TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
IBNI
ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
AL-MAGHFUR-LAH
SAMBUTAN BULAN INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2025
TARIKH: 14 JAMADILAWAL 1447H / 5 NOVEMBER 2025 (RABU);
JAM: 11.00 PAGI
TEMPAT: DEWAN BANQUET,
BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN, IPOH.
“INTEGRITI TERAS KESEJAHTERAAN NEGARA”
Maha Melihat, Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui Allah Subhanahu Wata’ala yang menciptakan manusia, diperlengkap dengan akal, diwahyukan petunjuk melalui al-Quran, dipamerkan contoh teladan melalui sifat Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam, agar manusia memiliki rujukan untuk menyempurnakan amanah serta memenuhi tanggungjawab secara berintegriti.
2. Perkataan integriti berasal daripada perkataan Latin interger, bermaksud sesuatu yang sempurna, memiliki kesyumulan, serta jati diri yang didukung oleh sifat kejujuran, keikhlasan, ketulusan, ketelusan dan keutuhan. Integriti juga merujuk kepada keadaan sempurna yang utuh, tindakan yang konsisten mengikut prinsip dan nilai etika yang dipegang dan diamalkan secara berterusan dalam pelbagai aspek kehidupan profesional dan peribadi. Integriti menegaskan untuk melakukan sesuatu secara betul melalui kaedah yang boleh dipercayai (doing the right thing in a reliable way).
3. Ibn Taimiyah, dalam karya Al-Siyasah al-Shar’iyyah fi Islah al-Rai wa al-Rai wa al-Ra’iyyah menyatakan;
“Keadilan dan amanah adalah sendi yang menegakkan pemerintahan dan kehidupan; apabila dua perkara ini hilang, nescaya runtuhlah segala urusan manusia”
Dan filantropi juga tokoh perniagaan dan pelaburan terkenal Amerika Syarikat, Warren Bufet, ketika menyaring calon-calon untuk diambil bekerja berpegang kepada prinsip:
“In looking for people to hire, you look for three qualities, integrity, intelligence and energy. And if they don’t have the first, the other two will kill you”.
Prinsip tersebut jelas terkandung dalam firman Allah Subhanahu Wata’ala melalui ayat 26, Surah al-Qasas bermaksud:
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu boleh pilih untuk bekerja (untuk mu) ialah orang yang kuat (yakni berkebolehan) lagi dapat dipercayai (iaitu amanah)”[1]
Demikian pentingnya integriti bagi membina jati diri insan sebagai komponen kekuatan bangsa, asas untuk membangunkan tamadun yang agung
4. Atas kesedaran pentingnya integriti, Perdana Menteri Malaysia kelima, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Allahyarham Tun) telah melancarkan Pelan Integriti Nasional pada 23 April 2004 serentak dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM). Dalam ucapan pelancaran, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyuarakan pemerhatian bahawa transformasi ekonomi negara telah meninggalkan kesan ke atas keadaan sosial (social fabric) negara; arus pemodenan juga telah mengakibatkan penghakisan sistem nilai masyarakat Malaysia; dicerminkan melalui sikap tidak bertanggungjawab dan kurang kepekaan sivik di jalan raya, terhadap alam sekitar dan kemudahan awam, amalan melompat barisan (queue) ketika beratur, serta khidmat kaunter yang kurang mesra pelanggan. Disuarakan kebimbangan terhadap mentaliti materialistik, mentaliti suka kepada jalan mudah dan mentaliti ingin cepat kaya; begitu juga persepsi umum terhadap rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang semakin menular. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyuarakan azam untuk memerangi rasuah, melahirkan masyarakat beretika dan menyuburkan semula nilai-nilai murni dalam segala tingkah laku dan tindakan. Bagi beliau tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan, tetapi muflis dari segi nilai moral, etika dan integriti.
5. Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan mempunyai agenda yang luas dengan mengenal pasti sasaran utama. Lima sasaran ditetapkan untuk dicapai dalam lima tahun pertama antara tahun 2004 hingga 2008:
Pertama: Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan.
Kedua: Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam, dan mengatasi kerenah birokrasi.
Ketiga: Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.
Keempat: Memantapkan institusi keluarga.
Kelima: Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
6. Demikian impian murni seorang pemimpin, demikian harapan luhur seorang negarawan. Dua puluh satu tahun selepas dilancarkan Pelan Integriti Nasional, ternyata ada jurang, malah berlaku jurang yang lebih lebar antara impian dan harapan dengan realiti dan hakikat yang sedang berlaku.
7. Akhbar saban hari melaporkan berita tangkapan, siasatan, pendakwaan dan perbicaraan kes-kes rasuah, pecah amanah, ketirisan sumber, kronisme dan salah guna kuasa. Akhbar mendedahkan wujudnya pelbagai kartel merajai industri ayam, ikan, beras dan pelbagai bekalan serta perkhidmatan, lambakan pekerja asing dan pekerja tanpa izin. Akhbar memberitakan penerokaan tanah secara haram pada skala besar, kilang haram yang besar tersergam, pusat judi, pusat hiburan, spa, rumah urut dan sarang pelacuran tanpa lesen, pencemaran alam yang mengancam kehidupan; setiap satunya berlaku secara terbuka dan terang-terangan. Akhbar mengkhabarkan kisah projek awam yang terbengkalai, kontraktor yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual, bangunan runtuh, peralatan tidak berfungsi, perolehan dengan harga yang lebih mahal daripada harga pasaran dan pelbagai kerenah lagi. Negara diaibkan di peta dunia kerana skandal kewangan terbesar dalam sejarah, mengakibatkan negara dibebani hutang, sekali gus menjejaskan pembangunan ekonomi dan nilai mata wang. Dilaporkan dalam tempoh dua tahun terakhir, kerajaan memperoleh kembali 15.5 bilion ringgit dana awam daripada pelaku-pelaku rasuah dan pengubahan wang haram.[2]
8. Saban tahun, Ketua Audit Negara melaporkan pelbagai kepincangan berkaitan cara wang awam dibelanjakan, bukan sahaja gagal memenuhi piawaian dan peraturan kewangan yang ditetapkan, malah menimbulkan pelbagai keraguan. Aktiviti penyeludupan dan mengelak cukai dilaporkan berlaku, dukacitanya berlaku dalam keadaan ‘harapkan pagar, pagar memakan padi’; berlaku secara bersekongkol dengan kerjasama pegawai penguat kuasa yang diamanahkan tugas dan tanggungjawab. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan indeks jenayah negara meningkat 11.1% pada tahun 2024, mencatatkan 58,255 kes yang dilaporkan, berbanding 52,444 pada tahun 2023.[3]
9. Pada tahun 2003, sebelum Pelan Integriti Nasional dilancarkan, daripada 180 negara yang dinilai, Malaysia berada pada kedudukan 37 dalam Indeks Persepsi Rasuah. Namun pada tahun 2024, dua puluh tahun selepas Pelan Integriti Nasional dilancarkan, Malaysia menurun 20 anak tangga, berada di tangga ke-57; kedudukan di tangga ke-61, iaitu kedudukan terendah dalam sejarah, berlaku dalam tahun 2018 dan tahun 2022.
10. Ketika rakyat di negara China mahu hidup aman damai, mereka bina tembok besar dengan anggapan tiada siapa mampu memanjatnya kerana terlalu tinggi. Namun apa yang dirancang tidak menjadi realiti. Dalam tempoh seratus tahun pertama pembinaan tembok besar, China diserang tiga kali. Setiap kali musuh mahu menyerang, mereka tidak perlu robohkan atau panjat tembok besar. Caranya hanya merasuah pegawai, dan musuh masuk dengan mudah melalui pintu dan laluan yang dibuka. Ketika itu China yang berpegang kepercayaan palsu memilih membina tembok besar; malangnya mereka lupa membina jati diri pengawal-pengawal yang diamanahkan tugas untuk menjaga sempadan.
11. Sejarah tanah air turut memberikan peringatan akibat kehilangan integriti. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 bukan sekadar berpunca daripada serangan musuh dari luar, tetapi akibat pengkhianatan dari dalam. Sejarah Melayu dan Suma Oriental tulisan Tomé Pires menggambarkan bahawa kelemahan pentadbiran, perebutan kuasa, dan pengkhianatan oleh sebahagian pembesar telah membuka ruang kepada penjajahan asing.
12. Sejarah wajar menjadi cermin kepada generasi kini bahawa tanpa integriti, kekuasaan menjadi rapuh, tanpa kejujuran, kemerdekaan boleh terancam. Maka, setiap insan yang memegang amanah, sama ada di sektor awam, swasta, politik, institusi agama, badan-badan sukarela, kebajikan dan sukan, hendaklah menjadikan sejarah sebagai guru. Filsuf George Santayana menyatakan, “mereka yang tidak belajar dari sejarah akan dikutuk kerana mengulanginya”. Dibimbangi sikap tidak belajar dari sejarah sedang berlaku di hadapan mata kita.
NST Leader melalui penerbitan 28 Oktober 2025 mencatatkan;
“When crooked officers get recruited; expect a breach too far…
Leaders of our enforcement agencies have a commendable dream: they want to rid them of crooked officers. But the reality is, the dream often turns into a nightmare. Consider what happened on Oct 14 to the Johor Malaysian Maritime Enforcement Agency (MMEA) to see why dreams become nightmares. On that day, two Indonesians were arrested for attempting to smuggle drugs off Forest City’s guarded coastline. It was reported that two smugglers might have had the help of Johor maritime security network…
Some may think that this is just an MMEA problem. Not so quick. It happened in almost every enforcement agency. Crooked officers after the “Jho Low” lifestyle are in the Immigration Department, Customs Department, Malaysian Border Control and Protection Agency (MCBA), police, Department of Environment, Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC), and more…
Take MCBA, a single agency established in February to oversee all international borders in phases…
We may have thought that the more than 20 agencies that handled border checkpoints before were the cause of “cohorts” mushrooming within the organizations. Not entirely true. Even when MCBA became a single agency, the MACC detained 27 people, including 18 MCBA officers, at the KLIA terminal 1 and 2 over alleged involvement in a “counter-setting” syndicate that facilitated foreign nationals’ entry without following proper procedures…”
13. Institut Integriti Malaysia (IIM) yang diisytiharkan penubuhannya pada 23 April 2004; ditubuhkan sebagai institusi bebas, bersifat agensi pemantau dan penyelarasan bagi Pelan Integriti Nasional. Sejak penubuhannya, IIM, dipengerusikan oleh enam orang Ketua Setiausaha Negara, dipimpin oleh sembilan orang ketua eksekutif. Dalam tempoh 20 tahun penubuhannya, IIM diperuntukkan hampir 212 juta ringgit, bermula dengan peruntukan lima juta ringgit pada tahun 2004, meningkat hampir empat kali ganda ke-18 juta ringgit pada tahun 2024. Tugas IIM hari ini didukung oleh 110 orang sumber manusia untuk melaksanakan tugas memenuhi lapan objektif yang ditetapkan[4].
Pertama: Mengendalikan penyelidikan berkaitan integriti institusi dan masyarakat.
Kedua: Menganjurkan persidangan, seminar dan forum integriti.
Ketiga: Menghimpun pendapat pelbagai sektor mengenai kemajuan atau halangan kepada pelaksanaan integriti.
Keempat: Menerbitkan dan mengedarkan bahan-bahan bercetak, menggubal dan melaksanakan program-program latihan dan pendidikan.
Kelima: Mengemukakan perakuan-perakuan dasar bagi peningkatan integriti dan etika.
Keenam: Membangunkan pangkalan data mengenai integriti dan etika.
Ketujuh: Memberikan khidmat nasihat kepada kerajaan mengenai program dan strategi bagi meningkatkan integriti.
Kelapan: Mewujudkan jaringan dengan organisasi-organisasi antarabangsa bagi membolehkan peranan dan sumbangan IIM diiktiraf di peringkat antarabangsa.
14. Sesungguhnya IIM telah diberikan skop tugas yang amat luas dan tanggungjawab yang amat besar. Dengan dana peruntukan yang kecil dan sumber tenaga yang terbatas, IIM semestinya menghadapi cabaran berat, diharapkan dapat melakukan keajaiban pencapaian untuk menangani kemelut integriti yang sedang melanda. Pendekatan strategik perlu difikirkan, dan langkah bijak sewajibnya dirintis, agar usaha untuk menyemaikan nilai integriti membuahkan hasil, memastikan IIM cukup bertenaga, berupaya membuang yang bengkok – mengambil yang lurus; jika berladang biar menjadi – jika bersawah biar berpadi.
15. IIM tidak mempunyai lampu Aladin yang memadai sekadar digosok lampu bagi memakbulkan hasrat. IIM perlu menempuhi perjalanan yang panjang. Namun demikian, perjalanan 1,000 batu bermula dengan langkah pertama yang bijak lagi tepat agar kita tidak dianggap memasang pelita pada tengah hari, mencari bayang pada waktu malam, lelah tenaga – kantung kosong, tetapi menghadapi nasib , benang habis – kain tak jadi, jarum patah – baju tak siap. Dengan dana dan sumber tenaga yang terhad, ibarat memiliki kain panjang sehasta, IIM memerlukan kebijaksanaan agar kain sesingkat itu, dipastikan dapat menyelimuti organ tubuh yang paling wajib ditutupi. Dalam batasan pengalaman dan dengan ilmu panjang sejengkal, beta memilih untuk menegaskan amat perlunya diberikan keutamaan kepada dua perkara; pertama: mengembalikan makna suci pendidikan; dan kedua menghayati prinsip pertama Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan.
Keutamaan pertama: mengembalikan makna suci pendidikan.
16. Kisah yang berlaku di tembok besar China dan kisah kejatuhan Melaka sewajibnya memperingatkan kita bahawa membina jati diri manusia lebih utama daripada segala binaan lain. Apabila amanah dikhianati dan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negara, maka hilanglah benteng. Membina jati diri dalam kalangan anak-anak di sekolah dan pelajar-pelajar di pusat-pusat pengajian wajib diutamakan.
17. Kebelakangan ini, negara dan masyarakat dikejutkan dengan peristiwa-peristiwa hitam yang berlaku dalam alam persekolahan; buli, keganasan, rogol, kematian dan pembunuhan yang dilakukan oleh anak-anak di bawah usia 17 tahun; cerminan kegagalan pendidikan dalam memenuhi peranan membentuk nilai kemanusiaan, akibatnya berlaku krisis jiwa dan gangguan emosi. Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak, kini terdedah kepada pelbagai suasana yang mengancam keselamatan.
18. Krisis kemanusiaan sedang berlaku di tempat yang paling selamat buat anak-anak. Krisis yang berlaku hari ini tidak adil dipolemikkan dan dipolitikkan untuk mempersalahkan kepimpinan semasa. Secara jujur – secara ikhlas kita hendaklah berani mengakui bahawa sel-sel barah yang telah tumbuh membesar hingga ke tahap kritikal, bermula dengan sel kecil, berhimpun secara kumulatif untuk sekian lamanya, mungkin disebabkan kealpaan kita mencegah di peringkat awal secara berkesan – secara bersungguh. Sifat penafian yang berterusan dan sifat tidak berani mengakui kesilapan, ditambah dengan sifat ego tidak senang menerima teguran dan enggan berubah, di samping sifat kompromi dan kurang berani bertindak tegas melakukan pembetulan, merupakan penyebab yang telah menyuburkan sel barah boleh terus merebak. Matlamat suci sebenar pendidikan mungkin telah lama kita alpakan kerana terlalu taksub memberi fokus untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berbentuk kuantitatif, pada harga mengorbankan komponen kualitatif.
19. Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdul pernah mendedahkan perlakuan rasuah di sekolah, membabitkan pelajar dan guru.[5] Berlaku kes guru melaku gangguan seksual terhadap pelajar bagi membolehkan lulus periksa, dan berlaku kes pelajar memberi wang kepada rakan-rakan sekelas bagi membolehkannya dilantik sebagai ketua kelas. Akhbar berulang kali melaporkan kes buli, bukan baharu berlaku sebulan dua lalu, malah telah berlaku sejak lebih dua puluh tahun lalu. Pada tahun 2004, tersiar berita, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah (Almarhum) berangkat ke sebuah sekolah di Pahang, dan Menteri Pelajaran ketika itu berikrar untuk menyiasat punca masalah buli pelajar hingga ke lubang cacing, disusuli jaminan untuk segera menanganinya.
20. Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2002 mendapati 30.5% daripada pelajar universiti yang menjadi responden menyatakan kesanggupan menerima rasuah,[6] mencerminkan nilai integriti dalam kalangan anak muda semakin terhakis.[7] Tinjauan Institut Integriti Malaysia (IIM) mengenai persepsi pelajar terhadap rasuah pada tahun 2017 mendedahkan bahawa satu daripada tiga orang pelajar universiti tempatan berpendapat, menerima habuan sebagai balasan untuk perkhidmatan yang diberikan bukan dianggap rasuah, sementara 28.1% responden berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi mereka untuk mengambil harta atau barangan milik syarikat untuk kegunaan peribadi, malah 37.3% daripada responden menganggap perlakuan mengemukakan tuntutan untuk tugas luar walaupun ada tajaan penuh, bukan satu kesalahan moral.[8] Kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) terhadap seribu orang pelajar universiti, mendapati 16% daripada mereka sanggup menerima rasuah manakala 18.5% pula akan menerima rasuah jika tiada apa-apa tindakan diambil.[9]
21. Tingkah laku mempamerkan sikap dan hemah seseorang insan, juga mencerminkan produk daripada didikan yang diberikan. Sama-sama kita nilai sikap dan hemah yang berlaku melalui tiga insiden kemalangan jalan raya, di tiga tempat berasingan, dua kejadian di dua kampung di Malaysia, sementara kejadian ketiga di sebuah negara bukan Islam. Pada 26 Julai 2017, akhbar-akhbar tempatan melaporkan orang ramai di sebuah kampung berkerumun dan berebut mengutip timbunan beras yang tumpah daripada sebuah lori. Pada 31 Julai 2019, sebuah treler membawa muatan susu terbalik di sebuah kampung menyebabkan ribuan stok susu bertaburan di atas jalan. Rakaman video berdurasi 34 saat yang ditular di laman sosial Facebook dan Whatsapp memaparkan penduduk kampung berpusu-pusu mengutip susu untuk dibawa balik ke rumah. Satu lagi klip video dikirim atas nama Agenda Melayu Mahawangsa kepada akhbar Utusan Malaysia memaparkan insiden yang berlaku pada 28 Julai 2019, menyaksikan tiga tan botol berisi air Cola jatuh di lebuh raya di sebuah negara bukan Islam. Pejalan kaki dan pemandu kereta yang menyaksikan kejadian, saling bekerjasama mengutip botol air Cola yang bertaburan untuk dikembalikan kepada pemandu trak, dan tidak ada satu botol pun yang hilang.[10] Perilaku manusia di persekitaran tiga insiden kemalangan yang berlaku, mencerminkan tahap integriti yang dimiliki oleh anggota masyarakat di tempat-tempat kejadian.
22. Selayaknya masyarakat hari ini bertanya. Apakah penekanan yang terlalu memberatkan KPI pencapaian gred peperiksaan telah menyebabkan falsafah asas dan tujuan sebenar pendidikan kini tersisih? Adakah kita telah terlalu tertumpu pada ranking dan statistik hingga terkhilaf membina jiwa? Atas nama kecemerlangan pemarkahan akademik, adakah komponen pembinaan rohani dan moral telah dikorbankan? Adakah kita tanpa sedar bertanggungjawab mencorak manusia yang tiada lagi bersifat insani, tiada hati dan sifar jiwa? Anak-anak dilatih tubi untuk menjawab soalan peperiksaan secara tegar – secara intensif – secara mekanikal tetapi adakah mereka tahu cara memahami dan menghormati perasaan orang lain?
23. Pendidikan tidak sekadar untuk memenuhi agenda melahirkan siapa yang paling pandai, tetapi lebih penting untuk melahirkan siapa yang paling insani. Sejak mencapai kemerdekaan, negara dan kerajaan amat mengutamakan program pendidikan dengan memberikan peruntukan perbelanjaan yang besar. Belanjawan 2026, memperuntukkan 66.2 bilion ringgit kepada Kementerian Pendidikan dan 18.6 bilion ringgit kepada Kementerian Pendidikan Tinggi. Tetapi semua itu akan tinggal sebagai angka, dan erti sebenar pendidikan tidak tercapai kalau jiwa anak-anak masih kosong daripada segi nilai, apabila fokus pendidikan kini gagal melahirkan manusia beradab, berfikir dan punya arah hidup yang betul.
24. Integriti tidak lahir secara spontan. Integriti tidak terbentuk melalui pelan yang cantik tertulis di atas kertas. Integriti tidak tercapai melalui penubuhan sebuah institusi. Integriti dibentuk melalui pendidikan yang berterusan, disemai di rumah, disuburkan di sekolah, diperkukuh oleh masyarakat, dan diinspirasikan oleh kepimpinan yang boleh teladani. Ibu bapa berperanan paling utama menyemai benih integriti dalam jiwa anak-anak kerana rumah ialah madrasah pertama seorang insan, selaras dengan Sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bermaksud;
“Setiap anak dilahirkan dalam fitrah; maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”[11]
Memperingatkan bahawa tanggungjawab membentuk nilai integriti bermula dengan pendidikan rohani dan akhlak oleh ibu bapa yang kemudiannya disambung oleh guru, pemimpin dan masyarakat.
25. Confucius menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara itu dibina melalui amalan integriti yang wajib disemai nilainya bermula dari rumah. Laporan UNESCO (2023) bertajuk Reimagining Education for Integrity and Ethics, menyarankan sistem pendidikan global mesti menanam nilai kejujuran, tanggungjawab, dan empati sejak usia awal bagi mengekang budaya penipuan dan rasuah yang kini semakin ketara, dilakukan tanpa segan – tanpa silu, malah tanpa rasa bersalah. Akibatnya negara menjadi lemah, hilang kekuatan dan hilang daya saing sementara rakyat menanggung derita.
26. Keberkesanan pendidik menyemai nilai integriti dapat kita contohi melalui tulisan Tan Sri Rafidah Aziz, dalam buku yang dihasilkannya, “Rapid-Fire: Rafidah Being First”, mencatatkan keberkesanan mendalam kata-kata seorang guru semasa beliau di sekolah rendah yang menyemaikan nilai berkekalan sepanjang hayat;
“I did not become a Nasrani, as my grandfather feared, when I enrolled at the convent. In fact, the moral classes thought us valuable life lessons, such as about discipline and honesty, She said that if one found a five-sen coin on the floor, one should not take it because it could be someone’s recess money or bus fare home. One should give it to the teacher to find out who has lost the five sen, and to return it to the owner”.[12]
27. Nyatalah makna suci pendidikan wajib dikembalikan. Pendidikan adalah keupayaan memberi arah, bukan hanya arahan. Guru bukan hanya penyampai pengetahuan, tetapi penyemai nilai. Pendidikan bukan sekadar mengisi otak tetapi membina jiwa. Pendidikan yang sejati harus menyatukan akal, emosi dan akhlak agar lahir insan yang bukan sahaja cerdas mindanya, tetapi luhur jiwanya. Pendidikan integriti perlu bermula sejak di bangku sekolah, agar generasi muda memahami bahawa kejayaan tanpa kejujuran tidak membawa keberkatan. Justeru, sekolah dan universiti bukan sekadar tempat memindahkan ilmu, tetapi turut berperanan sebagai institusi pembentuk akhlak.
Keutamaan Kedua: Menghayati prinsip pertama Rukun Negara; kepercayaan kepada Tuhan.
28. Sesungguhnya integriti mengangkat darjat manusia di sisi Tuhan dan sesama insan. Aspek integriti berulang kali diperingatkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam al-Quran dan turut terkandung dalam sunah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Pendorong utama integriti ialah keyakinan bahawa setiap perbuatan akan dicatat dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu Wata’ala. Firman Allah dalam surah Al-Infitar, ayat 10, 11 dan12, bermaksud:
“Dan sesungguhnya bagi kamu ada para Malaikat yang menjaga dan mengawasi segala tindakan kamu. (Mereka ialah makhluk) yang mulia (di sisi Allah) dan ditugaskan mencatat (amalan kamu). Mereka mengetahui apa-apa yang kamu lakukan”[13]
29. Ketika berada di Padang Mahsyar, diadili di Mahkamah Rabbuljalil, kita tidak lagi boleh mendapatkan khidmat peguam bela atau saksi-saksi yang boleh dirunding, kerana setiap anggota tubuh kita bakal menjadi saksi mengisahkan peristiwa sebenar setiap yang kita lakukan di dunia yang fana ini. Sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bermaksud:
“Ada empat hal yang dapat menjadikan (kesan) kalian tidak akan pernah hilang daripada dunia, ia itu, menjaga amanah, bicara jujur, berakhlak baik dan hati-hati daripada makanan (yang haram)”[14]
30. Integriti ditegaskan oleh semua agama, fahaman, budaya dan tamadun. Di dalam Injil, terkandung peringatan:
“So, you will walk in the way of the good and keep to the paths of the righteous. For the upright will inhabit the land, and those with integrity will remain in it …”[15]
Terkandung dalam Bhagavad Gita, kitab rujukan penganut Hindu, kata-kata:
“In battle, in the forest, at the precipice in the mountains, on the dark great sea, in the midst of javelins and arrows, in sleep, in confusion, in the depths of shame, the good deeds a man has done before, defend him”.[16]
Guru Nanak memperingatkan pengikutnya dengan pesanan:
“He prospers for a while through unrighteousness, then he gains great good fortune, next conquers his enemies, but at last he perishes, branch and root; so, follow the path of honesty”.[17]
Terkandung dalam ajaran Buddha kata-kata:
“They should esteem public morality, honor virtuous conduct, listen to honourable teachers and make offerings to them…[18]
31. Sesungguhnya, pembudayaan integriti adalah perjalanan panjang; perjalanan yang menuntut kesabaran, keteladanan dan istiqamah. Jangan terlalu taksub dengan gembar gembur retorik kejayaan yang palsu. Cerita kejayaan mudah meletakkan manusia lena diulit mimpi yang mengasyikkan sehingga ketika dikejutkan oleh realiti, kerosakan sudah pada peringkat yang terlalu parah. Oleh itu amatlah penting dilatih agar minda senantiasa bersifat kritikal, berupaya menganalisis ketulenan dan kesahihan sesuatu pencapaian, daripada dilalikan oleh skrip dan koreografi yang dipamerkan di pentas kejayaan.
32. Usaha membudayakan integriti bukan sekadar memperkenalkan dasar atau slogan, tetapi menuntut perubahan minda dan sikap, yang perlu digerakkan melalui pendidikan dan penghayatan, keberanian mengakui kesilapan, keterbukaan menerima teguran, lebih utama melalui teladan kepimpinan.
33. Para ulama berpendirian bahawa agama tidak akan tertegak, begitu juga dunia tidak akan menjadi baik tanpa keberadaan pemimpin yang bersikap amanah. Kebaikan sesuatu bangsa dipengaruhi oleh sifat pemimpinnya. Disebabkan itu, tokoh sosiologi Islam, Ibn Khaldun meletakkan ukuran kebaikan sesuatu bangsa ditentukan oleh kualiti dan nilai kepimpinan bangsa tersebut. Sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bermaksud,
“Jikalau Allah menginginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka Allah akan memberi bangsa itu pemimpin yang baik”.[19]
34. Presiden Senegal, Bassirou Diomaye Faye, meskipun berusia muda 45 tahun, mencerminkan sifat insaf seorang hamba di sisi Ilahi dengan memperlihatkan hikmah kebijaksanaan melalui kata-kata peringatan;
“Saya bukan Tuhan yang disucikan, dan bukan juga ikon yang disembah. Saya hanyalah hamba Allah dan khadam kepada bangsa ini yang telah mengamanahkan saya.
Gantunglah gambar anak-anak kamu, dan renungilah wajah mereka setiap kali kamu hendak membuat keputusan, dan setiap kali syaitan membisikkan untuk melakukan yang haram atau menyelewengkan wang rakyat.
Ingatlah bahawa kamu akan berdiri suatu hari nanti di hadapan Allah, dan akan ditanya tentang amanah ini. Maka pandanglah wajah orang yang kamu sayangi, dan tanyalah diri kamu, adakah Allah redha jika keluargaku menjadi keluarga seorang pencuri yang mengkhianati negaranya dan bangsanya?”
35. Saidina Abu Bakar Al-Siddiq Radiallahuanhu setelah diangkat sebagai Khalifah dalam pidato ulungnya mengucapkan;
“Aku telah dipilih sebagai pemimpin, padahal aku bukanlah orang terbaik di antara kamu. Jika aku berbuat baik maka dukunglah aku. Jika aku salah, maka luruskan aku. Benar adalah amanat dan bohong adalah khianat. Tidaklah perbuatan keji yang tersebar pada suatu kaum, kecuali Allah akan menebarkan bala ke atas mereka. Taatilah aku selama aku mentaati Allah dan Rasul-Nya. Jika aku menderhakai Allah dan Rasul-nya, maka tidak ada ketaatan untuk ku atas kamu”
36. Ya Malikul Mulk! Lantiklah untuk urusan kami, orang-orang yang terbaik dalam kalangan kami. Jangan Engkau lantik untuk urusan kami, orang-orang yang terburuk dalam kalangan kami. Hindari negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba Mu yang amanah lagi ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
37. Semoga sambutan Bulan Integriti Nasional ini disambut dalam semangat saling menasihati selaras dengan seruan yang terkandung dalam Surah al-‘Asr:
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya menepati kesabaran”[20]
38. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati segala usaha untuk membina negara yang berintegriti, negeri yang baik, aman lagi makmur, sejahtera, dan mendapat keampunan Ilahi,
‘ بَلْدَةٌۭ طَيِّبَةٌۭ وَرَبٌّ غَفُورٌۭ ’ , seperti yang digambarkan
dalam al-Quran melalui ayat 15, Surah Saba. Dengan lafaz بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم Beta merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional 2025 dengan tema Integriti Teras Kesejahteraan Negara.
- Al-Quran, Surah al-Qasas (28:26) ↑
- Brian Martin, “When accountability is desperately needed”, The STAR, 24.10.2025, views 13 ↑
- Lee Lam Thye, “All hands needed to tackle crime”, STAR, 24.10.2025, views 14. ↑
- Kertas Mesyuarat Lembaga Pengarah IIM Bil 14/2004. ↑
- Zulkifli Jalil, “Rasuah sampai ‘kiamat;”, Berita Harian, 27.10.2025, ms 10. ↑
- Berita Harian, 1 Ogos 2019, hlm 4. ↑
- Berita Harian, 2 Ogos 2019, hlm. 10. ↑
- Berita Harian, 15 Ogos 2019, BH Varsiti (bhvarsiti@bh.com.my). ↑
- Ibid. ↑
- Zulkifli Jalil, “Betul yang Biasa, Biasa yang Betul”, Utusan Malaysia, 6 Ogos 2019, hkm. 17 ↑
- Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim. ↑
- Rafidah Aziz, 2022 , Rapid-Fire: Rafidah-Being Malaysian First, Selangor: MPH Publishing Sdn. Bhd. Hlm. 8 ↑
- Al-Quran, Surah Al-intifar 82:110-12. ↑
- Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Abid Dunya, Ath-Thabrani, dan al-Baihaqi)
- Bible, Proverbs 2:20-21 ↑
- Petikan dari Bhagavad Gita. ↑
- Petikan kata-kata Guru Nanak. ↑
- The Teaching of Buddha, (Tokyo: Society for the Promotion of Buddhism, 1966) 456 ↑
- Hadis Riwayat Abu Daud ↑
- Al-Quran, Surah al-‘Asr 103:1-3 ↑