TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
MESYUARAT DEWAN NEGARA PERAK KE-174
TARIKH: 23 SAFAR 1447 / 17 OGOS 2025 (AHAD)
JAM: 3.30 PETANG
TEMPAT: ISTANA ISKANDARIAH, KUALA KANGSAR.
Alhamdulillah, dilafazkan kalimah kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmat Nya jua, memungkinkan Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-174 dapat dilangsungkan pada petang ini.
2. Dewan Negara telah kehilangan empat orang ahli, sejak mesyuarat ke-173 yang berlangsung pada 16 Mac 2024. Penyandang gelaran Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Abdul Rahman bin Haji Zainuddin, atas faktor kesihatan, telah mengutus warkah, mohon perkenan berundur diri, menyerahkan kembali gelaran yang disandang berkuat kuasa 30hb. September 2024. Beta amat menghargai perasaan bertanggungjawab beliau bertindak demikian, juga terhadap khidmat setia beliau kepada takhta negeri sepanjang tempoh 38 tahun 9 bulan menyandang gelaran, bermula dengan gelaran Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja pada 1hb. Januari 1985 sehingga 31hb. Januari 2003, disusuli dengan gelaran Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja pada 1hb. Februari 2003. Sama-sama kita doakan semoga Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Abdul Rahman, senantiasa diberikan rahmat ihsan Ilahi, menghadapi usia tua beliau dalam keadaan tenang, tenteram dan sejahtera, serta diringankan tanggungan dan dipermudahkan segala perkara.
3. Tiga orang ahli Dewan Negara telah kembali ke Rahmatullah dalam tempoh yang sama. Penyandang gelaran Orang Kaya Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Ahmad Ruslan bin Mohd. Ridzuan kembali ke Rahmatullah pada 4hb. Ogos 2024, penyandang gelaran Toh Paduka Raja, Yang Dihormati Dato’ Kapten (B) Mohd. Daud bin Samsuddin kembali ke Rahmatullah pada 21hb. Jun 2025, dan penyandang gelaran Orang Kaya Kaya Syahbandar Paduka Indera, Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Raziff bin Dato’ Seri Mohammed Zulkifli kembali ke Rahmatullah pada 28hb. Julai 2025. Di samping itu penyandang gelaran Toh Bahtera DiRaja, Yang Dihormati Abdul Rahman bin Dato’ Seri Haji Zaharin kembali ke Rahmatullah pada 21hb. Mei 2024, dan penyandang gelaran Toh Kamar Lela, Yang Dihormati Mohd. Shukeri bin Haji Mohd. Radzi kembali ke Rahmatullah pada 5hb. April 2025.
4. Sesungguhnya setiap yang bermula akan berakhir. Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”[1]
Dari Allah kita datang kepada ALLAH kita dikembalikan. Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-174 yang bersidang pada hari ini merakamkan ucap takziah kepada keluarga setiap seorang Allahyarham. Semoga ahli-ahli keluarga setiap seorang Allahyarham, diberikan ketabahan menerima penentuan dan ujian ILAHI, kehilangan anggota keluarga yang dikasihi, dan semoga mereka terus dilimpahi rahmat dan petunjuk Ilahi.
5. Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti setiap seorang daripada mereka yang telah memenuhi peranan dengan taat dan setia semasa menyandang gelaran dan sewaktu melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Semoga segala khidmat bakti mereka diterima sebagai amal makruf yang dikurniakan ganjaran dunia – ganjaran akhirat.
6. Sama-sama kita bacakan surah Al-Fatihah memohon rahmat Ilahi untuk disampaikan apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut kepada roh-roh Dato’ Dr. Ahmad Ruslan bin Mohd. Ridzuan, Dato’ Ahmad Raziff bin Dato’ Seri Mohammed Zulkifli, Dato’ Mohd. Daud bin Samsuddin, Abdul Rahman bin Dato’ Seri Haji Zaharin dan Mohd. Shukeri bin Haji Mohd. Radzi; semoga roh mereka dilimpahi rahmat ihsan Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para solihin. Al-Fatihah.
7. Beta mengalu-alukan kehadiran buat pertama kali Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja yang baharu, Dato’ Dr. Syed Jaafar bin Syed Aznan, Yang Berbahagia Orang Kaya Kaya Maharaja Lela Tanjana Putra, Dato’ Abdul Rahman bin Dato’ Mohamed Hashim dan Yang Berbahagia Dato’ Jeffri Salim Davidson dalam mesyuarat Dewan Negara. Semoga keluasan pengalaman dan kekayaan pengetahuan setiap seorang daripada mereka akan menjadi aset berharga membantu Dewan Negara memenuhi peranan penting menyembahkan nasihat-nasihat berharga kepada Raja Pemerintah, di samping berperanan sebagai jambatan menjalinkan hubungan erat dan persefahaman yang baik antara institusi raja dengan rakyat jelata.
8. Dewan Negara turut berbangga dengan pelantikan Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja, Tun Ramli bin Ngah Talib sebagai Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 1hb. Mei 2025. Dewan Negara Perak yang bersidang pada hari ini, menyembahkan ucapan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Baginda melantik seorang putera kelahiran di negeri Perak. Dewan Negara Perak merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berbahagia Tun Ramli bin Ngah Talib dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Raja Noora Ashikin. Didoakan semoga Tun dan Toh Puan diberikan petunjuk dan lindungan Ilahi ketika menyempurnakan amanah yang telah dikurniakan. Beta telah memperkenankan permohonan Tun Ramli bin Ngah Talib untuk diizinkan bercuti daripada tugas-tugas Orang Besar Delapan dan tugas-tugas ahli Dewan Negara Perak selama tempoh beliau menyandang gelaran dan tugas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
9. Ahli Dewan Negara, begitu juga penyandang gelaran Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua, lebih-lebih lagi mereka yang diamanahkan tanggungjawab sebagai Orang Besar Jajahan, dikurniakan amanah dan kepercayaan oleh Raja Pemerintah untuk memenuhi tugas dan tanggungjawab memulihara kemuliaan takhta serta darjat dan daulat Raja Pemerintah. Sikap dan tingkah laku setiap seorang, akan mencerminkan imej takhta pemerintahan. Pada masa yang sama silap dan salah laku ahli-ahli Dewan Negara dan Orang Besar – Orang Besar Negeri akan menjejaskan dan memberi kesan negatif kepada takhta dan Raja Pemerintah. Oleh itu sewajibnya, pada setiap masa ahli Dewan Negara dan Orang Besar, memulihara nama baik takhta dan Raja Pemerintah demi menjamin institusi kesultanan kekal dan terus dihormati, serta dipandang mulia oleh para pentadbir dan rakyat jelata.
10. Telah sampai ke pendengaran Beta, terdapat dalam kalangan ahli Dewan Negara, Orang Besar Negeri dan Orang Besar Jajahan yang menggunakan kedudukan dan gelaran membenarkan diri menjadi perantaraan, berperanan sebagai orang tengah antara golongan peniaga dengan pentadbiran negeri, jabatan dan agensi kerajaan. Berlaku keadaan kepala surat rasmi digunakan dengan ditanda tangani oleh penyandang gelaran, diutus kepada jabatan serta agensi kerajaan, memberikan sokongan bagi pihak para peniaga untuk mendapatkan kemudahan, kelulusan, termasuk tanah dan kawasan. Telah sampai jua ke pendengaran Beta ada antara ahli Dewan Negara begitu juga Orang Besar yang menghubungi jabatan dan agensi kerajaan untuk meminta layanan istimewa diberikan kepada peniaga-peniaga yang berdampingan dengan mereka.
11. Nama baik institusi kesultanan tidak boleh dibenarkan untuk dicemarkan. Gelaran dan jawatan yang berkait dengan takhta dan istana tidak boleh disalah gunakan untuk tujuan-tujuan perniagaan, apatah lagi sebagai perantara atau broker kepada ahli-ahli perniagaan. Beta memberikan peringatan bahawa perbuatan sedemikian wajib serta-merta dihentikan.
12. Semoga Mesyuarat Dewan Negara kali ke-174 mendapat petunjuk dan hidayat Ilahi mencapai penemuan dan merumuskan keputusan yang bermanfaat. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan kita dengan rahmat dan pelindungan serta petunjuk dan hidayah menemui jalan yang mendapat keredaan Nya juga. Amin Ya Rabbulalamin.
- Al-Quran, Al-Anbiyaa (21:35) ↑