TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
IBNI
ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
AL-MAGHFUR-LAH
MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1447 HIJRAH
PERINGKAT NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
TARIKH: 11 RABIULAWAL 1447H / 4 SEPTEMBER 2025 (KHAMIS);
JAM: 9.00 MALAM
TEMPAT: CASUARINA CONVENTION CENTRE,
HOTEL CASUARINA@MERU, BANDAR MERU RAYA, IPOH.
“UKHUWWAH ISLAMIAH ASAS PENYATUAN UMMAH”
“UKHUWAH ISLAMIAH ASAS PENYATUAN UMMAH”, tema yang dipilih bagi Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Perak bagi tahun 1447 hijriah, bertujuan mengangkat kembali sejarah kegemilangan tamadun ummah berteraskan ukhuwah dan penyatuan. Konsep ukhuwah dan persaudaraan yang diperkenalkan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam menjadi kerangka utama kepada pembentukan negara Islam Madinah pada tahun 662 Masihi.
2. Peristiwa mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar merupakan suatu catatan teragung dalam lipatan sejarah Islam. Detik terindah di rumah Anas bin Malik Radiallahuanhu yang menyaksikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mempersaudarakan mereka, telah berjaya melunturkan semangat asabiah yang diwarisi sejak era jahiliyah. Persaudaraan yang dijiwai keimanan dan ketakwaan dapat merapatkan jurang perbezaan serta memperkayakan nilai muafakat demi kepentingan seluruh masyarakat merentasi agama dan bangsa.
3. Model komuniti yang dipacu oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menjelaskan definisi ukhuwah dan penyatuan ummah berteraskan ajaran Islam. Peribadi yang dimiliki oleh kaum Muhajirin dan Ansar adalah manifestasi sifat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang diterjemahkan berdasarkan firman Allah Subhanahu Wata’ala[1] yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri iaitu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”
4. Prinsip yang terkandung dalam ajaran Islam menekankan hubungan baik antara manusia dan Allah serta hubungan baik sesama manusia. Islam mengajar kasih sayang, kebenaran, keadilan, toleransi, saling menghormati dan kerjasama walaupun berada dalam masyarakat berbilang kaum dan berlainan agama.
5. Ukhuwah Islamiah merujuk kepada persaudaraan yang berteraskan keimanan dan ketakwaan. Ikatan akidah ini bukan sekadar hubungan sosial, tetapi merupakan satu ikatan rohani yang utuh berpaksikan kasih sayang kerana Allah. Iman dan takwa akan menerbitkan nilai-nilai suci yang mempertautkan hubungan sesama insan. Tanpa iman – tanpa takwa, manusia mudah dikuasai nafsu dan sifat hasad yang boleh mencetuskan bibit permusuhan dan kebencian. Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam telah meninggalkan pesanan yang penting melalui hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, bermaksud:
“Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan janganlah sebahagian kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak patut menzalimi, membiarkan saudaranya dalam kehinaan, membohongi dan merendahkannya. Takwa itu di sini; Baginda menunjukkan dadanya tiga kali. Cukuplah seseorang dikatakan buruk jika sampai menghina saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim atas Muslim yang lain; haram darahnya, hartanya dan kehormatannya”[2]
6. Islam adalah agama yang bersifat inklusif; agama yang dapat menyatukan umatnya dengan ukhuwah dan persaudaraan, bebas daripada sekatan darjat, kekayaan, warna kulit dan keturunan. Islam sesekali tidak meletakkan hak eksklusif kepada mana-mana golongan, tidak membenarkan sama sekali segala bentuk asabiah dan fanatik terhadap mana-mana kaum. Islam adalah agama perdamaian dan keharmonian, mengajak umatnya mencintai dan berkasih sayang agar sama-sama memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam telah menggambarkan persaudaraan antara sesama umat Islam ibarat satu jasad, jika salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota lain turut menanggung kesakitan yang sama[3].
7. Keimanan dan ketakwaan menjadi pengikat yang dapat menyatukan hati dalam membentuk kesatuan ummah. Allah Subhanahu Wata’ala menegaskan bahawa setiap orang yang beriman adalah bersaudara. Sifat-sifat yang terlahir daripada persaudaraan akan membuatkan seseorang yang beriman sentiasa mengikat hubungan yang baik bersama saudaranya yang lain seperti memenuhi undangan saudaranya, menghormati tetamu, berkata yang baik, atau berdiam bagi menjaga diri daripada mengeluarkan kata-kata buruk, sehinggalah mengiringi saat terakhir jenazah saudaranya ke pemakaman.
8. Namun, inilah cabaran yang sedang dihadapi oleh ummah masa kini mendepani penyatuan dengan semangat ukhuwah yang muhibah. Perbezaan dan perbalahan untuk memenangkan hujah masing-masing yang sedang berlaku antara kabilah politik, mazhab dan bangsa telah mencetuskan polemik dalam kalangan ummah. Ummah seolah-olah melupakan wasiat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam agar meninggalkan perbuatan-perbuatan yang tercela seperti mengejek, memberi gelaran jelik, bersangka buruk, mengumpat, memfitnah, dan menjatuhkan hukum tanpa diselidiki.
9. Penyebaran fitnah dan kebencian semakin menular, terutama dalam media sosial, merancakkan perpecahan yang lebih getir. Saban hari ummah disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, mempersendakan dan membadutkan orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulannya, menjelmakan budaya baharu yang sangat bercanggah dengan adab seorang Muslim dan berlawanan dengan adat Melayu. Hati yang tidak dijaga dengan ketakwaan, menjadikan anggota mulut yang berkata-kata dan tangan yang menyentuh papan kekunci gajet, bebas melakukan apa sahaja. Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang bermaksud:
“Musnahlah golongan yang melampau”.[4]
10. Tindak tanduk yang melampaui batasan ini diertikan apa sahaja perkataan dan perbuatan yang berlebihan dan keterlaluan. Sikap melampau boleh membawa kepada perpecahan apabila golongan yang miskin adab dan kedana adat, mengetepikan nas-nas agama dan kehalusan budaya warisan bangsa. Akibatnya, berlakulah kerosakan, nilai-nilai murni agama diberikan tafsiran songsang, adat dipinggirkan, menyebabkan fahaman dan pegangan ummah, terutama dalam kalangan generasi muda terpesong dan songsang.
11. Perjanjian dan rundingan adalah cara diplomasi yang dilakukan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam untuk mewujudkan kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Berdasarkan catatan sirah, keharmonian dan perdamaian dibangunkan melalui beberapa perjanjian dan rundingan yang berlaku sebelum dan sesudah kerasulan Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam. Dalam konteks hukum Islam, perjanjian merupakan komitmen yang harus ditegakkan dalam norma-norma syariah dan bukan sekadar kesepakatan lisan yang tertulis di atas kertas. Perjanjian Aqabah, Piagam Madinah dan Perjanjian Hudaibiyah dan selainnya adalah antara kaedah Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam membentuk kesepakatan dan perpaduan dengan rasa persaudaraan dan tanggungjawab yang jitu demi menegakkan agama dan mempertahankan negara.
12. Penyatuan ummah yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam merupakan salah satu langkah strategik yang membawa kepesatan dan kemakmuran negara Madinah. Kesepakatan kaum yang berbilang dengan pegangan yang berbeza berjaya dihubungkan mengikut aturan-aturan yang diikat melalui konsensus; mentaati perintah Allah Subhanahu Wata’ala agar tolong menolong dalam kebaikan, tetapi tidak menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Piagam Madinah telah mendorong semangat cinta tanah air serta menyuburkan sikap toleransi keagamaan dan kemanusiaan yang merupakan kunci kesatuan umat. Semua kaum dan kelompok perlu sepakat dan bekerjasama bertanggungjawab mempertahankan kota Madinah sekiranya berlaku serangan daripada pihak luar.
13. Pada 31 Ogos yang lalu, negara dan warga menyambut hari ulang tahun kemerdekaan kali ke-68. Kemerdekaan Tanah Air diperoleh secara rundingan – secara diplomasi melalui kebijaksanaan dan sifat pragmatisme Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman (Al-marhum), seorang negarawan yang sangat menghargai semangat perundingan dan membina kerjasama antara kaum. Tunku Abdul Rahman melakukan rundingan dengan berlapang dada dan bersangka baik untuk membangunkan sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang warganya terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa; kesemuanya diberikan tempat dan jaminan perlindungan yang saksama sebagai warga dalam sebuah negara merdeka. Tidak ada yang terpinggir – tidak ada penyisihan dilakukan. Secara bijaksana Yang Teramat Mulia Tunku mengayam indah tradisi dalam modenisasi. Institusi Raja didaulatkan sebagai raja berperlembagaan dalam pemerintahan moden berteraskan demokrasi berparlimen.
14. Generasi muda hari ini, perlu diperingatkan tentang kisah pahit penjajahan dan jerih perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan ialah kenangan yang amat hiba. Bumi kita dijajah selama 446 tahun. Peristiwa pahit penjajahan bermula dengan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511; disusuli dengan penaklukan Belanda pada tahun 1641, diserahkan kepada British pada tahun 1824, yang memulakan penguasaan secara berperingkat, menjadi semakin ketara memulakan campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu selepas Perjanjian Pangkor pada tahun 1874. Bumi ini kemudiannya berada di bawah penjajahan Jepun selama tiga tahun lapan bulan, bermula dengan pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu, pada 8 Disember 1941, berakhir pada akhir tahun 1945; dan kembali kepada pemerintahan Inggeris sehingga pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Jarak yang terpisah antara tarikh negara mencapai kemerdekaan dengan tarikh kelahiran generasi muda, menjauhkan generasi muda daripada memahami perit dan penderitaan penjajahan, erti kemerdekaan dan semangat kemerdekaan untuk membentuk kesepaduan umat yang berbilang kaum dan berlainan agama. Perjanjian yang pernah dipersetujui, jangan dibiarkan dipersoalkan sewenang-wenangnya, disebabkan semakin terhakis sikap saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain, serta dipengaruhi oleh api perselisihan yang semakin dinyalakan melalui retorik politik yang memilih untuk mengeksploitasi isu kaum dan agama.
15. Usaha perlu dipergiatkan untuk mengembalikan manhaj pembinaan negara bangsa berpandukan kebijaksanaan dan semangat yang diasaskan oleh Baginda Rasul Sallallahu Alaihi Wassalam. Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, dan menguasai pelbagai bahasa. Sikap bersederhana dan amalan bertoleransi dapat memberi peluang dan ruang kepada semua golongan untuk saling memahami dan saling menghormati antara satu sama lain; di samping mengenali batas sempadan tidak mengusik perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
16. Salah satu nikmat kurniaan Ilahi adalah menjadikan umat manusia berbagai bangsa agar saling berkenal dan beramah mesra. Kepelbagaian ini mengajak seluruh umat berusaha memahami adat dan tradisi kaum lain dengan sifat penuh hormat dan menghargai antara satu sama lain, terbit daripada nilai takwa dalam jiwa seorang Mukmin.
17. Serumpun bak serai, sesusun bak sirih, ungkapan indah peribahasa Melayu yang bertepatan prinsip agama; melarang sebarang bentuk perpecahan umat terhadap urusan duniawi mahupun ukhrawi. Islam mendidik umatnya untuk menjadi pendamai kepada pihak yang bertelagah. Allah Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk bahawa ketakwaan kepada Allah akan membersihkan jiwa daripada sifat-sifat tercela. Mereka yang bertakwa akan memperoleh rahmat Ilahi. Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara dan berusahalah untuk mendamaikan mereka yang bersengketa.
18. Bersyukurlah dengan nikmat keamanan kurniaan Ilahi kepada warga di bumi ini. Ukhuwah Islamiah bukan sekadar slogan, tetapi ukhuwah merupakan tanggungjawab bersama segenap ummah, demi memelihara perpaduan dan keharmonian. Tanpa ikatan ukhuwah, Islam akan hilang kekuatan dan mudah dicerobohi oleh anasir-anasir luar yang bertujuan meruntuh dan memecahbelahkan ummah. Kembalilah kepada semangat ukhuwah dan persaudaraan yang sebenar sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dan para sahabat Baginda.
19. Ya Allah, satukanlah hati-hati kami, perbaikilah hubungan antara kami, selamatkanlah kami daripada kegelapan jahiliyah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus, kurniai kami taufik dan hidayah-Mu dan sinarilah jiwa kami dengan cahaya iman dan takwa. Jadikanlah kami umat yang bersatu, saling menyayangi, menghormati dan bekerjasama dalam kebaikan. Jauhkanlah kami daripada perpecahan, permusuhan dan kebencian. Tautkan hati-hati kami dengan iman dan kasih sayang kerana-mu Ya Allah.