bahkan meliputi setiap makhluk dan seluruh alam semesta ciptaan dan milik Ilahi. Ummah sewajibnya meneruskan misi pembawa rahmat yang diasaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam; misi yang telah berjaya menyebarkan rahmat kepada seluruh makhluk di muka bumi, lantas berjaya meninggikan syiar Islam.
10. Perintah Allah Subhanahu Wata’ala untuk melestarikan alam, jelas terkandung menerusi firman Nya dalam Surah Al-A’raf ayat 56:
Bermaksud, “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya Rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya”.
11. Islam melarang keras sebarang bentuk pencemaran yang boleh merosakkan alam sekitar. Alam sekitar yang rosak bukan hanya memberi implikasi buruk kepada manusia, bahkan seluruh alam akan merasai kesan yang mengundang bencana dan bahaya. Islam memandang perbuatan mencemarkan alam sehingga merosakkan habitat dan menjejaskan kehidupan makhluk, sebagai perlakuan dosa, dan pelakunya dilaknat. Amatlah tidak bertanggungjawab bagi manusia yang dikurniakan akal oleh Ilahi, memilih melakukan kerosakan.
12. Insaflah! Sedarlah! bencana yang semakin merosakkan bumi ini berpunca daripada manusia yang kufur, manusia yang melampaui batas, manusia yang melanggar perintah Ilahi, manusia yang melakukan dosa dengan mencabuli hak makhluk lain. Malah setiap insan dan setiap lapisan masyarakat wajib memenuhi tanggungjawab fardu kifayah memastikan setiap usaha pembangunan diseimbangkan dengan pemuliharaan alam sekitar.
13. Dalam dunia yang semakin rencam, ummah diingatkan bahawa mereka masih terpimpin dalam satu wadah Ilahi; mengutamakan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan ketika menjunjung amanah dan menyempurnakan tanggungjawab untuk mengurus alam dan manusia. Prinsip-prinsip kelestarian yang diperkenalkan oleh Islam, tidak lapuk dihujani, dan tidak lekang dipanasi, dan hendaklah terus dijadikan panduan untuk memastikan kelestarian alam yang lebih mampan.
14. Semoga permulaan hijrah 1447 menjadi titik tolak keinsafan untuk melakukan perubahan, menghentikan segala kebejatan (depravity) yang memusnahkan alam. Bumi ini milik Allah Subhanahu Wata’ala, manusia yang diciptakan Ilahi sebagai khalifah di muka bumi ini, wajib menghayati semangat pembawa ‘rahmat’ dengan amanah dan hikmah seperti yang diperlihatkan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam memimpin manusia dan mengurus tadbir alam semesta. Hargai dan syukurilah nikmat anugerah Ilahi dengan tidak menderhaka kepada perintah Ilahi, dan berhenti melakukan kezaliman terhadap kehidupan alam sejagat, agar kehidupan kita terhindar daripada malapetaka bencana alam, dan manusia dapat hidup dalam kesejahteraan, dipayungi rahmat dan kasih sayang Ilahi.
15. Semoga tema ‘HIJRAH DAN KELESTARIAN: MENYATUKAN UMMAH MEMULIHARA BUMI’ dapat meningkatkan kesedaran ummah terhadap kelestarian alam. Semoga tema tersebut berjaya mengungkap mesej berkesan, menggerakkan penghijrahan ummah untuk melestarikan bumi dan memulihara alam. Semoga ummah yang disedarkan dan ummah yang bersedia melakukan penghijrahan sikap, akan mentafsirkan usaha melestarikan alam dan memulihara bumi sebagai suatu amanah dan kewajipan ibadah yang ditaklifkan oleh Ilahi.