TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
PENGERUSI
MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA
MESYUARAT MAJLIS KEBANGSAAN
BAGI HAL EHWAL ISLAM MALAYSIA KE-74
TARIKH: 23 REJAB 1447 / 13 JANUARI 2026 (SELASA)
JAM: 10.00 PAGI
TEMPAT: HOTEL MANDARIN ORIENTAL, KUALA LUMPUR.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, para tabiin dan para ulama; semoga beroleh ihsan sehingga hari kebangkitan.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan ahli-ahli Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat Ilahi, Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-74 dapat dilangsungkan. Mesyuarat MKI kali ke-74, merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Naim bin Haji Mokhtar atas sumbangan dan khidmat sepanjang tempoh beliau menganggotai MKI, bermula 3 Disember 2022 hingga 16 Disember 2025. Semoga segala jasa bakti beliau diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai amal makruf yang dikurniakan ganjaran dunia – ganjaran akhirat.
2. Mesyuarat MKI ke-74 merakamkan ucap tahniah kepada Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan susulan pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, begitu juga kepada Yang Berhormat Senator Marhamah binti Rosli atas pelantikan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa 17 Disember 2025; dan mengalu-alukan penyertaan mereka berdua sebagai ahli dan ahli turut hadir Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.
3. Mesyuarat MKI ke-74, merupakan mesyuarat ketiga yang Beta pengerusikan dalam tempoh masa Beta diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja berperanan sebagai Pengerusi MKI, bermula 10 Mac 2024 dan akan berakhir pada 9 Mac 2026. Dalam tempoh tersebut, dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala, berbataskan tenaga dan masa, serta serba serbi kedaifan pengalaman dan kurang kearifan, sebaik yang terdaya, Beta berusaha memenuhi peranan dan tugas yang diamanahkan, dengan bantuan ahli-ahli dan kakitangan urus setia MKI, serta didukung oleh lima jawatankuasa, ia itu Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan, Jawatankuasa Muzakarah, Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan dan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan. Beta menzahirkan penghargaan kepada setiap seorang ahli MKI, kakitangan urus setia, serta pengerusi, begitu jua ahli-ahli jawatankuasa yang telah menyempurnakan amanah, melaksanakan peranan masing-masing, dan membentangkan laporan dalam mesyuarat-mesyuarat MKI.
4. Dalam tempoh dua tahun diamanahkan mempengerusikan MKI, mesyuarat-mesyuarat MKI telah membincang dan menimbang pelbagai perkara untuk mencapai persefahaman dan persepakatan. Majlis Raja-Raja telah dipersembahkan perkara-perkara yang dirumuskan. Yang lebih penting selepas ini ialah tindakan susulan atas segala saranan dan rumusan supaya saranan dan rumusan tidak tinggal sebagai dokumen bertulis yang menghadapi nasib tenggelam dalam timbunan kertas. Pihak kerajaan di peringkat persekutuan begitu juga di peringkat negeri, demikian juga agensi-agensi yang bertanggungjawab hendaklah memberi perhatian, menghormati perkara yang telah dirumuskan oleh MKI demi memberikan nilai bermakna kepada peranan MKI; agar MKI tidak dianggap sekadar forum untuk berbincang dan berhujah sedangkan perakuan-perakuan yang dirumuskan, ditinggalkan tergantung sebagai rumusan tanpa sebarang tindakan susulan yang bersungguh.
5. Ketetapan yang dicapai dan rumusan yang diperakukan wajib dihargai. Ketetapan dan rumusan, apabila disusul dan dilaksanakan secara bersungguh, akan memberi manfaat langsung kepada rakyat, di samping memberi imej baik kepada kerajaan dan lebih daripada itu meningkatkan penghormatan, pemahaman, penghayatan dan apresiasi terhadap Islam bukan sahaja dalam kalangan umat Islam malah dalam kalangan bukan Islam.
6. Dunia menilai Islam melalui perlakuan penganutnya. Usaha memberi penerangan mengenai Islam tidak akan lengkap jika tidak dicerminkan dengan sifat, sikap, amalan dan kejayaan umat Islam yang boleh dijadikan contoh teladan yang baik. Institusi Islam tidak terkecuali menerima tempias persepsi negatif jika berlaku kelemahan pengurusan, mahupun ketiadaan integriti oleh insan-insan yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab menguruskan pelbagai institusi Islam. Institusi Islam yang membuktikan kecemerlangan dan berintegriti, bukan hanya membantu ummah untuk lebih maju, malah dapat memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam, di samping berupaya mengembangkan syiar Islam dan membina imej dan persepsi positif terhadap Islam. Oleh itu mereka yang terpilih, diamanahkan untuk memimpin dan mengurus institusi Islam hendaklah memiliki integriti yang tidak boleh diragukan, di samping berfikiran proaktif, mencetuskan idea yang inovatif dan memperkenalkan gerak kerja yang dinamik, berani berhijrah menyeberangi sempadan baharu dan menerokai wilayah baharu.
7. Hari ini diperhatikan terdapat dalam kalangan umat Islam yang bagaikan telah kehilangan kompas kehidupan; sedang lemas dilambung gelombang kebendaan; ada yang gilakan jawatan, ada yang mabukkan kuasa. Kekayaan material bagaikan akidah baharu yang menjadi pegangan sebahagian umat Islam; mereka berlumba dan mereka bersaing secara tidak sihat, melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan etika, lupus sifat keinsanan, menjelmakan sifat kehaiwanan, lalu yang lemah menjadi bahan makanan yang kuat. Integriti dikorbankan dalam perlumbaan mengejar kekayaan kebendaan. Manusia bertambah gelojoh untuk mendapatkan jawatan dan kuasa. Budaya sogokan diguna untuk mendapat sokongan; budaya fitnah diguna untuk menjatuhkan lawan. Manusia bagaikan kembali ke era jahiliah, taksub dan dipesongkan untuk mengabdikan diri kepada kuasa yang lain daripada kuasa Ilahi; lebih takut kepada manusia lain dan melupakan ketauhidan Ilahi.
8. Jawatan dan kuasa yang disandang pada hari ini, merupakan ujian terhadap tingkat keimanan dan ketakwaan seseorang insan apabila dianugerahi dengan jawatan dan kuasa. Jawatan dan kuasa jika tidak dikembari dengan iman dan takwa, boleh menjejaskan ketauhidan seseorang insan, menggelincirkan pegangan seorang hamba terhadap Penciptanya, teralih daripada mematuhi perintah-perintah Allah kepada mematuhi arahan-arahan manusia. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat 51 dan 52, surah An-Nahl bermaksud:
“Janganlah kamu menyembah dua tuhan; sesungguhnya Dia lah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kepada Ku sahaja kamu takut”
“Dan kepunyaan Nya segala yang ada di langit dan di bumi, dan ketaatan kepada Nya itu adalah selama-lamanya. Maka mengapa kamu takut selain Allah”
9. Sewajibnya manusia menjadikan kompas panduan dua ayat tersebut ketika mengharungi lautan kehidupan. Insaflah! jawatan dan kuasa merupakan anugerah dan ujian daripada Ilahi. Jika tanggungjawab ini dapat disempurnakan secara amanah, jujur, ikhlas dan adil, akan berjayalah seseorang hamba ketika menghadapi ujian Ilahi, di sebaliknya kegagalan memenuhinya akan menjadi satu tanggungan berat untuk diberikan justifikasi baik di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
10. Islam ialah agama yang membawa kebenaran dan mengutamakan kebenaran. Kebenaran wajib ditegakkan tanpa sebarang keraguan kerana menegakkan kebenaran ialah sebahagian daripada usaha untuk menemui jalan yang diredai Ilahi. Seseorang insan yang kukuh pendirian tauhidnya, tidak akan gentar menyuarakan kebenaran dan menegakkan kebenaran. Seseorang insan yang kukuh imannya tidak gentar akan kehilangan jawatan dan tidak bimbang akan kehilangan kuasa untuk mempertahankan kebenaran kerana teguh berpegang dan yakin akan kuasa Ilahi mengatasi segala kuasa lain; bahawa jawatan dan kuasa, rezeki dan nikmat, kesemuanya datang daripada Ilahi, dan manusia sekadar perantara sahaja.
11. Dalam keadaan manusia semakin terperangkap dengan budaya mengejar pencapaian lahiriah sehingga bersedia mengorbankan kebersihan jiwa, adab, akhlak dan tanggungjawab fardu ain dan fardu kifayah, sifat berani mempertahankan kebenaran wajib disemai dan dididik sejak seseorang insan dilahirkan, bermula melalui asuhan ibu bapa dalam keluarga, disuburkan dengan bimbingan guru di alam sekolah, diinspirasikan dengan contoh teladan pemimpin.
12. Islam mementingkan pendidikan yang mengutamakan pembinaan kekuatan dalaman, melahirkan murid yang seimbang dan insan yang holistik, berkembang secara menyeluruh daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani; tidak memadai dengan pencapaian markah peperiksaan yang tinggi, tanpa dilengkapi dengan arah hidup yang betul, memiliki sifat-sifat insani yang jujur dan ikhlas, berakhlak dan beradab, beriman dan bertakwa; insaf bahawa segala yang dilakukan di dunia ini akan diadili di Mahkamah Rabbuljalil pada hari kebangkitan. Oleh itu roh suci pendidikan wajib ditiupkan dan matlamat suci pendidikan perlu diutamakan.
13. Dalam usaha mahu membantu meletakkan negara berada di landasan yang betul agar menjadi sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Ilahi, بَلْدَةٌۭ طَيِّبَةٌۭ وَرَبٌّ غَفُورٌۭ , ahli-ahli MKI yang mewakili pelbagai konstituen dalam majlis syura ini, wajib mencapai kata dan usaha sepakat memberikan tumpuan terhadap agenda pendidikan ummah, mengutamakan usaha mengasuh dan membimbing ummah untuk menjadi Muslim sejati.
14. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan kita taufik dan hidayah, agar tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita dapat disempurnakan membolehkan kita menemui jalan yang diredhai.