MESYUARAT MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL ISLAM MALAYSIA KE-73

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

PENGERUSI MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA

MESYUARAT MAJLIS KEBANGSAAN

BAGI HAL EHWAL ISLAM MALAYSIA KE-73

TARIKH: 5 MUHARAM 1447 / 1 JULAI 2025 (SELASA)

JAM: 10.00 PAGI

TEMPAT: PALM GARDEN HOTEL PUTRAJAYA.

‘MENGHORMATI PERBEZAAN – MENGABUNGKAN KEKUATAN’

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, para tabiin dan para ulama; semoga beroleh ihsan sehingga hari kebangkitan.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan ahli-ahli Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia ke-73 berlangsung dalam suasana kita menyambut tahun baharu Hijrah 1447. Oleh itu amatlah baik untuk kita mengimbas dan mengambil iktibar daripada peristiwa bersejarah tersebut untuk dijadikan pedoman ketika memenuhi pelbagai tanggungjawab fardu kifayah yang diamanahkan kepada kita.

2. Penghijrahan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dari Mekah ke Madinah merupakan peristiwa amat bersejarah, peristiwa yang mencetuskan penubuhan sebuah negara Islam. Apakah senario di bumi Madinah ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam merintis, memperkenalkan dan membentuk sebuah negara Islam di Madinah?

Pertama: Madinah mempunyai sekitar sepuluh ribu orang penduduk; bilangan umat Islam – gabungan kaum Ansar Madinah berserta Muhajirin Mekah hanya sekitar ratusan orang; hampir lima puluh peratus penduduk Madinah terdiri daripada keturunan Yahudi yang terpecah kepada sepuluh puak; sementara penduduk keturunan Arab terbahagi kepada dua belas kabilah.[1]

Kedua: Kedudukan penduduk Arab Madinah tidak segagah Arab Quraisy Mekah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan, serta mempunyai struktur sosial dan struktur politik yang tersusun.

Ketiga: Negara Islam pertama di Madinah dibangunkan atas dukungan rakyat pelbagai kaum, puak, kabilah serta pegangan agama yang berlainan.

Keempat: Walaupun umat Islam merupakan kumpulan minoriti, mereka mendapat pengiktirafan untuk memerintah; diperoleh melalui kebijaksanaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam merangkai kerjasama serta menyatukan penduduk pelbagai kaum, puak, kabilah dan pegangan agama.

Kelima: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam berjaya memupuk hubungan harmoni, mempamerkan sifat toleransi dan menyemaikan sifat saling menghormati, di samping merangkai hubungan kerja yang produktif, serta merangka strategi tanggungjawab pertahanan menghadapi musuh.

3. Paling utama dijadikan pedoman, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah memperkenalkan suatu dimensi baharu ketika diamanahkan tanggungjawab memimpin negara kota Madinah. Prinsip kedaulatan undang dijadikan asas pemerintahan, menggantikan pemerintahan berasaskan individu, dengan tergubalnya Perlembagaan Madinah. Perlembagaan Madinah ialah perlembagaan bertulis pertama di dunia; berperanan sebagai undang-undang yang dijadikan sumber rujukan pemerintahan; mengandungi 52 perkara, berteraskan prinsip, ‘satu pemerintahan – satu perundangan’, menempatkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bertanggungjawab sebagai kuasa tertinggi pemerintahan, namun pada setiap ketika insaf meletakkan diri Baginda bertaraf hamba dan pesuruh Allah, berpegang teguh pada prinsip ketauhidan Ilahi; bahawa hanya Allah Yang Maha Kaya dan Maha Berkuasa.

4. Para ilmuwan merumuskan Perlembagaan Madinah terbahagi kepada dua komponen. Komponen pertama mengenai hubungan antara umat Islam sesama Islam yang berjaya dicapai dalam tahun pertama hijrah, terkandung dari Perkara 1 sehingga Perkara 23. Komponen kedua menyusul selepas kejayaan tentera Islam dalam Perang Badar, menyentuh prinsip hubungan umat Islam dengan kaum Yahudi. Perang Badar disifatkan sebagai faktor yang telah melakarkan imej baharu yang mencerminkan kekuatan umat Islam, lantas meletakkan umat Islam berada dalam status yang digeruni lalu dihormati. Senario tersebut berperanan mendorong kaum Yahudi bersedia menandatangani perjanjian kerjasama, menjalin perikatan dan persetujuan perlindungan dengan umat Islam.

5. Bagi sebuah negara kota dengan penduduk berjumlah hanya sepuluh ribu orang, dan secara relatif tidak berhadapan isu yang terlalu kompleks pada era tersebut, Perlembagaan Madinah mempamerkan perlembagaan yang sangat terperinci lagi komprehensif. Tergubal dalam Perlembagaan tersebut komponen-komponen kesetiaan, kerjasama, toleransi, hormat-menghormati, serta jaminan keadilan dan perlindungan saksama kepada setiap penduduk meskipun berlainan agama, kaum, puak dan kabilah.

6. Dua bulan lagi, negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68. Pada 31 Ogos 1957, rakyat di bumi ini turut mengalami suatu peristiwa penghijrahan; berhijrah daripada kehidupan yang tertakluk kepada dasar pemerintahan kerajaan Ratu Inggeris, kepada sebuah negara merdeka di bawah payung pemerintahan seorang ketua negara yang berdaulat, menaungi tadbir urus di bawah pimpinan ketua kerajaan pilihan rakyat. Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka disusuli dengan penubuhan Malaysia memilih sistem kerajaan berpaksikan doktrin raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen, berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang yang berindukkan Perlembagaan Negara, dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah boleh dijadikan kajian perbandingan menarik dengan senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pertama: Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada cantuman lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan empat Negeri Melayu Bersekutu di bawah pemerintahan sembilan orang Raja Melayu yang berdaulat, serta dua Negeri Selat di bawah kuasa Gabenor Jeneral. Demi pembentukan sebuah negara bangsa yang merdeka, sembilan orang Raja Melayu berkenan menyerahkan kuasa negeri masing-masing kepada sebuah kerajaan pusat di peringkat persekutuan.

Kedua: Tercapai persefahaman antara penduduk pelbagai negeri, pegangan agama, dan kaum untuk bekerjasama dan bersatu, berwawasan membina dan membangunkan sebuah negara merdeka.

Ketiga: Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada rakyat yang menganut pelbagai agama, serta berlatar belakang pelbagai kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Keempat: Tahap pencapaian ekonomi dan tahap penguasaan literasi yang berbeza dalam kalangan penduduk. Orang Melayu, meskipun penduduk majoriti, paling tertinggal daripada segi literasi, pencapaian pendidikan, bilangan profesional dan penguasaan ekonomi. Namun begitu, orang Melayu mendapat sokongan dan kepercayaan untuk memimpin perjuangan kemerdekaan, selanjutnya memimpin Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Kelima: Pimpinan Melayu Islam memperlihatkan dan mengamalkan keadilan dengan memberi hak dan perlindungan kepada bukan Islam dan bukan Melayu daripada segi kebebasan beragama, budaya dan bahasa, berkonsepkan semangat ‘satu negara – satu pemerintahan’, tertakluk setiap penduduk membuktikan kesetiaan dalam semangat ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.

7. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menjadi antara perlembagaan bertulis yang disifatkan sangat komprehensif. Tun Mohamed Suffian Hashim (Allahyarham), Ketua Hakim Negara, dalam tulisannya mencatatkan:

For such a small country Malaysia has a fearfully long and elaborate constitution and the visitor from Mars may be forgiven for thinking that our constitution must have been devised by a mad professor of law[2]

8. Terdapat beberapa keselarian antara senario dan semangat di sebalik penubuhan negara kota Madinah dan penggubalan Perlembagaan Madinah dengan senario dan semangat di sebalik penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Rakyat Tanah Melayu, disusuli kemudiannya rakyat Sabah dan Sarawak, ketika mencapai kata persetujuan penubuhan Malaysia, turut dirahmati Ilahi dengan barisan pemimpin yang ikhlas dan berwawasan jauh. Dalam hati dan jiwa Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) dan rakan pimpinan seangkatan, Allah telah memancarkan cahaya keikhlasan kepimpinan, sehingga segala kelemahan bangsa Melayu pada ketika itu, tidak menghalang pemimpin Melayu Islam diberi kepercayaan dan diangkat untuk memimpin negara.

9. Apakah DNA kekuatan yang ada pada pemimpin Melayu Islam pada era pramerdeka dan pascamerdeka; begitu juga pada era pra dan pasca penubuhan Malaysia? Jawapannya terletak pada kepercayaan rakyat terhadap sifat jujur, pengorbanan ikhlas, dan kesungguhan perjuangan barisan pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat; barisan pemimpin yang menghayati denyut nadi dan denyut jantung rakyat; barisan pemimpin yang tertitis air matanya apabila melihat kesusahan dan kedaifan rakyat; barisan pemimpin yang mengotakan apa yang dikata; serta barisan pemimpin yang berintegriti, amanah, tidak menyalah guna kuasa dan bebas rasuah.

10. Apakah mentera kekuatan yang ada pada orang Melayu Islam pada era pramerdeka dan pascamerdeka, begitu juga pada era pra dan pasca penubuhan Malaysia? Dalam kedua-dua era tersebut, orang Melayu kekal bersatu dalam perkara prinsip yang menyentuh martabat dan maruah bangsa, dan umat Islam bersatu teguh mempertahankan perkara pokok yang menyentuh kesucian Islam. Di samping itu, orang Melayu pada ketika itu turut bersedia untuk menerima kepelbagaian serta menghormati perbezaan. Orang Melayu dan umat Islam pada ketika itu berjiwa besar, terbuka sifatnya, luas pandangannya, lebih yakin kepada dirinya lalu mencerminkan sifat kesederhanaan, menolak budaya ekstrem, dan tidak mudah melatah mensensasikan perkara remeh. Orang Melayu pada ketika itu, meskipun berlainan pandangan dan kabilah politik memilih untuk tidak berpatah arang – berkerat rotan, di sebaliknya memilih untuk berdiskusi dan berdialog secara rasional lagi bertamadun selaras dengan sifat ilmuwan dan ajaran agama yang menyeru ummah menemui kebenaran dalam semangat nasihat menasihati.

11. Ketika kita melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah, dan menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke-68, ada baiknya untuk ummah melakukan muhasabah diri supaya tidak berakhir dengan keadaan yang dikejar tidak dapat – yang dikendong berciciran. Umat Islam dan orang Melayu pada hari ini janganlah tersalah sukat, janganlah tersilap bacaan, merasakan diri terlalu hebat – tersangat gagah. Umat Islam dan orang Melayu muncul sebagai tenaga pimpinan yang kuat di bumi ini pada era pra dan pascamerdeka kerana mereka pada ketika itu menyedari kelemahan dan kekurangan ummah dan bangsanya, lalu majoriti mereka mengambil pendirian, berusaha untuk mengumpulkan dan menggabungkan setiap kekuatan yang ada sesama mereka, dalam semangat menjemput yang jauh, menghimpun yang dekat, kalau alim hendak doanya, kalau kaya hendak emasnya, kalau buta penghembus lesung, kalau pekak pembakar bedil.

12. Falsafah perpaduan yang digambarkan melalui perbilangan adat perpatih itu diadaptasi oleh orang Melayu, lalu terbina satu tenaga yang dihormati, memiliki kegagahan untuk mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa, berupaya untuk menyebarkan syiar Islam dan mengangkat martabat bangsa. Kini sumber kekuatan ummah dan bangsa kelihatan semakin diruntuhkan berpunca daripada pelbagai kemungkaran umat Islam dan orang Melayu yang pada ketika ini semakin berlumba-lumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri, saling melukis wajah siapa yang lebih hodoh, saling menepuk air di dulang untuk terpercik di muka sendiri. Jika keadaan ini berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan mencemarkan maruah bangsa. Ketika bangsa tersilap tanggapan bahawa dirinya telah begitu ke hadapan dalam era modenisasi dan globalisasi, ada baiknya diingatkan untuk mereka kembali ke pangkal jalan dan pesanan orang tua-tua, “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”. Bangsa jangan hendaknya hilang kearifan, menjadi pandir, hingga terlihat mencari bayang ketika malam, menyalakan pelita ketika rembang, berakhir dengan senario “menang sorak kampung tergadai”.

13. Ya Mu’min! Ya Muhaimin! Teguhkan langkah hijrah kami menuju kebaikan. Satukan hati umat Islam dalam iman dan takwa. Jauhi kami daripada kemurkaan Mu; Jauhi kami daripada kejahilan dan kezaliman. Limpahi rahmat Mu agar negara kami berada dalam keadaan selamat dan makmur, rakyatnya hidup dalam suasana aman dan muhibah. Lantiklah untuk urusan kami, orang-orang yang terbaik dalam kalangan kami. Jangan Engkau lantik untuk urusan kami, orang-orang yang terburuk dalam kalangan kami. Hindari negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba Mu yang amanah lagi ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

14. Ya Allah Ya Rabbulalamin, kepada Mu kami berserah, tunjukkan kami jalan yang lurus, ia itu jalan orang yang Engkau kurniai nikmat kepada mereka.

  1. Muhammad Hamidullah, 1981. The First Written Constitution in the World (3rd.ed). Lahore: SH. Muhammad Asraf, hlm 9-10.
  2. Tun Mohamed Suffian’s 2007. An Introduction To The Constitution of Malaysia (3rd edition), disunting oleh Tunku Sofiah Jewa, Salleh Buang dan Yaacob Hussain Merican. Petaling Jaya: Pacific Publications, hlm 425.
%d bloggers like this: